Tuesday, November 12, 2019

Mawlid Agung Alam Melayu 2019 - Satu kerjasama yang mengangkat martabat majlis

Adapun tepat seminggu selepas mempersembahkan artikel Seloka 1000 Keris - Satu majlis baru yang layak dijadikan acara tahunan negara di blogspot CATATAN SI MERAH SILU timbul lagi satu artikel daripada blogspot itu yang sangat sesuai dikongsikan di sini. Sekadar memberitahu, ia baru dipersembahkan di sana beberapa minit tadi. Sekarang biar dipersembahkan di sini untuk menjadi artikel ke-373 di blogspot ARTMELAYU.


---------------


Salam petang Selasa 15 Rabiulawal 1441 Hijriah. Hari ini yang tarikh Baratnya (kalendar Gregorian) adalah 12 November 2019 sampai masanya untuk berkongsi cerita aktiviti saya dan keluarga pada siang hari Maulidur Rasul 12 Rabiulawal. Menyambung gerak penulisan daripada artikel Kesucian dan kekotoran dalam sejarah spiritual Mekah : Muhammad dan kemenangan tamadun monoteistik.


Kelihatan adalah poster bagi majlis "Mawlid Agung Alam Melayu 2019" yang diadakan di USIM, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan. Ia dianjurkan oleh satu badan NGO bernama Ratib Alami berserta USIM dengan kerjasama beberapa pihak.


Difahamkan acara terbit buat pertama kalinya di USIM akibat kebetulan ia dan Ratib Alami mahu mengadakan majlis dalam tempoh waktu sama. USIM mahu mengadakan festival atas nama iFest sedangkan Ratib Alami yang sudah beberapa tahun mengadakan sambutan Maulidur Rasul atas nama Mawlid Agung Alam Melayu mahu mengadakan acara edisi terbaru bagi tahun 2019. Maka digabungkan apa yang ada untuk membentuk atur cara seperti yang kelihatan.



Selepas menghadiri syarahan di ISTAC pada hari Jumaat malam Sabtu 8 November 2019 (seperti diceritakan dalam artikel Kesucian dan kekotoran dalam sejarah spiritual Mekah : Muhammad dan kemenangan tamadun monoteistik) saya dan keluarga bergerak ke Bandar Seri Putera dekat Bangi Lama untuk bermalam di rumah kawan. Dari sana cuma tinggal 15 km sahaja untuk ke USIM, kalau dari rumah sendiri dekat 100 km perjalanan. Tetapi pada pagi Sabtu 9 November, siang hari sambutan Maulidur Rasul kami berehat dahulu di rumah kawan kerana sampai ke sana itu pun sudah dekat jam 3 pagi, selepas itu berbual-bual sehingga dekat jam 4. Dengan itu pada jam 12 tengah hari baru saya dan keluarga keluar . Itupun singgah dahulu ke beberapa tempat sebelum sampai ke USIM jam 3.40 petang. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-






Kami sampai untuk mengikuti sesi perkongsian ilmu di satu auditorium universiti.


Sudah terlepas perkongsian pembentang pertama, Ar Dr Mastor Surat daripada UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Menurut atur cara beliau telah membawa tajuk "Falsafah Kebitaraan Adat Budaya Melayu".


Kelihatan adalah pembentang kedua, Sheikh Sidi Rohimuddin Nawawi al-Bantani daripada persatuan Al Isyraq Nusantara. Menurut atur cara beliau membawa tajuk "Tradisi Alam Melayu".


Namun ulamak terkenal dari Banten di Pulau Jawa ini telah menukar tajuk seperti yang kelihatan pada slaid...


Secara rata beliau bercakap tentang konsep cinta iaitu cinta alami yang lebih bertujuan untuk memenuhi keperluan nafsu haiwani diri berbanding cinta hakiki yang berpaksikan Tuhan lalu daripada situ boleh muncul cinta yang betul-betul suci sesama makhluk ciptaanNya.





Sekitar jam 5.50 kami bergerak ke masjid USIM. Lihat Masjid (Mosque of) USIM, Nilai.


Dari situ dimulakan sesi berarak Maulidur Rasul...





Tu dia. Orang lain biasa berarak pada awal pagi 12 Rabiulawal. Kami berarak belah petang menyusuri satu jalan utama pekeliling di USIM.





