Friday, October 7, 2016

Perkembangan mendadak HIKMAH ke-18 di Muzium Negara - Acara dipercepatkan ke 15 Oktober

Salam semua. Salam malam Jumaat pertama tahun baru 1438 Hijriah. Adapun pada artikel kompilasi Acara ketujuh belas HIKMAH di Seremban 17 Sept 2016 yang dipersembahkan Jumaat lalu saya ada menyebut begini : "Kalau tiada aral melintang insyaallah acara ke-18 HIKMAH akan diadakan di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada 22 Oktober, cuma 3 minggu 1 hari sahaja lagi daripada sekarang". Petang tadi saya menerima berita mendadak yang mempercepatkan acara. Supaya lebih jelas duduk letak perkara biar dikongsikan perkembangan demi perkembangan tentang acara sejak 2-3 minggu kebelakangan, perkembangan yang belum dinyatakan lagi di blogspot ini tetapi ada sesekali diwar-warkan di Facebook...



Adapun rancangan untuk mengadakan acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara sebenarnya telah diberitahu sejak pertengahan bulan Ogos lagi iaitu hampir 2 bulan lalu. Lihat artikel Cadangan 3 acara HIKMAH sebelum tamat tahun 2016. Cuma ketika itu ia masih lagi dalam peringkat cadangan kepada diri sendiri dan kawan-kawan. Difikirkan juga acara mungkin diadakan di Bukit Jalil, Yang penting asalkan mendapat tempat sesuai dalam lingkungan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ini kerana HIKMAH belum pernah diadakan di KL.

Acara cuma diputuskan mahu diadakan di Muzium Negara apabila seorang sahabat HIKMAH, saudara Tengku Ahmad Ridhaudin menegaskan perlunya acara pertama kami di KL diadakan di muzium. Hal ini disuarakan ketika kami bertemu pada satu majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 17 Ogos. Lihat artikel Pelancaran kitab Sulalatus Salatin versi Krusenstern di DBP dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU.

Ketika itu saya sudah lebih cenderung mahu mengadakan majlis di Bukit Jalil. Beliau menyatakan komitmen akan berusaha untuk membawa perkara kepada pegawai Muzium Negara yang dikenalinya sehingga ia berjaya. Tokoh akademik terkenal, Dato Dr Othman Yatim yang merupakan penaung dan penasihat HIKMAH pula menyatakan kesediaan untuk membantu lalu saya pun bersetuju. Beliau ada bersama hadir di DBP.


Bersama Dato Dr Othman Yatim (kami panggil Prof Othman) di DBP pertengahan Ogos. Di sinilah diputuskan acara ke-18 HIKMAH harus diadakan di Muzium Negara...


Selepas pertemuan itu Tengku Ahmad mula bertindak menyampaikan hajat secara lisan kepada pegawai muzium yang dikenalinya. Sebetulnya acara ketika itu dicadangkan mahu diadakan di Muzium Etnologi Dunia Melayu yang terletak dalam kawasan kompleks besar Muzium Negara. Apabila diminta membuat surat rasmi kepada pihak berkenaan saya pun menyiapkannya 24 Ogos. Namun ia tetap memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia. Apabila hal ini disampaikan kepada beliau baru timbul cadangan bahawa majlis lebih baik diadakan di auditorium Muzium Negara, bukan di Muzium Etnologi. Surat baru pun dirangka kepada KP lalu dihantar 9 September. Turut diminta lalu dihantar adalah kertas kerja acara.



Gambar berkumpulan selepas acara ke-17 HIKMAH di Seremban selesai petang Sabtu 17 September...


Namun hari-hari berikutnya menyaksikan saya disibukkan dengan penganjuran acara terbaru HIKMAH di Negeri Sembilan. Lihat Acara ketujuh belas HIKMAH di Seremban 17 Sept 2016. Selesai acara dan setelah hilang sedikit penat lelah baru saya bertanyakan perkembangan iaitu pada 19 Sept. Ketika itulah Tengku Ahmad memberitahu pegawai kenalannya telah menetapkan satu pertemuan bersama KP. Tetapi tarikh yang diberikan iaitu Isnin 26 Sept (ke Selasa 27 Sept? Lupa pula...) clash dengan rancangan saya kerana perlu berada di luar kawasan untuk berkongsi ilmu di tempat orang pada waktu itu. Lihat Menyahut panggilan Linggi - Berkongsi ilmu sambil menurut gerak.

