Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.
HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.
Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.
Nota (ditulis 2 Jun 2013) : Adapun penulisan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, acara keempat pula di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac. Kini kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun, kali pertama acara HIKMAH diadakan melebihi 1 hari.
Biar diberitahu kemungkinan besar ia adalah acara terakhir HIKMAH sebelum hujung tahun. Selain penat mengatur acara, pengasas HIKMAH iaitu Radzi Sapiee perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan agak serius kaki yang dialami mula sebulan lalu. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu, usaha tergendala yang tanpa diduga boleh membawa pada penubuhan HIKMAH 12 Okt 2012. Harap maklum...
Thursday, December 27, 2012
Video sekitar Pertemuan Busana Tradisi dan Pendekar Melaka 2 Dis
Wednesday, December 26, 2012
Video klip sekitar HIKMAH II di Melaka 25 Nov

Alhamdulillah. Setelah beberapa lama baru saya dapat menyediakan klip-klip video sekitar majlis kedua yang dilaksanakan HIKMAH iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Rujuk Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari dan Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka.
Dari awal pagi hingga ke pembukaan dan sarapan
Sesi pembentangan pagi
Sesi pembentangan tengah hari
Sesi pembentangan petang
Acara berkumpulan diikuti perasmian dan penutup
Tuesday, December 25, 2012
Keris yang sesuai untuk majlis
Berselawat menaiki kapal perang di perairan Pangkor
Tuesday, December 18, 2012
HIKMAH acara ketiga diadakan di Lumut 27 Januari
Untuk program kali ini semua peserta DIWAJIBKAN berbusana tradisional Melayu namun boleh juga berjubah berserban mengikut sunnah. Yang perempuan harus menutup aurat, kalau tidak bertudung harus sekurang2nya memakai selendang apalagi DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dijangka mencemar duli untuk majlis ini.
Pihak Perak yang menganjur memberitahu kalau dapat lebih 500 orang berbusana penuh ini akan dimasukkan ke dalam Malaysian Book of Records. Kalau dapat jaminan awal sekurang2nya 1,000 peserta akan muncul, insyaallah Yang di-Pertuan Agong dapat dipujuk untuk turut serta mencemar duli.
Marilah bersama2 mencipta sejarah dan terlibat dalam program kebangkitan alter Melayu yang merupakan program kebangkitan ummah ini. Dunia sedang menunggu tapak daulah Islamiyah dibina melalui kemunculan gerakan panji2 hitam dari Timur. Marilah sama2 meraikan program pada hari yang boleh dijadikan hari kebesaran Melayu, 27 Januari 2013 yang kebetulan jatuh pada 15 Rabiulawal 1434, musim Maulidur Rasul.
Program tentatif
8-8.45 pagi : Pendaftaran peserta
9 pagi : Perarakan dan selawat Maulidur Rasul
Ketibaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak,Sultan Azlan
Muhibbuddin Shah diiringi laksamana Melayu dan hulubalang.
9.45pagi : Selawat dan Doa untuk penyatuan ummat dan kemakmuran Negara
oleh Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid,
pengasas Darul Murtadza
10.00 : Ucapan YDP PESADA ,Dr. Mohd Fazzli b Dato’ Ali Bagas
Islam, Kesultanan dan Melayu – Jangan Dipisahkan!
(Rahsia Alam Melayu)
10.20 : Ucapan Menteri Besar Perak,YAB Dato’ Seri Di Raja Dr. Zambry Abd
Kadir,Menteri Besar Perak.
Menyampaikan sumbangan kepada
Persatuan Pencak Silat Olahraga Daerah Manjung
10.45 : Pembentang 1 :Persilatan – Rahsia Pendekar Purba
(Gerakkan siPendekar membenteng Negara)
Prof Dato’ Seri Amar DiRaja Dr. Muhammad Fairus Khairuddin
11.05 : Slide Khas dari Alter Terahsia Bangsa Melayu:Kebangkitan Nusantara
11.15 : Titah Amanat DYMM Paduka Seri Sultan Perak
kepada seluruh perajurit Melayu akhir zaman
11.45 : Gimik Pembukaan
11.55 : Berpetualang :Mencari Erti Diri
Tuan Radzi Sapiee,Pengasas HIKMAH
12.30 : Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu ,pesanan kebangkitan akhir
zaman
Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor,Pengetua Pondok Rasool-ur Rahmah
1.00 : Selawat beramai-ramai beserta Doa untuk ummat Akhir Zaman
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid,
pengasas Darul Murtadza
Acara khas: Penyerahan Usul HIKMAH3 kepada DYMM Sultan oleh
Sdr Radzi Sapiee (pengasas HIKMAH) diiringi YDP PESADA
Keberangkatan pulang DYMM Sultan Perak diiringi Menteri Besar
YDP PESADA,Pengasas HIKMAH,Pengasas Yayasan Bela Diri M’sia
1.10 : REHAT SOLAT ZUHUR DAN MAKAN TENGAH HARI
SOLAT JAMAK dan Qasar Berjemaah dengan para musafir DIIMAMKAN OLEH Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid,pengasas Darul Murtadza di Dewan beserta selawat qubra.
