Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...






















Tuesday, March 19, 2013

HIKMAH IV di Kandis, Bachok - Pembukaan yang mendebarkan

Bismillahirrohmanirrohim. Pada artikel Akademi Nik Rashiddin sedia untuk menyambut tetamu HIKMAH IV hari Sabtu yang dibuat 4 hari lalu telah ditunjukkan sedikit sebanyak persiapan yang dibuat untuk acara keempat HIKMAH. Selepas menjayakan acara di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok hari Sabtu esoknya saya membawa keluarga singgah di Masjid Brunei, Danau Tok Uban dan Cameron Highlands. lewat malam semalam baru kembali ke rumah. Sekarang, setelah terasa sedikit lapang dan cukup rehat biar dimulakan penceritaan tentang acara...


Pagi Sabtu 16 Mac, selepas bersiap di homestay berdekatan saya, keluarga dan seorang kawan (kira adik sebenarnya) pun pergi ke ANR untuk HIKMAH IV.


Kami sampai sebelum 8.30. Menurut jadual, pendaftaran peserta harus berjalan dari 8-9.


Tengok-tengok tak da orang pun datang kecuali kami dan beberapa orang.


Berapa lama kemudian barulah kelihatan peserta mula meramaikan majlis.


Ketika gambar ini diambil sudah hampir jam 10. Masih banyak tempat kosong sedangkan mengikut jadual, pada jam 9-9.45 harus sudah ada dua persembahan silat dan satu persembahan teater nasyid. Pada jam 9.45 pula patut ada selawat pembukaan yang menandakan acara secara rasminya akan bermula. Sebaliknya kumpulan pelajar sekolah di bawah Persatuan Silat Gayung Kelantan yang katanya berminat untuk membuat persembahan tak muncul lagi, begitu juga kumpulan Silat Minangkabau negeri ini yang katanya akan membuat persembahan berdasarkan tarian Randai. Melihat realiti keadaan hati saya berdebar-debar. Saya cuma boleh berharap terdapat cukup peserta untuk memeriahkan. 

Memikirkan bahawa HIKMAH adalah kumpulan sukarela yang tidak memiliki dana, tidak dapat membayar apa-apa kepada sesiapa, tidak dapat menanggung kos minyak kereta pembentang, pembuat persembahan dan sebagainya saya sedia akur jika orang tidak dapat muncul. Walaupun HIKMAH telah menjayakan tiga acara yang agak besar iaitu di Shah Alam 4 November 2012 diikuti Melaka 25 November dan Lumut 27 Januari 2013 kami sentiasa sedar siapalah kami mahu mengharapkan agar orang datang menyokong kami sentiasa? Jangankan orang yang baru berurusan, kawan-kawan yang sudah setia bersama HIKMAH selama ini termasuk yang  sudah hadir ke ketiga-tiga acara HIKMAH sebelumnya pun ramai tak dapat muncul kali ini. Dalam hati berdebar-debar melihat kekurangan saya harus akur dengan keadaan.

Ada beberapa sebab ramai yang biasa dengan kami tidak dapat muncul. Satu sebabnya adalah pada petang hari Sabtu itu akan bermula majlis hol Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Besi, Putrajaya yang biasanya dihadiri beribu hingga berpuluh ribu orang. Saya sendiri akan memilih untuk ke situ kalau tahu lebih awal kerana pernah pergi ke edisi-edisi sebelumnya. Saya memang suka suasananya dengan majlis dipimpin ramai ulamak-ulamak besar Ahlul Bait dari seluruh dunia, jauh sungguh bezanya dengan majlis kami yang tak seberapa. Tapi apa boleh buat? Setelah sudah diatur segalanya untuk mengadakan HIKMAH IV di ANR 16 Mac baru saya dapat tahu tentang majlis hol tersebut. Kemudian esoknya hari Ahad, satu seminar anjuran seorang kawan mahu diadakan di Shah Alam. Tentu lebih mudah bagi kawan-kawan lain di Lembah Klang menghadiri majlis tersebut berbanding berpenat-lelah berkejar ke Kelantan mengeluarkan belanja sendiri untuk minyak kenderaan, makan minum dan penginapan.

Satu lagi keadaan yang menghalang pernyertaan adalah para pelajar sekolah di seluruh Kelantan harus bersekolah hari itu untuk menggantikan cuti yang diberikan semasa perayaan hari raya Cina. Maka anak muda yang masih bersekolah tidak dapat datang, begitu juga mereka yang bertugas sebagai guru malah ibu bapa yang harus mengambil dan menghantar anak ke sekolah juga jadi terhalang. Selain itu muncul sejumlah cabaran dan dugaan yang seolah menjadi lumrah bagi HIKMAH. Sahabat kami Din Mahidin, seorang guru silat yang biasa menyertai pertandingan antarabangsa bercadang mahu membawa sejumlah pemanah untuk membuat demonstrasi memanah dari atas kuda tetapi beliau dikhabarkan kematian ibu mertua pagi Jumaat. Apabila Din tidak dapat pergi begitu juga halnya kawan-kawan yang biasa datang sekali dengannya. Tun Farul yang pernah membentang kertas kerja tentang busana tradisional pada HIKMAH II dan membaca sajak pada HIKMAH III pula kemalangan motosikal seminggu sebelum acara. Selepas 5 hari di hospital baru beliau keluar, itupun kata beliau tetap akan datang ke Kelantan. Kemudian tengah hari Jumaat beliau memberitahu tangannya kembali bengkak lalu tidak dapat bergerak jauh. Saya cakap rehat sahaja di Lembah Klang.

