Bahagian terakhir pembentangan. Bersambung daripada Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Antara Merong dan Mahapudisat.
Melompat terus kepada raja ketiga Kedah, Raja Seri Mahawangsa tetapi masih dalam konteks zaman kewujudan ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat.
Ini kerana semasa Raja Merong Mahapudisat masih hiduplah anak sulungnya telah naik jauh ke utara dari Kedah lalu membuka negeri baru yang disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa sebagai bernama Siam Lanchang,
Semakan melalui Internet menyebut memang pernah wujud negeri bernama Lanxang, sebutannya berbunyi Lanchang, dalam lingkungan tanah besar yang sering dikenali ramai sebagai benua Siam (maksudnya tak semestinya merujuk pada sempadan Siam yang dikenali sekarang sebagai Thailand tetapi boleh meliputi tempat-tempat lain di Indo-China). Separuh daripada Lanxang ini kemudian membentuk Thailand sekarang, separuh membentuk hampir keseluruhan negara moden Laos. Lalu Lanxang lebih dikenali dalam sejarah rasmi sebagai cikal bakal Laos.
Apapun Lanxang ini dipercayai diasaskan tahun 1353 sedangkan Siam Lanchang yang disebut hikayat merujuk pada zaman yang lebih purba. Mungkin Siam Lanchang yang dibuka anak sulung Raja Merong Mahapudisat itu merujuk pada kawasan yang sama tetapi belum tentu dipanggil Siam Lanchang zaman itu, Sama seperti anak kedua baginda disebut hikayat membuka negeri Perak sedangkan sejarawan secara rata berpendapat belum muncul negeri bernama Perak sebelum tahun 1528M, yang ada Gangganegara seawal abad ke-2 Masihi, Begitu juga halnya apabila anak ketiga disebut membuka Patani sedangkan ia nama yang diketahui muncul kemudian. Perlu diingatkan hikayat ditulis atau disalin balik selepas nama-nama ini wujud. Jadi kemungkinan besar ia merujuk pada wilayah yang sama tetapi menggunakan nama yang lebih dikenali pada zaman kemudian,
Saya tak tahu bagaimana hendak menerangkannya tetapi saya percaya daripada negeri Siam Lanchang yang dibuka oleh anak sulung Raja Merong Mahapudisat itulah muncul Empayar Funan. Sedangkan daripada Funan muncul kerajaan Chih Tu di Kelantan yang mana ramai sejarawan percaya daripada Chih Tu muncul kerabat diraja yang membuka Empayar Srivijaya abad ke-7 Masihi. Begitu juga daripada Funan muncul Dinasti Sailendra yang merajai Pulau Jawa lalu membina monumen hebat Borobudur abad ke-8 hingga abad ke-9 Masihi. Saya berpendapat dinasti raja-raja ini semua berasal daripada keturunan Raja Merong Mahawangsa.
Berbalik pada anak bongsu Raja Merong Mahapudisat yang mewarisi Kedah selepas kemangkatan baginda iaitu Raja Seri Mahawangsa. Jika baginda Mahapudisat masih ada maka kerajaan-kerajaan yang diletakkan hikayat sebagai Siam Lanchang, Perak dan Patani itu harus tunduk kepada Kedah kerana semuanya diasaskan oleh anak-anak baginda. Tetapi apabila baginda mangkat, Perak, Patani malah Kedah harus tunduk hormat kepada Siam. Ini kerana negeri-negeri tersebut diperintah adik sedangkan Siam diperintah abang sulung. Maka itu pada zaman Seri Mahawangsa baru wujud hubungan Kedah ke bawah Siam yang dikenali ramai seperti tercatat dalam sejarah moden. Ini menurut hikayat ditandai dan dimulakan dengan peristiwa Kedah di bawah perintah adik bongsu menghantar bunga emas kepada Siam sebagai hadiah untuk anak yang baru diperolehi raja Siam, si abang sulong.
Masuk zaman raja ke-4, Raja Seri Maha Inderawangsa, anakanda kepada Raja Seri Mahawangsa. Baginda dikatakan membuka kota di Sungai Emas.
Berdasarkan kajian geologi yang menunjukkan paras air adalah lebih tinggi dahulu (dan ini memang dinyatakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa), sebahagian besar Sungai Emas masih berada di bawah air sehingga abad ke-3 Masihi. Ini membayangkan pada tahun 300an ke atas baru Sungai Emas menjadi daratan yang cukup stabil untuk didirikan kota. Maka zaman pemerintahan Raja Seri Maha Inderawangsa haruslah ketika atau selepas itu.