Nak tetapkan tarikh pertemuan baru yang selesa untuk semua orang bukannya senang. Masing-masing ada kerja dan komitmen, belum tentu dapat satu tempoh kelapangan yang semua orang dapat duduk semeja. Tengku Ahmad pun mencadangkan agar saya menghubungi Prof Othman untuk mengatur satu pertemuan terus dengan KP. Kebetulan ada majlis tertutup di pejabat muzium pagi Jumaat 23 September yang mana beliau adalah seorang pembentang. Kami pun diajak bertemu di sana. Inilah yang membawa pada satu update yang dibuat di FB petang itu. Biar dicopy paste ke sini...


----------------


ACARA KE-18 HIKMAH DI MUZIUM NEGARA 22 OKTOBER 2016?

Salam petang Jumaat. Belum pun seminggu acara ke-17 HIKMAH telah berlangsung di Seremban 17 Sept 2016, belum pun selesai saya berkongsi segala cerita yang patut tentangnya di blogspot HIKMAH nampaknya kita harus bersedia untuk melangsungkan acara seterusnya dalam tempoh sebulan, kali ini di Kuala Lumpur. Pagi tadi saya, saudara Tengku Ahmad Ridhaudin dan penasihat HIKMAH, Dato' Dr Othman Yatim telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, En. Kamarul Baharin juga pengarah penyelidikan jabatan En. Samsol. Secara verbal mereka telah bersetuju dengan permintaan kami untuk bersama menganjurkan acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara pada hujung bulan Ogos bersamaan penghujung bulan Muharram. Tarikh yang difikirkan adalah pada hari Sabtu sama ada 22 atau 29 Okt. Sekarang saya lebih cenderung pada 22 Okt. Apa kata kawan2 dan sahabat HIKMAH?



  
Gambar semasa berkongsi ilmu dalam forum di Kolej Universiti Islam Melaka. Lihat Forum di KUIM dan persekitaran Kuala Sungai Baru...


Pertemuan pagi Jumaat itu dipanjangkan dengan perbincangan butiran penganjuran majlis bersama pengarah penyelidikan jabatan, En. Samsol hingga ke tengah hari. Beliau meminta agar satu kertas cadangan baru dibuat menurut format yang biasa diterima muzium. Namun contoh kertas cadangan baru saya terima tengah hari Isnin 26 September, Ketika itu saya sedang bersiap untuk membuat perjalanan ke Linggi.

Ketika itu juga saya dan kawan-kawan lain HIKMAH telah sepakat acara elok diadakan pada 22 Oktober, Alhamdulillah kertas cadangan baru dapat dihantar sekembalinya saya daripada perjalanan lewat petang Rabu 28 September. Ini membawa kepada update berikut petang itu juga di FB...



---------------



SELAMAT KEMBALI DARI LINGGI DAN CADANGAN HIKMAH DI MUZIUM NEGARA 22 OKTOBER

Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan saya baru sahaja selamat kembali ke rumah setelah berada di sekitar Linggi, Isnin hingga tengah hari tadi untuk berkongsi ilmu di KUIM (Kolej Universiti Islam Melaka) dan Kolej UNITI Negeri Sembilan. Malam tadi saya menginap di surau bersebelahan makam Sheikh Ahmad Majnun atau Keramat Sungai Udang di Pengkalan Kempas. Terbangun jam 2 pagi buat solat Tahajjud kemudian tergerak untuk membuat kertas proposal atau cadangan acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara menurut format yang telah disuakan kepada saya oleh pihak muzium tengah hari Isnin iaitu sebelum berlepas ke Linggi.

Alhamdulillah kertas kerja dapat disiapkan sekitar jam 4.55 pagi Tapi saya tidak ada line Internet untuk menghantarnya kepada muzium. Tadi selepas sampai ke rumah sekitar jam 5.10 gitu terus saya membuka komputer untuk menyemak kembali isi. Baru je ni tadi e-mail kepada pegawai yang bertanggungjawab lalu menelefon untuk memberitahu tentangnya. Semoga segalanya berjalan lancar. Semoga acara dapat diadakan pada tarikh cadangan 22 Oktober, 3,minggu lebih sahaja daripada sekarang...


