Adapun 3 jam tadi saya telah mempersembahkan satu artikel bertajuk Sekitar HIKMAH Beruas - Tanjung Malim, Tapah dan Lata Kinjang di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Artikel yang menunjukkan sedikit persediaan akhir sebelum acara ke-15 HIKMAH berlangsung di Beruas baru ini sepatutnya sudah dikongsikan Jumaat malam Sabtu. Tetapi disebabkan tidak ada talian Wi-Fi boleh digunakan untuk mempersembahkannya dari sana maka saya harus menunggu kembali ke rumah sebelum dapat membuat kerja. Sampai ke rumah Isnin pagi buta pula saya terasa begitu kepenatan dan ini berlanjutan buat beberapa lama. Maka maafkanlah saya kerana lambat berkongsi cerita. Apapun, sekarang bolehlah dimulakan cerita perjalanan acara.
Pagi Sabtu 8 Ogos 2015, saya dan keluarga pergi ke tempat acara iaitu dewan orang ramai Kampung Banjar kira-kira 15 km ke selatan pekan Beruas.
Ini adalah lebih kurang 1.5 km ke selatan chalet tempat kami menginap. Sebelum ini pernah diumumkan bahawa acara ke-15 HIKMAH mahu diadakan di chalet. Lihat artikel Lokasi tepat HIKMAH Beruas 8 Ogos dan atur cara terbaru yang dipaparkan 2 minggu lalu. Tiga hari kemudian baru saya diberitahu oleh pihak penganjur tempatan bahawa acara dialihkan ke dewan Kampung Banjar.
Nasib baiklah pertukaran dibuat ke tempat yang cukup dekat. Maka ia tidaklah mengganggu. Dan lagi lokasi ini lebih baik kerana terletak betul-betul bersebelahan masjid, Senanglah orang hendak bersolat juga tumpang berehat. Buang air pun senang kerana tidak perlu berebut tandas.
Selain perubahan tempat, telah berlaku juga perubahan atur cara tentatif diakibatkan seorang pembentang mendapat panggil saat akhir untuk bertugas pada hari acara. Dengan itu saya pun membuat aturan baru lalu dikongsikan di Facebook 2 hari sebelum acara. Keesokannya saya tergerak untuk memaparkannya dalam bentuk yang lebih cantik lalu dikongsikan di FB. Biar dikongsikan di sini :-
Setelah atur cara terbaru ini dipersembahkan bolehlah saya bercerita lebih lancar apa yang berlaku seterusnya.
Atur cara menyebut acara harus dimulakan jam 9.15 pagi.
Namun seperti yang pernah berlaku pada beberapa acara HIKMAH persiapan termasuk menyediakan alatan audio-visual masih berlangsung selepas beberapa waktu.
Majlis juga bermula agak perlahan kerana menunggu kehadiran lebih ramai peserta.
Jam 10 pagi baru majlis secara rasminya dimulakan oleh saudara Tengku Ahmad Ridhaudin sebagai MC...
Saudara Rashid mewakili masyarakat Kampung Banjar juga anak-anak Beruas memberikan kata-kata aluan, Beberapa orang adik beradik beliau terutama kakaknya, Puan Khatijah terlibat menjayakan acara meneruskan kerja ayahanda mereka, arwah Dato' Shaharuddin untuk memartabatkan sejarah kerajaan lama Beruas juga Gangganegara.
Ini diikuti kata-kata aluan oleh saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH (tak ambil gambar). Seterusnya hadirin diberikan sedikit pengenalan sejarah Beruas oleh tuan Murshidi yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur tempatan.
Majlis seterusnya menjemput Drs. Ahmad Anuf Chafiddi, seorang budayawan Indonesia untuk memberikan sedikit kata-kata. Berasal dari Lamongan, Jawa Timur beliau datang ke Malaysia untuk menghadiri satu majlis GAPENA pada tarikh yang sama.
Tetapi majlis katanya dibatalkan disebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sepatutnya merasmikannya telah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ketika itulah beliau tercari-cari satu majlis yang sesuai untuk mengisi masa lalu diberitahu oleh Puan Khatijah tentang HIKMAH. Ahmad sempat membacakan satu puisi ciptaan sendiri tentang perjuangan orang Melayu kemudian merasmikan majlis. Doa selamat dipanjatkan oleh seorang ustaz sebelum pembentangan ilmu bermula.
