Friday, February 28, 2020

HIKMAH ISTAC 2020 - Menelusuri pelbagai aspek peradaban Melayu demi kebangkitan ummah akhir zaman

Salam petang Jumaat pertama bulan Rejab tahun 1441 Hijriah. Sampai masanya untuk melengkapkan cerita-cerita sekitar penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pada hari Sabtu 22 Februari lalu. Bersambung daripada HIKMAH ISTAC 2020 - "Salam Fakir Andalusia", kelebihan ilmu dan signifikan mengadakan acara di ISTAC.


Sesi pembukaan acara secara rasminya selesai selepas pembacaan syair "Kelebihan Ilmu".  Jam 11.19 pengacara pun mengumumkan permulaan sesi seterusnya iaitu pembentangan ilmu pagi. Dijadualkan berlangsung 11 pagi hingga 1 petang ia terdiri daripada 3 pembentangan ilmu sepanjang 30 minit setiap satu. Masa lebih (kalau ada) selepas itu diperuntukkan bagi sesi soal jawab.


 
Sesi dimulakan 20 minit lewat dengan pembentangan pertama oleh saya. Dalam atur cara disebut tajuk pembentangan adalah “Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia”. Ia dibawa oleh Radzi Sapiee @ Merah Silu, pengkaji dan penulis buku, presiden HIKMAH. Oleh kerana tidak dapat ditemui apa-apa gambar menunjukkan saya membuat pembentangan biar digantikan dengan slaid.


Dalam satu atur cara lebih terperinci yang disampaikan kepada ahli akademik ISTAC bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajar ditambah bahawa pembentang adalah calon sarjana (Masters) dalam bidang Pemikiran Islam dengan pengkhususan dalam perbandingan naratif sains dan agama. Pembentangan mahu menunjukkan kelebihan Alam Melayu/Asia Tenggara yang suatu masa dahulu pernah menjadi benua sebesar 2 kali benua Hindi berdasarkan beberapa sumber.


Perincian akan dibuat dalam artikel khas tentang pembentangan. Begitu juga halnya bagi tajuk-tajuk lain. Pembentangan kedua diberi tajuk “Keris Sebagai Pakaian Peradaban Melayu”. Disampaikan oleh Tengku Ahmad Ridhaudin, penulis dan calon PhD di ISTAC dalam bidang pemikiran Islam khusus pada kajian keris juga presiden ISTACSS (Persatuan Pelajar ISTAC) ia bermula sekitar jam 12.02.


Pembentang yang juga telah menulis 5 buah buku kecil tentang keris tidak menggunakan slaid. Bercakap secara terus kepada hadirin beliau membuat demonstrasi permainan keris berdasarkan penemuan beliau bahawa permainan keris yang asal tidak menikam sebaliknya lebih pada menghiris.



Keadaan pada jam 12.20


Walaupun kehadiran tidak seramai mana ia adalah lebih baik berbanding apa yang saya pernah lihat pada beberapa majlis ilmu walaupun yang bercakap adalah tokoh-tokoh besar.


Jam 12.38 pembentang ketiga saudara Shaiful Hakim membawa tajuk “Ilmu Kejuruteraan di Alam Melayu dan Islam”. 


Beliau adalah pensyarah kejuruteraan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan calon double PhD dalam bidang Aerospace Engineering di UPNM dan Institut National Science Applique (INSA) di Bourges, Perancis. Saya yang turut bertindak sebagai moderator menambah dengan memperkenalkan Shaiful sebagai seorang pengamal Silat Gayong yang rajin mengajar sehingga telah membuka 7 buah gelanggang di Perancis.


Menariknya beliau dapat menggunakan ilmu analisis pergerak udara sekitar sayap kapal terbang bagi menunjukkan kelebihan keris berbanding senjata tajam lain. Lihat siaran langsung Facebook yang dibuat isteri saya di sini.


