Saya rasa harus meletakkan sedikit perkara yang telah dikongsikan di Facebook baru-baru ini masuk ke sini. Saya copy and paste dengan sedikit suntingan...
November 21 pada 4:10pm ·
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL BERSAMA HAQQANI ENSEMBLE PADA HIKMAH BUKIT TINGGI 17 DISEMBER
Salam semua. Masih ingatkah anda pada sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada acara HIKMAH ke-16 di Janda Baik pagi Sabtu 30 Januari 2016? Adapun tarikh itu adalah bersamaan 20 Rabiulawal 1437 Hijriah, 8 hari selepas hari Maulidur Rasul atau kelahiran Nabi Muhammad SAW 12 Rabiulawal. Kami buat sesi sambutan Maulidur Rasul secara ad hoc kerana 1-2 hari sahaja sebelum acara baru saya mendapat tahu tuan punya lokasi iaitu penulis buku politik S.H. Alattas terlupa hendak mendapatkan orang atau kumpulan yang boleh memimpin sesi. Nasib baik saya ada kawan-kawan di Janda Baik yang boleh mengendalikan perkara. Kebetulan mereka berkelapangan.
Merekalah yang mula-mula datang memeriahkan majlis. Ia dimeriahkan lagi apabila para pelajar ma'ahad tahfiz berdekatan yang saya secara peribadi jemput untuk datang mengikuti acara terasa begitu seronok. Lalu tanpa dipinta beberapa orang daripada mereka kembali ke madrasah untuk membawa alatan gendang dan sebagainya agar dapat bermain sama. Lihat artikel berkenaan, HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan
Adapun kawan-kawan saya yang datang bermain secara ad hoc itu adalah ahli kumpulan Haqqani Ensemble yang telah bermain di merata tempat luar dan dalam negara termasuk di istana Perak. Untuk acara terbaru HIKMAH iaitu acara ke-19 di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang saya dan tuan rumah telah meminta mereka untuk datang lagi, kali ini diatur awal-awal secara rasmi supaya lebih ramai ahli mereka dapat bersama dalam keadaan lebih selesa. Untuk makluman, tarikh acara iaitu 17 Disember adalah bersamaan 17 Rabiuawal, 5 hari selepas hari Maulidur Rasul. Iya, tahun 2016 ini kita menyambutnya 2 kali. Maka elok sungguhlah sesi Maulud menghiasi acara penutup HIKMAH tahun ini di Bukit Tinggi, insyaallah lebih baik daripada sesi Maulud yang membuka acara pertama 2016 iaitu di Janda Baik.
Ahli-ahli Haqqani Ensemble ini akan mula berkampung di lokasi iaitu pusat peranginan persendirian merangkap rumah rehat yang dipanggil Dusun Nora, petang Jumaat 16 Disember. Letaknya sekitar 4 km sebelum Berjaya Hill Resort/Colmar Tropicale di puncak bukit. Adapun semua yang mahu menghadiri acara HIKMAH tersebut 17 Disember boleh juga mula masuk berkampung pada petang itu. Malah saya sudah mendapatkan persetujuan tuan rumah untuk membenarkan hadirin berkampung secara percuma sehingga tengah hari Ahad supaya dapat berehat sambil menikmati suasana atas pergunungan selepas majlis dengan tenang.
Dengan ini saya mengambil peluang untuk memanjangkan undangan bagi semua masuk berkampung petang Jumaat 16 Disember. Dusun Nora memiliki 6-7 chalet, setiap satu saya rasa boleh memuatkan sehingga 10 orang dengan cukup selesa. Ia juga memiliki asrama yang boleh memuatkan 60-70 orang. Selain itu ada surau yang boleh digunakan untuk tidur lambak, saya anggarkan boleh menampung lagi 60-70 orang.
Cuma priority atau keutamaan akan diberikan kepada ahli keluarga dan saudara mara pemilik lokasi iaitu Puan Sri Nora diikuti para pembentang dan urusetia majlis. Selepas itu baru diikuti kawan-kawan yang sudah biasa mengikuti HIKMAH seterusnya orang lain. Apa pun saya percaya ada cukup ruang untuk menampung 150-200 orang dengan selesa. Nak camping pun boleh. Tanah dusun ini cukup luas untuk menjalankan banyak perkara. Cuma bawa alatan perkhemahan sendiri dan pacaklah di mana-mana yang sesuai dan dibenarkan.
Insyaallah jumpa kita di sana petang Jumaat 16 Disember. Secara rata kami merancang untuk mengadakan sesi Maulud pagi Sabtu keesokannya diikuti sesi-sesi pembentangan ilmu. Turut mahu diadakan adalah tahlil arwah untuk sahabat baik kami, saudara Zaid yang setia menyokong HIKMAH sejak 4 tahun lalu. Adik kepada Puan Sri Nora ini, sahabat kepada ramai daripada kami. kembali ke rahmatullah sekitar 3 bulan lalu.
Tahlil boleh diadakan sebelum Maulud, boleh jadi pagi Sabtu, boleh juga Jumaat malam Sabtu bergantung pada keadaan. Meh. Untuk memudahkan pihak kami mengatur penginapan dan makan minum (iya, semuanya percuma seperti pada mana-mana acara HIKMAH) sila nyatakan kedatangan pada event page kami di sini. Allahumma soli ala Saidina Muhammad wa ala ali Saidina Muhammad.
