Thursday, February 27, 2014

HIKMAH IX - Menangani ancaman terhadap umat Islam melalui ukhuwah yang kuat



Selepas makan tengah hari dan rehat solat Zuhur sesi petang pun dimulakan sekitar jam 2.20.


Ini cuma lewat 20 minit dari rancangan asal memulakan sesi jam 2.


Cuma disebabkan anjakan program pagi yang melonggokan beberapa perkara ke selepas jam 11 maka satu pembentangan yang sepatutnya dibuat sebelum makan tengah hari telah dijadikan pembuka pembentangan petang.


Ia adalah kertas kerja bertajuk "Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu" oleh saudara Shamsul Yunos, bekas wartawan The Malay Mail, kini seorang wartawan dan aktivis media bebas. Tajuk sama pernah disampaikannya pada HIKMAH I di Shah Alam 4 Nov 2012, HIKMAH II di Melaka 25 Nov 2012 dan HIKMAH VI yang kembali ke Shah Alam tetapi di satu lokasi baru 7 Sept 2013.



Keadaan semasa sesi soal jawab. Ada yang bertanya kenapa wasiat tersebut baru diketengahkan sejak setahun dua ini. Kenapa tidak 10 atau 20 tahun lalu misalnya kerana ia dikatakan dibuat raja-raja seawal setengah abad lepas. Jawabnya, dahulu tidak ada keperluan mendesak. Wasiat cuma ditimbulkan setelah muncul terlalu banyak desakan dari orang bukan Melayu menuntut perkara yang bukan-bukan sehingga menafikan hak orang Melayu seperti sudah sedia termaktub dalam perlembagaan.


Selepas itu diadakan lagi pertunjukan silat.














Kali ini sehingga 3 atau 4 perguruan diberi peluang menunjukkan kemahiran satu demi satu, tidak seperti tengah hari tadi di mana setiap pembentangan diekori satu sahaja pertunjukan silat.






Lebih lama masa diberikan untuk para pengamal seni bela diri tradisional Melayu menonjolkan diri sebelum pentas diberi pada satu kumpulan dari Arau, Perlis mengalunkan qasidah. Semua ini tidak menurut atur cara asal, sekadar mengikut gerak. 



Saya pula boleh terlupa mengambil gambar orang berqasidah. Sebaliknya apabila timbul rasa untuk naik ke pentas mengikut alunan dengan lebih rapat sambil menggalakkan orang ramai menghayatinya sama, boleh pula mengambil gambar ke bawah pentas.



Secara spontan ada yang tergerak untuk mengibarkan bendera 2 kalimah syahadah mengikut alunan lalu digalakkan agar memberikan bendera kepada orang lain.


Tujuannya agar semua dapat merasa mengibarkan bendera dengan penuh semangat ukhuwah sambil terasa cintakan Rasulullah SAW. Sesungguhnya baginda itu medan tumpuan untuk menyatukan hati-hati, melalui baginda baru kita-kita ini boleh sampai wasilah hubungan kepada Allah SWT.



Selepas itu adalah pembentangan bertajuk "Mencari Diri dan Erti", mengambil tajuk kecil novel pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang diterbitkan Jun 2006. Fikirnya mahu berkongsi sedikit pengalaman sebenar dalam mencari hala tujuan hidup untuk dijadikan pedoman. Namun beberapa hari sebelum acara saya tergerak untuk mengubah tajuk menjadi sesuatu yang sedikit berlainan tetapi masih dalam konteks. Saya menggunakan bahan yang baru dipersembahkan pada satu majlis anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di Kuala Lumpur seminggu lebih awal. Lihat artikel Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.



Tentunya saya tidak dapat mengambil gambar sendiri membentang dan tidak terfikirkan pun hendak meminta orang lain mengambilkan. Sebaliknya saya sebenarnya merasakan tidak perlu membuat pembentangan kerana ingin memberi laluan pada orang lain setelah berlaku begitu banyak anjakan masa lari dari atur cara asal dan tidak terasa begitu lancar kalam. Namun saya diminta juga bercakap untuk sekurang-kurangnya memberi masa kepada pembentang seterusnya Sheikh Raja Aman, seorang khalifah tariqat Naqsyabandiah membuat persediaan. Beliau yang membawa tajuk "Ancaman terhadap Akidah Umat Islam" asalnya dijadualkan membuka sesi petang sebelum saya menutup pembentangan. Tetapi beliau meminta slotnya dijadikan pengakhiran atas sebab-sebab tertentu...



