Tuesday, October 1, 2019

Membuka acara ke-21 HIKMAH di makam Sultan Malikus Saleh setelah 1,400 km mengembara pusing Aceh dan utara Sumatera

Salam 1 Oktober hari Selasa malam Rabu. Sengaja dipilih malam ini untuk menulis kerana tarikh Islamnya adalah 3 Safar. Merujuk pada artikel Ulasan dan liputan daripada orang Aceh tentang acara ke-21 HIKMAH yang dipersembahkan pada 12 September iaitu hampir 3 minggu lalu. Setelah beberapa lama sampailah masa untuk saya sendiri berkongsi cerita tentang acara tersebut.


Pagi Ahad 1 September 2019 bersamaan 1 Muharram 1441 Hijriah. Setelah beberapa lama berjalan dalam kereta iaitu dari pekan Barus di pantai barat Sumatera sampailah kami ke lokasi majlis iaitu Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai dekat Geudong, Lhokseumawe.


Menurut Google Map dari Barus ke sini memakan jarak lebih 600 km bersamaan 13 jam setengah perjalanan jika tanpa henti. Kalau ikut rancangan asal malam sebelumnya kami menginap di Kompleks Makam Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah di Perlak dan malam sebelum itu di masjid Deli Tua dekat Medan sana. Tetapi keadaan memaksa untuk bergerak terus dari Barus sebelum singgah dalam sejam di Deli Tua kemudian sejam di Perlak. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Mencari jejak Awalun Islam ketika Malaysia menyambut Hari Merdeka di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.








Itupun kami sampai lewat.  Kami sampai ke makam pada jam 10.47 sedangkan majlis diwar-warkan harus bermula jam 9.


Apa pula dibuat? Sudah begitu takdir ditentukan. Pada ketika ini perjalanan kami mengembara pusing Aceh dan utara Sumatera sudah melepasi 4 malam dan masuk 5 hari. Kami sudah berjalan sejauh lebih 1,400 km. Allah SWT sahaja tahu betapa penatnya. Rujuk artikel-artikel berikut :-








Nasib baik kawan-kawan di sebelah sini, orang-orang Aceh dari kawasan sekitar sanggup menunggu.


Beginilah keadaan saya sampai seperti diambil gambar oleh kawan Aceh. Memakai t-shirt kuning daripada majlis haul Tok Pulau Manis bulan April, bukan sepersalinan lengkap busana tradisional Melayu seperti kebiasaan pada majlis-majlis sebegini. Rujuk artikel-artikel berikut :-







Sebetulnya isteri telah menyediakan satu set busana serba putih khas untuk dipakai pada majlis. Malah telah disediakan juga busana tradisional khas untuk beliau dan anak-anak. Tetapi semuanya tersimpan dalam beg yang diletakkan dalam kereta kawan dari Banda Aceh dengan harapan dapat bertemu di Perlak sebelum ke makam Sultan Malikus Saleh. 


Kawan tersebut juga nampaknya menghadapi rintangan lalu tidak dapat ke Perlak malah ke tapak kerajaan Samudera Pasai yang lebih dekat pun tidak dapat sampai pada waktunya. Majlis pun dimulakan jam 11.15 pagi. Sedikit pengenalan dibuat oleh saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH lalu diadakan tahlil atas nama pemilik makam utama dan pengasas kerajaan Samudera-Pasai iaitu as-Sultan al-Malikus Saleh yang mangkat tahun 1297 Masihi.


Majlis menyaksikan perkongsian maklumat daripada seorang penduduk tempatan yang sering dianggap sebagai penjaga makam iaitu bapak Ahmad Yus. Perkongsian beliau yang dibuat secara bersahaja sepertimana biasa dilakukan apabila ada rombongan dari luar datang berziarah ke makam boleh diberi tajuk "Sejarah Samudera Pasai Berdasarkan Cerita Lisan dan Beberapa Sumber". Seterusnya wakil daripada CISAH (Center for Information of Sumatra-Pasai Heritage), ustaz Saiful Bahri memberikan perkongsian lebih ilmiah berdasarkan kajian bertahun oleh persatuan NGO tersebut. Beliau dapat membawa tulisan Khat pada batu nesan sambil memberikan penerangan. Ia boleh diberi tajuk "Sejarah Samudera Pasai Berdasarkan Kajian Arkeolog dan Epigraf"


Majlis berjalan dalam keadaan mesra dan santai.





Untuk makluman inilah kali pertama banner atau sepanduk besar HIKMAH dikibarkan kembali setelah lebih 2 tahun di'tapa'kan di rumah seorang kawan di Banda Aceh. Ini berlaku selepas membuat keputusan tidak mahu lagi mengadakan apa-apa acara HIKMAH iaitu selepas acara ke-20 pada 19 Mac 2017 di sana. Rujuk artikel lama Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? yang ditulis sebulan selepas majlis itu..


Sesungguhnya majlis ini penuh dengan perkara tersirat berbanding yang tersurat. Walau kehadiran manusia nyata begitu kecil ia amat bermakna kerana diadakan di makam seorang moyang utama saya iaitu Sultan Malikus Saleh yang menurut cerita hikayatnya menerima Islam dan mandat pemerintahan akibat wasiat Rasulullah SAW. Kami tidak mengejar nama mahupun gah majlis besar kerana itu bukanlah tujuan... dan lagi bukan tidak pernah kami mengadakan majlis-majlis besar atas nama HIKMAH. Yang kami kejar adalah keberkatan dalam memperjuangkan kebangkitan Islam akhir zaman menurut jadual atas petunjuk berdasarkan alamat dan gerak. Biar dikongsikan bahagian berkenaan daripada hikayat...


“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.” 

“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.” 

“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.” 


- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai


Tarikh yang dipilih iaitu 1 September 2019 menjadi penting kerana jatuh pada 1 Muharram 1441 Hijriah. Tarikh 1 Muharram sendiri sudah cukup signifikan kerana adalah permulaan bagi tahun baru Islam. Sepatutnya pada malam sebelumnya yang sudah masuk 1 Muharram kami menginap di Kompleks Sultan Maulana Abdul Aziz Syah kerana menurut ceritanya Kesultanan Perlak diasaskan pada 1 Muharram 225 Hijriah iaitu 1,216 tahun Qamariah  yang lampau (berdasarkan pusingan bulan ada 354 hari dalam setahun berbanding tahun Syamsiah berdasarkan matahari yang digunakan Barat iaitu ada 365.25 hari setahun). Kami mahu mengambil keberkatan tarikh pengasasan Perlak yang mana daripada keturunan raja-rajanya juga terbit nenek moyang saya Sultan Malikus Saleh lalu membawa keberkatan itu secara berkesinambungan ke tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.


Walaupun tidak sempat menginap di Perlak kami ada singgah menziarahi makam dan beriktikaf dalam sejam selepas solat Subuh. Cukuplah sebagai syarat. Menariknya 1,216 tahun Qamariah itu boleh dilihat sebagai 19 x 64 = 19 x 4 x 4 x 4. Kaitkan dengan tahun 1441 Hijriah dan wujudnya apa yang dipanggil sebagai ramalan Sheikh Abdul Rauf Singkel, wali besar Aceh abad ke-17 tentang kebangkitan Aceh akhir zaman selepas tahun 1440 Hijriah. Kesemua ini ada maknanya, bukan saja-saja...












No comments:

Post a Comment