Friday, July 26, 2013

Bersedia untuk acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept


Galeri Shah Alam dilihat dari tasik rekreasi berhadapan Kompleks PKNS...


Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa jam saya dapat mengumpulkan artikel-artikel lama di blogspot lalu mengaturnya mengikut acara agar senang dirujuk. Terbitlah artikel kompilasi berikut lalu dengan sekali click pembaca boleh mencapai semua yang telah disajikan mengenai setiap acara...





Acara ketiga HIKMAH di Lumut 27 Jan 2013

Acara keempat HIKMAH di Bachok 16 Mac 2013

Acara kelima HIKMAH di Kuala Terengganu, 5-8 Jun 2013


Dengan ini 'hutang' saya tentang acara-acara terdahulu terutama HIKMAH V yang tamat lebih sebulan lalu boleh dikira selesai. Bolehlah perhatian ditumpukan pada acara seterusnya, HIKMAH VI yang mahu diadakan di Galeri Shah Alam 7 September 2013.




Pada mulanya saya bercadang tidak mahu lagi membuat acara baru HIKMAH sehingga hujung tahun di mana pihak kami harus menunaikan janji membuat acara di Melaka setelah Dato' Ali Rustam mengisytiharkan HIKMAH di Melaka acara tahunan semasa masih menjadi Ketua Menteri. Rasanya pembaca setia dan mereka yang mengikuti perkembangan HIKMAH tahu akan keadaan saya yang masih belum pulih dari kecederaan kaki, masih memerlukan lagi 6 minggu untuk pulih. Namun ada kawan mengajak saya agar membuat satu pertemuan jawatankuasa tertinggi HIKMAH di sebuah rumah peranginan persendirian di Bukit Tinggi. Ini membuat saya ingin membesarkan skop pertemuan agar meliputi orang lain lalu acara keenam HIKMAH pun dicadangkan mahu diadakan di sana.

Setelah mendapat persetujuan pemilik tempat dan wakil kami pun berbincang tarikh. Saya fikir elok dijadikan sekali jamuan raya pada hujung minggu terakhir bulan Syawal, seeloknya hari Sabtu agar peserta masih boleh bersantai selepas acara. Apabila dilihat kalendar hari Sabtu terakhir Syawal jatuh pada 31 Ogos, ulang tahun kemerdekaan negara, dikira bersamaan 24 Syawal. Saya pun mengisytiharkan rancangan di Facebook. 

Sebuah event page baru dibuka atas nama "HIKMAH Merdeka Raya : Santai di bulan Syawal." Peserta digalakkan datang petang Jumaat dan bermalam di rumah peranginan, bawalah khemah kalau tak cukup bilik. Selain menerbitkan suasana kekeluargaan di tengah hutan pergunungan, kita juga boleh mengelakkan kesesakan yang biasanya melanda Lembah Klang sekitar sambutan hari kemerdekaan. Kalau mahu mereka boleh berehat sehingga petang Ahad.



Tidak lama kemudian saya diberitahu lokasi di Bukit Tinggi tidak lagi sesuai. Selain masalah logistik seperti meletak kereta dan lalu lintas masuk jalan kecil lereng bukit yang agak mencabar, ada hal lain yang boleh mengganggu. Saya teringat saranan seorang rakan HIKMAH agar mencuba mengadakan acara di Galeri Shah Alam. Minggu lepas saya pun meminta beliau untuk menyampaikan niat mengadakan acara di sana. Isnin baru ini kami dan beberapa orang rakan pun bermesyuarat dengan pengarah galeri dan orangnya. Mereka malah sangat tertarik dengan acara. 

Cuma disebabkan tarikh 31 Ogos dan sekitarnya dijangka bakal dipenuhi program kerajaan kami harus menukar tarikh. Tidak seperti di Bukit Tinggi ini tidak dapat dielakkan kerana kedudukan galeri yang terletak berhampiran pusat bandar raya Shah Alam, ibu negeri Selangor. Tarikh baru iaitu 7 September, seminggu kemudian pun dipilih. Cuma ketika itu dikira sudah tamat bulan raya atau bulan Syawal, sudah masuk 1 Zulkaedah. Namun kita masih boleh menyambut hari raya kalau mahu, cuma acara tidak sesuai lagi disebut "Santai di bulan Syawal".

Dengan itu acara keenam HIKMAH dipendekkan nama menjadi "HIKMAH Merdeka Raya". Ketika itu baru terbetik di hati ada tersurat dan tersirat sesuatu yang lebih besar kerana perkataan raya pada jalan raya juga pada pasar raya menunjukkan sesuatu yang lebih hebat. Begitu juga gagasan Melayu Raya yang pernah muncul lama dahulu untuk menggabungkan Malaysia, Brunei dan Indonesia di dalam satu pemerintahan. Maka pada saya "HIKMAH Merdeka Raya" membawa makna meluas yang boleh menyentuh kemerdekaan minda orang Melayu dari terus dijajah pemikiran dangkal yang diterapkan Barat. Dan apabila jiwa orang Melayu betul-betul merdeka baru mereka layak membawa Panji-panji Hitam seperti disabdakan Nabi Muhammad SAW tentang kebangkitan Islam dari Timur akhir zaman. Lalu bolehlah dimerdekakan seluruh umat Islam dari pelbagai belenggu ciptaan Yahudi Zionis dan puak Illuminati yang mencengkam.