2.40 : Ahlul Bayt dan Kesultanan Melayu
Al-Fadhil Ustaz Kazim Elias
3.15 : Kebangkitan Nusantara
Prof. Dr.Ridhuan Tee Abdullah,Profesor UPNM.
Cetusan Rasa oleh Tuan Radzi Sapiee (Kebangkitan Panji Hitam)
wakil Singapura, Bentan dan Acheh
YM Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan
Hussein, wakil Singapura.
YM Raja Syukri, waris Raja Haji Fi Sabilillah,wakil Acheh
Tuan Haji Huzrin Hood,
Pemangku Adat Bentan,Indonesia
Moderator : Taufiq Tan sri Khalid Sahan,peguam bela dan peguam cara
3.50 : Penyampaian cenderahati dan sijil
4.30 : REHAT DAN SOLAT ASAR(tempatan)
5.00 : Aktiviti Berkumpulan
Penyediaan Resolusi untuk diserahkan kepada YAB Perdana Menteri
6.00 : DOA dan PERARAKAN SELAWAT sempena Maulidur Rasul
(Walkabout sekitar Marina Island Pangkor)
Majlis ditangguhkan
Mencari asal-usul Beruas Gangganegara yang sebenar...
Beruas, kaitan dengan Aceh dan melihat bulan... Antara mimpi dan realiti kehidupan
Jalan-jalan Perak sebelah barat : Merenung keadaan dari Lumut ke Beruas...
Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara
Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara?
Tiba-tiba pemuda ini teringat dua buah mimpi berkaitan yang pernah dialami dahulu . Dalam mimpi pertama, kalau tak salah ingatan berlaku semasa dia masih menuntut di England ketika berumur sekitar 23 tahun, Rasyid mendapati dirinya berada di sebuah teluk yang airnya sangat dalam dan amat jernih... Daripada tebing teluk, menjulur keluar pohon condong yang rendang, sama rupanya seperti pohon tepi pantai di Pulau Kampai yang dilihat di alam nyata. Bezanya, di dalam mimpi, pohon itu lebih besar dan bahagian bawahnya iaitu pangkal dan akar terbenam ke dalam air. Apapun, dia dapat melihat, jika tebing tinggi di pulau ini dinaiki air sampai ke gigi, keadaannya mungkin saling tidak tumpah seperti di dalam mimpi.
Dalam mimpi itu juga, Rasyid sempat berenang-renang di sekeliling pangkal pohon itu dengan amat riang sekali. Airnya terasa lain dari yang lain, tidak seperti mana-mana air yang pernah ditemui di dunia nyata... Ringan, tidak basah... Sangat jernih dan ada semacam kelembutan melebihi sutera yang membolehkannya bernafas di dalam. Paling dia tak dapat lupakan, tempat itu berserta pohon dan teluknya terasa seperti rumah, seperti home sweet home yang dicari-carinya seumur hidup tetapi belum lagi terjumpa!
Beberapa tahun kemudian, barulah Rasyid mendapat sebuah lagi mimpi yang dapat memberikan rasa selesa yang amat menenangkan ini. Dalam mimpi itu, dia berserta tiga orang saudara telah menaiki kereta mendaki sebuah bukit yang letaknya entah di mana... Pemandangan di bawahnya kelihatan seperti di Muar, bandar kelahirannya... Tetapi kenyataannya tidak pernah wujud bukit sebegini malah apa-apa jenis bukit di sekitar bandar itu! Apabila sampai di atas, terjumpa pula sebuah papan tanda bertulis perkataan “Aji Yaki Dastagi”, tidak tahulah apa maknanya… Pelik bukan?