Tajuk ini asalnya mahu dibentangkan oleh penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu", Tun Suzana Othman. Beliau pernah membentang tajuk lain pada HIKMAH III di Lumut 27 Jan 2013 dan pada HIKMAH VII di Melaka 30 Nov 2013 beliau membentang bersama menantunya Ustaz Iqbal Parjin. Namun seminggu lebih sebelum acara beliau memaklumkan timbul hal yang menyebabkan beliau harus berada di tempat lain. Saya kemudian cuba mendapatkan Sheikh Sidi Zaid, seorang lagi khalifah tariqat Naqsyabandiyah untuk mengisi slot dan beliau pun bersetuju. Sheikh Sidi pernah membentang pada HIKMAH I dan II.



Dua hari sebelum acara tiba-tiba wakil Sheikh Sidi memberitahu beliau baru teringat ada komitmen lain pada tarikh acara lalu tidak dapat datang. Selepas itu baru saya menghubungi Sheikh Raja Aman yang sudah lebih setahun tidak menyertai mana-mana acara HIKMAH.



Kelihatan Sheikh Raja Aman menangani topik panas ancaman akidah dengan begitu lembut dan berhemah. Beliau memilih untuk bercakap sambil duduk dari bawah pentas. Di kala sesetengah menganggap ancaman yang patut diketengahkan adalah masalah fahaman Syiah, ada pula menyebut fahaman Wahabi sedangkan negara kita juga giat diancam dakyah Kristiniasasi beliau memilih untuk mengenengahkan konsep akhlak kesufian menurut contoh Nabi Muhammad SAW sebelum menekankan ancaman utama akidah sebenarnya adalah dari nafsu sendiri yang lemah, nafsu amarah.



Sayangnya Sheikh Raja Aman yang memiliki pertalian darah dengan keluarga diraja Perak dan Kelantan juga Patani, bapanya Raja Mokhtar pernah menjadi setiausaha negeri Pulau Pinang tahun 1960an tidak dapat menghabiskan pembentangan. Kalau tidak bicara beliau akan membawa kepada kupasan Khutbah Wida', khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW yang dibuat sebelum baginda kembali ke rahmatullah. Ini kerana pihak pengurusan dewan meminta kami mengosongkan dewan pada jam 4.30, agar ia dapat disediakan untuk satu majlis makan malam yang nampaknya jauh lebih berprestij dan meriah. Hadirin diminta beralih ke dewan belakang. Maka acara terus disambung dengan sesi bengkel/perbincangan menurut kumpulan/minat seperti Persilatan, Keagamaan dan sebagainya seperti kebiasaan pada acara-acara HIKMAH sambil menikmati juadah petang.






Tajuk perbincangan kali ini ialah "Bagaimana mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai satu tapak kebangkitan daulah". Ini dibuat memikirkan sejarah bagaimana Inggeris/British telah berjaya menjajah seluruh Semenanjung lalu mengubah bukan sahaja keadaan sosio-ekonomi orang Melayu malah dapat mengubah minda kita menjadi lemah dengan memulakan gerak langkah melalui Francis Light di Pulau Pinang tahun 1786.


Sesungguhnya aktiviti berkumpulan ini dibuat untuk menggalakkan perhubungan dan maklum balas sesama insan. Ia boleh menerbitkan ukhuwah yang berpanjangan, satu perkara yang terbukti dengan adanya kawan-kawan yang mula berkenalan pada salah satu acara HIKMAH, selepas itu sentiasa bersedia, setia dan berusaha untuk mengikuti acara demi acara.





Dah hampir 6 petang baru teringat hendak bergambar beramai-ramai. Maka itu berkumpullah saki baki yang masih ada di hadapan dewan...