Petang Jumaat saya mendapat satu lagi perkhabaran yang mendukacitakan. Sahabat lama saya Amirul Haji Mohamad yang telah membuat pembentangan tentang dinar dan dirham pada ketiga-tiga acara HIKMAH sebelum ini harus menarik diri. Menurut beliau segala persiapan telah dibuat malah Amirul telah mula memandu ke Kelantan tetapi harus berpatah balik apabila mendapat perkhabaran kurang enak. Malamnya baru saya dapat tahu beliau kematian seorang ahli keluarga. Namun Amirul memberi jaminan seorang kawannya akan datang dari Pulau Pinang mengambil tempat.

Sungguh, setiap acara HIKMAH ada sahaja cabarannya. Beberapa hari sebelum HIKMAH I diadakan di Shah Alam pensyarah dari UiTM yang mahu menjadi MC tiba-tiba diserang penyakit angin ahmar hingga lumpuh sebelah badan. Ketika itu HIKMAH I telah beberapa kali bertukar lokasi, sehingga penggunaan dewan yang dijamin mahu diberikan sebuah universiti terkemuka tempatan boleh dibatalkan 5 hari sebelum acara. Selepas itu sahabat baik kami dari golongan seni, pelakon veteran Maimon Muttallib terseliuh ketika turun tangga meninggalkan acara lalu mendapati badannya terasa lain macam, mata terkedip-kedip tanpa dapat dikawal. Setelah itu Kak Mon didapati menghidap penyakit barah peringkat ketiga lalu tidak dapat menyertai HIKMAH II di Melaka. Tetapi beliau masih sempat mengatur penajaan makanan untuk semua.

Beberapa hari sebelum HIKMAH III di Lumut berlangsung kuda kesayangan seorang penternak di Teluk Intan mati diracun lalu beliau tidak jadi membawa kuda-kuda yang masih hidup ke majlis. Pakaian khas yang mahu ditempah untuk saya pula tak menjadi kerana tukang jahit tiba-tiba diserang demam dan jarum asyik patah. Selepas acara timbul bermacam fitnah yang melaga-lagakan kawan-kawan. Seolah ada semacam kuasa ghaib mahu menghalang kami daripada terus menjayakan acara.


Seperti pada acara-acara sebelum ini, HIKMAH IV juga menghadapi masalah menyiapkan sistem audio-visual pada masa yang ditetapkan. Walaupun pada malamnya saya dan seorang dua kawan tidur lewat untuk memastikan kelancaran bila sampai masanya ada sahaja perkara tak kena. Sistem harus disimpan di tempat selamat selepas diuji pada malamnya, pagi nanti mahu dipasang balik. Tengok-tengok kawan kami yang menyediakan alatan, kawan dari Kota Bahru harus berpatah balik setelah sampai ke Bachok akibat tertinggal tikar yang mahu digunakan. Saya setakat dapat menghidupkan projektor agar sekurang-kurangnya dapat dipancarkan sesuatu, nak pasang sistem bunyi saya tak berapa reti.



Ketika gambar ini diambil jam 10.23 kami sudah cukup peserta. Tetapi bagaimana mahu memulakan acara tanpa sistem bunyi?


Nasib baik ada satu kumpulan sanggup membuat inisiatif memulakan sesuatu dengan peralatan sendiri.


Dengan adanya mereka sekurang-kurangnya terisilah masa buat peserta yang ada.


Mereka adalah Persatuan Teater Ruhul Islam (PETRI) dari Kota Bahru di Kelantan. Diketuai saudara Zareer atau lebih dikenali sebagai Zareer Masterchef kerana pernah menyertai program Masterchef di rangkaian televisyen Astro ia menampilkan persembahan tarian simbolik perjuangan berlatarbelakangkan lagu nasyid oleh sejumlah pelajar sekolah maahad.


Terus terang cakap ketika mereka memulakan persembahan saya masih tak tahu lagi bagaimana hendak membuka acara lantaran dua lagi kumpulan yang katanya mahu membuat persembahan masih tak muncul-muncul.


Sudah disebut tadi, kalau ikutkan sesi persembahan harus bermula jam 9 sedangkan kedatangan orang ramai mula kelihatan nyata mengisi ruang selepas jam 10.


Kumpulan PETRI ini sendiri sampai sekitar 9.40 pagi kalau tak salah ingatan. Ketika saya masih terpinga-pinga bagaimana mahu memulakan acara mereka memulakannya sendiri sekitar 10.20.