Anak muda inipun melangkah keluar kereta, sampai ke suatu dataran lalu disambut dua barisan manusia, kiri dan kanan yang kelihatan seperti orang-orang Asli. Pada muka mereka terlukis bintik-bintik hitam, mulut pula sentiasa bergerak seperti ikan di darat tercungap-cungap mencari nafas. Lebih pelik lagi, keluar lafaz yang bunyinya seperti “ketak, ketak, ketak...” daripada setiap mulut tetapi Rasyid merasakannya seperti zikir mengingati Allah yang amat menenangkan! Latar-belakang mimpi bertukar apabila pemuda itu tiba-tiba mendapati dirinya berada di dalam sebuah bangunan berdekatan dengan rekabentuk seakan kuil lama tanpa berhala. Yang ada, cuma lampu minyak seperti lampu Aladdin tergantung di beberapa tempat serta sebuah kolam berbentuk empat segi dengan air yang amat jernih.
Selama di dalam mimpi, pemuda itu dapat merasakan ketenangan jiwa yang amat sangat. Setelah beberapa ketika tibalah masanya untuk beredar... Tahu-tahu sahaja, dia sudah berada di dalam sebuah lif menuruni bukit. Ait??? Tak logik bunyinya bukan tetapi itulah yang berlaku. Lif itu pula terbuka, tidak berdinding... Maka terhamparlah pemandangan seperti di bandar Muar dengan sebuah pelabuhan di kuala sungai penuh dengan yatch atau kapal layar, sedangkan pelabuhan sebegitu tidak wujud di bandar itu... Atau mungkin ia akan wujud suatu hari nanti? Di hujung kuala sungai yang luas itu pula Rasyid ternampak sebuah teluk kecil dengan pohon rendang... Sama seperti yang pernah dilihatnya di dalam mimpi terdahulu, lebih kurang seperti apa yang terdapat di Pulau Kampai secara nyata. Lebih pelik lagi, hujung kawasan teluk ini bersambung sampai ke Sumatera!
Sebaik sahaja terjaga daripada mimpi, Rasyid terasa sebak yang amat sangat. Pemuda itu terus menangis teresak-esak... Sedih kerana rasa terputus hubungan dengan home sweet home yang dicari-cari seumur hidup. Ini berlaku ketika dia masih bekerja sebagai wartawan akhbar harian terkemuka berbahasa Inggeris di ibu kota, ketika tidur malam di atas pelantar di kawasan letak kereta pejabat di tingkat enam. Kebetulan, ketua pengawal keselamatan yang dikenalinya terjumpa Rasyid sedang menangis lalu bertanya apakah yang telah terjadi. Anak muda inipun menceritakan isi kandungan mimpi itu lalu bekas polis yang berasal dari Perak itu memberitahu, ada sesuatu yang istimewa tentang dirinya.
Saturday, December 15, 2012
Arka - Satu tribute untuk pejuang bangsa, Raja Haji Fi Sabilillah
Tuesday, December 4, 2012
Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?
Pernyataan HIKMAH Melaka
1. Memohon dikembalikan hak KETUHANAN Melayu selain hak ketuanan Melayu.
Sekarang saya akan memberikan ulasan...
Perkara 1 - Memohon dikembalikan hak KETUHANAN Melayu selain hak ketuanan Melayu
Bunyinya agak pelik tetapi ia memang dibuat begitu untuk membuka fikiran. Maksudnya adalah dibenarkan/digalakkan agar orang Melayu dapat kembali kepada ilmu keTuhanan iaitu ilmu Tasawuf/Hakikat/Makrifat melalui jalan Tariqat dan sebagainya tanpa dihalang. Ini kerana kami berpendapat ilmu sebegitulah yang menjadi asas kekuatan jiwa orang Melayu, bukan sekadar pemahaman dan pengamalan agama Islam pada peringkat kulit ataupun Syariah. Namun ini cuba dinafikan sesetengah pihak atas alasan agama juga... kononnya ilmu keTuhanan seperti itu adalah Tahyul, Bidaah dan tidak pernah diajar Rasulullah SAW.
Perkara 2 - Memohon raja-raja menonjolkan peranan sebagai ketua agama dan bangsa melalui contoh keperibadian yang tinggi sesuai dengan kedudukan mulia baginda sebagai punca kuasa negeri dan negara yang berdaulat
Yang ini maksudnya terasa cukup terang. Memang raja dan kerabatnya sepatutnya menonjolkan keperibadian tinggi yang sesuai dengan fungsinya agar kedudukan baginda dan keluarga tidak boleh diragui atau dipersoalkan. Ini kerana wujudnya kerabat diraja yang keBaratan atau kurang nampak ciri-ciri keIslamannya, suka ke majlis-majlis sosial dan diketahui tanpa segan-silu meminum arak di hadapan ramai menjadi alasan untuk pihak lain menolak kepentingan wujudnya institusi raja-raja. Sedangkan kami percaya institusi rajalah yang patut ke hadapan menyatukan umat Melayu dan Islam seraya menyelamatkan keadaan di kala ahli-ahli politik kadangkala kelihatan terlebih mahu menjaga hati orang lain sehingga kera di hutan disusukan anak di rumah kelaparan.
