Bersambung daripada Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Sedikit ringkasan ceritera.
Ini adalah senarai rasmi sultan-sultan Kedah dan tempoh pemerintahan mereka. Difahamkan senarai yang boleh didapati di Internet ini diambil daripada buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karangan Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Mohammad Arshad tahun 1928. Buku ini ditulis atas perintah Tunku Ibrahim ibni Sultan Abdul Hamid, pemangku raja Kedah ketika itu. Katanya ini berlaku kerana istana Kedah tidak berpuas hati dengan buku Tawarikh Kerajaan Kedah karangan Wan Yahya bin. Wan Muhammad (1911) yang ada mendedahkan kelemahan istana.
Buku Al-Tarikh Salasilah diolah menggunakan maklumat dalaman yang telah dipegang oleh istana Kedah sejak sekian lama. Yang disenaraikan di atas adalah raja-raja selepas Islam diketahui secara rasminya masuk ke Kedah. Buku turut menyebut raja-raja yang memerintah sebelum Islam. Dikatakan raja pertama datang daripada Iran sekitar tahun 630 Masihi dan inilah yang disamakan dengan Raja Merong Mahawangsa dalam kitab Hikayat Raja Merong Mahawangsa.
Tetapi di sini saya ingin kembali kepada maklumat berdasarkan kitab Hikayat Merong Mahawangsa untuk mencari kebenaran di sebaliknya. Cuma kenyataan daripada kitab Al-Tarikh Salasilah bahawa Sultan Muzaffar memerintah 1136-1179 Masihi sahaja diambil untuk tujuan ini. Kalau ikut penceritaan dalam hikayat, Merong Mahawangsa hidup semasa Nabi Sulaiman memerintah. Daripada pembacaan di Internet saya dapati nabi Allah ini memerintah 970-931 Sebelum Masihi, kalau ada perbezaan daripada sumber-sumber lain pun masih tak lari jauh, setakat beza 10-20 tahun.
Daripada hikayat dapat disenaraikan 7 orang raja telah memerintah Kedah (termasuk zaman semasa Kedah belum diberi nama, yang ada negeri kota Langkasuka) sehinggalah raja yang ke-7 memeluk Islam 1136 Masihi. Ini memberikan jangkauan masa 2,000 tahun, susah nak masuk akal logik biasa menurut pemikiran zaman sekarang. Ini kerana 7 orang raja ini merupakan anak beranak - penggantian pemerintahan dibuat dengan anak mewarisi pemerintahan daripada bapa. Sedangkan jarak purata pemerintahan antara raja ke raja adalah 286 tahun. Takkanlah seorang raja itu dapat hidup begitu lama sebelum anak menggantikannya, dan ini berlaku terus menerus sehingga 7 orang raja?
Memang ini tak masuk akal apabila kita menilai keadaan menurut pemikiran zaman sekarang. Begitu juga, kalau ikut akal mana pernah ada orang hidup sehingga 1,000 tahun sedangkan sebagai orang Islam kita yakin Nabi Nuh (malah ada lagi orang-orang lain) pernah hidup sebegitu lama. Lagi satu, saya pernah diberitahu oleh orang tua-tua bahawa perkiraan masa zaman dahulu tidak seperti sekarang. Zaman sebelum Nabi Muhammad SAW dilahirkan manusia biasa turun naik alam kayangan, keluar masuk alam bunian yang mana hukum perjalanan masanya boleh jadi berbeza. Sekarang pun kita masih boleh mendengar cerita orang tersesat masuk alam bunian merasakan dia berada di sana 3 hari sahaja. Sedangkan apabila kembali ke alam biasa kita ini, beliau rupanya sudah hilang selama 3 tahun.
Apapun, jalan paling senang untuk mengambil cerita hikayat sebagai rujukan. Anggaplah 7 raja dalam Hikayat Merong Mahawangsa itu mewakili 7 zaman ataupun fasa sejarah Kedah. Mungkin antara setiap 7 orang raja itu ada sejumlah raja-raja lain memerintah. Tetapi 7 ini sahaja disebut untuk mewakili 7 peringkat zaman yang signikan, sebelum Kedah secara rasminya memeluk Islam lalu tempoh pemerintahan raja-raja selepasnya lebih menepati pemikiran logik yang kita kenal zaman sekarang.
