Saturday, November 15, 2014

Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Melacak kesan tanah tua

Salam semua. Adapun gambar-gambar di sini juga pada 2 artikel yang menyusul selepasnya telah dimuatnaik lalu dipaparkan Sabtu malam Ahad. Tetapi Isnin malam Selasa baru saya mendapat gerak untuk menambah teks memberikan ulasan. Untuk pengetahuan ia adalah isi pembentangan saya semasa sesi tengah hari HIKMAH Pagoh, pembentangan kedua bertajuk "Alam Melayu dan Benua Atlantis yang Hilang". Saya tidak memiliki salinan pembentangan pertama bertajuk "Sultan Alauddin Riayat Syah - Wali Allah yang Terpilih" oleh saudara Hasan Yusof lalu tidak dapat memaparkannya. Terus kepada pembentangan saya itu...
Pembentangan dimulakan dengan memperkenalkan konsep Tanah Melayu. Pada zaman British, ia terzahir awal abad ke-20 melalui gabungan negeri-negeri di Semenanjung yang dipanggil Persekutuan Tanah Melayu, bahasa Inggerisnya Federation of Malaya.




Sedangkan ada konsep lebih besar dipanggil Kepulauan Melayu meliputi hampir seluruh Asia Tenggara. Barat memanggilnya Malay Archipelago.




Konsep Malay Archipelago ini malah telah dikenali sebelum British masuk mencampuri urusan negeri-negeri Tanah Melayu bermula lewat abad ke-18 Masihi. Peta jangkauan pengaruh Portugis 4 abad lalu adalah satu bukti.



Kembali kepada konsep apa itu Melayu yang kita di Malaysia lebih kenali. Ia sebenarnya adalah konsep yang telah dimulakan oleh Kesultanan Melaka yang mana pada kita Melayu mestilah beragama Islam seperti termaktub di dalam perlembagaan negara.





Namun sebenarnya wujud konsep Melayu yang lebih luas. Ia berdasarkan kelompok kaum-kaum yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang memiliki ciri-ciri kekeluargaan tertentu, kelompok bahasa yang dipanggil pengkaji sebagai  bahasa Malayo-Polynesia.



Malayo bermakna Melayu. Polynesia bermakna banyak (poly) pulau (nesia). Kita boleh kata ini bermakna Melayu di banyak pulau. Melalui definisi ini ada kaum-kaum yang bukan beragama Islam tetapi memiliki ciri-ciri bahasa malah rupa paras orang Melayu yang tersebar ke merata Lautan Hindi juga Lautan Pasifik yang amat luas itu.


Soalnya bagaimana kaum-kaum Malayo-Polinesia yang tidak lain adalah orang Melayu juga (menurut definisi antropologi atau ras bangsa dan genetik tanpa mengira pegangan agama) boleh tersebar merata menjangkau kawasan begitu luas? Maka diperkenalkan buku Eden of the East tulisan Profesor Oppenheimer dari Great Britain.


Buku ini menyebut pernah ada benua atau daratan yang sangat luas di Asia Tenggara tetapi tenggelam akibat kenaikan paras air membanjiri sebahagian besar daratan, tinggal bahagian lebih tinggi membentuk daratan seperti kelihatan sekarang.



Ini bukan dakwaan sembrono atau sembarangan. Oppenheimer memiliki latar belakang pelajaran dan kecendikiawanan yang sangat tinggi. Beliau mengambil masa bertahun-tahun untuk mengkaji termasuk di lapangan lalu mendapat cukup keyakinan dan hujah untuk menerbitkan buku itu tahun 1998, buku yang membuat perisytiharan berani bahawa tanah besar yang tenggelam itu ibarat syurga di muka bumi dan di situlah asal-usul pelbagai kaum yang dipanggil Malayo-Polynesia ini.

Kewujudan benua besar yang tenggelam ini sebenarnya boleh dilihat dari satelit. Lihat sahaja gambar dari program Google Earth ini. Nampak tak beza kedalaman laut di mana semakin gelap warna biru maka semakin dalam airnya? Nampak tak betapa ceteknya perairan Asia Tenggara berbanding laut lain?



Bayangkan satu zaman lampau di mana paras laut lebih rendah 200 meter berbanding sekarang. Dipercayai ini pernah berlaku sekurang-kurangnya 8,000 tahun lalu disebabkan kebanyakan air laut masih membeku membentuk lapisan besar air di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Beginilah bentuk muka bumi Asia Tenggara zaman itu...


Hal ini telah diketahui pengkaji buat beberapa lama. Cuma apabila muncul teknologi satelit yang dapat melihat paras laut baru ia kelihatan cukup nyata. Masuk tahun 2010, seorang pengkaji dari Brazil, Profesor Arysio Santos malah menerbitkan buku membuat dakwaan berani bahawa di Asia Tenggara inilah terletak benua misteri terkenal Atlantis.


Ya, Yang dimaksudkan adalah benua Atlantis yang disebut ahli falsafah terkenal Yunani iaitu Plato 360 tahun Sebelum Masihi. Penduduknya dikatakan memiliki teknologi tinggi tetapi benua ini tenggelam akibat malapetaka lalu hilang kesan, yang tinggal cuma cerita-cerita yang kedengaran penuh mitos, sering dikatakan tahyul belaka.


Namun begitu ia menarik imaginasi ramai orang yang cuba mencari di manakah ia. Banyak lokasi telah disebut sebagai tempat benua pernah wujud terutama di Lautan Atlantik memandangkan benua dipanggil Atlantis oleh Plato. Setelah beberapa lama baru ada yang cukup berani dan cukup hujah serta kajian untuk membuat pengumuman bahawa Atlantis itu terletak di Asia Tenggara.


No comments:

Post a Comment