Salam semua. Setelah hampir 2 bulan tidak mengemaskan blogspot ini baru timbul perkara atau cerita yang sesuai untuk diletakkan sebagai artikel baru.
Baru-baru ini saya dan keluarga telah hadir ke majlis yang diwar-warkan dalam poster. Disebut sebagai majlis haul atau hol iaitu untuk mengenangkan suatu tokoh yang sudah meninggal dunia ia julungkali diadakan atas nama Tok Pulau Manis. Ini merujuk kepada ulamak merangkap wali besar Terengganu abad ke-17 dan18 Masihi yang nama tubuh badannya adalah Abdul Malik. Beliau juga dikenali sebagai Sheikh Abdul Malik ibni Sharif Abdullah ibni Sharif Abdul Qahar ibni Sharif Muhammad Baghdadi. Secara spiritual atau kebatinan tokoh yang sudah meninggal dunia lebih 300 tahun ini memainkan peranan penting dalam mendidik lalu membantu saya mencari diri dan erti. Oleh itu saya berazam akan membawa isteri dan anak-anak menghadiri majlis.
Atur cara majlis pula kelihatan begitu sarat dengan pelbagai aktiviti menarik.
Tetapi disebabkan saya dan keluarga ingin singgah berjalan-jalan di beberapa tempat sepanjang pantai Cherating di negeri Pahang hingga ke Kuala Terengganu di negeri Terengganu kami sampai ke lokasi majlis iaitu Kampung Pulau Manis selepas jam 9 malam.
Kelihatan suasana begitu meriah penuh manusia dengan bermacam ragam...
Ketika itu sedang berlangsung konsert berupa nyanyian yang membawa mesej keTuhanan daripada beberapa pihak.
Paling ditunggu adalah kehadiran penyanyi rock terkenal tanah air Awie daripada kumpulan Wings.
Beliau tampil secara sukarela atas dorongan tertentu untuk berkongsi pengalaman sebenar beliau mula berubah arah daripada seorang yang pernah hanyut dengan dunia glamour hiburan menjadi seorang 'pencari' Tuhan...
Dikongsikanlah bahawa semasa zaman hanyutnya sekalipun beliau sebenarnya sudah menyanyikan lagu-lagu bermesej keTuhanan tetapi tidak memahami lirik yang dibuat oleh pihak lain.
Dalam majlis untuk mengenangkan Tok Pulau Manis @ Sheikh Abdul Malik ini beliau sekadar mahu berkongsikan pengalaman. Tetapi apabila diminta untuk menyanyi sedikit lagu beliau pun akur. Bukan lagu lagho pun tetapi lagu dengan lirik yang jelas mahu mencari makna keTuhanan bagi mereka yang faham.
No comments:
Post a Comment