Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...




















Thursday, November 1, 2012

Dari Akademi Pengajian Melayu ke Yayasan Restu, dari Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH jadi Suai Kenal...

Salam. Ini kiranya sambungan daripada artikel Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH! yang dibuat 29 Oktober 2012. Artikel kali ini mahu menerangkan beberapa perubahan yang berlaku sejak itu.

Ada disebut dalam Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH! bagaimana acara sulung HIKMAH atau Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman akhirnya mendapat tempat untuk diadakan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, setelah mesyuarat yang diadakan bersama pihak APM di pejabat mereka hari Isnin mencapai kata sepakat. Cuma sedikit perubahan harus dilakukan seperti mengubah nama acara kepada "Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH" dan mengakui ia sebagai acara kerjasama APM. Selain itu kami diminta mengelak penggunaan perkataan "Himpunan"  ketika merujuk pada acara juga dalam mempromosinya di sana.

Di atas biar dikongsikan surat yang dihantar kepada APM Rabu malam Khamis minggu lepas. Surat yang dilampirkan kertas kerja awal HIKMAH (lihat dalam Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Permission to proceed) dan atur cara terbaru majlis ketika itu turut menyertakan screen shot event page HIKMAH yang diambil pada 23 Oktober jam 9.25 malam. Sedangkan surat dihantar selepas tengah malam, sudah masuk 24 Oktober.




Screen shot dibuat sebagai bukti betapa HIKMAH yang baru ditubuhkan dan diwar-warkan 11 hari sebelum itu mendapat sambutan hangat. Saya sengaja menggunakan screen shot jam 9.25 malam kerana seronok melihat 313 orang telah menyatakan akan datang. Walhal screen shot selepas tengah malam boleh diambil untuk menunjukkan jumlah yang lebih ramai.




Menyedari kedudukan kerdil HIKMAH sebagai satu entiti yang baru 11 hari ditubuhkan, itupun secara ad hoc melalui Facebook saya meminta jentera di belakang saya untuk memberikan surat sokongan. Biar dimaklumkan jentera yang dimaksudkan terdiri daripada satu komiti orang berpengaruh dan berkedudukan. Diakui ada yang terlibat dengan politik, ada juga yang pakar dalam bidang akademik. Namun secara rata mereka adalah para peneraju NGO dan saya terlibat dengan mereka kerana salah seorang ahli adalah sahabat lama yang baru ditemui kembali selepas 2008. 

Sahabat ini sebenarnya bermula sebagai kenalan isteri. Apabila isteri mendapati saya menghadapi masalah mental block untuk menulis buku baru mahupun skrip yang harusnya lebih mudah kerana diminta bercerita tentang pengalaman hidup sebenar yang membawa kepada penerbitan 3 buku pertama saya, siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" isteri pun cuba mengatur agar saya membuat ceramah ilmu. Kami masih ada lebihan isi daripada ceramah/syarahan tertutup yang pernah dibuat di Muzium Negara beberapa bulan lalu. Lihat Ceramah "Batu Nesan Aceh" di Muzium Negara. Dan lagi ada sahabat-sahabat kami  meminta agar ceramah sama dapat dipanjangkan dalam acara terbuka.

Tanpa dipinta isteri pun cuba mencari ruang.  Apabila permohonan untuk menggunakan premis sebuah persatuan ditolak baru isteri menghubungi sahabat yang terlibat dalam komiti tadi. Apabila sahabat itu memberi jaminan boleh memberikan mana-mana premis di bawah pengawasannya di Shah Alam timbul semangat baru untuk berkongsi ilmu. Apabila diberitahu premis boleh memuatkan 100-200 orang saya pun terfikir untuk mengajak sejumlah orang lain turut berkongsi ilmu dengan disaksikan sesiapa sahaja yang sudi datang. Maka lahirlah HIKMAH seperti diceritakan dalam artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Berbalik pada hal komiti. Sahabat dalam komiti membawa saya berjumpa dan bermesyuarat dengan mereka apalagi saya memiliki acara yang dilihat sangat sesuai untuk diangkat. Mereka mengaku mahu memperjuangkan Melayu dan Islam tanpa berpaksi pada politik dan saya menerima mereka seadanya. Pada saya kalau mereka hendak bermain politik pun itu hal mereka. Tak harus kita berpatah arang apalagi bersama saudara seagama dan sebangsa. Saya ada misi tersendiri dan boleh bekerjasama dengan mereka untuk merealisasikannya. Seperti pembaca yang betul-betul mengikuti penulisan saya sedia maklum, saya sebenarnya amat membenci dunia politik dan wadah penipuan Yahudi yang kita panggil demokrasi.

Dengan surat sokongan daripada salah seorang ahli komiti menggunakan nama NGO yang sesuai, mesyuarat pun diatur dengan APM di mana kata sepakat dicapai untuk menjayakan acara sulung HIKMAH, atas nama "Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH" di bangunan APM. Sejumlah sahabat saya yang bakal membentang kertas kerja menjadi saksi akan berita gembira ini kerana dibawa masuk ke dalam mesyuarat sebagai wakil-wakil HIKMAH. Saya pun mula mewar-warkan ini di Internet. Kemudian artikel Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH! pun ditulis.

