Salam Jumaat. Sebetulnya ketika menulis ini di rumah seorang kawan dan penyokong HIKMAH sudah masuk malam Sabtu. Tapi cerita tetap bersekitar pada siang tadi Jumaat.
Petang tadi beberapa lama selepas solat Jumaat saya dan wakil dari Hulubalang Melayu Kuala Langat, Ustaz Mahyuddin bertemu di Hang Tuah Center untuk membuat persiapan akhir bagi acara Festival Ketamadunan dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII. Alhamdulillah kami mendapat sokongan penuh kakitangan PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka) yang memiliki HTC juga kakitangan HTC sendiri untuk menjayakan acara. Naiklah banner HIKMAH di hadapan replika Istana Kesultanan Melaka yang baru siap dibina 2-3 bulan lalu...
Replika istana yang merupakan bangunan utama kompleks akan menjadi tempat penting acara. Untuk pengetahuan HTC mengandungi beberapa rumah kayu tradisional Melayu.
Pembentangan-pembentangan ilmu akan diadakan di dalam auditorium yang terletak di sayap kiri istana.
Tu dia. Backdrop atau latar belakang acara yang baru saya siapkan on the spot apabila diminta. Boleh le... :]
Selain itu aktiviti-aktiviti berkaitan akan dijalankan di luar iaitu di perkarangan Rumah Hang Jebat (gambar atas kanan) juga Rumah Hang Tuah (gambar bawah kiri).
Sukacita saya melihat keadaan selepas khemah-khemah selesai didirikan atas tajaan PERZIM. Ustaz Mahyuddin yang mengatur perkara melalui badan milik beliau yang bernama Anjung Hikmah (nama Hikmah tu kebetulan, tiada pakatan dengan HIKMAH... :]) pula menambah, hal makan-minum untuk 300 peserta sudah ditaja pihak tertentu. Namun sesiapa yang berminat untuk berniaga makan-minum tetap dialu-alukan datang mendirikan gerai.
Dengan itu biar diberitahu pihak PERZIM dan HTC telah bersetuju dengan usul saya untuk membenarkan sesiapa sahaja dating berniaga seperti kebiasaan pada setiap acara HIKMAH. Terdapat beberapa wakaf yang boleh digunakan tetapi eloklah bersedia membawa kerusi meja dan payung sendiri kalau ada. Selain itu biarlah diberitahu. Kawan kami kumpulan Armada Malaiu Malaysia ingin menaja 4 buah hamper. Ia mahu dijadikan hadiah untuk mereka yang berpakaian busana paling indah mengikut 4 kategori - dewasa lelaki, dewasa perempuan, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.
Secara rata kita akan mengikut atur cara tentatif seperti dipaparkan pada artikel Hang Tuah dan para sahabat bakal menjadi saksi (dibuat seminggu lalu). Cuma ada sedikit perubahan, misalnya saya diminta pihak HTC agar memberi sedikit ucapan pengenalan sebagai presiden HIKMAH (ini tidak ada dalam atur cara yang saya atur dahulu). Selain itu Guru Aziz Said dari Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Melaka telah bersetuju untuk mengambil-alih tugas sebagai moderator kumpulan Perkerisan dan Persenjataan. Ia adalah satu dari 10 komponen dalam sesi berkumpulan yang kali ini akan digunakan untuk mengisi filem epik "Darah Melayu" arahan sutradara Mamat Khalid. Saya diberitahu Guru Aziz pernah berlakon dalam drama "Pendekar Kundur" yang agak terkenal suatu masa dahulu. Semoga pengalaman beliau juga para otai lain yang terlibat dalam acara HIKMAH kali ini dapat membantu aspirasi kami mahu mendaulatkan Melayu dan Islam terutama melalui media filem.