Tuesday, April 30, 2013

Bersedia untuk HIKMAH V di Kuala Terengganu 5-8 Jun

Masyaallah. Sudah sebulan rupanya saya tidak membuat apa-apa artikel baru di blogspot ini. Artikel sebelum ini, Peralihan dari HIKMAH IV di Kelantan ke HIKMAH V di Terengganu yang dibuat 31 Mac ada memberitahu saya dan isteri akan berlepas ke Tanah Suci esoknya. Sekarang sudah lebih 2 minggu kami kembali. Biarlah diberitahu hal terbaru iaitu mengenai penganjuran acara ke-5 HIKMAH di Kuala Terengganu.

Pada bahagian akhir artikel  Peralihan dari HIKMAH IV di Kelantan ke HIKMAH V di Terengganu telah disebut begini :-

Dengan itu biar dimaklumkan juga secara rasmi di blogspot ini bahawa usaha sedang dilakukan untuk melaksanakan acara kelima HIKMAH atau HIKMAH V di Masjid Tokku Paloh, Kuala Terengganu. Majlis yang diberi nama "HIKMAH Israq dan Mikhraj : Jejak Sufi Dalam Tamadun Melayu" itu dijangka akan berjalan 3 hari 1 malam kerana mahu dimulakan pada malam Israq dan Mikhraj, Rabu malam Khamis 5 Jun 2013 membawa ke hari pembentangan utama siang Sabtu 8 Jun.

Sekarang biar dimaklumkan di sini, atas sebab-sebab tertentu majlis telah dialih ke Masjid Makmur Losong .Dato' Amar. Lain-lain butiran seperti tajuk penuh majlis dan tarikh adalah sama.





Saya sendiri tidak pernah sampai ke Masjid Makmur Losong. Adapun Jumaat ini saya akan berlepas ke Makassar, Indonesia untuk melaksanakan misi melawat tempat-tempat bersejarah di Tanah Bugis buat beberapa waktu. Fikir saya selepas itu akan ke Kuala Terengganu untuk meninjau tempat. Malangnya saya mengalami kecederaan yang menghadkan perjalanan lalu tidak dapat ke sana sampailah ketika acara bermula. Untuk mengetahui apa yang berlaku lihat artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Pembaca juga boleh mengekori cerita perjalanan ke Tanah Suci di blogspot tersebut.



Oleh itu buat masa ini saya cuma boleh menunjukkan lokasi berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui Google. Saya pun mendapatkan kepastian lokasi kemudian memadankan dengan gambar satelit.  Hasilnya bolehlah diterbitkan paparan di atas dan berikutnya.



Saya dapati tidak susah mencari masjid asalkan tahu simpang mana perlu diambil. Dari bandar raya Kuala Terengganu kita harus menuju ke Muzium Negeri, sama laluan seperti hendak ke Masjid Tokku Paloh. Bezanya apabila sampai ke satu simpang kira-kira 270 meter sebelum pintu masuk ke muzium. Jika ke Masjid Tokku Paloh kita harus masuk ke kiri, untuk ke Masjid Makmur Losong harus masuk ke kanan.



Ini adalah satu-satunya gambar dapat saya temui di Internet yang katanya menunjukkan Masjid Makmur Losong. Tidak ada yang menunjukkan aturan ruang masjid secara terperinci. Maka susah untuk saya mengatur di manakah patut ada pameran, pembentangan dan sebagainya. Dalam keadaan kaki saya sakit retak buku lali, saya cuma boleh berharap pada kawan-kawan di Terengganu, terutama imam masjid ini, Ustaz Khairul Azhar agar dapat membuat yang terbaik untuk majlis. Namun berdasarkan gambar satelit Googe Earth saya dapati masjid ini lebih besar dari Masjid Tokku Paloh dan memilik lebih banyak ruangan yang boleh dimanfaatkan. Saya lihat lebarnya 60 meter, panjang 40 meter, dalam kawasan seluas 60 x 60 meter.