Mereka malah membawa sistem audio sendiri dan memasangnya di kala saya sedang sibuk mengatur perkara di kawasan lantai bawah rumah yang akan dijadikan tempat pembentangan kertas kerja. Tengok tu... siap ada asap. Siap bawa alat pembuat kabus untuk melengkapkan cerita...




Pujian harus diberikan kepada kumpulan ini yang menawarkan perkhidmatan tanpa bayaran sejak 3 minggu sebelum acara bermula kalau tak salah ingatan. Selepas itu saya cuma ada berkata setuju dengan tawaran mereka untuk mengadakan persembahan, tidak ada follow-up. Tetapi mereka tetap muncul memegang janji.


Oh, baru teringat. Pujian juga harus diberikan kepada dua orang anak muda yang membawa gendang sendiri untuk membuat persembahan selawat di bawah rumah lebih awal lagi iaitu sekitar jam 9. Persembahan mereka tiada dalam jadual atur cara. Nampaknya mereka Allah hantar untuk menunjukkan HIKMAH IV tetap akan berjaya. Ini kerana apabila mendapati seperti tidak ada orang mahu datang awal pagi saya bukan sahaja berdebar-debar malah risau, apakah kali ini acara kami akan dipinggirkan? Maklumlah kami bukan siapa-siapa. Kalau di HIKMAH I kami boleh mengharapkan kehadiran kawan-kawan dari Lembah Klang kerana ia tempat kami, kalau di HIKMAH II di Melaka kami ada kumpulan lain sebagai penganjur bersama. Pada HIKMAH III pula kami mendapat penajaan besar oleh pihak sana yang memiliki dana. Tapi untuk HIKMAH IV kami kembali kepada penganjuran kecil yang agak dhaif, antaranya supaya kami sentiasa ingat asal-usul kami yang kecil-kecilan dan agar tidak ditohmah menjadi alat mana-mana parti politik atau kumpulan berduit.

Kalau diikutkan pada kemajuan HIKMAH bergerak sejak ia diasaskan 12 Oktober 2012 kami sudah ada kemampuan untuk mendapatkan penajaan dan dana besar. Tapi kami tidak mahu terikat dengan syarat-syarat yang biasanya muncul apabila menerima pertolongan sebegitu. Pada saya cukuplah pihak ANR dan pengarah serta pemilik premis, Puan Rosnawati sudi menyediakan ruang yang amat cantik diikuti pertolongan sukarelawan tenaga empat kerat dan sedikit sumbangan wang dari sahabat-sahabat yang menyokong HIKMAH terutama Kelab Pencinta Sejarah Kelantan. Antara nama utama yang memberikan pertolongan dari Kelantan harus disebut adalah saudara Che Helmi atau nama Facebooknya PD Naim juga saudara Nuri dan Ustaz Halim Bashah.

Berbalik pada dua anak muda yang membawa gendang untuk berselawat. Sayang, saya terlupa mengambil gambar. Mereka datang dari Perlis dan dari cara berpakaian mereka saya percaya mereka adalah ahli kumpulan Tariqat Naqsyabandiah-Haqqani pimpinan Sheikh Nazim dari Cyprus, kumpulan yang khalifahnya Sheikh Raja Asman Shah ibni Sultan Azlan Shah telah kembali ke rahmatullah tahun lepas. Ketika menulis ayat tadi isteri saya ada di sebelah lalu memberitahu persembahan gendang dan selawat itu ada direkodkan dalam video, insyaallah akan dikongsikan nanti. Untuk artikel ini cukuplah diberitahu bahawa kemudian akan datang lagi satu kumpulan membuat persembahan tanpa saya duga, tentunya tidak ada dalam atur cara.

Sesungguhnya bukan senang untuk membuat satu acara boleh tahan besar seperti diadakan HIKMAH tanpa sokongan jentera kerajaan/parti politik/dana besar/kumpulan-kumpulan established dan perkara-perkara serupa apa lagi berturut-turut dalam masa yang singkat. Tanpa pertolongan dari Allah melalui pelbagai cara samada nampak atau tak nampak, nyata mahupun ghaib mustahil HIKMAH dapat mengadakan acara pertamanya HIKMAH I dengan jayanya pada 4 Nov iaitu setelah ia baru 3 minggu diasaskan... tiga minggu kemudian dapat pula mengadakan HIKMAH II yang telah diisytiharkan sebagai salah satu program kerajaan negeri Melaka. Siapa sangka sebulan setengah selepas itu pula dapat mengadakan acara lebih besar di Lumut?

