Hampir jam 11.45 baru pembentangan pertama dimulakan.
Profesor Dato' Dr Mokhtar Saidin, pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia membentang secara santai. Tajuk tentatif yang saya diberikan adalah "Sungai Batu sebagai Tapak Tamadun Tertua di Asia Tenggara".
Sebagai orang yang bertanggungjawab membuka tapak arkeologi Sungai Batu tidak ada sesiapa boleh menandingi pengetahuan beliau tentang penemuan besar ini. Walaupun ada mempersoalkan Prof Mokhtar berasal daripada bidang geologi, bukan arkeologi tulen, disebabkan pengetahuan geologi itulah beliau dapat membuat pemetaan 97 tapak penting di Sungai Batu tahun 2007 yang pada ketika itu adalah ladang kelapa sawit. Selepas melalui beberapa proses termasuk mendapatkan dana juga tanah, tapak mula dibuka 2009. Paling mengejutkan adalah penemuan tapak-tapak peleburan besi purba bermula 2010.
Penemuan tapak disokong oleh penemuan sisa-sisa besi, jongkong, alat-alat yang patut untuk membuat peleburan dan sebagainya. Pentarikhan pula dibuat setelah sampel-sampel yang sesuai dihantar ke beberapa makmal di luar negara.
Penemuan-penemuan ini sebenarnya menyokong cerita-cerita tentang kerajaan Kedah Lama atau Kedah Tua yang ada disebut oleh kerajaan atau tamadun luar. Besi berkualiti Kedah dieksport ke luar negara, paling lewat pun abad ke-10 Masihi.
Sehingga kini 49 tapak untuk pelbagai fungsi telah berjaya dibuka oleh pasukan Prof Mokhtar.Turut ditemui adalah jeti-jeti untuk kapal mendarat di kiri dan kanan sebuah sungai purba. Dianggarkan selebar 100 meter dan sedalam 30 meter suatu masa dahulu, sungai ini sudah lama pupus menjadi daratan. Yang tinggal cuma alor atau parit kecil sahaja.
Tidak kurang menarik adalah satu bangunan ibadah lama yang bukan bercirikan agama Hindu, mahupun Buddha, dua agama yang dikatakan paling menonjol pada zaman Sebelum Masihi. Tapaknya berbentuk bulat, di atas bulat itu baru ada struktur empat segi. Kalau tak salah ingatan Prof Mokhtar memberitahu ia dibina 110 SM. Katanya belum ditemui lagi apa-apa struktur bangunan ibadah sepertinya di bahagian lain dunia.
Segala ini menjadikan tinggalan tamadun yang ditemui sangat istimewa...
Paling penting, Prof Mokhtar menegaskan ia adalah tamadun orang Melayu.
Pembentang kedua, Dr. Harleny Abd Arif pula membentang tentang "Masjid Kuno Pengkalan Bujang Kurun ke-9".
Beliau memulakan dengan penerangan panjang lebar apa itu mihrab, fungsi, falsafah dan sebagainya sesuai dengan pengkhususan beliau dalam kajian mihrab dan mimbar masjid-masjid tua.
Selepas itu beliau memberi beberapa contoh mihrab yang pernah dikajinya.
Kemudian baru masuk pada bangunan yang hendak dibincangkan, satu runtuhan lama di Pengkalan Bujang (masih dalam lingkungan kawasan bersejarah Lembah Bujang yang turut mengandungi Sungai Batu) yang telah dipastikan berdiri sejak abad ke-9 Masihi.
Cuma ramai menganggap ia salah satu candi lama, samada untuk penganut Hindu ataupun Buddha. Sedangkan ada yang percaya malah mendapat alamat tertentu ia adalah masjid.
Dr. Harleny tegas ia adalah runtuhan sebuah masjid kuno berdasarkan ciri-ciri tertentu yang ada pada binaan.
Temu bual dengan satu pihak yang telah lebih awal percaya ia adalah masjid dilampirkan. Saya pernah mendengar cerita keberadaan runtuhan di Pengkalan Bujang sebagai masjid ini pernah dijadikan kajian PhD seseorang tetapi ditolak mentah-mentah agar tanggapan lama yang sudah kukuh iaitu segala binaan purba di Lembah Bujang adalah berunsur samada animisma kalau takpun Buddha atau Hindu tidak dicabar.
Hujah menyokong binaan sebagai masjid disimpulkan...
Selepas 1.30 kami berehat makan tengah hari dan solat Zohor.
No comments:
Post a Comment