Monday, December 4, 2017

Maulud Agung Alam Melayu 2017 - Melayan kecintaan kepada Rasul di malam hari



Malam hari beberapa lama selepas solat Isyak berjemaah iaitu sekitar jam 9.15 baru dimulakan komponen utama majlis iaitu sambut Maulidur Rasul.





Ketika ini  sudah ramai yang hadir...








Saya pun mengambil tempat di hadapan bersama para tetamu kehormat.


Di belakang kelihatan kumpulan sama yang pernah  memeriahkan majlis pada edisi tahun 2016 di lokasi dan pentas yang sama. Rujuk artikel lama Sambutan Maulud Agung di Riyadh Restu di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.





Kami dibawa tenggelam ke dalam irama demi irama dendangan puji-pujian ke atas hadrat yang mulia nabi dan rasul kita, Muhammad SAW...








Kemudian disampaikan amanat atau tausiyah oleh beberapa orang ulamak.


Paling utama malam itu adalah Sheikh Baba Karim Haji Isa dari Patani. Beliau sempat mengijazahkan satu amalan bacaan 300 Surah al-Ikhlas setiap hari berdasarkan terdapatnya 99 nama Allah SWT (Asmaul Husna) campur 201 nama Nabi Muhammad SAW. Menurut beliau inilah amalan yang digunakan para pejuang Indonesia tahun 1940an sehingga dapat mengalahkan tentera Belanda yang lengkap bersenjata api walhal mereka menggunakan buluh runcing sahaja...



Maulud Agung Alam Melayu 2017 - Aktiviti santai siang hari

Salam bulan Maulidur Rasul. Merujuk pada artikel Rancangan untuk mengadakan acara Maulud Agung Alam Melayu pada 2 Disember 2017 dan Menunggu kedatangan Mawlid Agung Alam Melayu 2017 sebulan lagi yang dipersembahkan beberapa waktu lalu.  Sukacita dimaklumkan majlis telah selamat dilangsungkan 2 hari lalu. Biar dikongsikan cerita.


Tengah hari Sabtu baru ini 2 Disember 2017 saya dan keluarga bergegas ke majlis.


Menurut atur cara ia harus bermula dengan pelbagai aktiviti seperti silat dan memanah seawal jam 9 pagi. Tetapi ketika kami sampai jam 12 lokasi majlis di Riyadh Restu, Kuang kelihatan senyap sunyi.



Tak mengapa kami dirikan sahaja satu gerai atas nama HIKMAH.


Lepak dan layan sahajalah sesiapa yang ada...


Kelihatan di hadapan ini pondok atau pentas utama di mana akan diadakan sambutan Maulidur Rasul malam nanti.





Pada jam 2 petang dijadualkan satu majlis perkongsian ilmu di mana saya adalah salah seorang pembentang.


Namun dekat jam 2.45 baru ia dapat dimulakan...








Pembentang pertama adalah Ustaz Hasanuddin Yusof seorang pengkaji sejarah dan penulis buku. Beliau membawa tajuk "Al-Wahn : Punva Kejatuhan Kerajaan Islam di Alam Melayu"





Ini diikuti pembentang kedua, saudara Amirul Haji Mohamad, seorang jururunding kewangan Islam dan aktivis dinar dirham.


Beliau membawa tajuk "Dinar Emas : Penyangga Kejatuhan Kapitalis?"





Selepas itu sampai giliran saya sebagai pembentang ketiga dan terakhir membawa tajuk "Ke Mana Arah Tuju Melayu?"


Selepas solat Asar berjemaah baru diadakan sesi soal jawab.





Ini diikuti perkongsian ilmu dan pengalaman hidup daripada penulis buku politik terkenal, Syed Hussein Al-Attas @ Pak Habib @ S.H.Alattas.


Untuk makluman beliau yang kini berumur 77 tahun sudah menulis 80 buah buku!





Di celah-celah perkongsian ilmu yang turut melibatkan tiga pembentang tadi berkongsi pengalaman hidup turut diadakan bacaan sajak oleh anak-anak muda...





Segalanya diadakan dalam keadaan santai, mudah berbicara...





Wednesday, November 1, 2017

Menunggu kedatangan Mawlid Agung Alam Melayu 2017 sebulan lagi

Salam 1 November 2017 bersamaan 12 Safar 1439 Hijriah. Adapun selepas memaparkan artikel Dari wayang kulit beralih ke Festival Busana Kreatif saya mendapati ia adalah artikel ke-342 di blogspot HIKMAH. Hari ini biar dicukupkan jumlah menjadi 343 dengan mempersembahkan artikel baru ini...



Merujuk pada artikel Rancangan untuk mengadakan acara Maulud Agung Alam Melayu pada 2 Disember 2017 yang dipersembahkan 14 September lalu. Ada disebut di dalamnya bahawa undangan telah dibuat kepada penulis buku politik terkenal, S.H. Alattas @ Syed Hussein al-Attas @ Pak Habib untuk menyerikan majlis. Untuk makluman Pak Habib sendiri sering mengadakan majlis-majlis Maulud di rumah rehat beliau di Janda Baik, Pahang. Disebabkan dia adalah seorang berprofil tinggi selain memiliki nasab terhormat keturunan Nabi Muhammad SAW daripada cabang keluarga al-Attas majlis-majlis beliau sering dihadiri para Habaib (ulamak berketurunan Rasulullah SAW) dari Malaysia malah Indonesia membawa ke Yaman di hujung Semenanjung Arab.