Sekitar jam 1.25 baru sesi pembentangan pagi tamat. Gambar ini menunjukkan suasana di ruang legar luar bilik acara jam 1.52.


Ketika itu ramai sudah menikmati makan minum tengah hari yang disediakan secara percuma oleh pihak kami. Sejumlah hadirin sedang berlegar-legar melihat pameran dan jualan di tapak-tapak yang juga diberikan secara percuma tanpa perlu pun mendaftar... datang sahaja dan aturlah barangan anda. Saya pula masih belum makan kerana baru selesai beberapa urusan dalam memastikan kelancaran majlis.



Di dataran terbuka tengah bangunan utama ISTAC pula ada hadirin memanah.


Mereka sebetulnya telah bermula sejak awal pagi. Memang dataran terbuka disediakan bagi aktiviti-aktiviti luar terutama bersilat sambil pembentangan berjalan dalam bilik acara.


Sesungguhnya ramai yang hadir adalah kawan-kawan kami dalam dunia persilatan juga aktivis busana tradisional Melayu.


Oh. Beberapa gambar diambil daripada FB kawan-kawan.


Antaranya adalah pertunjukan silat yang diadakan dalam bilik acara sekitar jam 2.40. Ketika ini saya sedang berada di masjid untuk menunaikan solat. Boleh lihat rakaman video berkenaan di sini.


Sekitar jam 2.50 iaitu 20 minit lewat berbanding jadual asal baru saya bersedia untuk memulakan sesi pembentangan petang. Sebelum itu hadirin diajak bergambar beramai-ramai. Beberapa hari kemudian baru sedar rupa-rupanya ada sejumlah termasuk kawan-kawan pemanah tidak ada dalam gambar kerana sedang berada di bahagian lain bangunan ISTAC.


Sesi dimulakan jam 2.55 dengan pembentangan bertajuk “Dinar dan Dirham Sebagai Wadah Kebangkitan Ummah” oleh saudara Hazrin Marjan, seorang perunding kewangan Islam dan aktivis dinar dirham.


Slot ini asalnya diberikan kepada perunding dan aktivis lain saudara Amirul Haji Mohamad. Tetapi ini tidak dapat dilakukan kerana diganggu masalah kesihatan. Sejak 2 minggu kebelakangan beliau sudah beberapa kali keluar masuk wad di hospital.


Saya telah meminta Amirul kemudian Hazrin untuk menyentuh bab negara Cina dalam pembentangan. Ini kerana teringat pernah membaca beberapa laporan di Internet bahawa negara besar komunis itu giat mengumpulkan emas beberapa tahun lalu. Tiba-tiba sahaja selepas itu mereka memiliki dana yang banyak untuk memulakan satu projek besar infrastuktur gergasi menghubungkan banyak negara yang dikenali sebagai OBOR (One Belt One Road initiative).


Menariknya, atas kebetulan apa entah, ketika hendak memulakan bicara tentang Cina datang 2 orang tetamu beragama Islam daripada negara tersebut lalu menyertai majlis. Tersenyum paling kiri dalam gambar adalah Imam Ibrahim Nuruddin. Saya diberitahu beliau adalah imam Masjid Jalan Taman, bandar Zhengzhou di provinsi Henan.


Yang memberitahu itu adalah Profesor Datuk Dr Awang Sariyan, pembentang kedua sesi petang. Beliau pernah memegang jawatan ketua Unit Tamadun Melayu Islam di ISTAC sebelum berpindah ke UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim, Perak untuk menjadi penyandang Kursi Za'aba. Beberapa tahun sebelum itu beliau pernah menjadi profesor mengajar bahasa Melayu di Cina. Dua orang tetamu itu adalah kenalan beliau namun datang ke majlis HIKMAH disebabkan ada pelajar ISTAC dari Cina memberitahu tentang acara.


