Friday, February 26, 2016

HIKMAH Janda Baik - Survival Umat Melayu Akhir Zaman

Salam Jumaat. Masuk artikel ke-3 untuk hari ke-2 acara ke-16 HIKMAH di Janda Baik. Bersambung daripada HIKMAH Janda Baik - Belajar daripada alam di menara gading kehidupan.



Sekitar jam 11.57 bermulalah sesi pembentangan tengah hari dengan penceramah bebas, tuan Mohd. Ramalan Yunus mengambil pentas.



Ini adalah lewat setengah jam berbanding jadual asal. Sepatutnya sesi pembentangan tengah hari dimulakan jam 11.15. Tetapi pembentangan menjadi teranjak akibat sesi pembentangan pagi dimulakan lebih sejam lewat. Ini berlaku kerana menunggu cukup ramai orang muncul untuk memulakan acara. Rujuk artikel HIKMAH Janda Baik - Ragam pagi Ahad dan ilmu senjata api Melayu.



Ramalan sendiri asalnya dijadualkan membentang bermula jam 10 pagi.



Disebabkan acara dimulakan lewat slot untuk beliau teranjak sehingga sejurus sebelum jam 11 pagi.



Itupun kedudukan beliau sebagai pembentang kedua sesi pagi dianjakkan  pula ke sesi seterusnya... apabila pemilik rumah dan taman, penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas meminta untuk memulakan pembentangan beliau sebaik sahaja pembentangan pertama pagi Ahad tamat. Ikut jadual asal, Pak Habib adalah pembuka sesi tengah hari. Maka berlakulah pertukaran seperti diceritakan dalam artikel HIKMAH Janda Baik - Belajar daripada alam di menara gading kehidupan...



Apapun, seperti Pak Habib, Ramalan bercakap terus tanpa menggunakan slaid. Maka yang terpampang pada skrin di belakang sepanjang pembentangan adalah paparan latar belakang yang saya buat untuk acara dengan tema "Menangani Cabaran Akhir Zaman" paling terserlah. Sesuailah dengan tajuk yang ditangani Ramalan iaitu "Survival Umat Melayu Akhir Zaman : Sudahkah Kita Bersedia?". Walaupun semua pembentangan dalam HIKMAH Janda Baik dibuat berdasarkan tema, tak semua tajuk kedengaran begitu dekat dengan konsep.



Melihat-lihat di sekitar sambil pembentangan berjalan. Seperti biasa saya mana boleh duduk diam lama di satu tempat...






Adapun tajuk "Survival Umat Melayu Akhir Zaman" itu dicadangkan oleh Ramalan sendiri apabila persetujuan dicapai untuk beliau bercakap. Saya yang meminta agar ditambah "Sudahkah Kita Bersedia?" dalam tajuk.






Beliau memulakan dengan membuka sedikit statistik tentang bagaimana kedudukan ekonomi dan politik Melayu agak terancam, tanah rezab Melayu yang sepatutnya adalah 50 peratus daripada muka bumi Malaysia ini tinggal beberapa persen sahaja akibat pembangunan yang dipelopori bukan Melayu dengan bantuan sekutu mereka, misalnya penjajah British.



Oh, para pelajar sekolah agama berdekatan sedang seronok bermain panah. Rujuk artikel HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan.






Suatu perkara yang harus difikirkan. Bagaimana kedudukan orang Melayu boleh jadi terancam di negara dan tanah air sendiri? Sedangkan para pemimpin, politikus tertinggi yang menguasai negara adalah orang Melayu! Tentu ada yang tak kena bukan?






Rasanya semua orang yang dapat berfikir dengan lurus dan ada akal tentu menyedari situasi ini. Nampaknya para pemimpin politik daripada mana parti pun tidak boleh diharapkan untuk membela nasib orang Melayu.









Sudah ramai menyatakan sudah sampai masanya kita kembali kepada pemerintahan raja-raja Melayu dan ini turut ditekankan oleh Ramalan. Tapi bagaimana ini mahu berlaku sedangkan ramai juga pihak yang menghalang, pihak berkepentingan, pro-kapitalis dan pro-demokrasi? Sedangkan raja-raja yang ada sekarang pun tidak nampak begitu bermaya untuk menangani cabaran akhir zaman? Itu adalah suatu perkara yang kita semua harus fikirkan dan cari jalan...




