Wednesday, March 9, 2016

Daripada Demokrasi ke Pemerintahan Beraja - Peralihan Rahman ke Rahim

Salam semua. Sampai masa untuk berkongsi sedikit ilmu yang dibentangkan pada HIKMAH Janda Baik 30-31 Januari 2016.

Adapun saya telah dijadualkan untuk membuka sesi pembentangan pertama iaitu sesi tengah hari Sabtu 30 Januari. Tajuknya adalah seperti yang kelihatan. Cuma disebabkan hal tertentu masa menjadi suntuk lalu saya membuat keputusan tidak membentang untuk memberikan laluan kepada pembentang seterusnya. Lihat artikel HIKMAH Janda Baik - Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW sebagai sarana keselamatan ummah.

Fikirnya, apa yang ingin diperkatakan boleh disampaikan pada masa lain kerana saya pun pengerusi majlis merangkap emcee. Paling tidak ia boleh diselitkan antara pembentangan orang lain. Namun kesibukan dalam memastikan acara berjalan lancar sebaik mungkin menyebabkan saya terlupa untuk melakukan ini. Tak mengapa. Isi pembentangan masih boleh dikongsikan melalui blogspot ini.



Slaid-slaid yang telah disediakan untuk majlis boleh ditukar kepada format jpeg gambar lalu dimuat naik...



Secara rata ia dimulakan dengan memperkenalkan apakah itu sistem demokrasi. Untuk ini saya telah menyalin maklumat berkenaan daripada Internet lalu membuat suntingan sebelum dimasukkan ke dalam slaid.


Saya mahu memberitahu demokrasi sebenarnya adalah satu sistem pemerintahan yang menjengkelkan. Ia memberi ruang untuk orang-orang jahat dan buruk akhlak yang pandai bermuka-muka naik menjadi pemimpin. Hal ini pernah dihuraikan panjang lebar dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007). Ia ada dikongsikan dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Lihat artikel-artikel berikut :-


Helah Yahudi Zionis memerintah dunia I

Helah Yahudi Zionis memerintah dunia II

Helah Yahudi Zionis memerintah dunia III


Selepas menerangkan dengan panjang lebar bagaimana demokrasi merosakkan manusia bolehlah diberitahu bahawa sistem yang sepatutnya adalah pemerintahan raja-raja dan kenapa. Lihat Membela Raja-raja - Sambungan daripada cerita helah Zionis memerintah dunia,


Namun kebanyakan manusia zaman ini tidak tahu atau sedar akan faedah sebenar sistem pemerintahan beraja, Ini kerana mereka sudah lama dimomokkan dengan sistem yang rosak akibat diterajui raja-raja yang tidak amanah dan kurang cekap. Sistem sengaja dirosakkan agar kita percaya demokrasi adalah jawaban terbaik (kononnya) bagi segalanya. Hal ini ada diterangkan panjang lebar dalam artikel-artikel yang dipautkan tadi.


Tanah Melayu mula disusupi sistem demokrasi dan segala macam kejahatan yang datang berserta dengannya apabila Perjanjian Pangkor yang terkenal itu ditandatangani 20 Januari 1874.




Gambar raja dan pembesar Melayu Perak zaman itu. Beberapa orang daripada mereka terlibat menandatangani Perjanjian Pangkor.



Perjanjian tersebut membawa kepada satu rantaian peristiwa yang akhirnya membawa negeri-negeri Melayu di Semenanjung membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Ia dimerdekakan keluar daripada pentadbiran nyata Inggeris (saya sebut nyata kerana pemerintahan di sebalik tabir berterusan lama selepas itu) pada 31 Ogos 1957 dan itulah yang kita kenali kini sebagai tarikh kemerdekaan Malaysia. Namun kemerdekaan ini datang dengan harga yang amat mahal. Antaranya adalah kita harus menggunakan sistem raja berpelambagaan yang mengutamakan prinsip demokrasi ciptaan Barat. Tentu ada kesan jangka panjang dirancang oleh musuh Islam yang akhirnya merugikan kita.

Lihat sahaja keadaan negara sekarang yang mana orang bukan Islam semakin galak menuntut hal yang bukan-bukan. Hak istimewa orang Melayu mahu dilupuskan, agama Islam mahu diletakkan sama malah lebih bawah berbanding agama lain, duit zakat orang Islam mahu digunakan untuk kepentingan bukan Islam Mereka ibarat orang menumpang yang akhirnya menuntut rumah kita. Mereka dapat menjadi kaya-raya kerana menggunakan kemudahan selesa di rumah. Semakin mereka selesa lalu mengambil lebih ruang semakin kita pula terpinggir ke hujung dapur. Akhirnya seluruh rumah mahu dituntut dengan alasan merekalah yang kononnya menjana kekayaan untuk rumah kita.