Awang Sariyan membawa tajuk "Melayu dan Islam Berpisah Tiada". Oh, seorang daripada tetamu tadi cuma tahu berbahasa Arab selain bahasa Cina. Nasib baik pembentang sebelumnya iaitu saudara Hazrin fasih berbahasa Cina. Beliau dengan lancar dapat menerangkan apakah yang dibincangkan dalam pembentangan terutama yang melibatkan negara Cina.


Awang pula menerangkan kenapa Melayu dan Islam itu berpisah tiada berdasarkan perkembangan Islam di Alam Melayu. Ini diikuti peruntukan-peruntukan berkenaan dalam Perlembagaan Negara Malaysia.


Sekitar jam 4.15 saya membawa pembentangan terakhir sesi juga bagi keseluruhan majlis dengan memberikan tajuk yang kelihatan. Ia asalnya diperuntukkan untuk dibawa oleh Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Namun Osman yang juga diminta merasmikan majlis waktu pagi memberitahu tidak dapat bersama sepenuh hari. Oleh itu tajuk diambil alih oleh saya. 


Andalusia yang terletak di hujung barat benua Eropah dipilih sebagai topik kerana pernah mengalami zaman keemasan ilmu Islam ratusan tahun yang lampau. Ia menjadi jambatan bagi negara-negara Eropah mencapai kemajuan sehingga muncullah tamadun Barat yang kita lihat hari ini.


Keberadaan Andalusia kemudian dikaitkan dengan aspirasi keilmuan tinggi ISTAC. Ini boleh dilihat melalui seni bina bangunan yang jelas memaparkan ciri-ciri Istana Alhambra (dahulunya milik kerajaan Islam) yang masih wujud di wilayah berkenaan. Lihat video syarahan di sini.


Jam 5.02, felo kanan ISTAC, Profesor Datuk Dr Baharuddin meminta ruang untuk menerangkan atau menambah tentang satu perkara melibatkan keSufian yang ada saya sebut dalam pembentangan. Lihat sini. Dilihat pada satu lapis kelihatan pelbagai tajuk yang dibentangkan seperti mencapah sehingga boleh masuk bab Andalusia. Apa kena mengena pula dengan bangsa dan tanah air kita? Namun pada hakikat semua tajuk dipilih  bagi menelusuri pelbagai aspek peradaban Melayu demi kebangkitan ummah akhir zaman.


      
Beberapa hari kemudian terlihat pula video persembahan silat berkeris ini dikongsikan orang di FB. Rupa-rupanya ada yang sempat membuat rakaman di dataran ketika kami dalam bilik membentang. Sesungguhnya memang hajat saya mengajak kawan-kawan persilatan datang ke ISTAC supaya dapat bersama merasai aura cintakan ilmu yang wujud melalui seni bina nostalgia zaman keemasan Islam Andalusia. Semoga ia dapat merangsang semua supaya lebih bijak mengatur langkah-langkah perjuangan pada masa hadapan. Insyaallah. Allahuakbar.


Tuesday, February 25, 2020

HIKMAH ISTAC 2020 - "Salam Fakir Andalusia", kelebihan ilmu dan signifikan mengadakan acara di ISTAC

Salam petang Selasa 1 Rejab 1441 Hijriah. Merujuk pada artikel Beberapa persiapan akhir bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC yang dipersembahkan awal pagi Sabtu 22 Februari iaitu 3 hari lalu. Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan majlis tersebut telah selamat dilaksanakan di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pada siang itu. Cuma menunggu masuk tarikh Islam 1 Rejab hari ini untuk mula berkongsi cerita tentangnya kerana Rejab dikatakan adalah bulan khas bagi Allah SWT dalam kalendar Islam. Dan selepas menyelesaikan beberapa perkara baru boleh bercerita...