Wednesday, February 24, 2016

HIKMAH Janda Baik - Belajar daripada alam di menara gading kehidupan

OK. Artikel kedua untuk hari kedua acara. Bersambung daripada HIKMAH Janda Baik - Ragam pagi Ahad dan ilmu senjata api Melayu.



Selepas pembentangan pertama hari Ahad tamat iaitu sebelum jam 11 pagi, pembentang kedua, tuan Mohd. Ramalan Yunus seorang penceramah bebas dijadualkan mengambil tempat dengan tajuk "Survival Umat Melayu Akhir Zaman : Sudahkah Kita Bersedia?". 



Namun tuan rumah/pemilik lokasi iaitu penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas pula meminta agar diberikan ruang untuk membentang terlebih dahulu. Ikut jadual, Pak Habib yang akan membawa tajuk "Alam Terkembang Jadikan Guru : Mengambil Pelajaran Daripada Persekitaran" adalah pembentang ketiga hari Ahad.



Ikut jadual, Pak Habib harus membuka sesi pembentangan tengah hari jam 11.15. Cuma disebabkan pembentangan pertama pagi itu dimulakan lebih sejam lewat (lihat penerangan dalam artikel HIKMAH Janda Baik - Ragam pagi Ahad dan ilmu senjata api Melayu) maka pembentangan beliau mungkin teranjak sehingga harus bermula pada hampir jam 12 kalau giliran dituruti. Kalau ini berlaku ia mungkin tamat jam 1 sedangkan Pak Habib ada hal lain ketika itu. Sebab itu beliau meminta agar dapat mula bercakap jam 11. Ramalan yang merupakan salah seorang anak angkat Pak Habib pun memberikan laluan...






Pak Habib diminta menangani tajuk "Alam Terkembang Jadikan Guru : Mengambil Pelajaran Daripada Persekitaran" kerana ia sangat dekat dengan hati beliau dan sangat relevan dengan tujuan didirikan rumah dan taman di Janda Baik yang menjadi lokasi acara ke-16 HIKMAH ini.



Oh. Pak Habib menyebut rumah dan taman meliputi kawasan 7 ekar. Saya pula selalu menyebutnya sebagai 8 ekar kerana itulah yang saya ingat sepanjang mengenali Pak Habib bermula tahun 2002 dan pernah menetap di rumah ini sehingga tahun 2005. Ke sejak itu ada 1 satu ekar sudah dilepaskan kepada pihak lain? Entahlah.



Selain memanggil taman ini sebagai Wadi Hussien, katanya sempena nama Saidina Hussein, salah seorang cucunda Nabi Muhammad SAW (Pak Habib berasal daripada keturunan ini), dia juga memanggil keseluruhan kompleks rumah dan taman sebagai University of Life. Ini boleh diterjemahkan menjadi Universiti Kehidupan juga Menari Gading Kehidupan. Konsepnya adalah rumah dan taman adalah tempat orang belajar mengenai kehidupan, satu, melalui pengalaman hidup seperti pernah dilalui Pak Habib sendiri, satu lagi, melalui alam sekitar, pokok, bunga dan persekitaran.



Sebagai seorang hamba Allah berketurunan Nabi Muhammad SAW yang telah berumur 76 tahun, sudah menulis lebih kurang 70 buah buku, mampu mendirikan rumah dan taman sebegini indah di Janda Baik, tentu banyak pengalaman hidup yang beliau boleh kongsikan. Dan pengalaman hidup beliau pula banyak berkenaan belajar dengan alam.



Misalnya apabila menyebut tentang Melayu. Kata beliau, Melayu harus dekat dengan sungai. Sebab itu beliau membina rumah dan taman tepi dan sepanjang sungai (tanah yang beliau miliki panjangnya sekitar 250 meter dan sepanjang itu juga sungai mengalir di tepian). Beliau ada tanah yang cukup luas dengan kebanyakan pokok beliau tanam sendiri lalu menjadi. Sedangkan ada jenis-jenis pokok yang dimiliki susah untuk hidup di sebelah sini. Kata beliau bukan semua orang boleh tanam pokok sehingga menjadi. Isteri beliau sendiri tanam pokok asyik mati.