Pada mereka yang menyangkakan kalau saya yang tidak seberapa ini boleh membuat acara-acara sebegini tentunya mereka boleh buat yang lebih baik tetapi ternyata tak menjadi juga saya sarankan muhasabahlah diri dan keadaan. Dalam hal kedudukan bagaimanakah pertolongan Allah dari arah tak disangka boleh sampai? Bagaimanakah sesuatu yang kita rancang begini boleh berubah jadi begitu tetapi tetap menimbulkan kebaikan? Sesungguhnya dokongan yang saya dapat untuk menjayakan HIKMAH bukan baru muncul setahun dua tetapi adalah hasil mujahadah seumur hidup terutama dari pelbagai pengembaraan mencari sejarah dan salasilah yang mula dilakukan secara aktif dan sepenuh masa penghujung 2001. Itulah HIKMAH. Setiap sesuatu yang berlaku ada HIKMAHnya. Kepada Engkau ya Allah kami berserah. Nanti hari lain saya sambung bicara...


Friday, March 15, 2013

Akademi Nik Rashiddin sedia untuk menyambut tetamu HIKMAH IV hari Sabtu

Salam semua. Malam semalam sekitar jam 9 saya telah memulakan perjalanan ke Kelantan untuk HIKMAH IV, singgah sebentar berjumpa kawan dan keluarganya di Lurah Bilut berdekatan Raub, Pahang. Hampir tengah malam baru menyambung kembali perjalanan. Kami sampai ke destinasi iaitu Kandis, Bachok jam 5 pagi lalu berehat di Masjid Kuala Kandis sebelum bersolat Subuh. Setelah hari siang baru ke Akademi Nik Rashiddin yang terletak cuma 300 meter dari masjid untuk berbincang hal persiapan HIKMAH IV dengan Puan Rosnawati, pengarah ANR juga pemilik premis.

Selepas sarapan kami pergi ke homestay berdekatan meletakkan barang sebelum menuju ke Kota Bahru untuk satu dua hal termasuk melihat pertandingan kuda di Pengkalan Chepa. Masuk tengah hari saya dah tak larat nak tahan mengantuk lalu kami sekeluarga bersama seorang rakan yang ikut sama dari Lembah Kelang kembali ke homestay untuk berehat. Petang selepas Asar baru ke ANR lagi. Sukacita kami melihat ketika itu persiapan untuk HIKMAH IV sedang giat dilakukan.

Ketika kami sampai awal pagi belum kelihatan ANR sudah dipersiapkan secara fizikal untuk menerima acara. Tetapi ketika sampai petang sudah kelihatan bunting dan banner dipasang. Sayangnya ini tidak dapat ditunjukkan dengan gambar. Entah kenapa ada gambar-gambar yang dimuat-naik menggunakan Celcom Broadband di ANR tidak mahu keluar. Walhal kalau ikut HTML coding ia sudah pun masuk ke dalam sistem.


Tak mengapa. Kita tunjukkan sahaja apa yang dapat. Kelihatan dalam kawasan sejumlah kereta...






Kawan-kawan dari Kelantan terutama dari Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) sudah menjalankan kerja. Rupa-rupanya mereka sudah sampai jam 3.30 petang. Meriah juga keadaan apabila berjumpa mereka dan sejumlah sukarelawan yang selama ini cuma dikenali dan berhubung melalui Facebook.


Kemudian muncul lori membawa dua buah khemah besar dan 100 buah kerusi. Biar dimaklumkan sebuah khemah ditaja pihak kami hasil sumbangan kawan dan kenalan yang prihatin, lagi satu khemah berserta kerusi disumbangkan KPSK.




Sambil khemah didirikan saya melihat persiapan lain yang telah dibuat kawan-kawan.

Pentas mahu didirikan di sini.


Peserta boleh mengikuti acara dengan bersila di bahagian ini. Sesetengah kawasan ada tempat duduk termasuk khemah.


Meja pendaftaran belum betul-betul disediakan. Kelihatan sejumlah buku yang saya bawa dari Lembah Kelang belum diatur lagi.


Gambar khemah setelah siap tidak dapat ditunjukkan kerana masalah Celcom Broadband. Di sini biar ditunjukkan  satu bahagian pameran dan jualan dengan buku-buku saya sudah diatur pada malam hari. Cukuplah cerita ringkas ini ya. In syaa Allah bertemu kita di sini siang nanti. :]


Tuesday, March 5, 2013

Kertas kerja dan surat jemputan terbuka untuk menjayakan HIKMAH IV 16 Mac

OK. Ada kawan meminta saya agar membuat kertas kerja untuk HIKMAH IV yang akan diadakan di Akademi Nik Rashiddin kurang 2 minggu lagi, agar dapat menyenangkan kawan beliau mendapatkan pertolongan yang patut untuk menjayakan acara. Saya sendiri tidak perlu lagi kertas kerja apabila berurusan dengan pemilik premis iaitu Puan Rosnawati. Ini kerana sudah ada kepercayaan kukuh terjalin walaupun perkenalan kami masih begitu singkat.  Lagipun beliau boleh merujuk pada perkembangan di blogspot ini juga di Facebook. 