Nota tambahan/pembetulan (dibuat 6 Mac) : Selepas berjaya memuatnaik klip-klip video sekitar majlis sehingga hampir tamat baru saya menyedari satu perkara. Sebenarnya pembentangan keempat, pembentangan bertajuk "Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah" dibuat oleh saya selepas selesai persembahan silat. Selepas pembentangan itu baru dibuat qasidah diikuti pembentangan kelima dan terakhir. Harap maklum.


HIKMAH IX - Sokongan atasan dalam melestarikan satu perjuangan



Selepas jam 11 acara pun disambung iaitu selepas sarapan pagi.


Gendang silat mula dipalu menandakan permulaan sesi seterusnya.



Kalau ikut atur acara asal pembentangan ilmu harus bermula jam 10. Ini adalah selepas sarapan pagi yang mana sebelum itu harus diadakan ucapan alu-aluan oleh pengerusi pemuda qaryah Masjid al-Hidayah, Bayan Lepas diikuti ucapan pengenalan HIKMAH oleh saya dan perasmian oleh seorang timbalan menteri. Namun ini semua dianjakkan lebih sejam kehadapan agar timbalan menteri yang dimaksudkan dapat mengikuti sebanyak mungkin acara terutama pembentangan ilmu. Acara boleh berjalan sementara menunggu beliau yang menghadiri mesyuarat PIBG di sebuah sekolah datang. 

Mana yang sempat kita teruskan. Apabila timbalan menteri datang kita boleh berhenti sebentar untuk menyambut. Inilah fleksibiliti acara-acara HIKMAH sejak dahulu lagi. Mana-mana bahagian acara boleh dipinda, diawalkan mahupun dilambatkan atau diganti sahaja dengan yang lain menurut keadaan sebenar pada hari berlakunya acara. Gambar ini diambil ketika timbalan menteri tersebut sampai di halaman dewan. Selepas itu saya sebagai pengasas dan presiden HIKMAH harus bersama menyambut beliau kemudian mengiringi masuk dewan.


Demi mengikuti protokol majlis saya kenalah duduk di kerusi VIP. Namun ini tidak menghalang saya untuk mengambil beberapa gambar misalnya yang ini. Cuma pergerakan harus dihadkan sekurang-kurangnya buat satu masa.


Ini dia gambar ke kiri. Kebetulan ketika saya mengambil gambar ini timbalan menteri itu sedang menoleh ke arah pengerusi pemuda qaryah.


Di kanan saya pula adalah pengerusi keseluruhan qaryah (maksudnya campur pemuda dan orang tua), Datuk Subky diikuti seorang ahli penting qaryah yang dikenali sebagai Cikgu Wahab. Mereka berdua banyak membantu memastikan kelancaran majlis.


Tidak lama kemudian pengerusi pemuda qaryah, saudara Seri Lanang naik memberikan ucapan diikuti saya. Tapi saya terlupa hendak mengambil gambar. Sampai giliran timbalan menteri baru teringat hendak merekodkan.



Inilah timbalan menteri yang dimaksudkan, Dato' Seri Dr Hilmi Yahya, timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Beliau adalah ahli parlimen Balik Pulau yang mana Bayan Lepas termasuk di dalam kawasannya. Difahamkan beliau membuat sumbangan sejumlah wang yang agak besar untuk membiayai acara ke-9 HIKMAH, setelah mendapat permintaan dari jemaah ahli qaryah. Sumbangan ini amat membantu qaryah mendapatkan dewan 4 bintang seperti di Kompleks Tabung Haji ini.



