Bersambung daripada artikel HIKMAH Aceh 2017 - Pembukaan pelbagai ragam dan perkongsian ilmu dari Malaysia.
Hampir jam 11 tiga orang anak muda Aceh dipanggil mengambil tempat di hadapan atau pentas untuk perkongsian ilmu seterusnya. Pengenalan ringkas diberikan lalu pembentangan pun dibuat satu persatu.
Pembentang pertama, saudara Hermansyah adalah seorang pengkaji manuskrip lama yang sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD di sebuah universiti di Eropah iaitu di Jerman kalau tak salah.
Kecenderungan beliau jelas melalui tajuk yang dipaparkan.
Perkongsian isi pembentangan yang lebih teliti akan dipersembahkan dalam artikel lain. Begitu juga untuk lain-lain pembentang.
Di sini saya cuma mahu memberikan gambaran sepintas lalu tentang suasana majlis pada waktu yang berkenaan...
Sambil pembentang berkongsi ilmu saya mengambil kesempatan meninjau suasana di sekitar...
Pembentang kedua saudara Azhar Ilyas, kelihatan 10 tahun lebih muda. Namun difahamkan beliau memiliki ijazah sarjana atau Masters dalam bidang ekonomi.
Beliau kini giat mahu mempromosikan industri songket Aceh. Saya sendiri baru mendengar tentang kewujudan industri ini di bumi Serambi Mekah apabila mendapat tahu tajuk-tajuk pembentangan yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa penganjuran majlis sekitar dua minggu sebelum majlis...
Pembentang ketiga, saudara Mizuar Mahadi adalah ketua sebuah NGO bernama MAPESA, Masyarakat Peduli Sejarah Aceh. Beliau membawa tajuk "Ragam Batu Nisan Aceh sebagai Bukti Tamaddun Islam".
Sepatutnya yang membawa tajuk ini adalah Ustaz Abu Taqiyuddin Muhammad, seorang pakar epigraf yang pandai membaca dan menafsirkan tulisan khat rumit pada batu-batu nesan Aceh. Namun beliau tidak dapat hadir kerana muncul komitmen lain pada saat-saat akhir.
Apapun, Mizuar cukup faham tentang batu-batu nesan tersebut kerana MAPESA yang dipimpinnya sejak 2-3 tahun lalu (kalau tak salah) rajin membuat kerja-kerja lapangan membersihkan dan memugar makam juga mendirikan batu-batu nesan yang telah condong, rebah malah sudah tenggelam ke dalam laut!
Cuma beliau tidak sempat menyediakan slaid kerana dipanggil membentang pada saat akhir. Sebagai gantinya beliau menunjukkan hasil kerja dan kajian MAPESA yang terpapar dalam website atau laman sesawang mereka...
Selesai pembentangan dan perkongsian ilmu oleh tiga anak muda baru dipanggil seorang tua atau orang lama dalam dunia kajian budaya dan sejarah Aceh yang amat dihormati ramai.
Nama beliau adalah Abdul Rahman Kaoy. Beliau adalah seorang bekas pensyarah dan pendakwah yang dikenali sebagai seorang ahli pidato yang hebat.
Pak Rahman membuka tentang awal kedatangan Islam ke Aceh sehingga terbentuknya Kesultanan Perlak yang diterajui seorang raja berketurunan Ahlul Bait iatu keturunan Nabi Muhammad SAW 1,200 tahun lalu.
Disebutlah juga bagaimana Perlak yang pusatnya terletak lebih 8 jam perjalanan dengan kenderaan darat dari Banda Aceh boleh terkait dengan Aceh yang berpusat di Banda. Untuk pengetahuan Perlak diserap ke dalam kerajaan Samudera-Pasai pada penghujung abad ke-13 Masihi. Sedangkan Samudera-Pasai terserap ke dalam Aceh Darussalam pertengahan abad ke-16 Masihi. Pembentangan atau lebih tepat syarahan beliau merumuskan kedudukan dan kepentingan Aceh dalam Alam Melayu terutama sebagai pusat penyebaran Islam...
No comments:
Post a Comment