Begitu juga saya tidak perlu sangat kertas kerja untuk menerangkan persiapan kepada beberapa orang kawan di Kelantan yang sedang berusaha sama menjayakan acara. Namun apa salahnya membuat satu? Agar ia juga boleh digunakan oleh mana-mana pihak yang berniat ikhlas dan jujur mahu menolong kami biar saya kongsikan di sini dalam bentuk fail gambar jpg. Setiap gambar yang ada boleh dibuka pada saiz sebenar iaitu A4 untuk dicetak oleh mana-mana pihak. Silalah baca untuk menekuni kembali asal-usul, visi, misi dan objektif HIKMAH...















Saya juga sudah menyediakan surat terbuka yang boleh digunakan mana-mana pihak. Ini boleh dipanjangkan kepada jabatan kerajaan, universiti, sekolah, persatuan dan pelbagai jenis badan. Mereka yang mahu menolong boleh mencetak surat lalu memanjangkannya kepada mana-mana pihak yang mahu dijemput. Pihak yang mahu hadir tetapi memerlukan bukti untuk rekod di pejabat dan sebagainya juga boleh menggunakan surat yang sama... 







Merujuk pula pada artikel Antara HIKMAH di kaca televisyen, buku untuk Melaka dan persiapan di Kelantan yang dibuat seminggu lalu, sukacita dimaklumkan HIKMAH sudah pun muncul di kaca televisyen Ahad malam Isnin baru ini. Berserta fakta bahawa kami sudah berjaya mengadakan tiga acara boleh tahan besar yang dihadiri juga peserta dari luar negara dengan satu daripada acara sudah dijadikan program tahun negeri Melaka, ini menunjukkan HIKMAH adalah satu badan yang diiktiraf antarabangsa, bukan calang-calang, bukan picisan. Maka  kertas kerja dan surat yang diletakkan di sini ada nilainya. Sila lihat klip video di bawah yang diambil seorang rakan...





Friday, March 1, 2013

Berkat Tok Kenali untuk menjayakan HIKMAH IV di Akademi Nik Rashiddin 16 Mac

Salam wahai para pembaca yang dimuliakan. Salam keberkatan pagi Jumaat. Pada artikel Antara HIKMAH di kaca televisyen, buku untuk Melaka dan persiapan di Kelantan yang dibuat 3 hari lalu, telah diberitahu saya mahu berjalan jauh untuk mengatur persiapan buat HIKMAH IV 16 Mac ini. Sekarang saya berada di Kuantan, belum kembali ke rumah. Tetapi disebabkan tarikh hari ini cantik iaitu 1.3.13 saya rasa eloklah diceritakan terus hal persiapan.


Setelah meredah hujan lebat dan banjir dari Lembah Klang ke Kota Bahru, Kelantan hari Selasa, dalam keadaan demam dan sakit-sakit badan untuk menunaikan niat bermalam dan beriktikaf di Masjid Tok Kenali, Kubang Kerian, esoknya pagi Rabu saya pun menziarahi makam wali besar Kelantan itu. Seperti biasa kalau ke KB rasa tak sempurna kalau tidak ke masjid juga ke makam walau sekejap. Kali ini saya ada misi untuk memastikan kejayaan acara terbaru dari pihak saya iaitu HIKMAH IV di Kelantan. Tentunya sesuai dan tak salah saya memohon restu dari Allah SWT melalui wasilah kerohanian Tok Kenali yang tetap hidup walaupun secara jasad beliau telah meninggalkan kita hampir seabad lalu.

Tentang talian peribadi saya dengan hamba Allah ini boleh baca di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Jangan pelik tentang apa yang diceritakan. Macam-macam perkara serupa malah lebih pelik lagi pernah saya tempohi terutama dalam tempoh beberapa tahun asyik keluar mengembara tidur dari masjid ke masjid menziarahi makam ke makam. Lihat artikel-artikel ini...







Turut serta beriktikaf dan ziarah adalah seorang sahabat dari Kelantan. Kami kemudian menuju ke Kandis yang terletak sekitar 13-15 km ke tenggara pekan Bachok, saya menaiki motosikal besar kesayangan, beliau dengan kereta. Sampai di hadapan pos mini Kandis kami harus mengambil lorong di sebelah.



Lorong itu boleh membawa ke sebuah pusat peranginan tepi laut.



Ia juga membawa ke masjid...


Ikut lorong itu dan lengkoknya ke kiri nescaya anda akan sampai ke persimpangan di hadapan kubur. Pandang ke kanan kubur, kelihatanlah satu kelompok bangunan dengan bahagian berwarna putih dan tembok agak terserlah. Tapi saya tak ambil gambar dari simpang kerana belum pasti apakah itu lokasi yang dicari.


Bila dah sampai dekat baru saya pasti inilah tempatnya. Inilah Akademi Nik Rashiddin atau ANR tempat di mana saya telah menerima tawaran pasti dan bersetuju untuk mengadakan acara ke empat HIKMAH.


Masuk sahaja ke dalam, kelihatan tiga buah bangunan bersambung bersedia untuk menyambut acara yang dipanggil HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah.


Bangunan tengah adalah rumah...


Bangunan ke kanan pula nampaknya sambungan dari rumah.


Ada lagi satu bangunan merupakan rumah lama kayu.


