Friday, October 4, 2013

Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH

Salam semua. Malam Jumaat ini eloklah dibuka satu cerita...


Pagi Selasa 1 Oktober 2013, selepas bermalam di sebuah rumah rehat di sekitar pusat bandar raya Melaka (lihat artikel First Melaka city centre walk in 5 months...di blogspot BERPETUALANG KE ACEH), saya dan seorang sahabat, saudara Zam bersarapan di warung berdekatan.


Warung ini terletak di hadapan Sekolah Tinggi Melaka. Baru saya tahu sekolah ini telah diasaskan 1826, dua tahun setelah berlakunya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang secara efektifnya membelah dua dunia Melayu di Asia Tenggara menjadi bahagian-bahagian yang akan membentuk negara Malaysia dan Indonesia.


Selepas itu kami bergegas ke Seri Negeri, pejabat pentadbiran Ketua Menteri Melaka yang terletak di Ayer Keroh.


Kami mahu menghadiri acara yang dipanggil Simposium Serantau Asal Usul Melayu.


Sambil melangkah masuk ke dewan, teringat kali pertama saya menghadiri acara di sini. Lihat artikel Seminar Antarabangsa Hang Tuah di Seri Negeri - Menjana kebangkitan jati diri Melayu sejati? yang dibuat di blogspot CATATAN SI MERAH SILU lebih setahun setengah lalu.


Kami sampai sekitar 8.40 pagi. Acara dijadualkan bermula 9.30.


Suasana dalam dewan...




Di ruang legar ada sejumlah gerai buku.


Gerai IKSEP (Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia). Kelihatan sebuah buku terbaru, "Hubungan Sejarah Melaka-Makassar).


Gerai PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka). Walaupun seperti IKSEP mereka juga menerbitkan banyak buku, gerai yang ada setakat mempamerkan maklumat tentang muzium-muzium yang diselenggarakan mereka (lebih 20 kalau tak salah) dan aktiviti berkaitan.


Ini pula gerai Tuan Haji Yusuf Liu, seorang Muslim dari Cina yang berbangsa Hui, satu bangsa etnik Cina yang diketahui beragama Islam sejak zaman-berzaman.


Beliau ada menulis sejumlah buku tentang orang Islam di Cina juga Cina Muslim di Malaysia.


Di satu sudut kelihatan dua buah banner memaparkan apa yang dipanggil Pernyataan HIKMAH Melaka. Rujuk artikel Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?.


Saudara Zam ada membuka gerai lalu saya mengambil peluang untuk menonjolkan pernyataan menggunakan banner yang dibuat istimewa untuk acara keenam HIKMAH di Shah Alam 7 September lalu. Lihat Acara keenam HIKMAH di Shah Alam 7 Sept 2013.


Zam yang merupakan salah seorang penggiat kuat HIKMAH mula berniaga buku pada acara pertama HIKMAH yang juga diadakan di Shah Alam tetapi pada 4 November 2012. Berniaga atas nama Taman Pustaka (klik sini), beliau kini memiliki lebih 300 tajuk buku-buku yang sukar ditemui di kedai biasa, buku-buku yang selalunya cuma boleh didapati di kedai universiti, muzium dan badan-badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. 


Masuk ke dewan jam 9 ia nampak sudah dipenuhi.






Tinggal menunggu tetamu-tetamu terhormat sahaja mengambil tempat duduk sebelum acara dimulakan sekitar setengah jam lagi. Cerita akan disambung insyaallah siang Jumaat...



No comments:

Post a Comment