OK. Kenapa selepas menyajikan atur cara saya menyebut "bolehlah saya bercerita lebih lancar apa yang berlaku seterusnya."? Sebetulnya malam sebelumnya saya telah diminta oleh pihak penganjur tempatan untuk memberikan laluan agar hadirin dapat ke pekan Beruas bagi memenuhi undangan rumah terbuka wakil rakyat. Pada mulanya saya kurang bersetuju kerana jadual atur cara sudah cukup padat... tiba-tiba diminta membawa semua hadirin untuk ke majlis lain jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Rumah terbuka itu dibuat di pekan Beruas, 15 km dari dewan di Kampung Banjar. Kan dah makan banyak masa nak atur konvoi bergerak ke sana kemudian duduk makan menunggu masa untuk diraikan oleh wakil rakyat kemudian kembali bersama ke dewan untuk meneruskan acara?
Bagaimana pula halnya bagi mereka-mereka yang sampai lewat? Apakah akan dilakukan jika mereka sampai ketika kita semua masih di luar dewan? Antara pembentang pun ada 2 orang yang katanya baru kembali daripada satu acara di Kuala Terengganu. Seorang setakat sempat menghadirkan diri 2-3 jam sebelum harus berkejar kembali ke Lembah Klang. Tak ke kelam kabut jadinya?
Keputusan berada dalam tangan saya sebagai presiden HIKMAH. Berdasarkan pengalaman mengendalikan 14 acara sebelum ini, hadirin secara rata sudi mengikut apa sahaja yang saya sarankan tetapi atas kepercayaan bahawa apa pun yang dilakukan adalah untuk kebaikan semua, bukan suka-suka nak arah atau perintah orang. Nak tolak undangan ke rumah terbuka memang tak manis apa lagi kami rata-rata orang luar bertandang ke tempat orang. Nanti Ahad kami akan membuat lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah di Beruas. Eloklah dapatkan restu orang tempatan.
Setelah memikirkan hal ini sedalam-dalamnya, saya pun memutuskan begini. Kita buat dahulu acara seperti dirancang. Nanti bila sampai masa yang dirasakan tepat saya akan umumkan agar hadirin bergerak ke rumah terbuka. Itupun bukan semua akan ke sana, separuh atau lebih harus tinggal di dewan sekurang-kurangnya agar mereka yang datang lewat dapat melihat ada acara sedang berjalan, tak le dewan kosong macam tak berlaku apa-apa. Dan lagi memang ada pun yang kena tinggal kerana berniaga. Siapa pula nak jaga barangan kalau semua hendak bergerak ke Beruas? Kelihatan dalam gambar saudara Amirul Haji Mohammad, seorang aktivis dinar dirham dan jururuding kewangan Islam membuka sesi pembentangan pagi dengan kertas kerja bertajuk "Dinar Dirham vs Wang Kertas dan Penipuan Perbankan".
Pembentangan dimulakan sekitar 10.50 pagi lewat lebih sejam daripada apa yang dirancang. Amirul pernah beberapa kali membentang topik sama pada majlis-majlis HIKMAH, cuma setiap satu ditambah perisa berdasarkan perkembangan terbaru semasa. Lihat artikel lama Mata wang syariah dan Melayu : Penipuan dalam kewangan dan perlembagaan? yang dipersembahkan selepas acara pertama HIKMAH berlangsung di Shah Alam 4 November 2012.
Ini diikuti pembentangan bertajuk "Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu" oleh saudara Shamsul Yunos, seorang bekas wartawan Malay Mail, kini wartawan bebas dan penganalisis isu semasa.
Beliau juga telah beberapa kali membentang topik sama dalam majlis HIKMAH. Lihat artikel Kertas kerja HIKMAH IX - Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu yang dipersembahkan selepas acara ke-9 HIKMAH di Pulau Pinang 22 Februari 2014.
Selesai itu sampai giliran saya untuk membentang, Memandangkan sudah masuk jam 12 tengah hari saya pun mengumumkan rancangan untuk menghadiri rumah terbuka di pekan. Ketika itu makan tengah hari di dewan juga sedang disiapkan. Maka mereka yang tinggal bolehlah makan kemudian berehat atau meneruskan aktiviti bebas.
Keluarlah sebahagian daripada kami untuk mewakili seluruh jemaah HIKMAH.
Memasuki kawasan rumah terbuka di padang pekan Beruas. Kedatangan kami bukanlah untuk menyokong mana-mana kumpulan atau parti politik tetapi untuk bersilaturahim demi kedaulatan Melayu dan Islam. Lihat artikel Beruas raya open house invite di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Kami bergerak di luar landasan politik kepartian. Jika ada pihak yang mahu diangkat, ia adalah institusi diraja sebagai tonggak perpaduan ummah. Kami tidak melihat pada raja secara individu tetapi pada institusi yang harus dimartabatkan melalui individu-individu yang mampu membawa watak dan peranan sebenar seorang raja menurut Islam. Mereka adalah rantaian untuk kemunculan kekhalifahan Islam mengikut manhaj kenabian seperti disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa-peristiwa akhir zaman...
No comments:
Post a Comment