Ada perkarangan yang cukup luas untuk bermain bola. Di sebalik pokok-pokok kelapa di latar belakang adalah pantai dan Laut Cina Selatan. Nampaknya peserta HIKMAH IV nanti bolehlah bermandi-manda di laut...


Pada satu sudut yang sedikit tersorok terdapat bengkel yang pernah digunakan pengasas dan pemilik asal tempat ini, arwah Nik Rashiddin, seorang pengukir seni kayu yang sangat terkenal di kalangan mereka yang menceburi bidang sama atau berkaitan.


Rumah lama kayu ini dijadikan muzium untuk menyimpan koleksi arwah. Saya diberitahu ia dibeli dan diangkut dari Terengganu lalu dipasang balik beberapa tahun lalu. Usianya sudah mencapai 190 tahun.


Kami dijemput ke serambi rumah...


Di sinilah mesyuarat tentang HIKMAH IV diadakan bersama pemilik ANR sekarang, Puan Rosnawati, balu kepada arwah Nik Rashiddin. Turut bersama adalah seorang lagi sahabat dari Kelantan.




Secara rata kita diberitahu boleh menggunakan semua ruang yang ada untuk menganjurkan majlis. Cuma tempat-tempat tertentu tak boleh dikacau seperti dalam rumah peribadi, dalaman rumah kayu lama yang telah dijadikan muzium, juga galeri yang terletak di bahagian atas bangunan di kiri dari pintu masuk. Lihat artikel Galeri (Gallery of) Akademi Nik Rashiddin blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Bahagian yang mahu digunakan untuk membuat wacana ilmu terletak di bawah galeri.



Ketika kami datang ada air bertakung akibat hujan lebat dan banjir yang sedang hebat melanda negeri Kelantan, juga Terengganu.


Ruangnya tidak sebesar mana, malah lebih kecil daripada dewan kecil yang pernah digunakan untuk mengadakan HIKMAH I atau "Suai Kenal HIKMAH" di Yayasan Restu, Shah Alam 4 November 2012. Terfikir juga mana nak letak orang kalau lebih 300 datang? Sedangkan ruang di Yayasan Restu dahulu pun katanya dibuat untuk memuatkan kurang 100 peserta seminar. Kami dapat memuatkan kira-kira 350 orang setelah disuruh semuanya bersila rapat-rapat sehingga kaki hampir mencecah meja pembentang di hadapan. Bagaimana pula ruang lebih kecil di ANR?


Setelah difikirkan balik ternyata ada caranya. Kita boleh mendirikan khemah di luar di mana boleh diletakkan lagi satu skrin dan projektor. Untuk pengetahuan tanah berpagar di mana ANR ini berdiri adalah seluas satu setengah ekar. Terdapat begitu banyak ruang yang boleh dan dibenarkan untuk dimanfaatkan termasuk kawasan di bawah rumah peribadi Puan Rosna. Kata beliau satu bahagian serambi di rumah akan dijadikan surau perempuan, serambi rumah kayu berusia 190 tahun dijadikan surau. Selain itu ada tanah luar pagar seluas satu ekar menuju ke kubur, satu lagi tanah seluas tiga ekar mengunjur dari belakang akademi ke utara di mana kita juga boleh menjalankan aktiviti.

Dengan ini saya meminta kawan-kawan yang ada kelapangan terutama di Kelantan agar dapat menjenguk Puan Rosna dan menolong apa yang patut. Diumumkan sekali, sesiapa yang mahu membuka gerai pameran dan jualan dipersilakan datang mengambil tempat pada 16 Mac nanti. Peniaga makanan malah dialu-alukan kerana HIKMAH IV setakat ini tidak mendapat penajaan makanan, tidak seperti pada HIKMAH I di Shah Alam, HIKMAH II di Melaka 25 November 2012 dan HIKMAH III di Lumut 27 Januari 2013. Nak bersilat, main wau, gasing, berkuda dan sebagainya pun boleh dan dialu-alukan. Kita sama-sama berusaha secara sukarela untuk menjayakan acara ya. Sekarang biar diletakkan atur cara terbaru...


Pembukaan

8 – 9am : Pendaftaran - Peserta boleh terus memilih kumpulan untuk aktiviti berkumpulan petang, kumpulan seperti Perkerisan, Persilatan dan Kebudayaan

9 – 9. 30 : Sesi terbuka sesiapa nak bersilat atau buat pertunjukan seni/kebudayaan - Persatuan Gayung Kelantan sudah menyatakan minat mahu membuat persembahan. Persatuan Teater Ruhul Islam (PETRI) pula mahu membuat persembahan nasyid diiringi tarian melibatkan belasan pelajar dari Maahad Amir Indra Petra, Binjai, Kelantan

9.30 : Selawat pembukaan oleh Sheikh Raja Aman Al-Kubra

9.45 : Kata-kata aluan oleh pemilik Akademi Nik Rashiddin, Puan Rosnawati

10.00 : Ucapan pengenalan oleh Pengasas dan Presiden HIKMAH, Radzi Sapiee

Sesi pembentangan pagi

10. 15 : 1. Motif Langkasuka dalam kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR

10.45 : 2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI

11.15 : 3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis ktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor.