Atas sebab rasa tertentu yang akan diterangkan kemudian saya merasakan zaman raja ke-3, Raja Seri Mahawangsa selari dengan kemunculan empayar Funan tahun 68 Masihi lalu itulah yang diletakkan pada senarai. Dengan ini kita cuba lihat sejauh mana zaman pemerintahan menurut hikayat dapat dipadankan dengan sejarah rasmi yang boleh ditelaah dalam buku-buku sejarah, satu proses yang kini dimudahkan apabila maklumat dalam buku dimasukkan ke dalam Internet untuk perkongsian pantas dan sebaran yang lebih meluas...
Hikayat Merong Mahawangsa menyebut cerita bermula apabila anak Raja Rum mahu dihantar ke negeri Cina untuk mengahwini puteri Maharaja Cina. Ketika itu adalah zaman Nabi Sulaiman memerintah, kita ambil 970-931 SM seperti sudah disebut sebelum ini. Apakah sudah wujud kerajaan besar di Cina ketika itu? Ini tiada masalah kerana kita boleh menemui dengan senang maklumat menyatakan ketika itu Cina diperintah oleh Dinasti Zhou kerana ia berdiri 1046-256 SM.
Cuma saya nak ajak pembaca untuk berfikir sebentar tentang kerajaan Nabi Sulaiman. Carian yang dibuat menggunakan Google rata-rata memberikan kawasan pemerintahan baginda cuma sebesar atas, hampir sama dengan wilayah negeri Israel sekarang. Sedangkan sebagai orang Islam kita diajar Nabi Sulaiman diberikan kerajaan yang amat besar, boleh memerintah manusia, jin dan binatang malah angin. Al-Quran menyebut, dalam satu pagi mahupun satu petang baginda boleh menggunakan angin untuk membawanya ke tempat yang biasa mengambil masa sebulan tiupan angin untuk sampai. Jadi takkanlah jangkauan kekuasaan baginda begitu kecil?
Seterusnya kita lihat pula empayar Rum. Hikayat Merong Mahawangsa menyebut Raja Rum memiliki kerajaan besar yang menaungi banyak raja. Memang nama Rum terpahat hebat dalam sejarah. Lihat sahaja peta di atas. Tetapi itu pada tahun 117 Masihi. Bagaimana pada zaman Nabi Sulaiman?
Carian menunjukkan pada zaman Nabi Sulaiman, Rum belum pun diasaskan apatah lagi mahu menjadi empayar. Apakah Rum yang dimaksudkan Hikayat Merong Mahawangsa menunjuk pada kerajaan lain yang ada kena mengena?
Satu calon yang boleh difikirkan serta merta adalah kerajaan Greek ataupun Yunani. Orang Greek memiliki kebudayaan yang serupa dengan orang Rum malah diketahui menyembah dewa-dewi yang sama walaupun ada sedikit perbezaan nama panggilan. Peta di atas menunjukkan jangkauan kekuasaan empayar Greek semasa zaman pemerintahan Alexander the Great. Alexander inilah yang disebut sebagai Iskandar dalam kitab Sulalatus Salatin (lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu) karangan Tun Sri Lanang sebagai moyang raja-raja Melayu terutama di Melaka. Sulalatus Salatin malah menyebut Iskandar berbangsa Rum, negerinya Makaduniah (merujuk pada Macedonia yang merupakan salah satu negeri di dalam lingkungan dunia asal orang Greek).
Tapi Alexander atau Iskandar memerintah 356-323 SM. Dan semakan menunjukkan seperti Rum, tamadun Greek juga muncul pada tahun 700an SM. Pada tahun 146 SM Rum menakluki Greece iaitu kerajaan induk orang Greek lalu menyerap wilayahnya ke dalam Rum. Maka itu limgkungan kekuasaan Empayar Greek menjadi sebahagian daripada Empayar Rum.