Pagi Sabtu 22 Februari 2020. Sampai masanya untuk melaksanakan acara ke-22 HIKMAH di ISTAC setelah hampir 6 bulan acara ke-21 diadakan di Aceh bermula 1 Muharram 1441 Hijriah iaitu pada 1 September tahun lepas. Lihat Acara kedua puluh satu HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Muzium MAPESA/Pedir, Aceh 1-3 September 2019. Acara terbaru ini telah diwar-warkan sebagai bermula pada jam 9 pagi. Timbul kerisauan apabila sampai berdekatan tol Rawang jam 8.02 pagi ada kesesakan lalu lintas luar biasa di Lebuh Raya PLUS. Saya yang sedang bertolak bersama isteri dan anak-anak dari rumah di Sungai Buaya, Rawang mendapat tahu daripada petugas jalan raya bahawa ada lori terbalik dekat jejantas naik ke tol Rawang.

Walaupun sudah melakukan sebahagian persiapan akhir di ISTAC petang Ahad (lihat Beberapa persiapan akhir bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC) masih ada beberapa perkara lagi perlu dilakukan sebelum acara bermula. Isteri telah bangun tidur seawal jam 4 untuk memasak sendiri sejumlah makanan dan menyediakan minuman bagi sarapan para hadirin. Sejumlah kuih juga telah ditempah daripada jiran. Semua itu berserta bekas-bekas dan peralatan perlu dibawa 40 km perjalanan ke ISTAC kemudian diatur di luar bilik acara. Meja-meja daripada bilik syarahan berdekatan pula perlu dibawa keluar untuk kegunaan orang berniaga juga mengatur makan minum.


Alhamdulillah Google Map menunjukkan cara mengatasi kesesakan. Disuruhnya keluar tol Rawang  kemudian masuk kembali untuk meneruskan perjalanan ke arah selatan. Kesesakan dapat dielakkan kerana dengan dapat mengelak bahagian laluan yang tertutup sehingga tinggal satu lorong akibat lori terbalik itu. Ternyata jalan selepas itu lapang, tidak ada kesibukan.


Jam 8.29 bangunan ISTAC sudah kelihatan.


Masuk sahaja ke halaman perkara pertama dilakukan adalah meletakkan kertas pandu arah supaya jelas bagi mereka yang mahu mengikuti acara HIKMAH.





Satu sepanduk HIKMAH diletakkan sebegini atas bantuan kawan-kawan.





Dalam tempoh kurang 30 minit meja-meja telah diangkat ke ruang legar bilik acara bagi membentuk aturan yang kelihatan.


Walaupun acara diwar-warkan bermula pada jam 9 itu sebenarnya adalah permulaan waktu pendaftaran. Acara itu disendiri dijadualkan bermula dengan sesi pembukaan jam 9.30. Itupun dilewatkan ke jam 10 kerana menunggu barisan pemberi ucapan lengkap kedatangan.


Tetamu kehormat iaitu Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar, Sheikhul Quliyyah ISTAC (paling kanan dalam gambar) sudah bertanya tentang acara pada jam 9.30. Melihat kami seperti belum sedia sepenuhnya saya memberitahu pembukaan dilewatkan sedikit kepada jam 10 pagi. Sampai masanya saya mencari beliau di pejabat lalu kami sama-sama turun dan berjalan kaki ke bilik acara. Dalam perjalanan sempatlah diterangkan tema acara iaitu "Salam Fakir Andalusia", kenapa memilihnya, apakah yang diharapkan daripada ucapan beliau.


Saya telah meminta Osman untuk bercakap tentang zaman keemasan Andalusia iaitu kerajaan Islam yang pernah wujud di Semenanjung Iberia (kini menjadi negara Portugal dan Sepanyol) ratusan tahun yang lampau. Untuk pengetahuan selain memegang jawatan Sheikhul Quliyyah (orang yang bertanggungjawab menentukan pengisian dan hala tuju institusi) beliau adalah pemegang kedua Kursi Al-Ghazzali (selepas pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas). Osman juga adalah seorang cendekiawan Melayu Islam bertaraf dunia. Saya amat berbesar hati kerana beliau sanggup memenuhi undangan bagi menjayakan majlis.