Penanda zaman seterusnya adalah pada zaman pemerintahn raja ke-5, Raja Ong Maha Perita Daria @ Raja Bersiong.
Selain cerita baginda suka makan darah dan daging, pada saya perkara paling penting adalah semasa zaman bagindalah baru Pulau Seri betul-betul bersambung dengan daratan besar lalu menjadi Gunung Jerai. Disebut juga bahawa ketika itu binatang tidak lagi boleh bercakap kerana Nabi Muhammad SAW sudah lahir. Ini menunjukkan baginda memerintah tahun 570 Masihi (tahun kelahiran Nabi) ke atas...
Masuk zaman raja ke-6, Raja Pra Ong Maha Putisat.
Selain cerita asal-usul raja ini sebagai anak Raja Bersiong yang dilahirkan ketika baginda dalam buangan juga cerita peperangan yang berlaku zaman itu untuk merebut takhta Kedah (tetapi ia berlaku di satu kawasan di utara antara wilayah Siam dan Kedah), saya tidak dapat melihat sesuatu yang begitu penting tentang zaman pemerintahannya. Paling penting mungkin hal Pulau Kering menjadi daratan, Saya tak pasti ia di mana, saya meneka ini merujuk pada Gunung Keriang di Alor Setar. Ah. Mungkin di situ ada petunjuk kaitan penting dengan Aceh. Lihat artikel lama saya, Mencari jejak Merong : Gunung Keriang... bayangan kerajaan Aceh di Kedah? di blogspot CATATAN SI MERAH SILU
.
Akhir sekali kita pergi kepada raja ke-7, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudian memeluk Islam lalu memakai nama baru Sultan Muzaffar Shah (ditulis Mudzlafal Shah dalam hikayat tapi saya tertaip Mulzafar pada slaid).
Hikayat menyebut ulamak yang mengIslamkan baginda itu hidup di Baghdad 5 tahun selepas Rasulullah SAW wafat. Saya fikir ini satu kesilapan salinan kerana kota Baghdad diketahui dalam sejarah didirikan pada tahun 762 Masihi oleh Khalifah Abu Jafar al-Mansur daripada Bani Abbasiyah sedangkan Nabi Muhammad SAW wafat 632M. Dan saya melihat deskripsi Baghdad dalam hikayat sebagai pusat keilmuan Islam seperti kelihatan pada muka surat atas merujuk pada zaman Sultanul Awliya (raja segala wali) Sheikh Abdul Qadir Jilani sedang sibut berdakwa tahun 1100an. Maka itu saya percaya hikayat sebenarnya merujuk pada zaman 500 tahun selepas Rasulullah wafat, bukan 5 tahun. Tetapi dua titik yang mewakili nombor kosong (mengikut tulisan Jawi) pada teks awal/asal Hikayat Merong Mahawangsa mungkin sudah terpadam atau penyalin kemudian terlepas pandang.
Apapun tahun raja Kedah ke-7 itu masuk Islam telah disepakati sebagai 1136 M. Ini memang dalam lingkungan 500 tahun selepas Nabi Muhammad SAW dan ketika itu memang Sheikh Abdul Qadir al-Jilani (dikatakan hidup 1077-1166 M) telah menjadi pendakwah agung. Walaupun tidak disebut dalam hikayat, ramai percaya Sheikh Abdullah yang mengIslamkan raja Kedah adalah anak murid Sheikh Abdul Qadir. Hikayat cuma menyebut Sheikh Abdullah ini anak murid kepada Sheikh Abdullah tua di Baghdad. Mungkin Sheikh Abdullah tua itu merujuk kepada Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Yang pasti pada zaman itu tidak ada ulamak yang lebih tinggi pengetahuan juga makam dan kedudukan daripada Sheikh Abdul Qadir terutama di Baghdad.
Sebagai peringatan dalam usaha mencari kebenaran melalui hikayat, kita mesti peka terhadap unsur-unsur kecelaruan kronologi atau aturan masa pada hikayat, disebut sebagai anachronistic dalam pengkajian sejarah. Ini berlaku apabila peristiwa-peristiwa berlainan zaman teradun pada ceriya satu zaman. Misalnya apabila disebut tentang Sheikh Nuruddin daripada Aceh dengan kitab Babun Nikah sezaman dengan kedatangan Sheikh Abdullah mengIslamkan raja Kedah. Itu terang-terang merujuk kepada Sheikh Nuruddin Ar-Raniri yang terkenal semasa Sultan Iskandar Thani memerintah Aceh 1636-1649. Sedangkan kewujudan Sultan Muzaffar yang diIslamkan ternyata jauh lebih awal apalagi memang terdapat ramai Sultan telah memerintah Kedah selepas baginda dan sebelum tahun 1636 (rujuk senarai pada awal artikel Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Antara Merong dan Mahapudisat). Dalam kes ini kita harus berpegang kuat bahawa hal keIslaman raja Kedah itu sememangnya telah berlaku lebih awal (500 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW seperti diterangkan sebelum ini), jangan terkeliru dengan zaman Sheikh Nuruddin 500 tahun kemudian.