Bila dan ada tanah, dah ada air maka bolehlah kita kata diri kita sebagai orang Melayu. Kalau duduk kat flat, tanah pun takda, air (sungai) jauh lagi, bagaimana mahu bercakap tentang membela tanah air?



Secara rata, apa yang diperkatakan Pak Habib bersifat common sense. Kita dengan mudah boleh faham dan akui. Cuma mungkin ramai terlepas pandang dan tidak mempraktikkan. Secara rata banyak yang boleh dipelajari daripada alam dan itulah yang mahu ditekankan dalam University of Life yang beliau tubuhkan.




Pak Habib mendedahkan beliau mengambil masa 30 tahun untuk menjadikan rumah dan tamannya seperti yang orang boleh lihat sekarang. Asalnya yang ada cuma sebuah rumah buluh tahun 1980an sebagai penginapan sambil beliau mencari ilham atau berusaha mendapatkan kekuatan dalam menangani pelbagai cabaran hidup terutama sebagai seorang penulis buku politik yang kontroversi (beliau pernah disaman sehingga berjuta Ringgit akibat kes tertentu). Sekarang dah ada macam-macam sebagai bukti kejayaan. Sila lihat artikel-artikel lama berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH... 


Janda Baik, again!

My latest trip to Janda Baik and the number 22222!

Janda Baik revisited again...

Janda Baik my resting place

Al-Rasyid going around Pak Habib's place




Di hadapan semua hadirin yang ada Pak Habib juga mengisytiharkan bahawa rumah dan tamannya akan diwakafkan untuk kegunaan orang ramai menggali ilmu dan mencari ilham. Beliau tidak mahu anak-anak kandung seramai 10 orang nanti berebut tanah dan harta apabila beliau meninggal dunia lalu tempat yang sudah dibina begitu cantik jadi terpecah dan terpisah.



Pak Habib yang pernah memiliki 3 orang isteri suatu masa dahulu kemudian memperkenalkan seorang anak yang berada dalam perut ibunya ketika usaha untuk mendirikan tempat ini sedang giat dilakukan. Anak tersebut, Syed Muhyiddin al-Attas pun diminta naik ke pentas untuk berkongsi sedikit ilmu tentang agama dan kehidupan. 



Oh, saya tak pasti jika ejaan Muhyiddin ini adalah tepat, mungkin juga Muhiyuddin. Yang penting orang boleh faham lalu biarlah digunakan ejaan itu ya. Saya difahamkan, beliau kini adalah salah seorang murid kanan dan kesayangan pemikir dan intelektual besar tanah bertaraf antarabangsa, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas. Seminggu sebelum HIKMAH Janda Baik berlangsung saya terserempak dengan Muhyiddin sedang membantu penganjuran wacana ilmu oleh Prof. Lihat Tentang keadilan dan fitrah manusia - Satu syarahan Prof Syed Naquib al-Attas.




Selepas itu diadakan pertunjukkan silat oleh sejumlah anak murid perguruan Silat Bunga Kedah.







Mereka yang juga merupakan ahli Armada Malaiu Malaysia, penganjur bersama HIKMAH kali ini lalu dibawa oleh pihak tersebut. Untuk pengetahuan, ini adalah artikel ke-234 di blogspot ini.


Monday, February 22, 2016

HIKMAH Janda Baik - Ragam pagi Ahad dan ilmu senjata api Melayu

Salam semua. Kini sudah lebih 3 minggu acara ke-16 HIKMAH selamat dilangsungkan di Janda Baik 30-31 Januari. Sekarang baru hendak dimulakan penceritaan hari kedua acara. Bersambung daripada HIKMAH Janda Baik - Memahami tipu daya dalam sejarah dan ekonomi untuk bergerak ke hadapan.



Awal pagi Ahad 31 Januari 2016. Setelah berjalan-jalan menaiki bukit berdekatan (lihat artikel Early morning hill walk at Janda Baik di blogspot BERPETUALANG KE ACEH) saya meninjau-ninjau keadaan di sekeliling tempat acara iaitu rumah dan taman milik penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas. Kelihatan ada yang sedang nyenyak tidur di salah satu pondok. Ramai juga peserta yang datang hari Sabtu bermalam di kawasan ini.


Walaupun ada ruang dalam rumah boleh digunakan, ada yang sengaja mahu merasa keenakan tidur di pondok. 


