OK. Artikel ke-4 untuk hari ke-2 acara. Bersambung daripada HIKMAH Janda Baik - Survival Umat Melayu Akhir Zaman...
Sekitar jam 12.55 bermulalah pembentangan kedua untuk sesi pembentangan tengah hari.
Ia adalah tajuk ke-4 untuk hari ke-2 acara ke-16 HIKMAH.
Apa yang ingin diperkatakan mungkin adalah subjek paling berat pernah dibawa secara terus dan terang dalam mana-mana acara HIKMAH.
Tajuk yang dikemukakan atas permintaan saya adalah "Semua Agama Asalnya Islam - Menerangkan Kesinambungan yang Hilang". Pembentangnya adalah tuan Kamaludin Endol, mantan pensyarah Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.
Difahamkan, sebagai seorang pencari kebenaran beliau pernah menceburkan diri di dalam berpuluh aliran, mungkin lebih silat zahir dan batin juga pengajian bercorak Tasawuf lalu telah mengalami sendiri pelbagai perkara mencarik adat. Selepas beberapa lama, Kamaludin membuat keputusan untuk menulis sebuah buku berbentuk novel bercakap tentang corak pemerintahan ideal menurut Islam. Memakai nama pena Pelita Dalam Kaca, buku pertama beliau, "Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafuur" memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) tahun 2011 dalam kategori novel. Untuk mendapat gambaran boleh baca sedikit kupasan novel di sini...
Untuk pengetahuan ini adalah kali ke-3 Kamaludin membentang pada acara HIKMAH. Kali pertama adalah pada acara ke-11 di Pagoh, Muar 8 November 2014. Ketika itu beliau membawa tajuk "Sistem Pentadbiran Islam Moden di bawah Pemerintahan Raja-Raja Melayu" merujuk pada tulisan dalam novel "Baldatun Thoiyyibatun". Lihat HIKMAH Pagoh 8 Nov - Kaitan Aceh-Muar dan visi kerajaan Islam ideal.
Selepas kejayaan buku tersebut beliau telah menulis beberapa buah buku yang bercorak falsafah keagamaan. Antaranya adalah “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” Berdasarkan penelitian mendalam beliau tentang hubungan Islam dengan agama-agama terdahulu saya kemudian mengundang Kamaludin untuk membentang pada acara ke-14 HIKMAH yang diadakan di Chenor, Pahang 9 Mei 2015. Beliau pun membawa tajuk "Mengenal Allah Melalui Agama Purba".
Cuma entah kenapa, pembentangan beliau ketika itu asyik menghadapi gangguan seperti sistem pembesar suara tiba-tiba tidak berfungsi atau microphone bermasalah. Terasa seperti ada yang tidak mahu perkara dibincangkan sampai kepada umum. Lihat HIKMAH Chenor : Semangat dan gerak dalam gendang Pahang serta Tasawuf dalam agama purba.
Kali ini, pada acara ke-16 HIKMAH saya mahu beliau membawa kembali apa yang pernah diperkatakan di Chenor berserta apa-apa penemuan baru yang sudah dibuatnya sejak itu. Tajuk yang dipinta iaitu "Semua Agama Asalnya Islam - Menerangkan Kesinambungan yang Hilang" sebenarnya tidak banyak beza dengan tajuk di Chenor iaitu "Mengenal Allah Melalui Agama Purba". Cuma kali ini saya minta supaya beliau dapat menjelaskan dengan lebih terang bahawa agama-agama purba seperti Hindu dan Buddha sebenarnya berasal daripada agama Tauhid atau Islam syariat Nabi-nabi terdahulu.
Untuk memberikan kefahaman ini, Kamaludin harus mengupas konsep-konsep Tauhid dan Tasawuf yang tersurat dan tersirat dalam agama-agama tersebut. Kali ini bukan sahaja beliau dapat memberikan penerangan yang lebih jelas tanpa apa-apa gangguan sistem pembesar suara dan sebagainya, Kamaludin malah menambah rencah dengan turut menerangkan konsep Tasawuf Wahdatul Wujud yang penuh kontroversi itu. Beliau menyatakan, konsep yang menerangkan hubungan antara Allah dan alam itu pernah diamalkan oleh raja-raja Melayu zaman dahulukala yang berwibawa. Ia melibatkan pemahaman Tauhid yang sangat tinggi lalu harus menjadi teras kekuatan umat Melayu dalam menghadapi segala macam cabaran akhir zaman.
Kamaludin mengambil peluang untuk memperkenalkan buku terbaru beliau yang baru sahaja keluar daripada kilang percetakan beberapa hari sebelum pembentangan, buku bertajuk "Wahdatul Wujud : Inti Tauhid ASWJ Yang Wajib Difahami". Pembentangan tamat sekitar jam 1.40. Pemilik rumah dan taman, penulis buku politik, Pak Habib @ S.H.Alattas kemudian naik ke pentas untuk menyatakan komitmen akan membantu Kamaludin 'meletopkan' buku. Kebetulan Pak Habib sendiri sedang mengusahakan sebuah buku baru berunsur Tasawuf lalu akan menyentuh bab Wahdatul Wujud juga.
Suasana sekitar waktu rehat untuk makan tengah hari dan solat Zuhur...
Petang nanti ada satu lagi sesi pembentangan ilmu sebelum acara tamat.
salam bang...nak join HIKMAH ni camner yer...
ReplyDeleteWassalam. Masuk page HIKMAH di https://www.facebook.com/HimpunanKedaulatanMelayuIslamAkhirZamanhikmah/ dan klik like. Pada hari acara datang aje berbusana Melayu tradisional bersampin bertanjak berkeris. Pakai baju Melayu atau jubah pun boleh. Tapi lebih digalakkan berbusana tradisional...
ReplyDelete