November 22 pada 4:18pm ·
TENTANG KEINDAHAN LOKASI HIKMAH KE-19 DI BUKIT TINGGI, BENTONG, PAHANG
Salam semua. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit tentang keindahan lokasi acara ke-19 HIKMAH yang mahu diadakan di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember ini. Lokasi tepatnya adalah Dusun Nora, off jalan menuju ke Berjaya Hill Resort/Colmar Tropicale. Jaraknya sekitar 40-50 km ke timur dari pusat bandar raya Kuala Lumpur. Ia adalah satu tempat peranginan persendirian merangkap rumah rehat milik sahabat HIKMAH, Puan Sri Nora.
Gambar-gambar yang saya ada adalah ketika menginap satu malam di sana tahun 2013. Sekitar 2 bulan lalu saya ada datang menginap lagi tetapi keluar awal sebelum Subuh kerana ada hal. Jadi tak dapatlah mengambil gambar menarik waktu siang. Nasib baik terjumpa satu blog yang menunjukkan gambar-gambar keindahan tempat dengan jelas.
Cerita dalam blog juga menerangkan dengan cukup terperinci laluan untuk sampai ke sana dan kemudahan yang ada. Untuk pengetahuan, selain untuk ahli keluarga dan kawan-kawan rapat, tempat ini biasanya disewakan seperti di mana-mana chalet. Tetapi untuk HIKMAH peserta boleh datang menginap hingga 2 malam secara percuma malah diberi makan lagi. Tuan rumah telah membenarkan kita datang masuk berkampung mulai petang Jumaat 16 Disember untuk mengikuti acara Sabtu 17 Disember kemudian berehat sambil menikmati udara segar pergunungan hingga tengah hari Ahad 18 Disember.
Masa-masa lain belum tentu ada peluang boleh memanfaatkan tempat seperti ini. Mari datang berkampung untuk memeriahkan acara. Lihat lagi gambar-gambar dan penerangan tentang tempat di
Harap standby toto dan sleeping bag sendiri ya. Keutamaan tempat tidur akan diberikan seperti berikut :-
1. Ahli keluarga tuan punya tempat dan kawan-kawan rapat
2. Para pembentang
3. Urusetia HIKMAH
4. Para penyokong setia/mereka yang sudah biasa mengikuti acara-acara HIKMAH
5. Lain-lain orang
Seperti biasa HIKMAH tidak mengenakan apa-apa bayaran. Ia adalah terbuka, semua dijemput memeriahkan. Cuma minta seeloknya pakai busana tradisional Melayu, bersampin, bertanjak dan berkeris pada hari acara...
OK. Ada satu lagi perkara saya hendak tambah untuk artikel ini dan ia belum dikongsikan di FB. Ikut rancangan, selepas perkara tersebut dikongsikan baru saya akan membuat artikel menggunakan copy paste update dari FB seperti ini. Tetapi timbul satu keadaan yang mengubah aturan bercerita lalu saya letakkan dahulu di sini ya.
Merujuk pada artikel Memberikan tumpuan pada acara ke-19 di Bukit Tinggi yang dikongsikan 9 hari lalu, pada bahagian akhir ada disebut bahawa saya ingin mengulang kembali atau mengulang kaji tajuk-tajuk yang pernah dibentangkan pada acara pertama HIKMAH di Shah Alam lebih 4 tahun lalu. Ada 11 tajuk kesemuanya semasa itu. Sekarang biar diberitahu saya sudah mendapatkan komitmen untuk 6 daripada 11 tajuk itu dibentangkan kembali, ada yang dijangka akan dibuat dengan sedikit perubahan mengikut perkembangan semasa. Dua lagi tajuk pula menunggu kepastian akhir pembentang kerana ditakuti terikat dengan komitmen lain sekitar hari acara. Mungkin seminggu sebelum acara baru kepastian dapat diberikan.
Enam tajuk yang telah menerima komitmen itu termasuk satu tajuk oleh saya. Ia adalah seperti berikut :-
1. Mata Wang Syariah dan
Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – pembentang asal Amirul Haji
Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam.
Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI tidak dapat muncul lalu digantikan dengan seorang lagi aktivis dalam bidang iaitu puan Norbaini Hassan
2. Perlembagaan Negara dan
Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad,
peguambela dan peguamcara diganti dengan seorang lagi peguam,saudara Taufiq Khalid
3. Tujuh Wasiat Raja-raja
Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail
4. “Berpetualang ke Aceh” :
Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan
pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”
5. Keris ke arah Penyatuan
Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka
Perkerisan Kuala Lumpur
6. Ikonografi Zulfikar
dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar,
aktivis Yayasan Restu, Cuma beliau akan menambah tajuk berkenaan perniagaan buku yang mula diceburi beliau pada HIKMAH I.
Tajuk-tajuk yang menunggu kepastian akhir adalah :-
1. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah. Mungkin kepastian cuma dapat diberikan selepas selesai majlis Maulidur Rasul di tempat beliau 11 Disember.
8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri. Pembentang asal tidak dapat bersama kerana terikat dengan komitmen kerja di selatan tanah air. Seorang lagi keturunan Raja Haji, saudara Huzaifah sedia menggantikan tetapi menunggu dahulu jika satu acara lain melibatkan beliau jadi diadakan sekitar 18 Disember atau tidak.
OK. Lepas sudah gerak saya tentang hal ini. Ada lagi satu artikel sebelum saya dapat berehat malam ini.
No comments:
Post a Comment