Thursday, August 17, 2017

Program Semarak Silat Pusaka Warisan di Sungai Buluh, Selangor

Salam semua. Salam malam Jumaat 25 Zulkaedah. Pada 3 Mei lalu saya telah mempersembahkan artikel ke-333 di blogspot ini iaitu yang bertajuk Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita lalu memberitahu tidak akan membuat apa-apa lagi artikel baru di sini. Setelah beberapa lama timbul keadaan demi keadaan yang menyebabkan saya harus bertukar fikiran. Ini ada diterangkan secara ringkas dalam artikel Sampai masa untuk kembali bersuara di blogspot  CATATAN SI MERAH SILU sebelum masuk waktu Isyak tadi. Sekarang biar dipecahkan kesepian di blogspot ini dengan artikel ke-334...


Adapun artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita yang ditulis lebih 3 bulan lalu merujuk pada acara yang berlangsung di Kedah 23-24 April. Hampir sebulan kemudian iaitu pada 20 Mei saya membawa anak-anak dan isteri menghadiri satu acara lain yang diadakan jauh lebih dekat ke rumah kami.


Ia adalah satu acara persilatan di kawasan perumahan di sekitar Sungai Buloh, Selangor.








Dipanggil Program Semarak Silat Pusaka Warisan, ia berlangsung pada hari Sabtu terakhir sebelum masuk bulan Ramadhan pada Sabtu seterusnya...





Kalau ikut mood saya kebelakangan itu seperti dibayangkan dalam artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita tak mahu saya menghadari apa-apa acara buat suatu tempoh yang lama.





Tetapi apabila memikirkan ia dianjurkan oleh kawan-kawan yang agak rapat dalam dunia persilatan dan letaknya pun tidak berapa jauh dari rumah kami di Rawang kami pergi juga untuk menunjukkan sokongan.





Sebetulnya saya juga kurang sihat dan demam-demam ketika itu.





Walaupun kami datang lewat waktu petang sekurang-kurangnya dapatlah hadir juga melihat kemeriahan...





Dianjurkan oleh Persatuan Dunia  Seni Silat Melayu (DSSM) Selangor bersama perguruan silat Hamboran Rimao Puteh dan PEWARIS (persatuan yang membawa Silat Sendeng Warisan Laksamana) ia adalah pembuka kepada satu siri program yang diharap dapat menjelajah mempromosikan silat di merata Malaysia.





Setakat yang saya dapat lihat format program adalah serupa dengan program-program DSSM yang pernah dihadiri sejak beberapa tahun lalu.





Persembahan demi persembahan silat diadakan oleh perguruan-perguruan yang terlibat sebelum guru-guru dipanggil untuk membuat persembahan penutup di gelanggang sekaligus. Kemudian hadirin membentuk bulatan besar lalu seorang demi seorang berjalan untuk bersalam sebelum berpisah.




No comments:

Post a Comment