Pada ketika ini tinggal 4 hari sahaja sebelum acara ke-16 yang berlangsung 30-31 Januari bermula Sabtu hujung minggu ini. Sabtu lepas iaitu pada 23 Jan saya telah ke lokasi iaitu rumah penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H. Alattas (beliau memanggilnya sebagai University of Life) untuk meninjau balik persekitaran lalu memutuskan penggunaan ruang. Berikut adalah ceritanya...
Merujuk pada peta yang telah dikongsikan dalam artikel HIKMAH Janda Baik di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016 15 hari lalu...
Pada Rabu lepas saya telah membuat artikel HIKMAH Janda Baik - Perkembangan 2 minggu sebelum acara hingga tinggal 10 hari lagi lalu menunjukkan kedudukan lokasi yang mungkin lebih jelas.
Adapun apabila sampai pada simpang yang ditunjukkan dalam peta akan kelihatan papan tanda menunjukkan arah ke Lorong Chemperoh 2.
Masuk ke lorong terus sekitar 150 meter...
Kemudian ambil kiri untuk masuk ke kawasan rumah...
Apabila dah masuk kawasan, boleh kelihatan surau di sebelah kanan.
Teruskan perjalanan ke hadapan lalu kelihatan bangunan rumah utama. Yang ni tak boleh kacau kerana ia kediaman tuan rumah dan keluarga.
Seterusnya adalah dewan tertutup.
Insyaallah kami mahu menggunakan ia untuk aktiviti kanak-kanak seperti melukis, mewarna dan bermain permainan tradisional seperti congkak...
Selepas itu adalah rumah kedua. Ini juga tak boleh kacau kerana merupakan kediaman ahli keluarga dan penjaga rumah.
Teruskan berjalan dan anda akan sampai ke taman utama.
Ke kiri adalah bangunan ini.
Ia adalah dewan terbuka.
Maulud, pembukaan dan pembentangan akan dilangsungkan di dewan ini. Di hadapannya akan didirikan 4 buah khemah dengan kerusi untuk 200 orang.
Di sebelah dewan adalah bangunan yang menyimpan peralatan masak-memasak.
Di sebelahnya adalah rumah berwarna hijau. Ia diletakkan di bawah penggunaan urusetia HIKMAH lalu mahu dijadikan tempat penginapan untuk sekutu kami, jemaah Armada Malaiu Malaysia. Mereka adalah penganjur bersama dengan tugas khas menjaga makan minum peserta. Maka eloklah menginap betul-betul di sebelah bangunan masak-memasak.
Ini adalah pemandangan daripada anjung rumah tersebut. Kali terakhir saya dan keluarga bermalam di rumah Pak Habib adalah di anjung ini 2 tahun lalu. Lihat artikel Gerak 33 dan rehat di Janda Baik di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Pada sisi rumah terdapat meja-meja untuk makan. Saya rasa elok dikekalkan untuk makan minum semasa acara selain orang ramai boleh makan di beberapa kawasan lain...
Di sebelahnya ada sebuah rumah yang lebih besar. Yang ini pun akan diletakkan di bawah urusetia HIKMAH tetapi lebih untuk mereka yang menyenggelarakan komponen utama majlis iaitu sesi-sesi ilmu juga penginapan bagi para pembentang.
Memandang balik ke belakang. Sekarang baru kita lihat pondok-pondok.
Pondok-pondok di sekitar padang mahu digunakan untuk pameran dan jualan barangan seperti busana, keris dan buku. Yang ini terpulang pada siapa yang mahu menggunakan. Letaknya cuma ke belakang sedikit dari padang.
Yang ini betul-betul tepi padang. Di sisinya tapi ke dalam sedikit adalah pondok yang boleh dikira paling utama dalam kawasan taman.
Kedua-dua pondok ini saya letakkan di bawah penggunaan urusetia HIKMAH. Ia boleh digunakan oleh jemaah Armada Malaiu, tim dokumentari Daulah Melayu (yang mana saya terlibat sebagai hos dan penyelidik. Lihat Menjayakan projek dokumentari Daulah Melayu.), pameran warisan oleh sahabat kami Ustaz Mahayuddin juga pameran dinar dirham yang akan diselenggarkan seorang aktivis.
Pondok-pondok seterusnya bolehlah digunakan oleh pihak-pihak lain yang berminat untuk berniaga atau membuat pameran. Saya telah menugaskan Ustaz Mahayuddin untuk mengkoordinasikan penggunaan pondok...
Yang ini saya fikir elok untuk pameran dan jualan buku oleh Khazanah Fathaniyah,
Yang ini terletak jauh sedikit ke belakang, mungkin lebih sesuai untuk jadi tempat rehat. Tapi kalau nak pakai untuk pameran dan perniagaan pun tak salah...
Meninjau ke bahagian sisi taman yang menaik ke atas bukit.
Anjung rumah yang kelihatan boleh juga digunakan untuk pameran dan perniagaan.
Di belakang ada kawasan yang saya rasa sesuai untuk aktiviti memanah.
Ke belakang lagi ada kawasan yang buat masa ini masih terbuka kepada umum.
Tetapi saya diberitahu tidak lama lagi ia akan ditutup, yang boleh masuk cuma ahli keluarga dan tetamu istimewa sahaja kerana ada sebuah rumah sering digunakan oleh keluarga.
Di belakangnya ada beberapa buah lagi pondok.
Pondok-pondok ini sesuai untuk mereka yang lebih adventurous menginap sepanjang acara. Sementara kawasan belum ditutup kepada umum bolehlah sesiapa yang berminat bermalam...
Peta ini menunjukkan keseluruhan 8 ekar kawasan rumah Pak Habib/University of Life dalam lingkungan garisan kuning. Warna oren menunjukkan kawasan pemusatan aktiviti untuk HIKMAH. Peserta dialu-alukan untuk bermalam, camping dan sebagainya dalam kawasan. Surau, dewan dan pondok-pondok boleh digunakan untuk menginap.
Cuma ingat bahawa kita menumpang membuat majlis di runah orang. Jagalah adab, adat dan kebersihan. Biar diakhiri artikel ini dengan sedikit pesanan daripada pihak tuan rumah. Saya copy paste dengan sedikit suntingan.
1. Jangan petik bunga/daun/buah tanpa izin. Setiap pokok tuan rumah tanam sendiri.
2. Jaga kebersihan. Walaupun tong sampah tidak sebanyak taman bunga rasmi, bukan bererti boleh membuang sampah di merata tempat.
3. Yang ada anak kecil. Tolong jaga setiap masa apatah lagi ada sungai di sebelah rumah. Masing-masing bakal sibuk. Walaupun tak sebesar dan sedalam Sungai Amazon dah ada kes hampir lemas.
4. Yang nak memasak atau barbeque tolong pastikan kemas lepas memasak. Walaupun UOL (University of Life) tidak mengenakan bayaran untuk datang bertandang dan menggunakan kemudahan yang ada, pastikan orang lain juga boleh menggunakannya selepas kita
Oh, lagi satu perkara. Cuma pihak urusetia HIKMAH, tuan rumah dan keluarga, para tetamu istimewa dan pembentang sahaja dibenarkan meletakkan kereta di dalam kawasan rumah. Lain daripada itu kena parking kat luar ya. Harap maklum dan akur. Jumpa kita di sana Sabtu-Ahad 30-31 Januari ini insyaallah... :]
No comments:
Post a Comment