Wednesday, January 30, 2013

HIKMAH III - Pengisian ilmu buat bekalan perjuangan syumul



Sekitar 10.30 pagi majlis disambung kembali. Ketika itu boleh kelihatan ramai sudah memenuhi dewan.


Seperti pada HIKMAH I di Shah Alam 4 November 2012 dan HIKMAH II di Melaka 25 Nov sekali lagi sahabat baik saya Sheikh Raja Aman, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah-Zainiyah memikul amanah membacakan selawat khas dan doa demi menyatukan hati para hadirin agar dapat bergerak mencapai matlamat yang sama mendaulatkan Melayu dan Islam.




Kemudian kumpulan Hadrah dari Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa naik ke pentas membawakan lagi lagu-lagu selawat.


Ini diikuti persembahan silat...










Adapun selawat berkumpulan diikuti persembahan silat dibuat seperti alat peralihan untuk satu persembahan slaid tentang keunggulan bangsa Melayu zaman berzaman. Slaid yang disediakan oleh seorang pengkaji sejarah bebas yang terkenal dengan nama Srikandi di Internet itu memang ditunggu ramai. Lihat video atas.


Ketika itu atau selepas, saya pun dah lupa, datang saudara Megat Iskandar yang menjadi moderator kumpulan keluarga dan salasilah membawa tiga gulung salasilah besar, pertama tentang raja-raja Perak, kedua tentang para Sayid, ketiga tentang keluarga Megat. Saya pun memilih satu bahagian dinding yang sesuai lalu menolong menampalkan salasilah. Terus datang mereka yang berminat.


Jam 12 : 15 gitu tiba-tiba kedengaran azan berkumandang. Eh. Takkan dah masuk Zuhur kot? Takkan cepat sangat...


Kemudian baru saya teringat memang ada dalam senarai atur cara laungan azan untuk membangkitkan semangat perjuangan. Seketika itu juga saya mendapat satu ilham dan gerak kerja.


Adapun sebelumnya, semasa saya asyik berjalan-jalan di sekeliling dewan melihat keadaan saya ternampak satu kumpulan rakan-rakan yang memanggil diri mereka sebagai AUM, Angkatan Ukhuwah Persilatan Melayu. Saya ternampak mereka membawa bendera hitam dengan kalimah Lailahaillallah Muhammadarasulullah lalu menegur mereka. Terus mereka menyebut bendara itu memang mahu dihadiahkan kepada saya, cuma menunggu masa yang sesuai. 

Jawab saya amat sesuailah ini kerana petang nanti kami akan membuat perarakan Maulidur Rasul diikuti satu acara kemuncak tertentu. Maka bendera bolehlah diarakkan sekali, mungkin boleh diserahkan kepada saya sebelum itu. Apabila kedengaran azan berkumandang terus hati saya berkata inilah masanya bendera yang merupakan panji-panji hitam itu diserahkan. Saya pun mengajak mereka ke hadapan.


Sebaik sahaja tamat azan saya naik ke atas pentas lalu meminta MC mengumumkan acara penyerahan panji hitam. Terpinga-pinga dia sebentar kerana ini tiada dalam atur cara rasmi, begitu juga terpinga-pinga pengerusi PESADA, Dr Mohd Fazzli apabila saya mengajaknya naik ke pentas untuk turut menerima panji. Penyerahan pun dibuat dalam keadaan tak disangka-sangka tetapi hadirin lain nampaknya tidak menyedari. Fikir mereka agaknya, ini memang sudah dirancang. Apabila melihat semua tercegat setelah menyerahkan panji saya pun mengibarkannya seraya melaungkan Allahuakbar. Laungan tiga kali itu diikuti semua...


Ketika menulis perenggan di atas baru saya teringat bahawa selepas bacaan selawat oleh Sheikh Raja Aman, Dr Fazzli memberikan ucapan alu-aluan. Ini diikuti ucapan pengenalan HIKMAH oleh saya sebagai presiden dan pengasas, barulah kumpulan Hadrah naik ke pentas. Selepas penyerahan panji maka bermulalah sesi pembentangan oleh kawan lama saya dari zaman kolej, saudara Amirul Haji Mohamad yang bercakap tentang dinar dan dirham. Naik membentang seterusnya adalah Puan Tun Suzana Othman yang terkenal dengan buku tulisannya Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu. Beliau baru sahaja beberapa hari kembali ke tanah air setelah beberapa bulan 'bertapa' di Tahrim, Yaman, terus terpanggil untuk turut menjayakan HIKMAH III.


Sekitar 1.30 tengah hari gitu, acara ditangguh untuk rehat makan dan solat Zuhur. Namun saya cuma dapat makan bersama isteri dan anak-anak hampir sejam kemudian kerana harus melayan sejumlah peserta.


Ketika sesi petang baru hendak bermula, kalau tak salah ingatan jam 2.45 gitu perut saya terasa tidak selesa. Saya mendengar sedikit pembentangan tentang siapakah orang Melayu oleh Tuan Haji Wan Abdul Halim Bashah, penulis buku, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan dan wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan sebelum kembali ke hotel di mana saya juga mandi untuk menghilangkan rasa tidak sedap badan kemudian menjamakkan solat Zuhur dan Asar. Apabila kembali ke dewan saya sempat mendengar penghujung pembentangan tentang  nasib orang Melayu di Singapura oleh Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Hussein pernah bertakhta di Singapura sekitar 1820an). Nampaknya saya sudah terlepas pembentangan sebelumnya tentang Ahlul Bait oleh Habib Abu Aswad ibni Zakaria Al-Kubra, mudir  atau pemimpin Madrasah Ahbabul Mustafa.


Ketika wakil dari Pulau Bentan, Raja Syukri yang merupakan waris pahlawan besar Bugis-Melayu iaitu Raja Haji Fasibillah membacakan wasiat nendanya saya diberitahu agar bersiap sedia untuk pembentangan sendiri yang akan diadakan selepas bacaan sajak tentang Melayu oleh Tun Muhammad Farul. Ketika itu juga saya rasa harus membuat persiapan untuk acara berkumpulan yang akan dibuat selepas tamat pembentangan saya. Boleh kata tak cukup tanganlah juga saya rasa ketika itu...


Ini video klip dari Tun Farul. Pembentangan saya sendiri nanti-nantilah tunjuk ya, bila saya ada masa dan cukup rajin untuk menyunting kemudian memuat-naik segala video sesuai yang diambil oleh pihak saya.


Sekarang kita terus pada sesi atau acara berkumpulan di mana peserta boleh memilih untuk mengikuti mana-mana kumpulan menurut minat seperti perkerisan, persilatan dan perubatan.


Asalnya acara ini saya terbitkan pada HIKMAH I di Shah Alam 4 November 2012 untuk menggalakkan interaksi antara peserta, memikirkan bagaimana ramai daripada mereka sudah lama berkenalan di Internet terutama melalui Facebook tetapi sedikit sahaja yang pernah bersua muka di dunia nyata.





Agar interaksi berkumpulan ada arah tuju, saya telah meminta mereka memberikan maklum balas berguna tentang beberapa perkara. Menggunakan maklum balas dari HIKMAH I digabungkan dengan hasil dari HIKMAH II di Melaka 25 Nov, sebuah resolusi pun terbit lalu diumumkan untuk semua. Lihat artikel lama Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?





Kali ini acara atau sesi berkumpulan bukanlah digunakan untuk mencari resolusi baru.


Sebaliknya kami mahu mengembangkan setiap perkara dalam resolusi, mencari cara-cara yang realistik untuk menzahirkannya ke dunia nyata...





No comments:

Post a Comment