Ketika zaman Nabi Sulaiman, wilayah Greek masih dalam zaman kegelapan. Nampaknya ia juga bukanlah Rum yang disebut dalam hikayat.
Saya cuba lagi mencari calon terdekat untuk menepati pengertian Rum dalam hikayat. Lokasinya haruslah berada di dalam lingkungan alam yang boleh dikaitkan dengan perkembangan kekuasaan Rum yang sedia diketahui dalam sejarah. Saya mendapati kerajaan Assyria yang berpusat di lembah sungai Tighris dan Euphrates iaitu di dalam Iraq sekarang boleh memenuhi kriteria. Lihatlah wilayah kekuasaan yang dipaparkan yang mana kerajaan ini dimulakan 911 SM.
Walaupun itu adalah 20 tahun selepas Nabi Sulaiman dikatakan wafat 931 SM ia adalah yang paling dekat tempat dan zaman. Dan lagi kerajaan Assyria itu telah mengalami pasang surut sebagai empayar besar, ada zaman mengecil, ada zaman membesar balik sejak 2,500 SM. Jadi ada kemungkinan, ada celah pada zaman Nabi Sulaiman 970-931 SM ia cukup besar untuk dikira sebagai kerajaan Rum pada zaman itu. Sesungguhnya selain lokasi yang termasuk di dalam lingkungan pengaruh Rum yang diketahui kemudian memang ia memiliki kaitan terus dengan Rum. Kaitannya begini - wilayah kekuasaan Assyria kemudian akan menjadi kerajaan-kerajaan lain sehingga muncul Empayar Achaeminid Parsi di bawah pemerintah Cyrus the Great (Raja Khurush) sekitar 550 SM. Lebih 200 tahun kemudian empayar ini dikalahkan Alexander the Great lalu diserap ke dalam Empayar Greek. Dan 200 tahun kemudian pula Empayar Greek diserap ke dalam Empayar Rum.
Kembali pada teks Hikayat Merong Mahawangsa itu sendiri. Gambaran perjalanan yang dibuat oleh rombongan anak Raja Rum ke negeri Cina pimpinan Raja Merong Mahawangsa pun menunjukkan ia bermula daripada pusat yang terletak di sekitar sungai Tighris dan Euphrates. Lihat sahaja perenggan yang ditanda dengan kotak merah. Selepas melalui beberapa kuala negeri yang raja-rajanya takluk kepada Raja Rum rombongan sampai ke laut sebelah Hindustan.
Hindustan secara khusus terutama pada zaman lampau merujuk pada lembah Sungai Indus iaitu di barat-laut benua Hindi. Kalau Rum yang dimaksudkan adalah di Lautan Mediterranean, paling tidak pun rombongan mesti melalui Semenanjung Arab, satu wilayah yang cukup signifikan untuk disebut, bukan sekadar kuala-kuala yang kelihatannya terletak di dalam wilayah Parsi atau Iran sekarang diikuti terus laut di Hindustan.
Seterusnya kita lihat keadaan pada zaman pemerintahan raja kedua, Raja Merong Mahadipusat anakanda kepada Raja Merong Mahawangsa.
Hikayat menyebut nama Kedah itu muncul setelah Raja Merong Mahapudisat diangkat untuk menggantikan ayahandanya yang mahu kembali ke benua Rum.
Turut disebut bahawa ketika itu Pulau Seri hampir-hampir hendak bertemu dengan daratan. Sedangkan semasa Raja Merong Mahawangsa sampai ke sekitar ini lalu membuka negeri kota Langkasuka, masih ada jarak yang agak jauh antara pulau yang bakal menjadi Gunung Jerai itu dengan daratan. Bersambung lagi nanti...
PAKET TOUR BANDAACEH-SABANG-ACEH BESAR 4D3N & 3D2N.. INFORMASI LEBIH LANJUT HUBUNGI (+62) 821 6347 6464 / email: aso_wisata@yahoo.com
ReplyDelete