Walaupun kehadiran VVIP seperti beliau biasanya memerlukan protokol majlis yang agak ketat namun HIKMAH tetap HIKMAH. Anak-anak kecil boleh berkeliaran merata tempat asal tidak terlalu menganggu. Kelihatan anak kecil saya Muhammad Alauddin Johan datang menyapa di kerusi VIP. Takkan saya nak halau? Cucu Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Hassan dan Hussein pun selalu naik ke atas belakang baginda ketika bersujud malah semasa baginda mengimamkan solat berjemaah lagi. Tidak pernah baginda menghalang malah sanggup memanjangkan sujud supaya cucu-cucunya puas menunggang di belakang, inikan lagi kita-kita yang tidak seberapa. Protokol tetap boleh dijalankan dalam keadaan penuh kasih sayang, bukan keras, kejung, control handsome dan sebagainya agar kelihatan bagus, berwibawa dan sesuai dengan pangkat. Sesungguhnya tidak hilang bisa ular menyusur akar...



Pertunjukan silat dimulakan sebaik sahaja Dato' Hilmy selesai merasmikan majlis. Saya terus 'bertahan' di kerusi VIP... :]



Sampai satu peringkat saya rasa harus berjalan-jalan lagi melihat majlis dari pelbagai sudut. Para VIP  termasuk Dato' Hilmy tiada masalah kerana dapat menyelami cita rasa acara HIKMAH yang boleh menggapai dan menyentuh masyarakat dari semua peringkat baik dari pihak atasan mahupun mereka yang dikatakan dari golongan marhaen.


Sesungguhnya sejak acara pertama HIKMAH di Shah Alam, Selangor 4 Nov 2012 lagi majlis-majlis kami sering didatangi golongan kerabat diraja juga mereka yang berpangkat Dato' dan sebagainya. Ada juga para cendekiawan, profesor ternama, tokoh-tokoh korporat, para pelakon/selebriti tempatan menyerikan majlis. Mereka tidak canggung bergaul tanpa batasan protokol, boleh sahaja bersila beramai-ramai atas permaidani jika perlu untuk sama-sama mengikuti acara demi kedaulatan Melayu dan Islam.


Sesi pembentangan dibuka jam 12, dua jam lewat berbanding atur cara. Tajuk pembentangan, "Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang" asalnya mahu ditangani Prof. Madya Datin Dr Mahani Musa, pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM). Namun beberapa hari sebelum acara beliau harus menarik diri kerana muncul komitmen lain.



Menggantikan beliau adalah saudara Roslan Saadon dari badan NGO Pulau Pinang yang dipanggil Peradaban (kalau silap harap betulkan). Terima kasih kepada saudara Nazaruddin dari Dataran Warisan Alang di Sungai Burung, Balik Pulau kerana mengatur pengisian slot ini. Beliau adalah seorang penggiat budaya Melayu yang sangat aktif di Pulau Pinang. Lihat sahaja acara yang beliau adakan penghujung 2013. Rujuk artikel Festival Adat Istiadat Warisan Melayu di Balik Pulau.






Nazaruddin juga bertanggungjawab mengatur penyertaan beberapa kumpulan silat yang didatangkan dari Balik Pulau.



Pembentang seterusnya adalah Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam, penerbit dan hos rancangan Islamic Finance di Capital TV, Unifi.















Pembentangan bertajuk "Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu" itu adalah berdasarkan kajian Prof Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera, dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Prof. Ahamed sepatutnya membentang sama. Tetapi beberapa hari sebelum acara beliau diarahkan mewakili negara pada satu seminar di sebuah universiti di Indonesia.



Satu lagi pertunjukan/persembahan silat dibuat selepas pembentangan. Selepas itu hadirin dijemput menikmati juadah makan tengah hari.



Ini adalah satu-satunya gambar dalam kamera saya di mana kelihatan saya bersama timbalan menteri. Seorang ahli qaryah telah menawarkan untuk mengambil gambar.






Dapatlah gambar-gambar sekitar diambil sambil saya dan beberapa orang berbual dengan timbalan menteri. Sesungguhnya sokongan mereka-mereka dari pihak atasan ini amat membantu dalam melestarikan satu perjuangan tak kiralah dari parti politik mana mereka yang datang. Yang penting kita harus bersama dalam mendaulatkan Melayu dan Islam. Untuk ini tolaklah ideologi politik kepartian yang memecah-belahkan walaupun sebentar demi mencapai tujuan. Inilah yang kami sering tekankan pada acara-acara HIKMAH.