Monday, January 26, 2015

Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Sedikit ringkasan ceritera

Segala aktiviti sekitar acara ke-12 HIKMAH iaitu HIKMAH Lembah Bujang - Jejak Tamadun Merong 17-18 Januari 2015 telah pun diceritakan. Sekarang biar dikongsikan isi pembentangan dengan lebih mendalam. Adapun antara  5 pembentangan pada acara cuma persembahan daripada saya dapat dikongsikan di blogspot HIKMAH. Ini kerana saya tidak memiliki isi atau slaid pembentangan lain. Lagipun saya tidak mengulas pembentangan tersebut pada artikel tentang aktiviti (lihat HIKMAH Lembah Bujang - Hindu-Buddha-Islam, Gunung Jerai dan Merong). Maka kita mulakan dengan ini...


Pembentangan diberi tajuk seperti di atas ini.


Ia berdasarkan isi kitab Hikayat Merong Mahawangsa, satu penulisan Melayu yang sangat terkenal sehingga ke hari ini. Ia pertama kali saya baca ketika berumur sekitar 8 tahun iaitu hampir 40 tahun lalu. Ketika itu saya masih di sekolah rendah, terbaca koleksi buku seorang bapa saudara yang kalau tak salah termasuk teks wajib pengajian sastera Tingkatan 5 atau Tingkatan 6 zaman itu.

Setelah beberapa lama isi kitab ini saya jumpa sepenuhnya dalam sebuah blogspot yang bercakap tentang hikayat (sila masuk sini). Saya telah menyalinnya untuk simpanan peribadi sekitar setahun lalu. Tetapi awal tahun ini baru tergerak untuk membacanya dengan teliti, daripada mukasurat ke mukasurat, ayat ke ayat, perkataan demi perkataan. Itupun sebagai persediaan untuk membuat pembentangan pada HIKMAH Lembah Bujang.




Buku ini memiliki 164 muka surat. Untuk pembentangan, saya telah memasukkan sepenuhnya ke dalam slaid muka surat 1 hingga 55 kemudian baru melompat-lompat memaparkan muka surat 60-65 diikuti 81, 100-105. 108-113, 142-151 dan akhirnya 162-164. Saya cuba memaparkan sebanyak muka surat yang boleh untuk tatapan ramai sambil meringkaskan cerita sebaik mungkin tanpa meninggalkan perkara yang dikira penting. Tetapi untuk perkongsian di blogspot biar paparan diringkaskan lagi menjadi beberapa muka surat utama, bermula muka surat 1 dan 2 yang merupakan mukadimah hikayat.







Kemudian masuklah latar belakang utama cerita iaitu Raja Rum mahu menghantar satu angkatan/rombongan kapal untuk membawa putera baginda ke Cina berkahwin dengan puteri Maharaja Cina. Apabila burung garuda mendengar perkhabaran ini, ia berazam untuk menghalang jodoh kedua anak raja tersebut lalu meminta izin daripada Nabi Sulaiman.





Nabi Sulaiman membenarkan garuda untuk mencuba. Ia pun terbang ke negeri Cina lalu membawa lari puteri maharaja Cina ke tempat kediamannya di pulau Langkapuri. Ketika rombongan daripada Rum sampai ke laut lepas garuda pun menyerang. Tetapi ia menghadapi tentangan hebat daripada Raja Merong Mahawangsa, sahabat Raja Rum yang mengetuai rombongan.



Sampai satu ketika kapal Raja Merong terpaksa berhenti di satu pulau untuk mengambil bekalan air bersih dan sebagainya. Sambil itu kapal anak Raja Rum meneruskan perjalanan lalu diserang garuda lagi. Cuma kali ini tiada Raja Merong untuk menahan. Akibatnya rombongan kapal tersebut dapat dihancurkan. Apabila kapal Raja Merong menyusul didapati anak Raja Rum sudah hilang. Baginda berhenti di satu tempat dengan harapan akan mendapat perkhabaran tentang putera di bawah jagaannya itu. Sambil menunggu tergerak untuk membuka negeri lalu diberi nama Langkasuka. Letaknya ke timur sebuah pulau yang dipanggil Pulau Serai. Pulau ini nanti akan menjadi Gunung Jerai.



