Thursday, September 14, 2017

Rancangan untuk mengadakan acara Maulud Agung Alam Melayu pada 2 Disember 2017

Salam pagi Khamis 23 Zulhijjah. Ini ada cerita tentang penglibatan HIKMAH pada satu majlis akan datang.




Kelihatan di atas poster awal atau tentatif untuk satu majlis yang dipanggil sebagai Maulud Agung Alam Melayu.  Dalam kotak kiri atas kelihatan saya paling kiri sekali sedang duduk dalam satu majlis bersama dua orang ulamak. Gambar itu juga gambar-gambar di sebelah dan bawah diambil daripada edisi pertama Maulud Agung Alam Melayu yang diadakan setahun lalu. Ketika itu saya diundang sebagai seorang tetamu terhormat yang gigih memperjuangkan kedaulatan orang Melayu. Lihat artikel lama Sambutan Maulud Agung di Riyadh Restu di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.



Majlis tersebut berlangsung kira-kira seminggu sebelum saya menganjurkan acara penutup HIKMAH bagi tahun 2016. Lihat Acara kesembilan belas HIKMAH di Dusun Nora, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember 2016. Walaupun diundang kerana dikenali sebagai presiden dan pengasas HIKMAH saya datang atas kapasiti peribadi lalu tidak berkongsi cerita tentang majlis di blogspot ini. Sekitar setengah tahun lalu pihak penganjur yang bergerak di atas nama Ratib Alami telah mengadakan edisi kedua Maulud Agung Alam Melayu di Hang Tuah Centre atau Perkampungan Hang Tuah di Duyung, Melaka. Saya turut diundang tetapi tidak dapat bersama kerana ada komitmen lain. Kali ini,untuk edisi ketiga yang akan diadakan kembali di Riyadh Restu, lokasi semasa edisi pertama saya bukan sahaja diundang sebagai pemuka HIKMAH tetapi diminta bersama menganjurkan atas kapasiti rasmi pergerakan/pertubuhan.



Satu mesyuarat pun diadakan di rumah saya untuk membincangkan penglibatan HIKMAH. Loteng atas rumah menjadi saksi tapi saya tak ambik gambar. Yang ni setakat hiasan daripada lawatan kumpulan lain. Lihat artikel Bila geng Bugis Melaka datang bertandang....Mesyuarat diadakan sekitar 2-3 minggu lalu. Baru hari ini timbul rasa untuk berkongsi tentang rancangan mengadakan majlis, apa yang dibincangkan dan beberapa perkembangan terkini. Saya letak secara point form...


1) Selain sambutan Maulidur Rasul pada waktu malam kami mahu mengadakan majlis perkongsian ilmu waktu petang bermula selepas Zohor. Dengan itu saya diminta untuk berkongsi ilmu juga memberikan tajuk. Setelah berfikir sejenak saya memilih "Melayu Akhir Zaman - Ke manakah Hala Tuju?".

2) Saya juga diminta untuk mencadangkan orang lain yang sanggup berkongsi  ilmu secara sukarela. Saya mencadangkan nama sahabat HIKMAH, saudara Amirul Haji Mohamad untuk bercakap tentang ekonomi Islam, dinar dan dirham dan Ustaz Hasanuddin Yusof untuk bercakap tentang teknologi Melayu. Cuma saya minta pihak Ratib Alami menghubungi menghubungi mereka sendiri. Tapi bolehlah sebut nama saya sebagai pencadang jika perlu.

3) Saya diminta untuk mendapatkan penulis buku politik terkenal, S.H. Alattas @ Pak Habib Syed Hussein al-Attas untuk hadir sebagai VIP pada sesi Maulud. Wakil-wakil Ratib Alami sudah beberapa kali menghadiri majlis-majlis HIKMAH lalu tertarik dengan kata-kata Pak Habib semasa merasmikan acara ke-19 kami penghujung tahun lepas. Lihat HIKMAH Bukit Tinggi - Antara ilmu keTuhanan, perlembagaan negara dan wasiat raja.

4) Cadangan juga diminta tentang perjalanan dan atur cara majlis. Dengan itu dicadangkan supaya ia secara rasminya disytiharkan bermula sekitar jam 1 petang... supaya hadirin dapat berkumpul awal untuk solat Zuhur berjemaah. Selepas itu mungkin sekitar jam 2.30 baru dimulakan perkongsian ilmu. Ini mengambil kira kebiasaan ramai orang untuk muncul lewat. Selepas solat Asar baru perbincangan dibuka secara diskusi dan soal jawab untuk orang ramai.

5) Ruang perniagaan/pameran akan dibuka seperti biasa. Terlupa pula nak tanya apakah percuma atau berbayar kerana saya sudah biasa memberikan ruangan percuma pada setiap acara HIKMAH.


Selepas mesyuarat tersebut saya membiarkan sahaja perkara ini berlalu kerana masih terdapat banyak masa sebelum majlis dijadualkan berlangsung. Dalam sehari dua ini baru isteri memberitahu pihak Ratib Alami meminta sedikit maklum balas. Itu yang antaranya menyebabkan saya tergerak untuk menulis artikel berkenaan hari ini. Maka biar dikongsikan perkembangan terbaru seperti berikut :-


1) Ratib Alami telah mendapatkan persetujuan daripada Ustaz Hassan untuk berkongsi ilmu. Beliau memilih untuk membawa tajuk "Wahn : Punca Kejatuhan Kerajaan Islam di Alam Melayu".

2) Mereka juga telah cuba menghubungi Amirul melalui Facebook tetapi belum mendapat maklum balas. Saya pun menghubungi beliau. Rupa-rupanya Amirul tidak sedar akan permintaan kerana terlalu sibuk. Beliau kini sedang menyemak kalendar aktiviti hingga hujung tahun. Secara prinsipnya Amirul tiada masalah untuk bersama, cuma belum dapat memberikan kata putus.

3) Undangan sebagai VIP kepada Pak Habib S.H.Alattas pula sudah disampaikan melalui isterinya sehari dua selepas mesyuarat. Baru siang tadi saya follow-up dengan panggilan telefon lalu mendapatkan komitmen beliau untuk bersama. Pak Habib malah menawarkan diri untuk berkongsi ilmu pada sesi petang hari. Penganjur pula mengharapkan beliau turut sedia berkongsi pada majlis Maulud malam hari. Ratib Alami akan menambah gambar Pak Habib pada poster majlis.

4) Tentang ruang perniagaan, baru tadi saya bertanya melalui WhatsApp apakah percuma atau berbayar. Kalau percuma saya mahu ajak seramai mungkin kawan-kawan HIKMAH membuka gerai. Kalau berbayar cukuplah ruang percuma untuk aktivis dinar dirham mempamerkan barangan terutama untuk mempromosi dan menjual dirham keluaran kami. Rujuk artikel-artikel berikut :-


Pelancaran dirham HIKMAH - Bermulanya fasa baru mendaulatkan Melayu dan Islam..

Dirham HIKMAH sudah mula beredar ke seantero dunia - Sedikit tentang harga yang berbeza menurut nombor

Tentang lambang-lambang dan simbol yang terdapat pada dirham HIKMAH dan sampul


No comments:

Post a Comment