Hari ini 29 April 2014 genaplah sebulan acara diadakan. Bersambung dari HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Acara pun bermula...
Selepas rehat pagi acara pun diteruskan dengan sesi pembentangan.
Saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH membuka sesi dengan persembahan slaid/kertas kerja bertajuk "Pengenalan HIKMAH". Sempat mengambil beberapa gambar dari hadapan iaitu tempat saya membuat persembahan sambil menunggu paparan dari komputer riba muncul pada skrin projektor.
Ia menunjukkan ringkasan/kompilasi video acara pertama HIKMAH di Shah Alam, Selangor, Malaysia pada 4 November 2012 diikuti ringkasan/kompilasi 4 lagi acara terawal HIKMAH. Ini kerana "Pengenalan HIKMAH" ini sebenarnya adalah slaid yang saya gunakan untuk menceritakan kembali perjalanan HIKMAH... apabila ia kembali ke Shah Alam untuk acara ke-6 hampir 7 bulan lalu. Lihat Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013.
Sambil menayangkan video saya juga menceritakan bagaimana setiap acara boleh tercetus. Tentunya lebih banyak diceritakan tentang usaha awal di Shah Alam. Kerana tanpa acara pertama, bagaimana boleh muncul yang lain-lainnya? Kiranya "Pengenalan HIKMAH" adalah ringkasan untuk penceritaan berikut :-
Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013
Acara keempat HIKMAH di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013
Walaupun HIKMAH sudah masuk acara ke 10 apabila diadakan di Aceh tak perlulah saya bercerita panjang lebar tentang kesemuanya. Cukuplah setakat diceritakan 5 acara terawal. Selepas itu sesi diserahkan kepada pembentang kedua, saudara Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh), sebuah NGO sejarah dan budaya Aceh.
Beliau merawikan isi kitab Bustanus Salatin karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri abad ke 17 Masihi. Dengan gaya penglipur lara isi yang berkaitan hubungan Aceh dengan Malaysia disampaikan begitu lancar tanpa perlu merujuk pada apa-apa teks mahupun slaid atau bahan bacaan sisi.
Selepas itu sampai giliran tuan Teuku Zulkarnain dari jabatan budaya dan pelancongan Aceh.
Beliau yang merupakan pemegang jawatan adat Raja Nagan, raja bagi negeri Nagan, sebuah negeri di bawah kerajaan Aceh Darussalam memilih untuk membuat persembahan dari tempat duduk.
Ia adalah tentang usaha-usaha pelestarian tempat-tempat bersejarah di Aceh. Turut dipaparkan adalah pembabitan terus beliau dalam majlis beradat di tempatnya di Nagan di mana beliau diiring para panglima selayaknya seorang raja.
Tiga orang pembentang kemudian duduk bersama di hadapan untuk sesi soal jawab. Turut bersama duta Muzium Aceh, Ustaz Mujibburizal merangkap pengacara majlis.
Selepas itu adalah rehat makan tengah hari dan Zuhur.
Walaupun majlis boleh diteruskan hingga ke petang jika mahu kami memutuskan untuk menundanya buat masa itu. Ini dibuat memandangkan cuaca selepas masuk Zuhur agak panas. Biarlah hadirin berehat dahulu di hotel dan sebagainya. Biar acara disambung dengan ziarah ke tempat-tempat bersejarah selepas Asar, ketika cuaca dijangka lebih redup. Lagipun akan ada acara makan malam yang gilang-gemilang...
No comments:
Post a Comment