Secara rata berdasarkan petunjuk zaman pada hikayat, kita boleh menulis zaman atau tempoh pemerintahan 7 raja terawal dalam Hikayat Merong Mahawangsa seperti di atas. Pada senarai serupa yang ditunjukkan lebih awal, saya meletakkan anggaran tahun hanya pada raja pertama (zaman Nabi Sulaiman), raja ke-3 (dalam lingkungan kemunculan awal Empayar Funan), raja ke-5 (selepas Nabi Muhammad SAW lahir 570M) dan raja ke-7 (memerintah sebagai seorang sultan Islam 1136-1179). Pada senarai terakhir ini baru saya berani meletakkan anggaran zaman pemerintahan untuk raja ke-2 (ambil pertengahan antara zaman raja pertama dengan raja ke-3) iaitu sekitar 500SM. Zaman pemerintahan raja ke-4 pula mengambil kira dua faktor - surutnya air laut sehingga kota boleh dibina di Sungai Emas (rujuk gambar satelit selepas cerita zaman raja ini disentuh) dan pertengahan zaman antara raja ke-3 dengan raja ke-5 yang mana dua faktor ini ternyata saling mengena.
Zaman raja ke-6 pula saya ambil sebagai pertengahan antara raja ke-5 dan raja ke-7 lalu dapatlah tahun sekitar 840M. Macam kena pula dengan kaitan Aceh yang saya sebut pada ulasan zaman raja ini (bab Pulau Kering jadi Gunung Keriang, rujuk artikel lama Mencari jejak Merong : Gunung Keriang... bayangan kerajaan Aceh di Kedah). Untuk pengetahuan, pada tahun 840M itulah muncul Kesultanan Islam Perlak di Aceh yang diterajui raja berketurunan Nabi Muhammad SAW.
Dalam konteks HIKMAH Lembah Bujang terutama berkenaan tapak arkeologi Sungai Batu senarai tempoh masa ini dapat sedikit sebanyak menjawab apa yang berlaku terutama berkenaan penemuan tapak-tapak peleburan besi. Kita tahu dalam Al-Quran nabi merangkap rasul mana yang diberi kelebihan membentuk besi iaitu Nabi Daud, bapa Nabi Sulaiman. Tentunya ilmu ini diajar kepada anakanda baginda lalu diketahui umat Nabi Sulaiman. Raja Merong Mahawangsa pula hidup pada zaman nabi ini, tidak jauh daripada zaman Nabi Daud. Jadi masuk akal kalau dikatakan bagindalah yang membawa ilmu pembuatan/peleburan besii ke Kedah. Apa yang ditemui setakat ini adalah sisa industri peleburan besi beratus tahun kemudian. Lihat Tapak peleburan besi di Sungai Batu - Bukti Kedah sudah mengeksport besi sejak lebih 2000 tahun lalu!
Setakat ini penemuan tertua di Sungai Batu adalah tinggalan bangunan pentadbiran berusia 2,500 tahun. Ini menjadikan ia tamadun tertua berjaya ditemui di Asia Tenggara. Rujuk artikel HIKMAH Lembah Bujang - Tamadun purba Sungai Batu dan masjid abad ke-9 juga Dari rumah ibadah 110SM ke kompleks pentadbiran 487SM. Penemuan tertua itu boleh dikaitkan dengan zaman pemerintahan raja ke-2 Kedah menurut Hikayat Merong Mahawangsa iaitu Raja Merong Mahapudisat. Semoga selepas ini kita akan berjumpa kesan-kesan tamadun lebih lama untuk membenarkan cerita hikayat bahawa Raja Merong Mahawangsa yang membuka Kedah selepas Langkasuka memang sampai semasa Nabi Sulaiman AS memerintah. Sekian. :]
PAKET TOUR BANDAACEH-SABANG-ACEH BESAR 4D3N & 3D2N.. INFORMASI LEBIH LANJUT HUBUNGI (+62) 821 6347 6464 / email: aso_wisata@yahoo.com
ReplyDelete