Salam malam 19 Sya'aban. Sekarang sampai masanya untuk berkongsi tentang kemuncak acara. Bersambung daripada artikel Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun.
Adapun saya diberitahu oleh pengarah majlis atau festival Tok Pulau Manis bahawa ketika memilih tarikh 19-20 April untuk mengadakan acara tidak terfikir pun ia akan masuk pada satu tarikh penting dalam kalendar Islam. Ini merujuk kepada belah malam 20 April yang mana siangnya adalah Sabtu tetapi menurut kalendar Islam malamnya bermula waktu Maghrib sudah masuk tarikh baru hari Ahad yang kebetulan bersamaan 15 Sya'aban 1440 Hijriah. Ini adalah hari yang dikenali sebagai Nisfu Sya'aban. Apabila menyedari ini maka majlis Maulidur Rasul yang memang telah dirancang mahu diadakan pada malam itu diwar-warkan sekali sebagai sambutan Nisfu Sya'aban.
Seperti kebiasaan di mana-mana masjid diadakan dahulu bacaan tiga kali Surah Yassin di Masjid Kampung Pulau Manis berserta doa-doa yang berkenaan. Selepas Isyak baru tumpuan beralih ke padang dekat dengan makam (Tok Pulau Manis) untuk orang ramai di mana terdapat beberapa buah khemah dan satu pentas besar.
Masuk jam 9 orang ramai sudah memenuhi ruang. Namun saya sendiri lewat menyertai kerana harus menyelesaikan beberapa urusan terlebih dahulu.
Sejumlah ulamak berada di pentas. Mereka datang daripada pelbagai pelusuk Asia Tenggara.
Poster yang diwar-warkan sejak beberapa lama sebelum acara menyenaraikan nama-nama ulamak yang terlibat waktu malam. Saya letak sini untuk membantu mengingati siapakah yang berucap dan daripada mana mereka datang (tidak semua berucap).
Selesai urusan saya bergerak ke beberapa bahagian untuk mendapatkan sudut pandang yang baik dan selesa. Akhirnya didapati ada ruang kosong cukup dekat dengan pentas di satu khemah di hadapan sisi kanan kawasan. Saya pun bergerak ke sana...
Dari situ mudah memerhatikan aktiviti atas pentas juga di khemah sebelah yang dikhaskan untuk kumpulan-kumpulan membawa qasidah juga alunan bacaan maulud.
Tidak lama kemudian berdiri Tengku Khairunnas dari Jakarta memberikan syarahan tentang tauhid orang Sufi ataupun Tasawuf. Beliau sebetulnya adalah orang berketurunan Aceh yang berguru kepada seorang ulamak besar Aceh, Sheikh Amran Wali.
Selepas itu berkumandang lagi qasidah memuji-muji kecemerlangan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW tapi dalam bahasa Jawa. Kalau tak salah ia dibawa oleh satu kumpulan dari Sabah.
Ini pula Ustaz Sulaiman Champa dari Kemboja (Cambodia). Beliau berkongsi tentang usaha pengembangan Islam di negara majoriti Buddha itu yang dipelopori orang Melayu berketurunan Champa, satu negara Melayu yang kini sudah ditelan menjadi Vietnam.
Ini kalau tak salah adalah Baba Romli (memegang mike). Yang pasti dari Patani. Beliau bercakap tentang institusi pengajian pondok yang dipelihara di sana walaupun sejak lebih 200 tahun lalu wilayah dan kerajaan Melayu lama itu telah ditelan menjadi sebahagian daripada selatan Thailand.
Oh, baru teringat. Sama ada sebelum atau selepas Tengku Khairunnas dari Jakarta yang berketurunan Aceh bercakap pengacara ada menyebut acara sedang diikuti secara langsung melalui Facebook oleh umat Islam di wilayah Sulu, selatan Filipina.
Yang ini Ustaz Hafiz Hukmi al-Kenali daripada Pondok Tok Kenali di Kota Bahru, Kelantan. Beliau yang merupakan anak cucu keturunan Tok Kenali, wali besar Kelantan awal abad ke-20 berkongsi sedikit tentang majlis haul Tok Kenali yang julungkali diadakan tahun lepas lalu edisi kedua dijangka akan diadakan sebelum Hari Raya Haji akan datang.
Kiyai Ahmad Cirebon pula merupakan keturunan Sunan Gunung Jati, salah seorang ahli Wali Songo atau Wali Sembilan yang sangat terkenal dalam sejarah pengIslaman Pulau Jawa. Lupa pula beliau bercakap tentang apa. Tutur katanya perlahan dan lembut, rasanya bercakap tentang adab.
