Friday, January 10, 2020

Acara ke-22 HIKMAH di ISTAC - Menyelami irama asyik Andalusia bagi menongkah arus zaman

Salam awal pagi Jumaat 10 Januari, Jumaat ke-2 bagi tahun 2020. Adapun kali terakhir  blogspot ini dikemaskinikan adalah ketika membuat artikel ke-373 iaitu Mawlid Agung Alam Melayu 2019 - Satu kerjasama yang mengangkat martabat majlis hampir 2 bulan lalu. Kali terakhir pula bercakap tentang apa-apa acara HIKMAH adalah ketika mempersembahkan artikel kompilasi Acara kedua puluh satu HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Muzium MAPESA/Pedir, Aceh 1-3 September 2019 hampir sebulan sebelum itu. Sekarang biarlah blogspot ini dikemaskinikan dengan rancangan acara terbaru. Ia telah diperkatakan beberapa kali di Facebook tetapi belum pernah lagi disebut di blogspot HIKMAH.



Pada 22 Oktober 2019 hampir 3 bulan lalu saya telah meletakkan gambar ini berserta teks berikut :-


MENGAMBIL IKTIBAR DARIPADA TAMADUN MELAYU ISLAM LAMA - ACARA KE-22 HIKMAH DI ISTAC 22 FEBRUARI 2020

Salam petang Selasa 22 Oktober 2019. Ini adalah tarikh yang baik untuk mengumumkan sesuatu. Sebelum itu biar dikongsikan cerita berkenaan.

Sejak kembali daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos - 4 September 2019 di mana diadakan acara ke-21 HIKMAH 1-3 September saya dan isteri selalu ditanya bilakah akan diadakan acara HIKMAH seterusnya di Malaysia? Ramai berharap kami akan mengadakan sekurang-kurangnya satu majlis sebelum tamat tahun 2019. Tapi saya tak berani berjanji kerana penulisan tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pun dah 6 bulan tak sentuh. Sekarang saya sedang berusaha untuk mendapatkan kembali rentak...

Baru ini perkara dibincangkan lagi apabila sahabat saya Ustaz Mujiburrizal dari Aceh datang bertandang ke rumah. Isteri pun mencadangkan tarikh 22 Februari 2020 dan ia jatuh pada hari Sabtu. Tarikh dah memang cantik, kena pula dengan kenyataan bahawa ia adalah acara ke-22 HIKMAH. Dan saya pun ada ruang masa untuk menyiapkan tesis insyaallah lalu bersetuju.

Mujib seterusnya memberitahu dalam tempoh waktu sekitar itu ada beberapa orang aktivis daripada MAPESA (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh) mahu datang ke Malaysia. Kalau begitu bolehlah dilibatkan mereka kerana begitu aktif dalam kerja-kerja menyelamatkan tapak-tapak bersejarah di Aceh. Bila disemak ternyata mereka datang itu pada 22 Februari, cuma sampai lewat petang. Oleh itu biar acara dipanjangkan hingga Ahad 23 Februari supaya mereka dapat bersama.

Hal ini kemudian dibincangkan bersama sahabat saya Tengku Ahmad Ridhaudin sebagai presiden Persatuan Pelajar ISTAC. Tadi saya mendapat berita baik bahawa tarikh 22-23 Februari itu secara prinsipnya telah dipersetujui ISTAC lalu saya harus bersedia dengan kertas kerja bagi majlis. Dengan itu diumumkan bahawa insyaallah acara ke-22 HIKMAH akan diadakan di ISTAC Sabtu-Ahad 22-23 Februari 2020. Saya umumkan ini supaya semua kawan-kawan HIKMAH dapat bersedia meraikannya sambil saya dan beberapa yang terlibat secara langsung menyediakan kertas kerja.

Tema majlis kali ini adalah "Mengambil Iktibar Daripada Tamadun Melayu Islam Lama". Dijangka 6 pembentangan ilmu akan dibuat pada hari Sabtu, 6 lagi hari Ahad. Ada dalam bahasa Melayu, ada dalam bahasa Inggeris kerana memikirkan terdapat khalayak antarabangsa akan mengikuti majlis terutama para pelajar ISTAC juga daripada UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) sebagai badan yang menaungi ISTAC. Seperti biasa pada majlis-majlis HIKMAH kami meraikan penglibatan kawan-kawan aktivis busana tradisional Melayu juga daripada dunia persilatan. Insyaallah. Bersedia untuk menjayakannya bersama ya.