Asalnya permintaan dibuat untuk beliau berkongsi tentang Andalusia pada sesi pembentangan petang. Tetapi apabila diminta untuk merasmikan juga majlis pada waktu pagi beliau memilih untuk menjadikan subjek sebagai isi ucapan perasmian. Pengacara majlis, saudari Dila (lupa pula nama penuh, beliau adalah seorang pelajar pasca-siswazah ISTAC yang baru ini mendapat tawaran menjadi pensyarah politik di sebuah universiti tempatan) pun membuat pengumuman permulaan majlis. Penyertaan Dila baru saya minta secara ad hoc pada petang Jumaat.


Artikel ini turut menggunakan gambar-gambar yang diambil oleh hadirin dan kawan-kawan. Kelihatan saya sebagai presiden HIKMAH berbusana penuh tradisional Melayu bersampin, berkeris, bertanjak duduk di sebelah Osman.


Menurut atur cara yang diberikan kepada pengacara, sahabat saya dari Aceh, Ustaz Mujiburrizal akan membacakan doa selamat. Beliau adalah duta Muzium Aceh dan seorang selebriti televisyen selain penyanyi nasyid. Di Malaysia beliau sering menyanyi bersama Raihan. Ustaz Mujib pernah bersama menganjurkan 3 kali acara HIKMAH di Aceh. Tetapi apabila dipanggil nama ternyata beliau belum sampai. Seorang sahabat aktivis busana pun menggantikan tempat membaca doa. Lihat artikel-artikel berikut :-







Selepas itu presiden persatuan pelajar ISTAC (ISTACSS), Tengku Ahmad Ridhauddin memberikan ucapan aluan. Untuk makluman ISTACSS adalah penganjur bersama majlis bersama HIKMAH.


Beliau telah beberapa kali hadir pada majlis-majlis HIKMAH, pernah membantu menjadi pengacara dan moderator secara ad hoc malah telah 2 kali sebelum ini terlibat dalam penganjuran. Lihat artikel-artikel berikut :-






Satu lagi penganjur bersama adalah DSSM (Persatuan Dunia Seni Silat Melayu). Badan yang bermula secara ad hoc melalui Internet terutama Facebook kurang 10 tahun ini telah berjaya menggabungkan ahli-ahli persilatan daripada lebih 50 perguruan seluruh Malaysia. Kelihatan Yang Dipertua DSSM, saudara Roslim Abu (kami panggil Cikgu Roslim) sedang memberikan ucapan. Beliau menyatakan harapan agar-agar para pesilat dapat bersama dengan golongan akademik untuk menggarap masa hadapan yang lebih cemerlang.


Saya sebagai individu juga HIKMAH sebagai satu badan longgar peminat sejarah dan aktivis kedaulatan Melayu dan ISLAM sendiri sudah lama sering bekerjasama dengan DSSM. Badan tersebut turut memiliki badan-badan berkaitan atas nama negeri misalnya DSSM Selangor yang mana Cikgu Roslim pernah menjadi timbalan YDP, baru 3 bulan lalu beliau diangkat menjadi YDP badan induk atau peringkat nasional DSSM. Ahli-ahli DSSM terutama dari Selangor sudah beberapa kali memeriahkan acara-acara kami. Dalam satu acara DSSM Selangor bertanggungjawab mengatur komponen persembahan silat sepanjang hari. Lihat Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016.


Satu perkara menarik harus diberitahu tentang sepanduk HIKMAH yang kelihatan (bukan satu lagi yang ditunjukkan di luar bangunan tadi). Selepas acara ke-20 dilaksanakan di Aceh hampir 3 tahun lalu  (rujuk Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017) ia dibawa kembali ke Malaysia tetapi kemudian diserahkan kepada Ustaz Mujib yang sedang berada di Kuala Lumpur untuk dibawa ke Aceh. Ketika itu telah timbul beberapa hal yang menyebabkan saya merasa tawar hati untuk mengadakan apa-apa lagi acara HIKMAH. Saya merasakan lebih baik sepanduk yang telah dipakai sejak acara pertama kami (lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012) diserahkan kepada orang Aceh. Lihat Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini?