Sambil itu ada yang sedang bermandi-manda di sungai sebelah taman.


Antaranya adalah anak-anak kecil saya bersama adik sepupu saya yang baru sebulan dua kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian peringkat sarjana di London.




Keadaan pada jam 10.10 pagi iaitu lebih 2 jam kemudian. Sudah cukup ramai datang untuk memeriahkan suasana...



Namun belum terasa cukup ramai untuk secara rasmi memulakan acara iaitu dengan sesi pembentangan. Maka mereka yang sudah sampai diajak bersarapan dahulu...



Meninjau gerai-gerai pameran/jualan yang dibuat di pondok-pondok...



Tengok ni, buat gaya joget zapin pula. Tadi yang tidur kat pondok tu diaorang le. Mereka tak tahu lagi saya ada ambil gambar tengah tidur. Lepas ni tau le, hehe... :]







Hampir jam 10.20 baru acara atau lebih tepat, bahagian hari kedua dimulakan dengan pembentangan pertama untuk pagi Ahad. Kalau ikut jadual asal ini harus dimulakan jam 9 pagi. Namun biasa le hujung minggu, apa lagi pagi Ahad di tempat santai jauh dalam kawasan pergunungan. Kita tak boleh harap orang ramai muncul tepat jam 9 pagi. Kena ikut rentak lalu menjadi tugasan saya membaca keadaan lalu membuat keputusan untuk memulakan, memendekkan, memanjangkan juga mengalihkan suatu perkara, baik pembentangan mahupun persembahan silat dan sebagainya. 



Tajuk pembentangan adalah "'Dikaburkan' atau 'Mengaburkan': Pembinaan Korpus Sejarah Teknologi Senjata Api Melayu" Pembentangnya, tuan Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah adalah seorang pelajar pasca siswazah daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.



Hadirin yang bertebaran di merata tempat mula berkumpul di bawah khemah untuk mendengar...









Setelah beberapa lama kelihatan juga para pelajar daripada sekolah agama berdekatan meninjau-ninjau gerai. Untuk pengetahuan, mereka telah memeriahkan sesi Maulud pada pagi Sabtu, hari pertama acara. Rujuk artikel HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan.



Keadaan setelah hampir 30 minit pembentangan berlangsung. Secara keseluruhan ini adalah sesi ketiga pembentangan ilmu untuk HIKMAH Janda Baik, setelah berlangsung sesi pembentangan tengah hari diikuti petang hari Sabtu. Lihat HIKMAH Janda Baik - Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW sebagai sarana keselamatan ummah dan HIKMAH Janda Baik - Memahami tipu daya dalam sejarah dan ekonomi untuk bergerak ke hadapan.



Seingat saya inilah kali pertama hal senjata api Melayu dikupas dalam acara HIKMAH. Sebelum ini kami ada mengupas tentang keris dan senjata-senjata tajam. Senjata api cuma pernah disebut sepintas lalu sebagai salah satu pakaian orang Melayu sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lebih 600 tahun lalu.



Inilah kali pertama saya bersua dengan pembentang iaitu Wan Dasuki. Seorang kawan yang sudah beberapa kali membentang dalam HIKMAH membawanya ke sini lalu memberitahu pembentang adalah orang yang dikenalinya paling giat mengkaji tentang senjata api Melayu.



Wan Dasuki merujuk kepada beberapa manuskrip Melayu lama, antaranya kitab "Peluru Petunang" yang agak terkenal dalam kalangan mereka yang mengambil tahu.



Antara yang menarik tentang ilmu senjata api Melayu adalah cara membuat penumpuan ketika membidik ke arah sasaran. Sambil mengingatkan hakikat bahawa segala perbuatan berpunca daripada Allah SAW kita disuruh membayangkan sasaran ke dalam hati kemudian baru menghalakan muncung senjata ke arah sasaran sebelum menembak. Ia kelihatan seperti amalan ilmu batin, masuk bidang metafizik. Namun daripada segi fizikal, kita boleh melihat ia sebagai usaha untuk mengkoordinasikan gerak tubuh badan supaya terletak pada kedudukan terbaik untuk menepati sasaran, Hal sama sebenarnya dipraktikkan dalam ilmu memanah juga persilatan...