Kurang sebulan kemudian iaitu pada 16 November 2019 diletakkan pula gambar ini di FB berserta teks berikut :-


CARRY ON FORWARD 22nd HIKMAH 22.02.2020

Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan bahawa kertas kerja untuk melaksanakan acara ke-22 HIKMAH di ISTAC pada hari Sabtu dan Ahad 22-23 Februari 2020 sudah siap petang tadi lalu disampaikan kepada pihak yang berkenaan untuk dipanjangkan kepada pentadbiran dan pengurusan ISTAC. Cadangan untuk mengadakan acara pada tarikh tersebut sebenarnya telah dipersetujui secara prinsip dan lisan sekitar 25 hari lalu. Kertas kerja diperlukan untuk mengukuhkan cadangan dan memastikan kelangsungan majlis. Semoga ini menjadi berita gembira buat para penyokong HIKMAH. Bersedia...




Pada 30 Disember 2019 iaitu kurang 2 minggu lalu saya meletakkan gambar ini di FB. Ia adalah daripada acara pembuka HIKMAH bagi tahun 2013 - Rujuk Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013. Ketika itu perkembangan terbaru tentang rancangan untuk mengadakan acara disampaikan dalam nada kurang enak. Ini disebabkan hal-hal tertentu...


BERSEDIAKAH UNTUK BERSAMA MENJAYAKAN ACARA KE-22 HIKMAH?

Salam kawan-kawan HIKMAH. Tinggal 2 hari lagi kita akan masuk tahun baru 2020. Sudi atau bersediakah untuk bersama menjayakan acara ke-22 HIKMAH yang dirancang mahu diadakan di ISTAC pada hari Sabtu dan Ahad 22-23 Februari 2020? Sila berikan maklum balas. Lebih baik lagi nyatakan kesediaan untuk menolong dalam bahagian apa.

Sesungguhnya saya sedang dilanda rasa kelemasan akibat banyak kerja tak siap sedangkan diri ini amat kepenatan dan kurang sihat. Takut tak menang tangan kena uruskan segala macam perkara secara berseorangan sedangkan saya tidak mendapat walau sedikit untung pun kecuali memenuhi rasa tanggungjawab atas harapan orang. Malah seringkali terjadi saya pula difitnah mengadakan acara untuk mendapatkan wang melalui saluran-saluran tertentu juga kerana berhajat untuk mengangkat diri malah menuntut takhta. Kalau terlalu berat sedangkan tiada komitmen orang lain menyokong ada eloknya jika dibatalkan sahaja rancangan.




-----------


Tidak dinyatakan ketika itu kenapa begitu nada saya. Sekarang biarlah diluahkan ia secara point form...


1. Saya masih menghadapi masalah untuk mendapatkan rentak dan rasa dalam penulisan tesis. Berdasarkan keadaan ini mustahil ia dapat disiapkan sebelum acara dirancang berlangsung pada 22 Februari

2. Ketika itu saya masih dalam kepenatan setelah membuat perjalanan kembara ke Krabi dan selatan Thailand 16-26 Disember. Ia asalnya dimulakan dengan memandu kereta sendiri tetapi ia rosak di tepi lebuh raya dekat Gua Tempurung lalu ditinggalkan di Ipoh untuk kerja membaik pulih. Perjalanan yang dibuat bersama isteri dan 4 orang anak disambung secara backpackers. Kembali ke tanah air dapat tahu kereta belum siap malah tiada tanda ia dapat siap diperbaiki dalam waktu terdekat. Belum lagi cerita mengenai belanja ribuan RM yang diperlukan...

3.  Rasa tak selesai dua hal tadi ditambah pula tidak mendapat jawaban daripada satu pihak di Aceh yang kami harapkan dapat membentang pada acara. Sedangkan mereka telah ditanya melalui seorang sahabat kami warga sana sejak bulan Oktober. Maka teringatlah bahawa pada awal bulan Disember ada orang memberitahu ada berlegar desas desus dalam kalangan para pengkaji muda sejarah di tanah air bahawa saya sibuk menghimpit pihak di Aceh itu untuk menumpang populariti mereka. Walhal pihak tersebut mula mendapat nama dalam kalangan pengkaji Malaysia diikuti antarabangsa disebabkan usaha HIKMAH membawa mereka ke majlis terawal kami hampir penghujung tahun 2012. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 diikuti Acara kedua HIKMAH di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 Nov 2012.

Adapun tujuan kami mahu melibatkan mereka dalam acara terbaru adalah untuk mengangkat ke persada yang lebih tinggi. Sebagai seorang berdarah keturunan Aceh dan sayangkan bumi asal usul nenek moyang sendiri saya mahu supaya kajian mereka mendapat faedah dibentangkan di ISTAC yang merupakan salah satu institusi pengajian Islam tersohor DI DUNIA. Tapi bila kedengaran rupa-rupanya ada pihak mendakwa dan menjaja cerita kami ada kepentingan sendiri apa patut saya rasa? Salahkah jika timbul bisikan hati mengatakan mungkin disebabkan inilah pihak tersebut tidak menjawab undangan kami?