Ralat : Sebetulnya saya sampai di rumah sekitar jam 4,30 petang. Jam 5.10 itu saya telah siap menyemak kertas sambil membuat apa-apa pembetulan kemudian menghantar melalui e-mail...



Selepas itu saya lebih banyak menunggu kata putus daripada pihak muzium. Inilah yang membawa kepada update berikut di FB iaitu pada 3 Oktober. Diletakkan di atas ini poster majlis anjuran muzium sendiri yang mahu diadakan cuma 3 hari sahaja  sebelum tarikh cadangan acara HIKMAH 22 Okt. Saya dimaklumkan minggu itu adalah minggu bertemakan tekstil di muzium atau lebih kurang itu...



---------------


HIKMAH KE-18 DI MUZIUM NEGARA 22 OKTOBER HAMPIR MENJADI KENYATAAN - SENARAI CADANGAN PEMBENTANG...

Salam semua. Masih banyak lagi perkara mahu dikongsikan daripada senarai aktiviti dan perjalanan saya beberapa hari yang lepas, hadir pula di Temasya Keris di UPM semalam lalu itupun menunggu untuk diceritakan. Tapi kepala dan badan terasa berat sangat. Biar dikongsikan sesuatu yang saya kira lebih ringan.

Sudah diberitahu bahawa pihak saya bercadang untuk mengadakan acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara pada 22 Oktober iaitu 19 hari sahaja daripada sekarang. Cuma ketika hal ini diberitahu awal minggu sudah saya diminta untuk membuat kertas kerja cadangan atau proposal baru menurut format yang diminta pihak muzium. Lewat Isnin lepas proposal tersebut pun dibuat lalu dihantar kepada pegawai berkenaan. Alhamdulillah saya diberitahu muzium tiada masalah malah sedia menerima tarikh cadangan 22 Oktober walaupun ini tinggal 3 minggu sahaja lagi ketika itu sebelum tarikh sampai.

Cuma Ketua Pengarah katanya mahu memperhalusi dahulu senarai pembentang dan tajuk (tentatif) yang diberikan. Kemudian kami akan bermesyuarat lagi untuk memuktamadkan perkara. Biar dikongsikan di sini seperti mana saya letakkan dalam kertas cadangan...

i) Rosidah bt. Abdullah, Kurator Muzium Tekstil, Kuala Lumpur
- Teknologi Alat Tenun Melayu

ii) Wan Ahmad Faris, PERDAM (Persatuan Destar Alam Melayu)
- Falsafah dan Simbol pada Tanjak

iii) Dato’ Dr Othman Yatim, mantan profesor di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya 
- Songket dan Nusantara

iv) Tengku Ahmad Ridhauddin, aktivis budaya dan kolektor keris 
- Keris : Pakaian Ketamadunan Melayu

v) Azlan Ghanie, pengasas MAGMA, persatuan guru-guru seni bela diri dan pengasas majalah Seni Beladiri
 - Pakaian Silat Melayu

vi) Johan Iskandar, aktivis budaya dan pengasas komuniti Keris Warisan
- Baju Perang Melayu

vii) Nur Afifi M. Taib, aktivis budaya dan pensyarah UiTM Shah
- Evolusi Busana Melayu

Sementara itu diharap kawan2 dan para penyokong HIKMAH dapat bersedia untuk menolong menjayakan acara. Saya diberitahu bahawa kebetulan pada sekitar tarikh cadangan iaitu 22 Oktober itu pihak muzium akan mengadakan minggu tekstil dan pameran berkenaan. Diletakkan di sini poster tentang seminar yang mahu diadakan mereka pada hari Rabu 19 Oktober iaitu 3 hari sebelum tarikh cadangan untuk HIKMAH Muzium Negara. Pihak muzium telah meminta agar kawan2 aktivis busana dan persilatan yang berkelapangan dapat datang memberikan sokongan...


Kawasan seperti dataran berdekatan auditorium Muzium Negara. Gambar diambil semasa satu majlis melibatkan permainan alat muzik gambus setahun lalu. Lihat Gambus : Manifestasi Budaya Melayu - Seni yang Terpinggir... 


