Wednesday, May 3, 2017

Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita

Salam malam Khamis 7 Syaaban. Hampir 2 minggu lalu saya telah mempersembahkan artikel bertajuk Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? untuk meluahkan rasa tentang hal tertentu di samping menerangkan kenapa setelah kembali dari Aceh 23 Mac lalu saya telah membuat keputusan tidak mahu lagi menganjurkan apa-apa acara HIKMAH. Malam ini sampai masanya untuk mempersembahkan artikel seterusnya, artikel ke-333 di blogspot ini. Seperti diumumkan dahulu selepas ini saya tidak akan menulis lagi di sini sekurang-kurangnya buat suatu masa yang panjang.



Ini adalah satu variasi daripada poster satu majlis yang dihadiri di persekitaran Gunung Jerai 23-24 April baru ini. Poster serupa tetapi lain sedikit warna telah dikongsikan pada penghujung artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini?. Disebut dalam artikel bahawa saya berhajat untuk menamatkan penulisan dalam blogspot apabila jumlah artikel mencapai 333. Jumlah ini boleh dicapai lebih awal tetapi isteri meminta saya bersabar. Katanya tunggulah dahulu acara yang disebut dalam poster selesai. Jadikan cerita tentangnya sebagai yang ke-333 kemudian bolehlah berhenti menulis.



Namun saya kembali dari lokasi acara di Kedah agak lewat iaitu awal pagi Khamis 27 April kerana singgah di beberapa lagi tempat. Tidak lama kemudian iaitu pada petang Jumaat keesokan harinya saya membawa keluarga ke Kuantan, Pahang untuk satu majlis keluarga. Kembali ke rumah 1 Mei saya dilanda kepenatan yang amat sangat. Petang tadi baru ada kelapangan dan gerak untuk bercerita tentang acara. Terbitlah artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Perarakan pagi Ahad di blogspot CATATAN SI MERAH SILU untuk menunjukkan bahagian awal majlis di mana saya diberi penghormatan mengetuai barisan perarakan Maulidur Rasul menuju ke kaki Gunung Jerai.




Kembali daripada perarakan ada majlis penyerahan/penganugerahan sandang kehormat kepada barisan ulamak dan ketua masyarakat/NGO yang terpilih. Saya antara orang yang menerima anugerah. atas kapasiti diri sebagai seorang pejuang kedaulatan Melayu dan Islam terutama melalui HIKMAH. Pada petang itu, hari pertama majlis saya turut berkongsi ilmu tentang Melayu. Ini diceritakan dalam artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Selepas perarakan ke tengah malam.




Hari kedua majlis menyaksikan peserta naik beramai-ramai ke Padang Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai lalu berhimpun mengadakan zikir dan sebagainya. Di celah-celah itu saya sempat lari keluar sebentar daripada majlis lalu ditunjukkan tempat-tempat sulit jejak Sheikh Abdullah Qumairi (yang mana hol dibuat atas nama beliau) dengan pesanan jangan didedahkan tempat-tempat tersebut kepada umum. Takut jadi rosak disalah-gunakan oleh mereka yang berkepentingan, tidak berhati lurus.



Majlis disambung sehingga lewat malam di lokasi utama acara di kaki gunung dengan bacaan Qasidah Burdah Imam Busairi diikuti Zikir Akbar Manaqib Sheikh Abdul Qadir Al- Jailani. Lihat Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Berhimpun di puncak gunung sebelum menutup majlis di kaki barat. Di sini saya cuma hendak menambah satu lagi perkara...



Jika pada awal bulan April iaitu 2 minggu sebelum acara di persekitaran Gunung Jerai saya telah diberi penghormatan dan penghargaan dalam kalangan para pesilat serta aktivis budaya dan busana tradisional Melayu (rujuk artikel Festival Dunia Seni Silat Melayu ke-8 di Muzium Negara - Salam sayu dari pengasas HIKMAH) di sini pula saya terasa diangkat lebih tinggi apabila diletakkan sebaris dengan para ulamak berwibawa. Keadaan ini sedikit sebanyak mengubat rasa jauh hati akibat perkara-perkara tertentu seperti telah diluahkan melalui artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini?. Namun saya tetap bertegas dengan keputusan tidak mahu menganjurkan apa-apa lagi acara HIKMAH. 

Dengan itu saya memohon ampun dan maaf atas apa-apa kesilapan kata dan perbuatan samada sengaja atau tidak kepada semua orang yang pernah berurusan dengan saya dan HIKMAH. Doakan saya diberi kekuatan baru yang lebih cemerlang. Sesungguhnya saya tidak akan sesekali lari daripada perjuangan mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. Cuma perlu berehat panjang sebelum menyambung kembali kerja-kerja amanah dalam darah daging keluarga dengan cara yang berlainan. Insyaallah... :]