Perkara 3 - Memohon diangkat sistem syura yang terdiri daripada ahli-ahli ilmu yang berwibawa dalam bidang-bidang tertentu sebagai penentu hala tuju negara di bawah seliaan raja
Terus-terang cakap. Ramai antara kami sudah jelak dengan sistem berpolitik dan pentadbiran berparlimen yang seperti memaksa orang memilih pihak dan berpuak-puak. Kami suka jika yang menentukan hala tuju negara itu adalah orang-orang berpengetahuan yang tidak perlu menjual prinsip demi membeli undi lalu dapat bekerja dengan tenang memberikan buah fikiran yang bernas demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara tanpa dipengaruhi apa-apa kepentingan tidak sihat baik nyata mahupun yang tersembunyi.
Perkara 4 - Memohon sejarah Tanah Melayu disemak dan diperbetulkan agar dapat mempertahankan peradaban orang Melayu dan Islam
Ini juga cukup terang. Selama ini penulisan sejarah kita banyak diwarnai Barat yang memang mahu menjatuhkan peranan orang Melayu dan Islam. Kini cara penulisan begini mahu diteruskan pihak-pihak tertentu yang mahu agar orang Melayu dilabelkan sama sebagai pendatang, Mereka sedang berusaha keras agar kurikulum sejarah wajib lulus di sekolah-sekolah bermula 2014 nanti tidak akan menekankan lagi bab kerajaan-kerajaan Melayu lama. Mereka mahu sejarah kita bermula dengan zaman kedatangan British sama seperti halnya di Singapura. Tujuan mereka agar bangsa selain Melayu diangkat sebagai peneraju dan pembentuk utama negara. Mereka sengaja mahu menyembunyikan bahawa antara para peneraju bangsa mereka ketika itu adalah orang yang bersekongkol dengan penjajah untuk menjatuhkan kekuasan raja-raja Melayu. Mereka mahu menyembunyikan fakta bahawa ketua-ketua masyarakat mereka yang awal adalah para ketua kongsi gelap yang legasi mereka mengatur segala macam perkara di sebalik tabir masih berjalan sehingga sekarang. Maka kita orang Melayu harus bertindak untuk mempertahankan kebenaran.
Perkara 5 - Memohon para Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW diketengahkan sebagai sarana keselamatan ummah seperti disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW
Saya rasa tak perlu panjangkan ini. Muliakanlah keturunan baginda walaupun ada di antara mereka, para Sayyid dan Sharifah yang nampaknya sudah tersasar dalam kehidupan. Doakanlah kebaikan buat mereka atas penghormatan kita terhadap Rasulullah SAW. Insyaallah akan ada nusrah atau pertolongan dari Allah terpancar akibat menurut saranan ini apalagi akhir zaman esok orang paling ke hadapan membela umat Islam termasuk Imam Mahdi al-Muntazar dan Pemuda Bani Tamim adalah dari keturunan ini.
6. Memohon undang-undang syariah diangkat mengatasi common law dan muamalat Islam berdasarkan pengunaan dinar dan dirham mengatasi sistem ekonomi konvensyional seperti pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511
Hmm. Cuba sahaja laksanakan. Insyaallah semua manusia baik Islam mahupun bukan akan terbela. Cuma mereka yang sudah terbiasa berbuat dosa juga suka mengambil keuntungan atas angin seperti para pemodal Yahudi atau berhati Yahudi sahaja yang takut dengan saranan ini.
7. Memohon didaulatkan kembali penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi pada semua peringkat
Ini rasanya adalah saranan yang sudah disuarakan ramai pejuang bangsa dan bahasa sejak sekian lama. Kita boleh mencontohi negara Brunei di mana pada setiap papan tanda jalan, nama kedai, bangunan dan sebagainya ada tertulis nama dalam tulisan Jawi.
