Monday, March 21, 2022

Majlis Srikandi Cinta Watan 2022

 Salam. Sedikit perkongsian daripada satu acara semalam.



Lebih seminggu lalu isteri telah menerima hebahan tentang majlis yang terpapar dalam poster atas. Beliau telah diajak menyertai sebagai seorang tetamu istimewa lalu meminta saya menemani.



Pagi Ahad 20 Mac 2022 kami pun ke lokasi majlis iaitu Malakat Mall di Cyberjaya.




Kami sampai sekitar jam 11.10. Ketika itu sesi pembentangan ilmu sudah bermula.




Pembentangan dalam bentuk forum diberikan tajuk atau tema "Jati Diri Emas Pencetus Kebangkitan Srikandi Cinta Watan". Ia memang dikhaskan bagi kaum wanita.




Mula sekali membentang adalah Profesor Dr Zafarina Zainuddin, pengarah Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis di USM (Universiti Sains Malaysia). Membentang secara virtual atau atas talian beliau membawa tajuk "Menjejaki Rahsia DNA Asal Usul Bangsa Melayu".






Pembentang kedua Tun Suzana Othman pula sepatutnya membentang tajuk "Jati Diri Emas Pencetus Kebangkitan Cinta Watan" secara fizikal atau berhadapan. Tetapi muncul masalah suatu masalah berkenaan kesihatan lalu harus membentang secara atas talian juga.




Oh. Secara rasminya mereka dipanggil sebagai pembicara. Menurut poster dan atur cara pembicara ketiga adalah Puan Zaharah Hatan @ Kak Long Zara. ketua Dewan Srikandi DSSM (Persatuan Dunia Seni Silat Melayu) Malaysia. Tengok-tengok naik dua orang lagi bersama.

 


Sesi mereka lebih merupakan perkongsian secara berbicara terus tentang isu-isu untuk membangkitkan semangat kaum Hawa...




Selepas itu diadakan persembahan silat oleh para pesilat perempuan...







Kemudian dibuat demonstrasi memanah di luar tetapi boleh diikuti melalui paparan layar dalam pusat membeli belah.







Sebetulnya ada lagi perkara dikongsikan di celah-celah apa yang saya ceritakan juga selepasnya. Sila tonton video di atas.


Tuesday, March 8, 2022

Semarak Cinta Watan : Menjejaki Permata Tuah

Salam. Satu perkongsian daripada hujung minggu baru ini...




Ini adalah poster bagi majlis yang diadakan di Melaka pada siang Ahad 6 Mac 2022. Saya telah diundang untuk bersama sebagai seorang perserta istimewa.



Sampai masanya  iaitu pada pagi 2 hari lalu saya pun datang dan bersama isteri dan seorang anak berumur 10 tahun.




Sebelum itu kami telah menginap 3 malam di rumah ibu bapa saya di Muar. Memang perjalanan balik kampung itu dirancang agar kemudian dapat menghadiri acara di Melaka.




Kami sampai sejam lewat daripada waktu majlis dijadualkan bermula iaitu 9 pagi. Sampai sahaja ke pintu masuk dewan majlis saya terus dibawa dan ditunjukkan ke satu kerusi di bahagian hadapan.







Kami sampai ketika sesi perkongsian ilmu tentang Hang Tuah baru hendak dimulakan. Itulah yang sebenarnya kami hendak kejar. Yang terlepas  adalah sesi perasmian diikuti perkongsian tentang Silat Gayong. Ia dikatakan warisan pahlawan Melayu tersohor dahulukala Laksamana Hang Tuah yang menerajui barisan pertahanan Kesultanan Melaka lebih 500 tahun lalu. 

Perasmian dibuat oleh Major Mohd Rahim Osman mewakili YB Datuk Seri Mohd Redzuan, Imam Khalifah Lembaga Beradat PSGSM (Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia) bagi negeri  Melaka merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah. Berkongsi tentang Silat Gayong adalah  Datuk Seri Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Waris Amanah Mahaguru PSGSM juga seorang pakar perlembagaan negara.