Sistem yang diwarisi daripada British meletakkan ketua pilihan demokrasi yang dipanggil Perdana Menteri atau singkatannya PM sebagai penentu hala tuju negara. Disebabkan demokrasi mereka seringkali terpaksa mengikut permintaan orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ini belum cerita lagi pengaruh rasuah dan kepentingan politik demi menjaga kedudukan, Walaupun secara rasminya PM berkhidmat di bawah Majlis Raja-raja Melayu, secara praktikalnya kuasa PM mengatasi semua. Golongan politik  yang naik sama akibat sistem pula mengatasi peranan golongan istana/bangsawan yang pernah membantu raja mentadbir kerajaan suatu masa dahulu. 

Kini Malaysia sudah memiliki 6 orang PM. Dikatakan huruf pangkal nama mereka membentuk ejaan untuk perkataan RAHMAN. Ini kelihatan memenuhi teori politik RAHMAN yang seingat saya mula diperkatakan sejak Tun Mahathir naik menerajui negara lebih 30 tahun lalu.



Ketika naiknya Mahathir sebagai PM, perkataan RAHMAN yang juga merupakan nama Perdana Menteri pertama mula membentuk huruf-huruf R,A,H dan M. Sejak itu sudah wujud spekulasi siapakah yang bakal naik menggantikan Mahathir.  Menurut teori RAHMAN siapa yang naik mesti ada pangkal nama yang bermula dengan huruf A.

Sebab itu dikatakan timbalan Perdana Menteri semasa awal pentabiran Mahathir iaitu Musa Hitam tidak dapat naik menjadi PM, Hal ini malah telah diramalkan sejak awal tahun 1980an semata-mata kerana namanya berpangkal huruf M. Begitu juga Tun Ghaffar Bab yang menjadi timbalan Mahathir selepas itu Musa tidak menjadi PM. Tapi apabila Anwar Ibrahim menjadi timbalan ramai percaya beliaulah yang bakal menerajui negara selepas itu. Bila Anwar jatuh akibat kes tertentu naik pula Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalan. Ramalan bahawa Perdana Menteri dengan pangkal nama berhuruf A naik selepas Mahathir dipenuhi apabila Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah memegang jawatan tertinggi itu tahun 2003.


Apabila turun Pak Lah tahun 2009 lalu digantikan timbalannya Najib maka lengkaplah ramalan teori RAHMAN. Ini kerana pangkal namanya adalah huruf N. Dengan itu lengkaplah 6 orang Perdana Menteri mengikut aturan dalam teori RAHMAN. Persoalan seterusnya adalah siapakah akan memimpin selepas itu? Teori RAHMAN sudah lengkap. Bagaimanakah ia harus disambung?


Saya pernah ditanyakan hal ini sebaik sahaja Najib naik menjadi PM. Sekonyong-konyong itu timbul ilham dalam hati menyatakan jawabannya terletak pada kalimah atau ucapan Basmalah iaitu Bismillahirrahmannirrahim. RAHMAN dalam Basmalah diikuti dengan perkataan RAHIM. Terjemahan keseluruhan yang kita biasa dengar ke dalam Bahasa Melayu adalah "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang". Maka RAHMAN dikatakan bermaksud Maha Pengasih, RAHIM Maha Penyayang.

Kelihatan RAHMAN dan RAHIM sama sahaja ertinya. Ini kerana pengasih dan penyayang macam sama makna. Tetapi ada juga yang menterjemahkan Bismillahirrahmannirrahim sebagai "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang". Ini lebih menepati tafsiran golongan Tasawuf dan ahli Sufi yang menyatakan perbezaan antara nama kedua nama Allah itu (antara 99 Asmaul Husna) adalah RAHMAN menunjukkan kasih sayang Allah SWT kepada semua makhluk tak kira samada derhaka atau taat, kafir atau Islam. Semuanya tetap diberikan rezeki menurut Qada' dan Qadar. Tetapi RAHIM adalah kasih sayang Allah terhadap mereka yang terpilih. Ini merujuk kepada golongan khusus yang harus Islam lagi Mukmin, taat kepada perintah dan larangan.


Pada saya RAHMAN yang  memberikan rezeki kepada orang-orang yang derhaka itu sesuai dengan konsep demokrasi yang membuka jalan untuk orang-orang jahat naik sebagai pemerintah negara. RAHMAN sebagai teori barisan pemerintah tertinggi Malaysia kini sudah terzahir nyata. Selepas itu harus sampai giliran RAHIM untuk orang-orang yang terpilih, Dalam konteks pemerintah tertinggi Malaysia/Tanah Melayu, saya melihat RAHIM  merujuk kepada peranan raja-raja yang insyaallah akan diangkat kembali dengan penuh kehormatan, daulat dan kemuliaan suatu hari nanti. Samada yang naik memenuhi ramalan adalah daripada barisan raja-raja yang ada sekarang saya tak pasti. Ini kerana ramai melihat mereka tidak memenuhi takrif ideal raja beramanah tinggi zaman dahulukala yang memungkinkan raja tersebut juga bertaraf wali.

