Thursday, March 3, 2016

HIKMAH Janda Baik - Raja-raja sebagai pelindung dan benteng Islam juga Melayu

Salam malam Jumaat. Setelah lebih sebulan acara ke-16 HIKMAH selamat dilangsungkan dengan jayanya di Janda Baik, Pahang 30-31 Jan sampailah masanya untuk mempersembahkan cerita tentang pembentangan terakhir sepanjang acara. Ini adalah cerita ke-5 daripada hari kedua acara. Bersambung daripada HIKMAH Janda Baik - Wahdatul Wujud sebagai teras kekuatan umat Melayu.



Selepas jam 3 sesi pembentangan petang Ahad pun dimulakan. Untuk pengetahuan ia adalah sesi pembentangan terakhir HIKMAH Janda Baik. Dengan itu kita semakin menghampiri penghujung acara...



Ia juga adalah sesi ke-5 pembentangan sepanjang acara. Dua sesi telah diadakan hari Sabtu (tengah hari dan petang) dan dua sebelumnya hari Ahad (pagi dan tengah hari). Rujuk artikel-artikel berikut :-


Tengah hari Sabtu



Petang Sabtu



Pagi Ahad




Tengah hari Ahad




Seperti pada setiap sesi, dua orang pembentang disenaraikan dengan setiap satu diberikan masa sehingga sejam untuk berkongsi ilmu. Menariknya tentang sesi petang Ahad adalah kedua-kedua pembentang datang daripada IKSIM, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia. Ia adalah satu badan yang ditubuhkan secara rasmi penghujung 2014 di bawah Majlis Raja-raja Melayu untuk menjaga kepentingan Islam dan orang Melayu.




Menariknya badan ini diterajui pakar undang-undang Melayu dan Islam yang sayangkan agama, bangsa dan negara juga institusi raja-raja. Misalnya pembentang pertama sesi iaitu yang kelihatan, Dato’ Prof Mahamad Naser Disa adalah seorang profesor undang-undang di sebuah universiti tempatan juga seorang peguam yang aktif menangani masalah-masalah melibatkan ancaman terhadap kedaulatan agama Islam, antaranya kes murtad. Oh, tajuk yang saya minta beliau tangani adalah "Islam Agama Persekutuan : Menangani Cabaran Liberalisma dan anti-Islam". Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM memulakan bicara dengan membetulkan beberapa salah tanggapan tentang kedudukan Islam di dalam perlembagaan juga kedudukan institusi raja-raja.



Saya rasa ramai sudah tahu bahawa menurut perlembagaan negara Malaysia, Islam bukan sekadar agama rasmi kita, ia adalah agama persekutuan iaitu agama negara. Dengan kefahaman yang benar, ada implikasi-implikasi tertentu yang menyebabkan Islam sebenarnya berkedudukan lebih tinggi daripada perlembagaan itu sendiri. Ini disebabkan perlembagaan dirangka atas dasar Islam adalah agama negara, bukan Islam berdiri disebabkan wujudnya perlembagaan itu.

Sebetulnya banyak perkara dalam perlembagaan sedia ada yang boleh melindungi kepentingan orang Melayu dan Islam dalam apa-apa keadaan jika ditafsir oleh pakar yang sayangkan agama, bangsa dan negara. Inilah fungsi IKSIM dan inilah yang ditekankan dalam pembentangan Mahamad Naser. Apa yang dijelaskan menarik perhatian ramai untuk bertanya. Sampaikan bab TPPA, Perjanjian Trans-Pacific yang dipelopori Amerika dan kini pihak kerajaan kita sudah menandatanganinya juga ditonjolkan sama.









Sesungguhnya bagi ramai orang yang sayangkan agama, bangsa dan negara penyertaan Malaysia dalam TPPA adalah sangat membimbangkan. Ramai berpendapat menteri-menteri kita sudah tidak boleh diharapkan kerana sudah teruk terjebak dalam permainan politik kotor lalu mereka menandatangani perjanjian yang dikatakan akan merugikan kita itu kerana terikat demi survival politik periuk nasi mereka. Dikatakan melalui TPPA, mana-mana syarikat luar boleh menyaman negara lalu meminta ganti rugi jika kita melakukan apa-apa tindakan, melaksanakan undang-undang dan sebagainya yang boleh memberikan kesan kepada bukan sahaja untung rugi syarikat malah unjuran untung rugi untuk masa hadapan. Jadi bagaimana kita mahu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam jika misalnya ada syarikat yang bertegas mahu melakukan perniagaan yang bertentangan dengan Syariah dan prinsip kita, atas dasar kita haruslah terbuka kerana sudah menangani TPPA?






Kata Mahamad Desa perlembagaan kita sebenarnya membolehkan kita menolak mana-mana bahagian TPPA yang merugikan setelah ditafsir dengan teliti. Walaupun ia sudah berkuatkuasa, ada ruang untuk kita menepis dan menolak apa-apa operasi yang tidak bersesuaian dengan kita. Ingat, Malaysia sebenarnya BUKAN negara demokrasi berparlimen TETAPI adalah merupakan negara dengan RAJA BERPERLEMBAGAAN. Maksudnya, sebenarnya raja tetap diutamakan dengan perlembagaan menyokong baginda, para menteri sekadar melaksanakan kuasa yang diturunkan dan diamanahkan daripada raja. Setiap Yang di-Pertuan Agong telah mengangkat sumpah akan mempertahankan kedudukan Islam apabila naik takhta. Atas sebab itu ada peruntukan perlembagaan yang sebenarnya membenarkan raja-raja mengatasi mana-mana keputusan kabinet/politik termasuk TPPA itu sendiri apabila ia menyentuh kemaslahatan Islam. Lalu menjadi tugas IKSIM untuk menafsirkan apa yang patut untuk membantu raja-raja membuat keputusan dan tindakan yang tepat pada kali pihak lain yang berkepentingan cenderung untuk memperalatakan undang-undang ke arah yang bertentangan... 






























Felo Kanan IKSIM, Dr Mad Akbal bin Abdullah kemudian menyambung perkongsian ilmu dengan membawa tajuk "Menghidupkan Peranan Raja Zilullah Fil'alam melalui Kuasa Tersirat dalam Perlembagaan".









Secara rata peranan tersurat dan tersirat raja-raja telah pun diperincikan oleh bosnya Mahamad Naser. Maka Dr Mad Akbal dengan gaya lebih santai, bercakap dari bawah pentas menambah dengan menceritakan betapa pentingnya rakyat menghormati raja agar mereka dapat memjalankan dengan lebih baik peranan yang telah diamanahkan ke atas mereka.



Apabila sesi soal jawab dibuka, ramai juga berminat untuk berkongsi pendapat selain bertanya. Alhamdulillah. Bukan selalu kami dapat mendengar hal raja-raja, Melayu dan Islam diperkatakan dengan begitu teliti oleh pihak yang berkemampuan melakukan perubahan dan membela. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang IKSIM dan misi mereka sila masuk sini

Sesungguhnya kita sekarang sedang hidup dalam zaman kebejatan sosio-politik dunia yang amat teruk. Diharapkan raja-raja dapat memainkan peranan sebenar yang sesuai dengan kemuliaan kedudukan tinggi mereka lalu membuka jalan ke arah kenaikan sistem khilfafah berdasarkan manhaj keNabian yang dirindu dan sangat didambahkan oleh para pejuang kebenaran. Insyaallah... :]



No comments:

Post a Comment