Majlis dianjurkan oleh Akademi Watan, Akademi Akar, Gabungan Mi'raj, Akademi Perantara dan beberapa pihak lain. Ia bertujuan  untuk memperingati jasa dan sumbangan Laksamana Hang Tuah serta mengambil iktibar daripada keunggulan dan kehebatan beliau. Dalam hal ini saya meminjam kata-kata rakan seperjuangan, Tun Suzana Osman yang merupakan antara individu utama bertanggungjawab menjayakan majlis. Beliau menyatakan Hang Tuah sebagai seorang ikon pahlawan Melayu silam yang terunggul dan hebat, terhormat, pintar, berkebolehan, berilmu, bijaksana, berhikmah dan diplomat yang cemerlang sehingga menjadi simbol kegemilangan bangsa Melayu sejak  turun temurun.




"Penghayatan kepada sumbangan serta jasa besar al-Marhum Dato’ Laksamana Hang Tuah dalam memikul amanah sebagai hulubalang, pembesar kerajaan dan diplomat sebuah kerajaan Melayu yang gemilang dan terbilang, diharap dapat dijadikan teladan kepada semua ’pemegang taruh’ di negara tercinta ini, serta digembleng usaha membangunkan generasi Melayu yang bersahsiah, bertaqwa, berintegriti dan berwibawa, melalui agenda pengukuhan jati diri watan, bukan sahaja sebagai benteng ampuh dalam menyikapi pelbagai cabaran serta ancaman sosio-politik-budaya tanah air masa kini, malahan demi membangkitkan kembali kecemerlangan peradaban umat Islam," kata Suzana dalam message WhatsApp yang dihantar kepada beberapa grup berkenaan selepas majlis selesai. Sekarang pergi pada perkongsian saya sendiri tentang majlis...




Majlis diadakan secara hybrid iaitu ada penyertaan secara fizikal di lokasi majlis, ada melalui talian Internet lalu dipancarkan dari tempat lain kerana tidak dapat muncul secara fizikal atas sebab-sebab tertentu. Rupa-rupanya perkongsian tentang Silat Gayong oleh Wan Ahmad Fauzi juga dilakukan secara atas talian. Masuk pembentangan ilmu tentang Hang Tuah, panelis pertama iaitu Prof Emeritus Dato' Dr Hashim Musa bercakap secara atas talian juga.

Beliau membuka dengan menceritakan penemuan-penemuan yang dibuat bersama panelis pertama iaitu Prof Madya Dr Rohaidah Kamaruddin apabila mencari jejak Hang Tuah ke Kepulauan Ryukyu di Jepun beberapa tahun lalu. Inilah yang kemudian membentuk isi buku berkenaan. Buku tersebut telah saya ulas lebih 6 tahun lalu. Pembentangan serupa, oleh dua orang ahli panelis yang sama pernah diikuti sekurang-kurangnya sekali iaitu pada awal tahun 2017. Lihat artikel  Buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa" diikuti Wacana mengenai kewujudan Hang Tuah di UPNM.




Disebabkan itu saya sudah hadam tentang penemuan-penemuan tersebut diikuti penemuan di India iaitu di tapak pusat kerajaan lama Vijanagara (sudah dijadikan buku tetapi saya tidak memilikinya). Ini kerana selain sudah membaca buku juga mengikuti majlis penemuan-penemuan tersebut sudah beberapa kali keluar dalam surat khabar juga disebarkan lalu dibincangkan merata di media sosial. Terbetik dalam hati,  yang belum keluar atau sekurang-kurangnya belum dijadikan buku adalah jejak Laksamana Hang Tuah di Turki. Ini ada disebut dalam kitab "Hikayat Hang Tuah". Namun jika belum ditemukan bukti secara akademik ia boleh dianggap khayalan orang Melayu kerana tidak dapat tidak diakui bahawa hikayat mengandungi terlalu banyak perkara mitos untuk diambil secara serius sepenuhnya.

Ini boleh dilihat dengan nyata kalau dibaca secara saksama mengambil kira tata cara akademik. Walaupun hikayat harus mengandungi fakta yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah namun hal seperti raja yang sama menjadi pemerintah daripada zaman purba Bukit Siguntang sehinggalah ke zaman Melaka hampir jatuh ke tangan Portugis menjadikan ia memang jelas bercampur khayalan. Sedangkan ini meliputi tempoh masa sekurang-kurangnya 200 tahun. Rujukan lebih ilmiah seperti kitab Sulalatus Salatin (lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu) menunjukkan sudah terdapat ramai raja memerintah dalam selang waktu itu. 