11.45 : Rehat 15 minit

Sesi pembentangan tengah hari

12pm : 4. Sejarah dan tempat-tempat signifikan di Kelantan : Langkasuka, empayar Chermin hingga ke zaman Raja K'Umar – Kelab Pencinta Sejarah Kelantan

12.30 : 5. Sejarah Kelantan membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong

1.00 : 6. Signifikan Puteri Saadong pada Kelantan kini  – Puteri Anis

1.30 : Rehat Zuhur

Sesi pembentangan petang

2. 30 : 7. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi  Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan

3.00 : 8. Kepentingan salasilah dalam mencari jati diri dan peranan di akhir zaman – Megat Iskandar, setiausaha persatuan keluarga Megat Terawis

3.30 : 9. Ekonomi Islam berdasarkan Dinar dan Dirham : Keperluan minima untuk menjayakan sebuah negara yang betul-betul Islam – Amirul HM, perunding kewangan Islam dan dinar dirham


4.00 : Sesi berkumpulan seperti Perkerisan, Persilatan dan sebagainya. Kali ini kami tidak mengharapkan apa-apa maklum balas seperti pada HIKMAH I, II dan III. Sebaliknya sesi dibuat semata-mata untuk peserta berkenalan dan berkongsi minat dalam bidang kegemaran masing-masing.

4.30 : Rehat Asar

Cetusan rasa

5.00 : Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul aktivis silat dan busana, ahli Istiadat Penjurit Kepetangan

5.15 : Penutup : Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee

Semasa mesyuarat Puan Rosna ada bertanyakan tentang misi dan objektif HIKMAH. Ini sebenarnya sudah dinyatakan panjang lebar dalam kertas kerja untuk HIKMAH I dahulu. Lihat artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Permission to proceed yang dibuat 4 bulan lalu. Beliau juga bertanya tentang aktiviti berkumpulan, apakah itu dan kategori-kategorinya. Dengan itu biar disalin balik penerangan yang pernah diberikan dalam Facebook lama dahulu...
  

--------------


Salam Jumaat. Kita tentunya tahu bagaimana ramai daripada kita berkenalan lalu berhubung di FB, jadi friends, fans dan sebagainya tetapi tidak pernah bersua muka hingga kini. Mengambil keberkatan penghulu segala hari ini saya ingin membuka ruang penyertaan untuk satu komponen utama Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman atau HIKMAH 4 Nov ini. Ia adalah segmen acara berkumpulan menurut minat atau special interest groups. Melalui aturan acara ini, ruang pun dibuka untuk pameran dan perniagaan.

Acara yang kiranya mahu mengangkat format perbincangan groups dalam Facebook ke dunia nyata ini akan diadakan selepas tamat sesi pembentangan petang kertas kerja. Untuk makluman selain memperjuangkan kedaulatan Melayu dan Islam, matlamat HIKMAH adalah untuk menterjemahkan rangkaian perhubungan/perbincangan/setiakawan dalam FB menjadi sesuatu yang mampu dizahirkan ke dunia nyata demi agama, bangsa dan negara (bukan sekadar Malaysia ya. Kita akan ada beberapa penyertaan daripada negara-negara jiran). Sekarang biar disenaraikan aturan special interest groups.


1. Perkerisan – Ini khas untuk peminat keris juga senjata-senjata lain Melayu seperti pedang. Saya sudah mendapat pengesahan penyertaan daripada dua kumpulan besar iaitu Persatuan Pusaka Senipurba Nusantara Selangor (PURBA) dan Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur.

2. Perubatan – Tentunya ada orang yang berminat pada ilmu perubatan terutama yang berbentuk tradisional Melayu. Saya tidak pasti penyertaan tetapi saya tahu ada sejumlah yang menyatakan komitmen akan datang memang terlibat dengan dunia perubatan.

3. Persilatan – Walaupun belum ada persatuan menyatakan penyertaan ramai yang bakal datang ke HIKMAH dan menyokong majlis adalah pesilat dan aktivis persilatan daripada pelbagai aliran, baik lincah, mahupun gayung, cekak sehingga ke penjurit kepetangan. Lagipun persatuan-persatuan yang disebut di bawah tajuk perkerisan itu sendiri terdiri daripada ahli-ahli silat. Saya rasa bolehlah dimaklumkan bahawa di belakang saya ada orang-orang kuat daripada aliran selempang merah.

4. Busana tradisional – Penyertaan juga mungkin bercampur-baur dengan tajuk perkerisan dan persilatan. Bezanya tajuk busana insyaallah turut mengandungi penyertaan kaum Hawa yang berpakaian tradisional.

