Sabtu 12 Oktober 2013, genaplah setahun HIKMAH diasaskan. Kalau nak lebih tepat tunggu sekitar jam 10-11 malam baru betul-betul cukup setahun. Siapa sangka ia dapat terus berjalan sehingga boleh mengadakan 6 acara yang cukup bermakna di beberapa negeri setakat ini? Sekarang persediaan sedang dilakukan oleh satu pihak untuk mengadakan acara kedaulatan Melayu Islam di Melaka penghujung November. HIKMAH diminta untuk membuat pengisian ilmu pada acara yang dijadualkan berlangsung selama 2 hari itu. Kalau semuanya berjalan lancar ia secara efektifnya boleh dikatakan acara ke-7 HIKMAH.
Sebenarnya selepas acara ke-2 HIKMAH diadakan di Melaka 25 November tahun lalu kerajaan negeri pernah menyatakan janji mahu menjadikannya acara tahunan. Namun perubahan pucuk pimpinan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei lalu menyebabkan perkara ini seperti disenyapkan. Kami pun tertanya-tanya apakah ikrar itu akan dikotakan. Cuma baru 2 hari lalu kami dimaklumkan ada perkembangan terbaru tentang hal ini. Rupa-rupanya sahabat kami di Melaka sedang mengusahakannya walaupun mungkin tanpa sokongan kerajaan negeri lagi. Ini membawa kemungkinan HIKMAH akan bertandang ke Melaka 2 kali hujung tahun ini - satu pada penghujung November untuk apa yang boleh dikira sebagai acara ke-7, satu lagi pada pertengahan Disember atau penghujungnya menjadi acara ke-8.
Siang Jumaat tadi pula saya telah ditemuramah untuk satu program televisyen yang bersifat intelektual. Ia adalah untuk episod yang akan ditayangkan pada Hari Raya Haji, jatuh Selasa 3 hari lagi. Ini boleh dikira satu penghormatan yang tinggi buat HIKMAH juga satu macam hadiah ulang tahun. Lihat artikel Bertandang ke program "On The Point"di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Dengan ini saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Haji atau Aidil Adha kepada semua muslimin dan muslimat terutama para pembaca dan penyokong HIKMAH. Semoga segala usaha kita diberkati, pengorbanan yang dilakukan dalam perjuangan di mana sambutan Raya Haji boleh dikatakan satu lambang diberkati dan dirahmati Allah SWT. Amin... :]
No comments:
Post a Comment