Friday, July 11, 2014

Memecah tempoh rehat dengan bertandang ke Gunung Ledang


Gunung Ledang dilihat dari jalan Jasin ke Asahan...



Salam wahai para pembaca yang dihormati sekelian. Salam hari Jumaat 13 Ramadhan. Sejak menulis artikel HIKMAH berehat dan Faktor 131 pada 5 Mei iaitu lebih 2 bulan lalu baru hari ini tergerak untuk kembali menulis di sini. Tidak. Waktu rehat saya belum tamat. Tetapi sudah nampak tempoh masa di mana ia harus ditamatkan. Untuk itu biar dibuat pengumuman agar mereka yang berminat boleh membuat persediaan awal.

Sekitar sebulan lalu seorang rakan telah menghubungi saya untuk memberitahu ada pihak berminat untuk membawa HIKMAH ke persekitaran Gunung Ledang. Dua minggu lepas satu mesyuarat pun diadakan dan acara dipersetujui mahu diadakan selama 3 hari 2 malam di bandar Tangkak, bandar terdekat dari Gunung Ledang, sekitar 4 km dari gunung. Acara mahu diadakan di dataran tengah bandar untuk memudahkan logistik juga kedatangan pengunjung. Namun ia akan diakhiri dengan hadirin beramai-ramai pergi ke air terjun Gunung Ledang berbusana tradisional Melayu siap berkeris dan bersenjata untuk satu sesi membina kekuatan dalaman.

Di sini cukuplah diberi beberapa butiran ringkas. Butiran lebih lanjut akan diberikan pada masa yang sesuai.

1) Nama acara - Seperti telah dijalankan pada beberapa acara melibatkan HIKMAH pihak penganjur tempatan akan ada nama sendiri buat acara. Untuk promosi dan sebagainya pihak kami akan memanggilnya sebagai HIKMAH Ledang - Wal Usul Balik Asal @ HIKMAH XI.

2) Tarikh tepat belum ditetapkan kerana harus diambil kira beberapa faktor, antaranya cuti sekolah, peperiksaan PMR juga UPSR. Ini akan diperhalusi sambil kita mendapatkan penglibatan lebih ramai pihak. Namun tempoh masa diadakan boleh dikatakan antara bulan September hingga ke November.

3) Tempoh acara adalah 3 hari 2 malam, Jumaat hingga Ahad. Karnival akan dijalankan bermula hari Jumaat dan pada waktu malam akan diadakan persembahan irama dan bunyi-bunyian membangkitkan semangat keMelayuan. Siang Sabtu pagi hingga hingga petang akan diadakan wacana ilmu seperti kebiasaan pada setiap acara HIKMAH. Wacana boleh dilanjutkan sehingga tengah hari Ahad dan ini diselang-selikan dengan pertunjukan silat, budaya dan sebagainya.

Sambil itu insyaallah akan ada demonstrasi juga bengkel memanah. Mungkin juga panah berkuda sekali. Secara rata acara di dalam dewan adalah di bawah budi bicara HIKMAH, yang di luar adalah di bawah satu persatuan sahabat kami.

4) Menurut semangat perarakan Maulud Nabi diikuti acara pembatalan sihir Perjanjian Pangkor yang pernah diadakan semasa acara ketiga HIKMAH (rujuk artikel Kemuncak HIKMAH III - Perarakan Maulidur Rasul dan pembatalan sihir Perjanjian Pangkor 1874) kita akan bergerak beramai-ramai ke kawasan air terjun Gunung Ledang selepas Zuhur hari Ahad. Ini akan dibuat dalam keadaan hadirin berbusana tradisional berkeris dan sebagainya. Tetapi tidak seperti HIKMAH III di mana kita menyerang, di Gunung Ledang kita mahu menyerap kekuatan.

5) Seperti biasa topik-topik ilmu yang sesuai akan dibina menuju ke acara. Satu topik yang sudah sedia ada pembentang adalah "Piramid berasal dari Alam Melayu" oleh Prof Madya Ar. (Dr dalam bidang seni bina) Mastor Surat. Satu lagi, menurut permintaan pihak pengajur tempatan adalah (tajuk-tajuk adalah tentatif ya) "Gunung Ledang dan Semangat Orang Melayu" akan dicari pembentang yang sesuai.

Cukup buat masa ini. Selamat meneruskan ibadah berpuasa. :]