4. Semua ini berlaku dalam keadaan FB saya sudah bertahun terganggu. Nama sahaja ada 5,000 friends atau kawan dan lebih 6,400 yang mengikuti atau following. Tetapi sejak  sekian lama cuma sedikit sahaja memberikan maklum balas terhadap updates atau pengemaskinian cerita/maklumat. Nampaknya reach atau capaian saya telah dihadkan secara drastik. Terasa ada pihak tertentu yang pandai dunia IT telah membuat ini - memang akaun FB saya pernah beberapa kali diganggugugat.

Awal bulan Disember seorang anak muda peminat sejarah yang sudah lama tidak ditemui bertanya kenapa dah lama tak nampak update saya di FB? Apakah sedang memencilkan diri?  Rupa-rupanya sudah lama update saya tidak keluar dalam newsfeednya. Nampaknya begitu juga halnya pada newsfeed kawan-kawan dan kenalan lain. Sebab itu kurang dapat maklum balas .

Dalam keadaan begini bagaimana hendak menggerakkan apa-apa acara HIKMAH seperti dahulu? Sedangkan boleh kata 90% usaha menjayakan acara digerakkan melalui FB. Yang pasti memang ada pihak mahukan ia malah apa-apa usaha saya gagal. Dan memang ada pihak-pihak tertentu mahu nama saya sebagai penulis dan pengkaji sejarah jatuh kalau tidak pun hilang langsung daripada pengetahuan umum.




Masuk tahun baru 2020 saya telah membuat azam agar tidak mengendahkan lagi perkara-perkara negatif seperti itu. Pada petang Jumaat 3 Januari berjumpa dengan penyelia  tesis saya, Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar untuk membincangkan perkembangan. Tengok-tengok alhamdulillah beliau memahami keadaan lalu saya hilang rasa tertekan. Pada awal pagi Selasa 7 Januari iaitu 3 hari tiba-tiba timbul pula rasa untuk meletakkan gambar atas dengan teks berikut di FB...


HIKMAH ISTAC 2020 : SALAM FAKIR ANDALUSIA

Subhanallah. Baru terbetik dalam fikiran tadi. Tajuk dan tema seperti di atas untuk acara ke-22 HIKMAH yang dirancang mahu diadakan di ISTAC pagi hingga petang Sabtu 22 Februari 2020. Amacam? Sila berikan maklum balas.


--------------


Walaupun setakat ini ia menerima cuma 4 komen atau maklum balas saya tetap merasa gembira.  Seorang sahabat seperjuangan dalam dunia persilatan dan kedaulatan Melayu yang ditemui petang semalam ditunjukkan posting berkenaan dalam telefon bimbit saya lalu bertanya kenapa ia tidak muncul dalam wall atau newsfeed FB beliau? Jawab saya sudah lama reach terganggu atau diganggu. Beliau pun meminta agar dipanjangkan ke WhatsApp. Sekarang baru boleh dikongsikan perkembangan terbaru tentang acara...



Merujuk pada artikel Zhenghe dan situasi Islam di China masa kini yang dipersembahkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU jam 2.59 pagi tadi. Ada disebut bahawa saya menghadiri acara berkenaan di ISTAC petang semalam supaya dapat bertemu dengan dua orang rakan aktivis dalam dunia persilatan dan kedaulatan Melayu selepas majlis. Ini adalah untuk membincangkan penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC.

Sekarang biarlah diberitahu. Seorang adalah Tengku Ahmad Ridhaudin, orang yang bertanggungjawab menjayakan satu acara besar keris yang buat julungkalinya diadakan Istana Negara lama tahun lepas. Lihat Seloka 1000 Keris - Satu majlis baru yang layak dijadikan acara tahunan negara. Seperti saya beliau juga ada pelajar pasca-siswazah di ISTAC. Sebagai presiden persatuan pelajar (ISTACSS - ISTAC Student Society) beliau dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan kelulusan dan apa-apa bantuan yang boleh bagi menjayakan acara. Sambil itu ia juga boleh menjadi antara acara awal dianjurkan ISTACSS buat tahun 2020.

Seorang lagi adalah saudara Roslim Abu atau Cikgu Roslim. Beliau yang dahulu memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) Selangor baru-baru ini telah dilantik menjadi Presiden DSSM Malaysia. Penglibatan DSSM Selangor untuk memeriahkan acara telah kami bincangkan sejak pertengahan tahun lepas lagi. Ini kerana kami sudah mengenali sejak sekian lama dan DSSM Selangor pernah secara langsung terlibat menjayakan satu acara HIKMAH hampir penghujung tahun 2016. Lihat Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016.