Pagi Rabu 5 Oktober iaitu 2 hari lepas Tengku Ahmad pergi ke Muzium Negara untuk meninjau lokasi selain mendapatkan kepastian tentang acara. Ketika itulah beliau mendapat tahu daripada pegawai yang bertugas khas untuk menjaga auditorium bahawa ia telah ditempah untuk penggunaan pihak lain pada 22 Oktober. Tak mengapa fikir saya. Kita boleh alihkan ke kawasan lapang seperti dataran berbumbung berdekatan auditorium. Tetapi apabila Tengku Ahmad pergi ke sana lagi keesokan harinya beliau diberitahu kawasan itu tidak sesuai untuk pembentangan ilmu. Ternyata ia selalu bising akibat kerja-kerja pembinaan stesyen dan landasan kereta api letrik MRT di sebelah muzium.

Nak tak nak majlis harus diadakan dalam auditorium juga. Jadual tempahan dan penggunaan pula menjadi sempit kerana kami mahu juga acara ke-18 HIKMAH diadakan pada hujung minggu dalam bulan Muharram di muzium. Tengku Ahmad diberitahu bahawa kalau begitu auditorium cuma dapat kami gunakan pada hari Sabtu 15 Oktober. Kemungkinan ini sebenarnya sudah disuarakan pada hari Rabu lalu ia pun dipesetujui.

Hal ini menyebabkan saya harus membuat pengumuman berikut sekitar jam 5 petang semalam, Walaupun ia sedikit memeranjatkan kerana tinggal 9 hari sahaja lagi ketika itu sebelum acara berlangsung menurut tarikh baru (kini tinggal 8 hari sahaja lagi!), sekurang-kurangnya kami sudah mendapat satu kepastian dan ketetapan daripada pihak muzium. Selain itu kami anggap semua yang berlaku sebagai gerak dalam takdir dan qada' qadar Allah SWT yang perlu kami terima. Tentu ada hikmahnya...



---------------



TARIKH HIKMAH MUZIUM NEGARA DIPERCEPATKAN DARI 22 OKTOBER 2016 MENJADI 15 OKTOBER

Salam semua. Saya baru menerima berita bahawa Muzium Negara dah confirm membuka premis mereka untuk HIKMAH mengadakan acara ke-18 kita. Cuma tarikh dipercepatkan daripada Sabtu 22 Oktober 2016 menjadi Sabtu 15 Oktober iaitu 9 hari sahaja lagi. Ini disebabkan tempahan untuk penggunaan auditorium hujung minggu sebenarnya telah penuh buat suatu tempoh. Nanti akan saya jelaskan lagi perkara tapi di blogspot HIKMAH. Dan nanti akan dibuka sekali event page untuk HIKMAH Muzium Negara yang bertemakan Busana Lambang Ketamadunan Melayu ini...





Selepas membuat update tersebut baru saya menghuraikan sedikit sebanyak tentang sebab musabab kenapa tarikh acara harus dipercepatkan. Maka diceritakanlah tentang cadangan hendak membuat majlis di dataran setelah mendapat tahu auditorium telah ditempah pihak lain untuk 22 Oktober, Tapi ternyata ia tidak sesuai kerana bising pula, kena juga buat di auditorium tapi ia cuma boleh digunakan kita pada 15 Okt. Memang hal ini agak menganggu kerana ramai sudah membuat persiapan untuk 22 Okt. Ada kawan dari Aceh sudah membeli tiket kapal terbang agar dapat mengikuti majlis pada hari tersebut. Tapi apa boleh buat? Kalau mahu mengejar berkat bulan Muharram 15 Okt sahajalah tarikh yang dapat. 

Dengan ini saya pun membuka event page untuk HIKMAH Muzium Negara lebih 2 jam lalu. Klik sini untuk masuk. Beginilah pengumuman iringannya...



---------------



BERSEDIA KE MUZIUM NEGARA WALAU TINGGAL 9 HARI SAHAJA LAGI...

Salam semua. Dengan lafaz bismillah, mengambil keberkatan malam Jumaat pertama tahun baru Hijrah ini saya membuka event page untuk acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara. Acara kali ini memiliki tajuk dan tema "Busana Lambang Ketamadunan Melayu". Maaf kerana dah nak 9 hari sahaja lagi acara dijadualkan berlangsung iaitu pada hari Sabtu 15 Oktober 2016 baru event page dibuka.

Selepas ini saya akan membuat satu artikel untuk menerangkan kenapa. Sila klik pada interested, klik lagi sehingga keluar perkataan going kemudian klik going untuk menyatakan kedatangan...

No comments:

Post a Comment