Tuesday, August 22, 2017

Pelancaran dirham HIKMAH - Bermulanya fasa baru mendaulatkan Melayu dan Islam

Salam semua. Sekarang sampailah kita pada cerita dan perkara yang menyebabkan saya terasa harus kembali menulis di blogspot HIKMAH. Kalau tidak kerananya tentu saya akan membiarkan jumlah artikel di sini bertahan pada 333 iaitu dengan artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita. Maka bersambung penceritaan daripada artikel Program "Sireh Pulang ke Gagang" di Sarang Art Hub sebagai ganti acara HIKMAH.




Beberapa hari sebelum masuk hari raya pertama Aidil Fitri 1 Syawal bersamaan 25 Jun 2017 saya menerima gambar yang kelihatan melalui WhatsApp.



Ia adalah reka bentuk mutakhir duit dirham HIKMAH. Turut disertakan reka bentuk sampul untuk semakan dan penelitian terakhir saya. Kalau tiada masalah bolehlah proses mencetak dan menerbitkan dimulakan, dijangka pada minggu kedua bulan Syawal. 



Rancangan untuk menerbitkan dirham ada diceritakan panjang lebar dalam artikel Dirham cenderahati HIKMAH tahun 2017 lebih 8 bulan lalu. Rancangan untuk melancarkannya pula diceritakan pada bahagian akhir artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? 4 bulan kemudian. Sekarang biar kita lihat majlis pelancaran yang berlangsung di Sarang Art Hub 29 Julai. Ia menumpang majlis "Sireh Pulang ke Gagang" yang diadakan oleh pemilik tempat, sutradara filem terkenal Mamat Khalid.


Saya cuma meminta slot sepanjang setengah jam sahaja iaitu daripada jam 8 hingga 8.30 malam. Tanpa disangka dan diminta ia dimeriahkan dengan persembahan silat dihadap oleh barisan kawan-kawan dan kenalan dalam dunia persilatan kiri dan kanan.


Apa yang berlaku adalah pihak Sarang meminta agar diadakan dahulu acara walk-about jalan kaki pusing pekan Tanjung Malim sambil bergendang waktu malam. Sebelum itu sudah diadakan sesi serupa pada waktu petang. Sampai kembali ke Sarang dibuat persembahan silat kemudian terus disambung dengan pelancaran.


Saya tidak sempat mengikuti walk-about kerana sedang bersiap ketika orang hendak mula berjalan. Cukuplah dapat melihat persembahan silat daripada kedudukan yang terhormat.






Disebabkan ramai mengambil masa untuk berehat selepas Maghrib kemudian baru diadakan walk-about diikuti persembahan silat, pelancaran cuma dapat dimulakan sekitar jam 8.30 malam, Kelihatan dalam gambar VVIP, Dato' Hashim Ismail, seorang sheikh tariqat dan jutawan Melayu berjaya sedang memberikan ucapan pelancaran. Gambar ini dan gambar-gambar seterusnya diambil daripada tempat duduk VIP dan VVIP di hadapan.




Dato' Hashim inilah yang menganjurkan majlis haul yang saya hadiri di Gunung Jerai penghujung April lalu. Cerita tentang majlis menjadi artikel ke-333 di blogspot, artikel bertajuk Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita. Difahamkan daripada perniagaan madu sahaja beliau membayar cukai RM5 juta setahun. Ke zakat RM5 juta? Saya pun dah lupa yang mana. Tapi cukuplah untuk menunjukkan beliau sebagai seorang usahawan Melayu Islam yang berjaya. Ditambah kedudukan sebagai seorang sheikh yang cukup dikenali dalam lingkungan tariqat tanah air beliau dirasakan sangat sesuai untuk melancarkan usaha terbaru HIKMAH ini.




Sebelum itu saya telah memberikan sedikit kata-kata pengenalan sebagai presiden HIKMAH baik tentang badan sukarelawan kami mahupun tentang usaha dirham. Sahabat baik saya, saudara Amirul Haji Mohamad yang bertanggungjawab mengendalikan usaha atau projek kemudian menerangkan arah tujuan. Di sini cukuplah dinyatakan dirham  ini diterbitkan untuk memenuhi salah satu resolusi kami dalam usaha mahu mendaulatkan Melayu dan Islam akhir zaman. Penerangan ada diberikan dalam artikel Dirham cenderahati HIKMAH tahun 2017. Sedangkan usaha berkaitan untuk mengangkat ekonomi sebenar Islam sambil mengajak ummah keluar daripada sistem ekonomi dan kewangan sedia ada yang teruk berlumuran dengan riba' telah banyak kali disebut dam diterangkan panjang lebar dalam acara-acara anjuran kami. Sila rujuk artikel-artikel berikut :-


Mata wang syariah dan Melayu : Penipuan dalam kewangan dan perlembagaan?

Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu

Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?

Penerangan ringkas tentang Pernyataan HIKMAH Melaka




Turut duduk di hadapan adalah penulis buku politik terkenal Pak Habib @ Syed Hussein al-Attas sebagai seorang lagi VVIP. Sepatutnya pemilik tempat iaitu Mamat Khalid ada duduk sama dalam majlis ini. Tetapi beliau tidak sempat kembali daripada menghantar isterinya ke Kompleks Tabung Haji untuk menunaikan ibadah haji. Berikut adalah sedikit rakaman video yang dibuat sekitar majlis pelancaran... 














Selepas itu diadakan satu forum menarik di mana Pak Habib menjadi salah seorang panelis, begitu juga Mamat Khalid. Ini akan dikongsikan dalam artikel selepas ini. Teruskan ikut membaca...



No comments:

Post a Comment