Biar diberitahu event page HIKMAH V telah dibuka beberapa hari setelah saya dan isteri kembali dari Tanah Suci. Sila klik sini untuk melihatnya. Adapun sejak kembali dari Tanah Suci fikiran saya agak kosong sehingga jadi lembap mengatur perkara selain diserang batuk selesema, kadangkala demam seram sejuk sejak hari kedua berada di Madinah hampir 4 minggu lalu. Kemudian tiba-tiba saya ditimpa kecederaan kaki dan ia menghalang daripada menjadi lebih aktif mahu menjayakan acara.

Syukur alhamdulillah, Allah SWT menolong dengan menggerakkan kawan-kawan di Terengganu. Berdasarkan sedikit panduan tentang atur cara dan pengisian dari saya, Ustaz Azhar telah membuat satu atur cara tentatif yang saya lihat cukup berisi lalu dipaparkan di event page semalam. Insyaallah ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Diminta kawan-kawan dan para pembaca sama-samalah kita memeriahkan dan menjayakan HIKMAH V.


Tentatif HIKMAH V


TARIKH & HARI MASA TAJUK PEMBENTANG


5/6 RABU

 07.30 – 08.30 Isra’ & Mi’raj sebagai petunjuk dunia diluar Matriks - Us Hairuddin Bin Othman (Qas2ry)


6/6/2013 KHAMIS 

09.00 – 09.50 Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia 

09.50 – 10.05 Solat Dhuha & Bacaan Manzil 

10.05 – 11.35 Tulisan Jawi & Seni Khat dalam perkembangan islam di Tanah Melayu 

REHAT Minum & Jamuan Ringan 

11.45 - 12.45 Hubungan Sufi dalam Persilatan Melayu 

SOLAT ZOHOR DAN MAKAN TENGAHARI 

03.00 – 04.00 Sunnah Vs Adat dan kesan dalam masyarakat Melayu - Maulana Abd Hadi Yaakub MUDIR Pondok LakLok


7/6/2013 JUMAAT

 09.00 – 10.00 QOSIDAH - Pelajar2 Madrasa Hidayah 

10.00 – 10.50 Tariqat dan Syari’at satu kelaziman, Kepentingan Ijazah dalam Pengamalan -  Dr Abdul Manan
Pensyara Unisza

10.50 – 11.15 Solat Dhuha & Bacaan Manzil 

REHAT Minum & Jamuan Ringan 

10.30 - 12.20 Jejak Tokoh Pejuang Hj Abd Rahman Limbong - Dr Hamdan Pensyarah UMT

SOLAT JUMAAT DAN MAKAN TENGAHARI 

03.00 – 04.00 Jejak dan legasi Tokku Paloh dan keluarga - Abd Mukmin Al-Keired

SOLAT ASAR Masjid Tok Ku serta Ziarah Maqam TokKu 

05.00 – 06.00(Forum) Wali Songo dan perkembangan islam di Nusantara Hj Abd Halim Bashah & Tengku Anis

09.00 – 10.00 Tayangan Sejarah Tokoh Halaman Masjid Makmur 


8/6/2013 SABTU 

09.00 – 10.40 "Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19” 

10.40 – 10.50 Solat Dhuha & Bacaan Manzil Imam Masjid 

10.50 - 11.10 Minum & Jamuan Ringan 

11.10 – 11.50 Jejak dan legasi Tok Pulau Manis dan keluarga - AsSyam Musyarif

REHAT 

11.50 - 12.30 Batu Bersurat Terengganu Pengarah MUZIUM Negeri

SOLAT ZOHOR DAN MAKAN TENGAHARI

Melawat Sekitar Muzium (Perkarangan Muzium)

03.00 – 05.30 Bengkel & Penutup Radzi Sapiee (Merah Silu) 

SOLAT ASAR & BACAAN HIZBUL A’ZAM JEMAAH SOLAT ASAR