Tuesday, December 4, 2012

Pertemuan busana dan pendekar di Istana Kesultanan Melaka sebagai lancutan wacana yang dilaksanakan HIKMAH 25 Nov

Salam semua. Hari ini biar saya bercerita tentang satu acara besar yang baru berlangsung 2 hari lalu, acara yang boleh dikira lanjutan daripada wacana yang dilaksanakan HIKMAH di Kolej Yayasan Melaka atau lebih tepat, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka di Bukit Sebukor 25 November 2012.


Adapun sejurus selepas HIKMAH menghadapi masalah pembatalan dewan untuk acara sulung 4 Nov (rujuk artikel Dari Akademi Pengajian Melayu ke Yayasan Restu, dari Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH jadi Suai Kenal...), saya ada dihubungi orang dari Melaka menyatakan minat agar acara diadakan di negeri yang pernah menjadi pusat kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka itu.


Saya pun memberitahu untuk tarikh tersebut kami tetap akan meneruskan acara di Shah Alam walaupun diperkecilkan menjadi "Suai Kenal HIKMAH". Dan ternyata ia telah berjaya mencapai matlamatnya. Rujuk artikel HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu dan HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik!. Namun kami memang mahu mengadakan satu lagi acara 25 Nov demi memenuhi janji pada sejumlah pihak yang tidak dapat hadir pada 4 Nov. Untuk ini saya pun bersetuju untuk berkerjasama dengan orang Melaka.


Tampil pertama sekali ke hadapan adalah Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) yang bersetuju mencarikan premis dan menguruskan hal-hal yang perlu. HIKMAH sebagai pelaksana acara datang membawa pengisian lalu dipersetujui MAGMA Melaka menjadi penganjur rasmi.


Kebetulan ketika itu MAGMA Melaka yang kalau tak salah baru ditubuhkan kurang setahun mahu mengadakan acara sendiri pada 2 Disember. Maka acara yang dilaksanakan HIKMAH 25 Nov pun dimasukkan sekali dalam kertas cadangan bersepadu yang dibuat mereka sehingga kedua-dua acara mendapat sokongan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan kerajaan negeri atas arahan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam. Malah kedua-duanya dimasukkan ke dalam program tahunan negeri...




Pujian harus diberikan kepada MAGMA Melaka kerana turut menjadikan ia gemilang. Sesungguhnya pihak mereka terutama pengasas, saudara Huzaifah telah berusaha keras agar acara yang dilaksanakan HIKMAH itu dapat diangkat martabatnya sehingga menjadi program negeri.


Namun saya percaya pengisian HIKMAH itu sendiri mampu mengangkat martabat semua yang terlibat malah turut menolong mengangkat acara yang mahu dibuat MAGMA Melaka 2 Disember.


Saya percaya disebabkan HIKMAHlah kedua-dua acara mendapat penyertaan ramai dari merata pelusuk negara Malaysia malah daripada Singapura dan Indonesia. Ini kerana pengisian kami sejak mula memang melibatkan orang Melayu Islam dari merata ceruk rantau. Sedangkan program asal MAGMA Melaka lebih pada penglibatan para pendekar dan perguruan dari Melaka dan kawasan sekitarnya.


Kini atas gabungan bersama, baik wacana 25 Nov mahupun program MAGMA Melaka yang diberi nama Pertemuan Busana Tradisi & Pendekar Melaka berjaya mencapai tahap kegemilangan yang masih meniti di bibir ramai sehingga ke hari ini.


Pada saya di kala MAGMA Melaka berjaya menghimpun ramai para pejuang yang tidak takut mati untuk bersama menyatakan pendirian menyokong peradaban Melayu dan Islam, HIKMAH pula dapat memberikan pengisian yang menjadikan semuanya lebih bermatlamat, ada strategi dan lebih teratur untuk menyokong program lebih besar yang melibatkan kebangkitan umat Islam akhir zaman. Oh. Ini pemandangan sekitar daripada serambi Istana Kesultanan Melaka yang perkarangannya menjadi tempat berlakunya pertemuan 2 Disember.





Bermacam-macam aktiviti dipertunjukkan sepanjang hari. Dari demonstrasi silat hingga ke memanah dan menukul besi panas untuk dibuat senjata, semuanya ada.


Petang jam 4 VVIP pun sampai untuk merasmikan acara sementara orang ramai menunggu.






Sepatutnya yang merasmikan adalah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam. Tetapi beliau ada hal di Kuala Lumpur lalu seperti semasa wacana 25 Nov menghantar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Latiff Tamby Chik sebagai wakil.


Sebagai presiden dan pengasas HIKMAH, saya pun diminta duduk bersama para VVIP.


Ketika ini saya cuma dapat mengambil gambar daripada kerusi yang disediakan.


Selepas Datuk Latiff membuat ucapan perasmian satu barisan guru-guru tua pun berarak membawa sejumlah barangan sebagai persembahan.


Pertama sekali adalah tengkolok khas yang dipakaikan ke atas kepala Datuk Latiff.


Kedua adalah keris yang kalau tak salah ditempa khas untuk Ketua Menteri.


Ketiga adalah watikah resolusi yang dibuat HIKMAH menggunakan maklum balas daripada acara 25 Nov juga 4 Nov. Ini diikuti dua lagi barangan disampaikan kepada Datuk Latiff. Tak perlulah dipanjangkan cerita ya. Selepas ini saya akan menbuat satu artikel khas untuk bercerita dan mengupas resolusi.



2 comments:

  1. Tahniah kepada semua yang terlibat serta menjayakannya,semuga Seni Silat Melayu Nusantara akan terpahat dipeta dunia dibumi Melaka yang keramat dan bertuah,amin....

    ReplyDelete
  2. Amin..kiranya hari tersebut bumi Melaka kembali bergegar dan kita bangunkan roh2 para pejuang dan para wali . Moga Allah memberkati dan meredhai kita semua..

    ReplyDelete