Setahun selepas itu iaitu pada bulan April 2018 saya mendapat isyarat untuk menghidupkan kembali HIKMAH. Penghujung tahun baru dapat gerak dan ilham bilakah harus melakukannya... ia mesti seiring dengan tahun baru Islam 1441 kerana saya lihat boleh jadi seiring dengan satu ramalan tentang kenaikan Aceh akhir zaman.  Acara mahu diadakan seiring dengan pengambilan kembali sepanduk yang telah 'ditapakan' di bumi 'Serambi Mekah' itu. Dibawa pula sepanduk mengembara mengelilingi seluruh Aceh malah lebih jauh lagi sebagai satu perbuatan simbolik yang memiliki tujuan-tujuan spiritual yang tersendiri.  Lihat Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441.


Dengan itu terbitlah acara ke-21 HIKMAH di Aceh yang juga merupakan kali ke-3 kami mengadakan acara di wilayah hujung utara pulau Sumatera itu. Lihat Acara kedua puluh satu HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Muzium MAPESA/Pedir, Aceh 1-3 September 2019. Hal ini mahu dinyatakan dalam ucapan saya sebagai presiden HIKMAH pada acara di ISTAC. Pada saya simboliknya agak penting untuk dikongsikan kepada umum. Selepas beberapa lama acara tidak diadakan, selepas hampir 2 setengah tahun sepanduk HIKMAH 'ditapakan' di Aceh, ia kini dibuka kembali di Malaysia. Dan tempat khususnya adalah di ISTAC, satu institusi pemikiran tinggi Islam bertaraf dunia.


Hal ini boleh dikupas dengan menceritakan kaitan Aceh dengan ISTAC. Tentang kepentingan Aceh sebagai satu kerajaan Islam Alam Melayu yang kuat suatu masa dahulu dan banyak terlibat dengan kerajaan-kerajaan di Semenanjung itu ramai orang tahu. Tetapi kaitan dengan ISTAC? Saya boleh kaitkan dengan misi dan visi pengasas ISTAC iaitu Syed Naquib. Beliau ketika muda pernah membuat tesis PhD tentang Hamzah Fansuri iaitu ulamak besar Aceh bertaraf wali abad ke-16 hingga ke-17 Masihi. PhD. Ia kemudian dijadikan buku bertajuk "A Mysticism of Hamzah Fansuri". Untuk makluman itulah bacaan pertama saya terhadap dunia Sufi dan Tasawuf. Ketika itu saya sedang berumur 18 tahun.

ISTAC dibina dengan segala ciri fizikal bangunan malah segala bentuk hiasan dalaman diperhatikan dengan rapat dan teliti berdasarkan saranan Syed Naquib agar memenuhi cita rasa yang menggambarkan kesayangan tinggi pada ilmu. Ciri-ciri seni bina Istana Alhambara di Andalusia kelihatan begitu terserlah dan ini turut melambangkan kaitan dengan wali besar Ibnul Arabi yang pernah hidup di sana lebih 800 tahun lalu. Hamzah Fansuri yang hidup sekitar 400 tahun kemudian pula dikatakan ada mengikut cara fikir falsafah Ibnul Arabi dalam dunia kesufian. Nah. Nampak tak bagaimana boleh mengaitkan Aceh dengan ISTAC juga kisah sepanduk HIKMAH?


