Thursday, October 26, 2017

Dari wayang kulit beralih ke Festival Busana Kreatif

Salam 6 Safar. Sudah hampir satu setengah bulan blogspot ini tidak dikemaskinikan. Hari ini biar dikongsikan satu cerita yang terasa sesuai menjadikan ia artikel pertama di sini untuk tahun baru Hijriah 1439.



Jumaat malam Sabtu 20 Oktober 2017.  Saya terlihat di Facebook hebahan untuk satu tayangan wayang kulit berserta sesi perbincangan dan perkongsian ilmu mahu diadakan di KLCC keesokan hari. Disebabkan itu saya mengenepikan rancangan asal tidak mahu keluar ke mana-mana langsung hujung minggu itu. Tengah hari Sabtu saya pun bergegas ke arah lokasi.


Alang-alang sudah keluar itu saya juga bercadang untuk pergi ke majlis Festival Busana Tradisional  Kreatif Kuala Lumpur selepas wayang kulit. Harus sempat kerana wayang kulit katanya diadakan sehingga jam 6.30 petang sementara festival berlangsung sehingga jam 9.30 malam.


Disebabkan hal tertentu saya keluar lewat bersama dua orang anak. Setelah mengambil seorang lagi anak yang sedang berada di bahagian lain Rawang kemudian mengambil isteri yang baru selesai buat kerja overtime di pejabat kami singgah pula di Kepong untuk mengambil tanjak baru. Makan tengah hari pun sudah lewat selepas jam 3. Bila difikirkan balik nak ke KLCC untuk wayang kulit nanti agak susah, boleh menghabiskan banyak masa untuk mencari tempat letak kereta sebelum berjalan kaki ke lokasi tepat acara . Oleh itu adalah lebih baik terus sahaja ke festival busana yang diadakan di suatu tempat kurang sesak di pinggir selatan ibu kota Kuala Lumpur. Kami pun terus ke sana...


Kami sampai sekitar jam 4.


Tengok-tengok beberapa acara komponen festival seperti pertandingan silat, pertandingan memanah tradisional juga bengkel gubahan tanjak (kalau tak salah) sudah selesai.


Yang tinggal adalah komponen dalam dewan yang lebih merupakan peragaan fesyen.








Saya difahamkan banyak acara komponen tamat jauh lebih awal daripada yang dirancang.


Nasib baik saya membuat keputusan untuk bertolak terus ke festival. Kalau tidak entah apa yang tinggal bila kami anak beranak sampai...


Sekurang-kurangnya dapat berjumpa ramai kawan aktivis busana dan persilatan termasuk mereka yang selalu memeriahkan acara-acara HIKMAH.


Beginilah saya berpakaian. Ringkas dengan tanjak baru yang diambil di Kepong. Gambar diambil dalam surau selepas menunaikan solat Asar...


Kembali ke dewan saya setakat berlegar-legar melihat peragaan fesyen sambil bertemu kawan-kawan...





Saya dan keluarga meninggalkan majlis sekitar jam 6.  Cukuplah menyerap suasana barang sejam dua...