Apapun pembentangan panelis kedua iaitu Rohaidah dibuka dengan hubungan Turki Uthmaniyah-Melaka. Ia seolah-olah mahu menjawab apa yang terbetik dalam hati saya. Disebutlah bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh yang menakluki kota Konstantinople (kemudian ditukar nama menjadi Istanbul) tahun 1453 ada menghantar surat kepada Sultan Melaka mengundang wakil datang untuk meraikan kemenangan besar umat Islam itu.. Untuk makluman penaklukan tersebut telah diramalkan oleh Nabi Muhammad SAW lebih 800 tahun lebih awal. Biar ditambah sedikit fakta yang tidak dinyatakan oleh pembentang. 

Diriwayatkan bahawa ketika menggali parit untuk persediaan dalam peperangan Khandaq baginda bersabda :"... Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...". Akibat penaklukan tersebut Empayar Kristian Rum jatuh. Untuk pengetahuan sarjana Barat selalu menyebutnya sebagai Rum Timur kerana Rum Barat sudah lebih awal jatuh akibat perpecahan dalaman. Empayar Rum terdahulu pula berpecah dua menjadi Rum Timur (berpusat di Konstantinople) dan Rum Barat (berpusat di Rome, Itali) pada abad ke-3 Masihi kerana sudah menjadi terlalu besar lalu perlu ditadbir daripada dua pusat selain memenuhi keinginan waris-waris yang mahu menjadi maharaja. Semasa Nabi Muhammad SAW hidup abad ke-7 Rum Barat telah dua abad runtuh. Maka itu apabila mereka dan sezaman menyebut Rum ia merujuk pada Rum Timur.

Rohaidah menyebut bahawa Hang Tuah datang ke Istanbul pada tahun 1454. Ketika itu Laksamana Melaka itu berumur 22 tahun, Sultan Al-Fateh berumur 23 tahun. Katanya lagi Sultan telah menyatakan pandangan tinggi baginda terhadap bangsa Melayu dan peranan umat di sebelah sini untuk akhir zaman. Sehingga dikatakan Nabi Muhammad SAW amat sayang pada umat Melayu yang berada di Timur dunia itu.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang kewujudan surat berkenaan yang katanya ada dalam simpanan perpustakaan diraja di Istana Buckingham, London. Ini kerana ada yang menyangkal. Katanya kewujudan surat dan isi kandungan dibuat-dibuat oleh pihak tertentu. Sebagai seorang pengkaji saya harus mengambil singkap skeptik selagi belum disuakan bukti yang boleh disahkan di hadapan mata. Sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam pengkajian sejarah termasuk di lapangan saya telah melihat ramai pihak mengemukakan bukti palsu atas tujuan tertentu. Kita tidak boleh terlalu teruja sehingga terikut sahaja arus dakwaan sesiapa walau sayangkan Melayu.




Pembentangan dibuat secara bergilir-gilir antara Hashim dan Rohaidah dalam 3 sesi. Sesi kedua dibuka dengan Hashim bercakap tentang apa yang disenaraikannya sendiri sebagai 8 sifat utama patut dicontohi daripada peribadi Hang Tuah. Rohaidah pula ada menyebut tentang projek untuk membina replika kapal Mendam Berahi yang pernah digunakan Laksamana dalam beberapa pelayarannya. Katanya mahu diletakkan di kuala Sungai Melaka, insyaallah pada tahun ini juga. Selesai pembentangan naik Walid Ibrahim al Malik yang merupakan pembimbing rohani bagi ramai pihak terutama sejumlah NGO yang aktif mengangkat isu-isu kedaulatan Melayu dan Islam. Beliau menonjolkan sifat keagamaan Hang Tuah yang menunjukkan kefahaman Tauhid yang tinggi sebagai tunjang utama umat Melayu yang patut dihidupkan kembali.



Rakaman keseluruhan majlis ada dibuat oleh TV Sufi. Sila dilihat di sini. Selepas majlis selesai lalu diikuti makan tengah hari diadakan pula sesi khas perbincangan atau muzakarah Walid bersama para peneraju NGO Melayu dan mereka yang berminat. Dalam sesi ini beliau memberitahu tentang usaha untuk merawat orang Melayu yang bermasalah tetapi tidak mahu memperbesarkan sangat permasalahan juga perbezaan antara semua. Sebaiknya biar ditekankan pada persamaan dan mencari jalan penyelesaian untuk membina kembali keunggulan bangsa.

Saya juga diminta berkongsikan fikiran lalu isteri dan seorang kawan ada merakamkannya. Lihat rakamannya di sini dan sini. Cukuplah perkongsian tentang majlis ya. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-400 di blogspot HIKMAH.