Kali ini acara boleh dibuat atas nama DSSM Malaysia atau DSSM pusat yang menaungi negeri-negeri. Dengan itu mereka juga boleh menjadi penganjur bersama HIKMAH. Setelah dibincangkan beberapa hal logistik seperti penggunaan ruang, pengisian pembentangan dan atur cara, memberi orang makan dan sebagainya maka diputuskanlah begini :-


1. Acara dilaksanakan selama 1 hari sahaja iaitu pada pagi hingga petang Sabtu 22 Februari 2020, bukan 2 hari iaitu 22-23 Februari.

2. Secara tentatifnya kami bersedia untuk kehadiran 100 orang sahaja masuk ke dalam ruang pembentangan ilmu walaupun mungkin akan muncul lebih ramai. Untuk jumlah ini insyaallah sudah sedia ada peruntukan makan.

3. Selain daripada itu adalah hadirin yang mungkin tidak begitu minat bab-bab akademik lalu kemungkinan besar tidak akan masuk ke dalam ruang yang diperuntukkan. Tetapi mereka boleh memeriahkan komponen budaya berupa pertunjukan silat, main gendang, memanah dan sebagainya di dataran luar bangunan.

4. Diberikan tapak perniagaan percuma seperti biasa dilakukan pada mana-mana acara HIKMAH. Kecuali ISTAC sendiri nanti menetapkan bayaran.


Difahamkan peruntukan untuk menampung makan minum bagi lebih orang juga ruang lebih besar boleh disediakan ISTAC jika memenuhi syarat.  Ini memerlukan komitmen 200 orang ke atas mengikuti pembentangan dalam dewan (tak campur mereka yang lebih suka berada di luar) supaya ruangan yang luas disertai penggunaan penghawa dingin dan sebagainya tidak sia-sia. Kalau tidak lebih baik disewakan kepada pihak lain yang sanggup membayar ribuan Ringgit setengah hari. Buat masa ini begitulah yang boleh dinyatakan kepada umum.

Oh, untuk pembentangan akan diadakan 6 slot sepanjang setengah setiap satu terbahagi kepada 2 sesi iaitu tengah hari dan petang. Setakat ini 3 tajuk tentatif dan pembentang boleh dikatakan berada dalam tangan. Kena cari 3 lagi untuk memenuhi pengisian.

Secara rata keputusan dibuat berdasarkan kemungkinan cuma mereka yang sudah biasa dengan HIKMAH dan acara-acara persilatan sahaja yang akan datang. Tetapi kalau dapat dipromosikan awal dengan baik tidak mustahil ia akan disertai ramai pelajar dan warga antarabangsa. Ini kerana ISTAC dan badan induknya UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) memiliki pelajar dan kaki tangan daripada banyak negara. Majlis-majlis ilmu di ISTAC biasa disertai mereka, cuma tidak dalam jumlah yang banyak.



Cikgu Roslim ada bertanya apakah tema majlis kali ini. Saya pun menunjukkan update di FB 3 hari lalu - HIKMAH ISTAC 2020 : SALAM FAKIR ANDALUSIA. Bila membuat artikel ini baru tersedar dahulu pernah bercadang untuk memakai tema "Mengambil Iktibar Daripada Tamadun Melayu Islam Lama". Walaupun itu juga kedengaran bagus saya fikir faktor Andalusia lebih penting ditekankan dalam majlis ini.

Kenapa ia penting? Satu - memang seni bina bangunan-bangunan di ISTAC dibuat untuk memberikan rasa istana Alhambra di Andalusia. Ini adalah untuk menggambarkan suasana keilmuan dan peradaban tinggi yang pernah wujud selama beberapa abad wilayah tersebut di Eropah berada di dalam pemerintahan Islam sebelum jatuh ke tangan Kristian Sepanyol. 

Kenapa "Salam Fakir Andalusia". Siapakah fakir yang dimaksudkan? Untuk itu lirik lagu Andalusia oleh M. Nasir dirujuk :-


Cahayamu bagai sabitah
Doaku kau sejahtera
Biar warna kubah-kubahmu kian pudar
Untukmu setanggi ini kubakar
Cahayamu sediakala
Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulamkan fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niatku bertemu
Cahayamu tiada tara
Pohon salamku pada fakir-fakirmu Andalusia
Pohon izinkanlah aku menyelami irama asyikmu
Pohon ku dipinjamkan gabus dan ghazalmu jadi azimat
Supaya dapat aku tari menongkah arus…


Sebagai mengakhiri artikel biar dipautkan satu cerita berkenaan iaitu Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia. Ia adalah tentang bagaimana saya boleh terlibat dengan ISTAC - ada faktor keSufian yang berkenaan muncul sejak saya berusia 18 tahun lebih 31 tahun lalu. Untuk pengetahuan acara ke-22 HIKMAH ini mengambil kira bahawa tahun 2020 adalah bersamaan 1441 Hijriah (sehingga penghujung Ogos). Semoga dengan terzahirnya acara ini kita semua mendapat kekuatan untuk menongkah arus perkembangan akhir zaman yang kelihatan semakin mengganas.