Boleh jadi yang diangkat naik itu seorang berdarah raja yang keluarga dan keturunannya sudah lama tersisih jauh daripada lingkungan istana, Boleh jadi pada ketika ini dia hidup sebagai rakyat biasa yang tidak dikenali sesiapa. Yang pasti, yang naik itu harus ada darah raja. Seterusnya dia dapat menghidupkan zat dalam diri seperti disebut pada artikel Membela Raja-raja - Sambungan daripada cerita helah Zionis memerintah dunia.

Saya percaya apabila ini berlaku maka sabda Nabi Muhammad SAW tentang kebangkitan Islam akhir zaman dari Timur juga akan terzahir sama. Inilah kebangkitan yang dipercayai akan dapat membela umat Islam seluruh dunia, kebangkitan yang bakal membebaskan Palestin juga Baitul Muqaddis daripada kekuasaan kuku besi puak Yahudi Zionis Israel buat selama-lamanya, Teringat bagaimana saya mendapat ilham untuk melakukan sesuatu yang mungkin boleh membantu kebangkitan itu. Apabila mengadakan acara HIKMAH di Perak lebih 3 tahun lalu saya telah menerima ilham dan gerak hati untuk melakukan upacara pembatalan sihir. Lihat Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013. Upacara  ada diceritakan dengan lebih terperinci dalam artikel Kemuncak HIKMAH III - Perarakan Maulidur Rasul dan pembatalan sihir Perjanjian Pangkor 1874


Sebelum ia dilakukan saya ada memberikan ceramah pengenalan menggunakan sejumlah slaid. Beberapa halamana slaid saya ulang kembali untuk dipersembahkan di Janda Baik. Itulah yang kelihatan di atas, sebelumnya dan di bawah ini...



Ilham untuk mengadakan upacara datang secara berperingkat. Ini berlaku dalam tempoh beberapa hari acara di Lumut menerima bentuk. Pada mulanya saya sekadar mahu mengadakan gimik agar hadirin sedar bagaimana Perjanjian Pangkor 1874 telah merubah segalanya. Saya mahu mereka menghayati perkara ini kemudian mengambil tekad untuk membatalkan kesan-kesan negatif perjanjian yang melanda agama, bangsa dan negara sehingga kini.

Siapa sangka saya kemudian menerima ilham bahawa perjanjian itu diikat dengan ilmu sihir dan kami harus berusaha membatalkannya? Selepas beberapa hari lagi baru saya diilhamkan bagaimana cara untuk melakukan itu. Lihat artikel Hizb Bahr untuk membatalkan kesan negatif Perjanjian Pangkor.

Apa yang berlaku kini sudah menjadi sejarah dalam perjalanan HIKMAH yangi sudah meliputi 16 buah acara di merata Semenanjung membawa ke Aceh dalam tempoh 3 tahun lebih. Ia dmasukkan sebagai sebahagian daripada pembentangan untuk Janda Baik kerana terasa sangat relevan dengan tajuk "Daripada Demokrasi ke Pemerintahan Beraja - Peralihan Rahman ke Rahim". Ia begitu relevan kerana melibatkan usaha mengangkat kembali institusi raja-raja agar dapat mengatasi kepentingan ahli politik yang semakin mengharu-birukan negara. Semoga semangat yang dipamerkan ketika upacara berlangsung di Lumut dapat menguatkan lagi tekad para pendokong HIKMAH untuk terus maju berjuang ke hadapan demi kesejahteraan dunia dan akhirat umat Melayu dan Islam.

Slaid seterusnya sebenarnya mengandungi video ringkasan atau montage bagi keseluruhan acara di Lumut. Ia turut menggandungi rakaman upacara yang diadakan di pinggir pantai menghadap Pulau Pangkor. Cuma apabila ditukar kepada format gambar jpeg video tidak kelihatan. Maka itu biar dipaparkan secara terus di bawah. Tontonlah untuk menghayati suasana...



Koleksi video yang lebih lengkap memperincikan perjalanan sepanjang acara boleh dilihat dalam artikel Video sekitar HIKMAH III di Lumut. Dengan ini cukuplah saya bercerita tentang peralihan Rahman ke Rahim ya. Semoga ia memberikan faedah kepada semua. :]



2 comments:

  1. assalam, tn admin Hikmah ni pertubuhan ke, ada buka keahlian

    ReplyDelete
  2. Wassalam. Ini pertubuhan tidak rasmi bersifat komuniti. Kalau nak join boleh masuk Facebook kami dan klik like. Bila ada acara datang aje sebab terbuka dan percuma. Syaratnya kena pakai busana tradisional Melayu, bersampin, bertanjak dan berkeris. Paling kurang pakai baju Melayu atau jubah. Yang penting terserlah identiti sebagai anak Melayu/orang yang sayangkan budaya Melayu lalu tidak kelihatan keBaratan...

    ReplyDelete