Namun apabila dipanggil ke hadapan selepas ucapan oleh Cikgu Roslim saya terlupa semua itu. Saya terlupa untuk bercakap tentang Aceh dan sepanduk. Yang ditumpukan selepas menyatakan sedikit latar belakang dan sejarah HIKMAH diikuti hal tentang silat dan bagaimana ia sebenarnya ada terkait dengan dunia akademik adalah menerangkan kenapa memilih tema "Salam Fakir Andalusia" untuk majlis. Disebutlah bahawa ungkapan tersebut diambil daripada lirik lagu "Andalusia" oleh M. Nasir. Diterangkan bagaimana lagu menyatakan harapan dan kerinduan terhadap kebangkitan Islam akhir zaman. Dan salam itu sendiri adalah satu pernyataan memohon agar dipinjamkan kekuatan (melalui fakir, merujuk pada ahli-ahli Sufi seperti Ibnul Arabi) demi menongkah arus kebejatan akhir zaman dalam melaksanakan perjuangan.


Ucapan saya dibuat sebagai 'jambatan' untuk Osman menyatakan ucapan perasmian majlis. Kalau sebelum itu saya mungkin tidak dapat menjelaskan sebaik mungkin perkongsian bagaimanakah yang diharapkan daripada beliau tentang Andalusia, diharap ucapan saya itu menjadikan perkara jelas.


Dengan itu dapatlah guru saya ini berkongsi cerita zaman kegemilangan atau keemasan Andalusia dalam konteks yang sesuai. Disebutlah tentang pencapaian ilmu oleh tokoh-tokoh terkenal Islam di sana pada zaman itu seperti Ibnu Rushd dan Ibnu Tufayl. Disebut bagaimana ia menjadi cikal bakal kepada zaman kebangkitan Eropah yang seterusnya membentuk dunia kita sekarang.


Diingatkan supaya kita di Alam Melayu ini mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku di Andalusia. Ia pernah menjadi kerajaan Islam yang hebat selama hampir 800 tahun tapi akhirnya runtuh disebabkan masalah dalaman selain serangan luar. Pun begitu ada gerakan-gerakan untuk menghidupkan kembali kenangan zaman kegemilangan. Kata Osman ketika bertandang ke sana tahun 1990 beliau dapati terdapat boleh tahan ramai masyarakat Islam dan mereka memiliki pusat Islam. Namun tidak seperti kebanyakan tempat lain di dunia Barat, yang menggerakkan adalah rata-rata orang tempatan. Dan mereka lebih bangga menyatakan diri sebagai orang Andalusia, bukan orang Sepanyol.


Selesai ucapan Osman pun merasmikan majlis. Saya sebagai presiden HIKMAH menyampaikan hadiah berupa sebuah tanjak yang dikarang khas untuk beliau. Setelah mendapatkan kebenaran saya pun menyarungkannya ke atas kepala. Oh. Rupa-rupanya isteri saya ada membuat siaran langsung video melalui Facebook sebahagian daripada ucapan-ucapan tadi. Sila lihat sini.


Saya telah meminta saudara Kamal (kami panggil Lang Indah), Yang Dipertua persatuan Armada Malaiu untuk membuat karangan. Pesan saya bayangkan kalau ada tanjak mahu dihadiahkan kepada Imam Al-Ghazzali. Bagaimanakah rupanya ya?


Siap tanjak, kawan itu mahu memberikan nama "Julang Kandil Sejagat".


Tetapi mengenali Osman saya menukar itu menjadi "Kandil 'Ulum".


Ia membawa makna "Pelita Ilmu-ilmu". 'Ulum adalah perkataan jamak (plural) bagi Ilmu.


 


Kami berdua memakai tanjak  untuk mengikuti bahagian pembukaan seterusnya.


Ia adalah alunan syair oleh saudara Mohd. Zahamri Nizar, seorang penyokong kuat HIKMAH.





Tajuknya "Kelebihan Ilmu". Ia dicipta oleh pemikir besar tanah air awal abad ke-20 iaitu Pendeta Za'aba. Untuk mendengarnya sila mainkan video klip bawah.