Thursday, February 27, 2014

HIKMAH IX - Sokongan atasan dalam melestarikan satu perjuangan



Selepas jam 11 acara pun disambung iaitu selepas sarapan pagi.


Gendang silat mula dipalu menandakan permulaan sesi seterusnya.



Kalau ikut atur acara asal pembentangan ilmu harus bermula jam 10. Ini adalah selepas sarapan pagi yang mana sebelum itu harus diadakan ucapan alu-aluan oleh pengerusi pemuda qaryah Masjid al-Hidayah, Bayan Lepas diikuti ucapan pengenalan HIKMAH oleh saya dan perasmian oleh seorang timbalan menteri. Namun ini semua dianjakkan lebih sejam kehadapan agar timbalan menteri yang dimaksudkan dapat mengikuti sebanyak mungkin acara terutama pembentangan ilmu. Acara boleh berjalan sementara menunggu beliau yang menghadiri mesyuarat PIBG di sebuah sekolah datang. 

Mana yang sempat kita teruskan. Apabila timbalan menteri datang kita boleh berhenti sebentar untuk menyambut. Inilah fleksibiliti acara-acara HIKMAH sejak dahulu lagi. Mana-mana bahagian acara boleh dipinda, diawalkan mahupun dilambatkan atau diganti sahaja dengan yang lain menurut keadaan sebenar pada hari berlakunya acara. Gambar ini diambil ketika timbalan menteri tersebut sampai di halaman dewan. Selepas itu saya sebagai pengasas dan presiden HIKMAH harus bersama menyambut beliau kemudian mengiringi masuk dewan.


Demi mengikuti protokol majlis saya kenalah duduk di kerusi VIP. Namun ini tidak menghalang saya untuk mengambil beberapa gambar misalnya yang ini. Cuma pergerakan harus dihadkan sekurang-kurangnya buat satu masa.


Ini dia gambar ke kiri. Kebetulan ketika saya mengambil gambar ini timbalan menteri itu sedang menoleh ke arah pengerusi pemuda qaryah.


Di kanan saya pula adalah pengerusi keseluruhan qaryah (maksudnya campur pemuda dan orang tua), Datuk Subky diikuti seorang ahli penting qaryah yang dikenali sebagai Cikgu Wahab. Mereka berdua banyak membantu memastikan kelancaran majlis.


Tidak lama kemudian pengerusi pemuda qaryah, saudara Seri Lanang naik memberikan ucapan diikuti saya. Tapi saya terlupa hendak mengambil gambar. Sampai giliran timbalan menteri baru teringat hendak merekodkan.



Inilah timbalan menteri yang dimaksudkan, Dato' Seri Dr Hilmi Yahya, timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Beliau adalah ahli parlimen Balik Pulau yang mana Bayan Lepas termasuk di dalam kawasannya. Difahamkan beliau membuat sumbangan sejumlah wang yang agak besar untuk membiayai acara ke-9 HIKMAH, setelah mendapat permintaan dari jemaah ahli qaryah. Sumbangan ini amat membantu qaryah mendapatkan dewan 4 bintang seperti di Kompleks Tabung Haji ini.



Walaupun kehadiran VVIP seperti beliau biasanya memerlukan protokol majlis yang agak ketat namun HIKMAH tetap HIKMAH. Anak-anak kecil boleh berkeliaran merata tempat asal tidak terlalu menganggu. Kelihatan anak kecil saya Muhammad Alauddin Johan datang menyapa di kerusi VIP. Takkan saya nak halau? Cucu Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Hassan dan Hussein pun selalu naik ke atas belakang baginda ketika bersujud malah semasa baginda mengimamkan solat berjemaah lagi. Tidak pernah baginda menghalang malah sanggup memanjangkan sujud supaya cucu-cucunya puas menunggang di belakang, inikan lagi kita-kita yang tidak seberapa. Protokol tetap boleh dijalankan dalam keadaan penuh kasih sayang, bukan keras, kejung, control handsome dan sebagainya agar kelihatan bagus, berwibawa dan sesuai dengan pangkat. Sesungguhnya tidak hilang bisa ular menyusur akar...



Pertunjukan silat dimulakan sebaik sahaja Dato' Hilmy selesai merasmikan majlis. Saya terus 'bertahan' di kerusi VIP... :]



Sampai satu peringkat saya rasa harus berjalan-jalan lagi melihat majlis dari pelbagai sudut. Para VIP  termasuk Dato' Hilmy tiada masalah kerana dapat menyelami cita rasa acara HIKMAH yang boleh menggapai dan menyentuh masyarakat dari semua peringkat baik dari pihak atasan mahupun mereka yang dikatakan dari golongan marhaen.


Sesungguhnya sejak acara pertama HIKMAH di Shah Alam, Selangor 4 Nov 2012 lagi majlis-majlis kami sering didatangi golongan kerabat diraja juga mereka yang berpangkat Dato' dan sebagainya. Ada juga para cendekiawan, profesor ternama, tokoh-tokoh korporat, para pelakon/selebriti tempatan menyerikan majlis. Mereka tidak canggung bergaul tanpa batasan protokol, boleh sahaja bersila beramai-ramai atas permaidani jika perlu untuk sama-sama mengikuti acara demi kedaulatan Melayu dan Islam.


Sesi pembentangan dibuka jam 12, dua jam lewat berbanding atur cara. Tajuk pembentangan, "Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang" asalnya mahu ditangani Prof. Madya Datin Dr Mahani Musa, pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM). Namun beberapa hari sebelum acara beliau harus menarik diri kerana muncul komitmen lain.



Menggantikan beliau adalah saudara Roslan Saadon dari badan NGO Pulau Pinang yang dipanggil Peradaban (kalau silap harap betulkan). Terima kasih kepada saudara Nazaruddin dari Dataran Warisan Alang di Sungai Burung, Balik Pulau kerana mengatur pengisian slot ini. Beliau adalah seorang penggiat budaya Melayu yang sangat aktif di Pulau Pinang. Lihat sahaja acara yang beliau adakan penghujung 2013. Rujuk artikel Festival Adat Istiadat Warisan Melayu di Balik Pulau.






Nazaruddin juga bertanggungjawab mengatur penyertaan beberapa kumpulan silat yang didatangkan dari Balik Pulau.



Pembentang seterusnya adalah Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam, penerbit dan hos rancangan Islamic Finance di Capital TV, Unifi.















Pembentangan bertajuk "Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu" itu adalah berdasarkan kajian Prof Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera, dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Prof. Ahamed sepatutnya membentang sama. Tetapi beberapa hari sebelum acara beliau diarahkan mewakili negara pada satu seminar di sebuah universiti di Indonesia.



Satu lagi pertunjukan/persembahan silat dibuat selepas pembentangan. Selepas itu hadirin dijemput menikmati juadah makan tengah hari.



Ini adalah satu-satunya gambar dalam kamera saya di mana kelihatan saya bersama timbalan menteri. Seorang ahli qaryah telah menawarkan untuk mengambil gambar.






Dapatlah gambar-gambar sekitar diambil sambil saya dan beberapa orang berbual dengan timbalan menteri. Sesungguhnya sokongan mereka-mereka dari pihak atasan ini amat membantu dalam melestarikan satu perjuangan tak kiralah dari parti politik mana mereka yang datang. Yang penting kita harus bersama dalam mendaulatkan Melayu dan Islam. Untuk ini tolaklah ideologi politik kepartian yang memecah-belahkan walaupun sebentar demi mencapai tujuan. Inilah yang kami sering tekankan pada acara-acara HIKMAH.




















No comments:

Post a Comment