Esoknya sekitar tengah hari pihak pejabat APM menghubungi saya meminta dibuat satu lagi surat... surat permohonan di mana dinyatakan secara rasmi mahu menggunakan salah satu dewan milik APM. Menganggap ini cuma formaliti biasa, saya pun merangka surat lalu menghantarnya melalui e-mail sebaik sahaja siap. Dalam kesibukan kegembiraan mengatur acara, selepas jam 6 petang baru saya tersedar ada e-mail balas sudah sampai lebih setengah jam. Peliknya ia menyatakan permohonan menggunakan dewan telah ditolak... atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Terduduk juga saya dan isteri mendapat berita ini. Acara tinggal 5 hari lagi mahu berlangsung, bagaimana ini boleh berlaku? Kemudian kami dapat menghubungi seorang pegawai tinggi APM. Kata beliau permohonan kami ditolak atas arahan pihak atasan. Alasan yang diberikan, ada perkatakan "Himpunan" dalam surat.

Ah. Kalau itu sahaja masalahnya tentu mereka boleh mengingatkan lalu meminta saya membuat surat baru. Apa yang susah sangat? Kemudian kami mendapat tahu acara kami ini sudah dipolitikkan. Tidak dinyatakan dipolitikkan bagaimana. Cuma telahan saya, melihat pada jentera di belakang saya ada yang mungkin menganggap HIKMAH yang sangat menyokong kedaulatan Melayu dan Islam adalah alat sebuah parti politik untuk mengalahkan sebuah parti politik lain yang kelihatan seriau dengan apa-apa usaha untuk memartabatkan bangsa Melayu. Lalu mereka telah campur tangan untuk menghalang HIKMAH daripada bertapak dan mendapat sambutan di UM.

Bayangkan menerima berita Maghrib semalam. Bagaimana dengan acara? Kami cuba mengejar tarikh 4 Nov kerana sudah menjanjikannya kepada ramai peserta. Namun akibat kesuntukan masa jentera di belakang saya atau orang-orang komiti mencadangkan ia ditunda sekurang-kurangnya 3 minggu ke hadapan di mana acara dapat diatur lebih baik lagi dengan penglibatan pihak istana, mungkin oleh sultan.

Saya pun mengalah lalu memilih tarikh baru 25 Nov. Saya bersedia untuk menggunakan premis yang dicadangkan komiti. Penundaan pun diumumkan di FB lalu ramai dapat menerimanya sebagai lumrah cabaran perjuangan. Namun ada sejumlah peserta meminta agar dapat diteruskan juga acara 4 Nov walaupun atas padang bola, walau dalam hujan dan ribut petir. Apabila mendapat tahu ada yang sudah menempah tiket bas dari jauh lalu mengambil cuti, ada pula sudah membeli tiket kapal terbang daripada luar Semenanjung saya pun cuba mencari jalan.

Malam itu juga ada yang menawarkan kedai bukunya sebagai premis baru untuk acara 4 Nov. Acara 25 Nov boleh diadakan secara besar-besaran kerana ada sokongan jentera, acara 4 Nov biar kecil-kecilan agar tidak menghampakan mereka yang setia menunggu. Apabila ini diumumkan seorang lagi peserta menawarkan ruang. Saya dan sahabat-sahabat rapat yang mahu menjayakan HIKMAH pun mendapat suntikan semangat baru.

Pagi tadi kami berjaya menempah ruang di Kompleks Taman Seni Islam Selangor yang dikelolakan Yayasan Restu di Shah Alam. Pengumuman pun dibuat dan ramai menyatakan terus setia akan mengikuti acara. Ini termasuk barisan pembentang yang akan berkongsi ilmu dan kertas kerja. Dengan ini acara asal dapat dilangsungkan, cuma dalam keadaan lebih santai dan mesra tanpa perlu menjaga protokol, boleh juga dijadikan persediaan untuk acara utama 25 Nov.

Memandangkan salah satu tujuan utama HIKMAH diterbitkan adalah untuk memberi ruang para kenalan di FB bersua muka bertukar fikiran (ramai yang tidak pernah bertemu empat mata, cuma berhubung melalui Internet sahaja) saya rasa wajarlah acara ini diberi nama "Suai Kenal HIKMAH" pula. Rasanya cukuplah cerita ya. Harap para pembaca faham keadaan sebenar dan sedia menerima apa-apa kekurangan dan kelemahan apabila HIKMAH berlangsung 4 Nov, pagi hingga petang nanti. Untuk melihat premis baru tersebut rujuk artikel lama Mencari makam panjang dan lain-lain di Jeram, Kuala Selangor.


No comments:

Post a Comment

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.