Telah dinyatakan dalam artikel tersebut Pak Habib telah menyatakan komitmen untuk hadir setelah saya menghubungi beliau lalu hal ini dimaklumkan kepada pihak penganjur Mawlid Agung Alam Melayu. Kurang sebulan kemudian wajah Pak Habib ditambah pada poster promosi majlis yang diberikan sedikit perubahan warna. Jadilah ia seperti di atas...



Beberapa hari selepas itu Ratib Alami mengirimkan kepada saya poster ini pula. Ia menandakan nama-nama yang dicadangkan (termasuk saya) untuk mengisi sesi perkongsian ilmu waktu petang seperti dinyatakan dalam artikel Rancangan untuk mengadakan acara Maulud Agung Alam Melayu pada 2 Disember 2017 sudah secara rasmi terlibat dengan majlis.



Petang Selasa 24 Oktober saya menerima poster baru ini. Tidak lama kemudian saya ditunjukkan poster serupa tetapi digabungkan sekali dengan elemen-elemen dalam dua poster teratas. Namun saya dimaklumkan ia belum boleh dipertontonkan kepada umum. Ini kerana poster tersebut masih dalam proses mahu diperbaiki lagi untuk meliputi beberapa komponen tambahan.

Jika asalnya acara Mawlid Agung Alam Melayu 2017 mahu dimulakan tengah hari 2 November lalu berlanjutan hingga lewat malam kini ia mahu mulai jam 10 pagi. Selain pembentangan ilmu melibatkan sejarah ketamadunan Melayu pada waktu petang sebelum acara utama Maulidur Rasul sebelah malam penganjur mahu mengadakan sesi-sesi silat dan memanah pada waktu pagi. Lain-lain penambahan mungkin akan dibuat dalam tempoh sebulan ini. Insyaallah HIKMAH sebagai pihak yang terlibat sama dalam penganjuran akan berkongsi lagi perkembangan terbaru apabila sampai masanya. Cukuplah sedikit perkongsian ini membentuk artikel ke-343 di blogspot kami.


Thursday, October 26, 2017

Dari wayang kulit beralih ke Festival Busana Kreatif

Salam 6 Safar. Sudah hampir satu setengah bulan blogspot ini tidak dikemaskinikan. Hari ini biar dikongsikan satu cerita yang terasa sesuai menjadikan ia artikel pertama di sini untuk tahun baru Hijriah 1439.



Jumaat malam Sabtu 20 Oktober 2017.  Saya terlihat di Facebook hebahan untuk satu tayangan wayang kulit berserta sesi perbincangan dan perkongsian ilmu mahu diadakan di KLCC keesokan hari. Disebabkan itu saya mengenepikan rancangan asal tidak mahu keluar ke mana-mana langsung hujung minggu itu. Tengah hari Sabtu saya pun bergegas ke arah lokasi.


Alang-alang sudah keluar itu saya juga bercadang untuk pergi ke majlis Festival Busana Tradisional  Kreatif Kuala Lumpur selepas wayang kulit. Harus sempat kerana wayang kulit katanya diadakan sehingga jam 6.30 petang sementara festival berlangsung sehingga jam 9.30 malam.


Disebabkan hal tertentu saya keluar lewat bersama dua orang anak. Setelah mengambil seorang lagi anak yang sedang berada di bahagian lain Rawang kemudian mengambil isteri yang baru selesai buat kerja overtime di pejabat kami singgah pula di Kepong untuk mengambil tanjak baru. Makan tengah hari pun sudah lewat selepas jam 3. Bila difikirkan balik nak ke KLCC untuk wayang kulit nanti agak susah, boleh menghabiskan banyak masa untuk mencari tempat letak kereta sebelum berjalan kaki ke lokasi tepat acara . Oleh itu adalah lebih baik terus sahaja ke festival busana yang diadakan di suatu tempat kurang sesak di pinggir selatan ibu kota Kuala Lumpur. Kami pun terus ke sana...


Kami sampai sekitar jam 4.


Tengok-tengok beberapa acara komponen festival seperti pertandingan silat, pertandingan memanah tradisional juga bengkel gubahan tanjak (kalau tak salah) sudah selesai.


Yang tinggal adalah komponen dalam dewan yang lebih merupakan peragaan fesyen.








Saya difahamkan banyak acara komponen tamat jauh lebih awal daripada yang dirancang.


Nasib baik saya membuat keputusan untuk bertolak terus ke festival. Kalau tidak entah apa yang tinggal bila kami anak beranak sampai...


Sekurang-kurangnya dapat berjumpa ramai kawan aktivis busana dan persilatan termasuk mereka yang selalu memeriahkan acara-acara HIKMAH.


Beginilah saya berpakaian. Ringkas dengan tanjak baru yang diambil di Kepong. Gambar diambil dalam surau selepas menunaikan solat Asar...


Kembali ke dewan saya setakat berlegar-legar melihat peragaan fesyen sambil bertemu kawan-kawan...





Saya dan keluarga meninggalkan majlis sekitar jam 6.  Cukuplah menyerap suasana barang sejam dua...