8. Memohon diwujudkan satu minggu sambutan Umat Melayu Sedunia diakhiri dengan cuti am hari Jumaat
Ini adalah satu saranan yang bertujuan untuk menyatukan umat Melayu seantero dunia agar dapat bergerak dalam fikrah yang sama membela agama Islam melalui keseragaman waktu dalam menonjolkan jati diri ketamadunan bangsa. Ketika ini bolehlah digalakkan semua anak Melayu berpakaian tradisi sambil mempromosi aspek-aspek lain ketamadunan kita seperti kebudayaan, kesenian, persilatan malah masakan dan ubat-ubatan. Salah satu kesan yang diharapkan adalah agar anak-anak Melayu tidak malu mengaku Melayu seperti halnya terjadi pada sesetengah orang generasi sekarang akibat sudah lama dimomokkan dengan dakyah bahawa Melayu itu bodoh, lemah, bukan seperti bangsa Barat yang progresif maju atau bangsa Cina yang pandai berniaga lagi tinggi daya saingnya (kononnya). Dalam masa itu berbagai jenis acara yang mengenengahkan hal-hal keMelayuan digalakkan (atau diwajibkan?) diadakan di seluruh Alam Melayu bermula di Malaysia.
9. Memohon ditubuhkan Universiti Ketamadunan Melayu sebagai pemangkin untuk memartabatkan ilmu tradisional Alam Melayu
Universiti sebegini boleh digunakan untuk menggali segala macam khazanah ilmu orang Melayu lama yang sebenarnya tinggi tahap ketamadunannya tetapi sudah lama diperkecilkan akibat dakyah Barat menulis sejarah yang memperlekehkan kita. Ilmu-ilmu seperti urutan tradisional, perubatan Islam dan persilatan boleh diangkat dengan mendirikan fakulti-fakulti yang boleh memberikan ijazah dalam bidang-bidang tersebut. Sejarah Melayu yang hilang disusun-kembali secara sistematik dengan kekuatan kaki tangan universiti meneroka ke seantero dunia mencari artifak-artifak dan manuskrip yang dirampas atau bukti-bukti lain yang boleh menunjukkan pencapaian sebenar tamadun kita.
10. Memohon dibenarkan anak-anak Melayu berjalan berkeris dan/atau bersenjata adat lain jika berbusana tradisional sebagai hak memperagakan jati diri bangsa
Dalam hal ini cukuplah disebut kalau bangsa Sikh boleh memakai serban sehingga tidak perlu memakai topi keledar ketika menunggang motosikal, sehingga boleh membawa sejenis pisau kecil tradisional pada badan sebagai hak adat dan agama mereka, mengapa tidak kita sebagai bangsa asal Tanah Melayu? Saya difahamkan larangan memakai keris dan senjata ini sebenarnya mula berkuatkuasa pada awal tahun 1970an. Katanya ini adalah akibat kesan ketakutan bangsa lain selepas peristiwa 13 Mei 1969. Begitu juga sesetengah ilmu bela diri kebatinan seperti Nasrul Haq diharamkan, atas permintaan kaum yang ketakutan. Jadi tepuk dada tanyalah selera. Orang Melayu perlu digalakkan merasa bangga memakai busana tradisi dengan keris atau senjata adat menjadi 'penyedap' badan.
Kepada mereka yang mempersoalkan kenapa kami melebihkan perjuangan orang Melayu berbanding agama Islam harap suluhlah tujuan kami dengan mata hati jernih lagi suci. Sesungguhnya bagi kami Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Tetapi kami tekankan perkataan Melayu kerana inilah strategi perjuangan. Kami cuma menurut saranan hadis Rasulullah SAW bahawa akan muncul panji-panji hitam dari Timur. Gerakan inilah yang nanti akan membela umat Islam di seluruh dunia. Selagi ia tidak lagi bertapak dan berdiri, selagi itulah segala usaha untuk menyelamatkan umat Islam misalnya di Gaza dan Palestin adalah perjuangan-perjuangan kecilan yang tidak akan membawa hasil jangka panjang. Percayalah... dirikan tapak di Timur yang akan diterajui oleh orang Melayu... orang Melayu termasuk keturunan Nabi Muhammad SAW yang sudah lama 'masuk' Melayu. Naikkan raja-raja yang berwibawa sebagai pemimpin dan fokuskan kerja untuk penyatuan ummah. Dari situ insyaallah kita akan dapat menuju kekhalifahan lalu membela Islam di seantero jagat raya. Sekian.









