Ditakdirkan Allah anak Raja Rum hanyut lalu terdampar di pulau Langkapuri. Baginda kemudian ditemui puteri maharaja Cina. Tetapi garuda yang tidak menyedari ini pergi menghadap Nabi Sulaiman untuk menyatakan ia telah berjaya memisahkan jodoh kedua anak raja itu. Nabi Sulaiman yang tahu segala yang telah berlaku pun menyuruh raja jin membawa anak Raja Rum dan puteri Maharaja Cina ke balai penghadapan. Apabila garuda melihat ini ia terasa amat malu lalu membuang diri.




Setelah beberapa lama baru perkhabaran anak Raja Rum dan puteri Maharaja Cina selamat malah telah diijabkabulkan sampai kepada Raja Merong Mahawangsa. Dalam tempoh itu baginda telah mendapat seorang anak yang diberi nama Raja Merong Mahapudisat. Baginda pun membuat keputusan untuk kembali ke benua Rum. Anak itu dirajakan dan negeri yang semakin berkembang (bermula dengan Langkasuka itu) diberi nama Kedah Zamin Turan. Baginda juga meninggalkan wasiat - apabila Mahapudisat mendapat anak-anak hendaklah disuruh membuka negeri-negeri baru dengan bergerak ke arah-arah tertentu.



Setelah beberapa lama Raja Merong Mahadipusat mendapat anak seorang demi seorang. Apabila anak-anak cukup umur, wasiat ayahanda baginda pun dijalankan. Hasilnya anak pertama membuka negeri Siam, anak kedua membuka Perak, anak ketiga membuka Patani sementara anak keempat iaitu yang bongsu nanti mewarisi pemerintahan negeri Kedah.



Apabila Raja Merong Mahapudisat mangkat, anak bongsu menggantikan baginda memakai nama Raja Seri Mahawangsa. Sampai satu masa anak yang tua iaitu pemerintah Siam mendapat anak. Raja Seri Mahawangsa menghantar hadiah berupa bunga emas. Ini menjadi tradisi turun menurun yang menggambarkan hubungan Kedah dengan Siam, hubungan antara seorang adik bongsu dengan abang sulung.



Raja Seri Mahawangsa digantikan oleh anaknya Raja Seri Maha Inderawangsa yang berkahwin dengan wanita daripada bangsa gergasi. Dapat anak yang kemudian menaiki takhta memakai nama Raja Ong Maha Perita Deria. Raja inilah yang terkenal dalam cerita-cerita lama Melayu lama sebagai Raja Bersiong, Ini kerana kesukaannya makan darah dan daging manusia akibat merasakan hidangan tukang masaknya terlebih aneh setelah tertitik masuk darah daripada jari yang terhiris pisau.



Tentang cerita Raja Bersiong juga anak yang bakal menggantikannya,  Raja Pra Ong Mahaputisat tidaklah perlu saya panjangkan. Kalau mahu tahu boleh baca sendiri. Sekali lagi, untuk bacaan teliti malah keseluruhan buku boleh lihat di sini.







Dalam perkongsian ini saya cuma mahu mengambil dan menonjolkan bahagian-bahagian yang saya fikir paling relevan untuk mencari kebenaran sejarah dalam hikayat ini.




Paling penting adalah cuba mengaitkan cerita-cerita dalam hikayat dengan sejarah dunia yang kita boleh telaah dan rujuk silang, Antara peristiwa-peristiwa penting dalam hikayat yang harus diambil kira adalah bagaimana kerajaan Kedah boleh wujud akibat garuda cuba menghalang jodoh anak Raja Rum dengan puteri Maharaja Cina, pembukaan kerajaan Siam oleh cucu sulung Raja Merong Mahawangsa dan Kedah diIslamkan. Artikel selepas ini akan mula membuat analisa keadaan...



1 comment:

  1. PAKET TOUR BANDAACEH-SABANG-ACEH BESAR 4D3N & 3D2N.. INFORMASI LEBIH LANJUT HUBUNGI (+62) 821 6347 6464 / email: aso_wisata@yahoo.com

    ReplyDelete