5. Kebudayaan/tarian – Sejumlah artis terutama dalam bidang lakonan telah memberikan komitmen mahu menyerikan acara. Peminat subjek berkenaan boleh berkumpul di bawah ‘panji-panji’ ini, chewah… :]

6. Seni ukiran/khat – Ini juga satu cabang seni yang diminati orang Melayu khususnya, Islam umumnya. Saya diberitahu akan ada peserta mempamerkan kerja-kerja khat dan sebagainya. Semoga manusia yang bertanggungjawab memahat Batu Bersurat Terengganu juga datang, hehe.

7. Kitab/buku/sastera – Difahamkan antara penggiat khat ada yang mungkin membawa mushaf Al-Quran lama. Selain itu kumpulan ini boleh dijadikan tempat perkongsian hasil pembacaan kitab-kitab dari pelbagai aliran fahaman termasuk Tasawuf.

8. Keagamaan – Tasawuf, feqah dan sebagainya. Ada perkara yang mungkin bertindih dengan tajuk kitab/buku/sastera. Di sini kumpulan-kumpulan Tariqat boleh bersatu untuk memeriahkan acara.

9. Keluarga dan salasilah – Kita sedia maklum antara topik paling hangat di dunia Internet terutama di forum-forum dan Facebook adalah perbincangan keluarga dan salasilah. Di HIKMAH anda digalakkan membawa salasilah dan lain-lain bukti kaitan keluarga. Mana tahu mereka yang selama ini tidak tahu asal usul sebenarnya rupa-rupanya bersaudara?

Untuk ini saya boleh memaklumkan ada peserta HIKMAH yang merupakan wakil-wakil berpengaruh daripada keturunan Megat Terawis, Daeng Selili, Nakhoda Hitam, keluarga Temenggung Muar, keturunan Daeng Berlima (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) juga keturunan Sultan Hussein Singapura. Saya rasa mereka yang katanya daripada keturunan Hang Tuah pun akan ada selain keturunan kerabat diraja dan bangsawan lain.


Saya juga mengalu-alukan kedatangan kaum keluarga Empayar Siam-Kedah. Walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan beberapa dakwaan mereka, keluarga ini juga adalah ahli komponen besar bangsa Melayu Islam kita. Ada kajian mereka yang harus difikirkan.

10. Ketamadunan dan kerajaan – Yang ini mungkin bertindih dengan tajuk keluarga dan salasilah. Bezanya ia tidak ditumpukan kepada keluarga sahaja tetapi melibatkan hal kerajaan. Dalam FB juga di wadah Internet yang lain ada yang sedang sibuk berbincang tentang Srivijaya, ada Siam-Kedah ada juga bab Terengganu lama, Muar, Samudera-Pasai, Melaka, Aceh dan sebagainya. Maka di sini bolehlah perbincangan dilanjutkan ke dunia nyata secara bersemuka empat mata.


Berdasarkan pembahagian ini ruang dan penyertaan pameran akan diatur. Mereka yang mahu berniaga pun akan diatur menurutnya demi mewujudkan persepaduan acara. Kalau anda rasa pameran/produk anda tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana tajuk telitilah lagi. Busana Muslimah misalnya tentu kena di bawah tajuk busanan tradisional. Saya sendiri akan membuka gerai menjual buku tulisan saya terutama siri “Berpetualang ke Aceh” dan itu tentunya masuk di bawah tajuk kitab/buku/sastera.

Acara ini akan diatur untuk membentuk satu macam suasana pasar bercampur wadah perbincangan ilmu bersifat cosmopolitan. Peserta HIKMAH juga pengunjung lain termasuk VVIP/VIP boleh melihat dan melawat dari kumpulan ke kumpulan. Ahli kumpulan boleh boleh ‘mengintai’ aktiviti yang lain. Selain itu setiap kumpulan dan sub-kumpulan (misalnya dua persatuan besar di bawah tajuk perkerisan) akan diberikan kertas dan pen/pensil. Di situ mereka boleh memberikan :-


1. Maklum balas tentang acara, keberkesanan, kelemahan

2. Cadangan untuk penambahbaikan

3. Cadangan/buah fikiran/penyelesaian sesuatu masalah kepada pemerintah tertinggi negara untuk mendaulatkan agama, bangsa dan negara


Maklum balas dan cadangan akan diambil kira bersama isi terpilih pembentangan untuk dijadikan rumusan HIKMAH edisi sulung ini dan membentuk resolusi majlis. Insyaallah ia juga akan diangkat untuk pemerhatian orang atasan oleh pihak kami yang berkebolehan. Selain itu maklum balas dan cadangan akan diwar-warkan sekurang-kurangnya melalui blogspot saya sendiri, merahsilu.blogspot.com dan FB page HIKMAH.


---------------------


OK. Cukuplah ini ya. Selepas solat Jumaat nanti, mungkin petang sikit saya akan meletakkan setiap tajuk/kumpulan sebagai satu update di page HIKMAH. Sesiapa yang mahu membuat pameran atau/dan berniaga sila tinggalkan nama, jenis perniagaan dan contact number di bawah tajuk pilihan. Sila berikan maklum balas. 



PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.