Satu kumpulan lagi membawa alunan qasidah dan maulud. Walaupun sedap suara orang yang memimpin kumpulan saya pada mulanya kurang senang kerana alunan yang dimodenkan. Tetapi bagi orang lain mungkin lebih berkesan. Saya kembali masuk menyelami irama dan rasa apabila alunan tradisional Arab dikembalikan untuk bacaan-bacaan seterusnya.
Acara mencapai kemuncak apabila semua hadirin diminta berdiri bagi satu bahagian maulud.
Sudah tengah malam baru ia 'disurutkan' agar majlis dapat ditangguh. Ia ditutup dengan bacaan doa panjang lebar oleh Ustaz Iqbal Zain. Pada penghujung itulah baru kelihatan satu kelibat yang sangat berpengaruh menjayakan majlis, hamba Allah yang disebut dalam artikel Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun. Beliau muncul daripada sisi kanan kawasan sedangkan ketika itu saya sudah berada di hadapan tangga pentas. Tak perlulah ditunjukkan gambar.
Sama ada kebetulan atau memang berniat begitu beliau melangkah ke arah pentas lalu berhenti betul-betul di sebelah kanan saya. Sempat kami bertegur sapa sebelum seorang demi seorang ulamak dari atas pentas turun ke arah beliau lalu mencium tangannya. Jelas bagaimana beliau dipandang tinggi oleh ulamak yang memiliki amalan Tasawuf dari merata Alam Melayu walaupun ada antara mereka jauh lebih tua sedangkan beliau pula cuma 4 tahun lebih tua daripada saya. Ketika para ulamak melangkah untuk ke tempat makan VIP saya cuma berdiri tercegat sahaja kerana sedar siapakah saya berbanding para ulamak yang berilmu agama tinggi.
Masyaallah air mata mula bergenang apabila menulis ini. Tetapi saya harus menyatakan rasa dengan jujur. Walaupun sebagai penulis yang telah menghasilkan 12 tajuk buku, walaupun sebagai seorang aktivis saya telah menganjurkan 20 acara HIKMAH di merata Semenanjung Malaysia membawa 2 kali ke Aceh saya rasa sangat kerdil apabila berdiri bersama para ulamak yang bacaan doanya, hafazan Al-Quran, pengetahuan hukum hakam, matan hadis dan sebagainya begitu luas dan lancar. Tetapi hamba Allah ini telah memuliakan saya dalam majlis sangat berjaya yang dihadiri ribuan orang. Saya diajaknya berjalan kaki bersama menuju ke tempat makan VIP.
Masuk dalam ruang makan saya berdiri tercegat lagi kerana memikirkan tentu ada ulamak berwibawa diajak duduk di sebelahnya. Saya sedia untuk duduk di mana sahaja ruang. Maklumlah orang dah biasa tidur bersepah, baik dalam masjid, mahupun di tepian jalan. Saya bukan sesiapa. Walau seperti mana-mana manusia biasa saya merasa suka apabila dimuliakan tetapi saya tidak mengharapkannya.
Tengok-tengok diajaknya saya duduk di kirinya. Seorang ulamak lebih berumur dari Pulau Jawa pula duduk di kiri saya. Tengku Khairunnas di belah kanan beliau. Lain-lain ulamak duduk memanjang dan melintang membentuk segi empat mengikut ruang makan.
Saya diajak berbual-bual. Entah bagaimana dan tiba-tiba dia berkata Merah Silu (ya, dia tahu nama panggilan saya itu) tentu ada kashaf boleh melihat perkara ghaib. Saya jawab tidak. Saya cuma diperlihatkan sekali sekala sahaja perkara-perkara sebegitu. Ia bukan dalam kawalan saya.
Dengan lembut dia memberitahu itulah kashaf sebenar. Kalau tiap kali hendak melihat boleh nampak itu kashaf jin. Kata beliau kashaf sebenar adalah seperti berlaku kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Ketika timbul fitnah isteri baginda Siti Aishah RA ada berbuat tidak senonoh setelah tertinggal kafilah lalu diselamatkan seorang lelaki muda baginda pun tidak dapat melihat apakah yang sebenarnya berlaku. Sebaliknya baginda harus menunggu turun ayat atau wahyu menerangkan keadaan sebenar.
Selepas beberapa lama tergerak untuk saya bertanya apakah benar beliau ada meminta ahli jawatankuasa satu majlis besar di masjid negeri Shah Alam tahun 2012 agar menghubungi lalu mengundang saya untuk bercakap tentang buku "Berpetualang ke Aceh"? Jawabnya ya. Saya tanya kenapa? Beliau jawab apabila terlihat gambar saya rasa sesuai dan ada gelombang. Rujuk artikel Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Sekian perkongsian tentang majlis daripada saya. Untuk makluman ini adalah artikel ke-361 di blogspot HIKMAH. Ini adalah 19 x 19. Sesuailah dipersembahkan pada malam 19 Sya'aban... :]
No comments:
Post a Comment