Adapun sebaik sahaja niat untuk mengadakan HIKMAH VI di Galeri Shah Alam disampaikan kepada pengarah minggu lepas saya terus mendapat jawaban positif yang memberikan harapan. Saya pun terus menukar maklumat dalam event page untuk memberitahu acara ditukar lokasi ke galeri, cuma tarikh tepat sahaja belum dapat. Seterusnya saya membuka ruang untuk sesiapa mahu membuat persembahan dan pameran sukarela seperti kebiasaan pada setiap acara HIKMAH. Paling awal membuat tawaran adalah satu kumpulan kompang berpakaian busana tradisional Melayu yang pernah muncul di kaca televisyen.

Siang tadi saya dapat membuat atur cara yang cukup mantap. Namun ruang masih terbuka untuk sesiapa menambah aktiviti yang sesuai dengan misi kami mendaulatkan Melayu dan Islam. Oleh kerana acara kali ini turut merupakan jamuan raya, sesi pembentangan ilmu dikurangkan untuk memberi ruang pada lebih persembahan. Dengan itu biar diulang jemputan terbuka kepada semua. Seperti biasa penyertaan adalah percuma begitu juga tapak untuk pameran dan perniagaan tidak perlu dibayar. Biar dicopy paste maklumat atur cara yang telah dikongsikan di FB...




Atur cara tentatif HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam


Acara terbaru HIKMAH, acara keenam di Galeri Shah Alam 7 September mahu diadakan dalam keadaan lebih santai berbanding acara-acara terdahulu sempena sambutan hari raya Aidil Fitri yang harus masih terasa ketika itu. Namun menurut prinsip HIKMAH mahu mendaulatkan Melayu dan Islam pengisian ilmu tetap dibuat di celah rasa santai apalagi ketika itu kita baru sahaja seminggu menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada 31 Ogos. Maka itu  pembentangan kertas kerja ilmu yang berkaitan harus dibuat walau tidak banyak.


8 – 9 am : Kedatangan peserta dan dif-dif kehormat – Sambil itu aktiviti-aktiviti sampingan seperti bermain sepak raga sambil memakai busana Melayu tradisional, demonstrasi ikatan tanjak dan memanah boleh dijalankan.

9-10 : Pembukaan

-          Persembahan kompang oleh Kesenian Kompang Paluan MIM  
  
-          Persembahan silat  oleh Persatuan Jejak Panglima (Silat Harimau Putih)


10 – 10. 20 : Ucapan oleh pengerusi Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor sebagai penganjur bersama acara

10.20 – 10. 40 : Kata-kata aluan oleh pengarah/wakil Galeri Shah Alam

10. 40 – 11 : Pengenalan tentang HIKMAH  oleh Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH. Video yang meringkaskan acara-acara HIKMAH terdahulu akan ditayangkan.


Rehat 15 minit


11.15 – 12  :  Pembentangan kertas kerja "Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam" - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor

12 – 12. 15 : -  Persembahan teater Islam oleh Persatuan Teater Ruhul Islam (PETRI), Kota Bahru di Kelantan

12.15  - 1 : Pembentangan kertas kerja “Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu” - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail


Rehat makan tengah hari dan solat Zuhur.  Sambil itu aktiviti-aktiviti sampingan seperti bermain sepak raga sambil memakai busana Melayu tradisional, demonstrasi ikatan tanjak dan memanah boleh dijalankan.


3 – 3.30 : Persembahan alunan syair Melayu dan gurindam oleh penggiat seni Nuqtah

3.30 – 4.15 : Pembentangan kertas kerja “Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah” - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

4.15 – 5  : Sesi berkumpulan – Topik, “Apakah makna merdeka raya bagi anda?”

5 – 5.15 : Penutup



Beberapa aktiviti lain turut berjalan sepanjang acara. Antaranya ialah :-


  1. Pameran salasilah diraja Selangor, Bugis dan Orang Kaya Maha Bijaya Klang oleh Megat Iskandar, setiausaha Persatuan Keturunan Megat Terawis 
  1. Pameran keris dan senjata warisan Melayu Nusantara serta demonstrasi seni lipatan solekan setanjak dan samping serta busana Melayu  oleh Akademi Pusaka Keris Senusantara. Mereka akan membuat penerangan dan perkongsian 
  1. Pameran dan demonstrasi seni khat juga  oleh kumpulan Nuqtah dan Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor

Selain itu peserta boleh melihat pameran sedia ada di Galeri Shah Alam. Difahamkan satu koleksi baru lukisan akan dipamerkan bermula 1 September.



No comments:

Post a Comment