Sampai kembali ke masjid jam 6.20 diadakan persembahan silat di perkarangan belakang.





Sambil itu berjalan pembentangan tentang "Seni Peperangan Melayu" oleh guru silat, Pendekat Mat Ali...





Masjid terus menjadi tempat berkampung sambil semakin ramai hadirin muncul, kebanyakannya para pelajar USIM. Tiba-tiba saya dan isteri diminta menjadi VIP untuk majlis utama Maulud selepas Isyak. Memang pun selama ini pihak penganjur utama iaitu Ratib Alami selalu mengundang kami sebagai VIP walaupun ia tidak dinyatakan awal kali ini. Ini kerana kapisiti saya sebagai presiden dan pengasas NGO bernama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman). 

Untuk makluman pihak Ratib Alami telah beberapa kali menyertai majlis-majlis kami. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa mereka mengadakan majlis-majlis sendiri setelah melihat kejayaan majlis-majlis kami lalu sedikit sebanyak ada mengikut model atur cara kami. Boleh rujuk cerita-cerita berkenaan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Jam 9.15 malam bergeraklah kami dari bilik VIP masuk ke dewan utama solat. Kami mengikut di belakang ulamak-ulamak utama sambil disambut para hadirin.





Saya duduk di sisi kanan barisan VIP hadapan. Dari situlah diambil gambar-gambar seterusnya...





Diadakan majlis pembukaan beradat dengan menjunjung keris oleh Sheikh Rohimuddin.


Diadakan tayangan video tentang perjuangan umat Melayu dan kaitannya dengan pengembangan agama Islam sambil mengangkat tinggi junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.


Jam 9.53 baru dimulakan bacaan qasidah dan nyanyian-nyanyian maulud.


Jam 11.26 majlis mencapai kemuncak apabila masuk bahagian laungan selawat secara berdiri.


Selepas beberapa lama baru suasana reda. Kelihatan Sheikh Rohimuddin memberikan tausiyah jam 11.42...


Ketika itu lebih banyak lampu telah dibuka sehingga suasana jadi terang benderang, tidak separa gelap seperti ketika Maulud tadi.


Walaupun ketika itu ramai hadirin sudah meninggalkan majlis kerana sudah lewat malam jumlah yang masih ada cukup ramai untuk menunjukkan ia mendapat sambutan yang sangat meriah. Saya anggarkan tidak kurang 1,000 hadirin ada pada waktu kemuncaknya...


Walaupun suatu sambutan Maulidur Rasul itu tidak perlu bergantung kepada jumlah yang hadir kerana mana-mana majlis yang bertujuan untuk memuji dan mengenangkan Nabi Muhammad SAW tetap tinggi martabatnya namun daripada segi pandangan awam kelihatan majlis anjuran Ratib Alami kali jelas lebih berjaya dan bermartabat berbanding edisi-edisi terdahulu.


Jam 12.04 Ustaz Iqbal Zain daripada Darul Mujtaba pula memberikan tausiyah. Kalau tak salah ingatan selepas jam 12.30 baru majlis bersurai lalu kami dapat menikmati makan malam lewat. Yang pasti pada jam 2 pagi masih ada orang berlegar termasuk saya dan keluarga. Sebagai mengakhiri artikel biar dikongsikan sejumlah gambar yang diambil daripada Facebook Ratib Alami dan sumber lain...

































Tuesday, November 5, 2019

Seloka 1000 Keris - Satu majlis baru yang layak dijadikan acara tahunan negara

Artikel ini baru dipersembahkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU beberapa minit tadi. Ia sangat sesuai dikongsikan di sini kerana amat relevan dengan HIKMAH.


------------


Salam malam 9 Rabiulawal. Sedar tak sedar sudah dekat 2 minggu blogspot ini tidak dikemaskinikan. Sedangkan sebelum itu hampir setiap hari ada sahaja cerita baru dikongsikan dalam tempoh sebulan. Sekarang biar dikongsikan sesuatu daripada hujung minggu lalu. Dipersembahkan artikel pertama bagi bulan Rabiulawal, bulan sambutan Maulidur Rasul.


Ini adalah poster bagi satu majlis baru yang diberi nama "Seloka 1000 Keris".  Majlis yang dianjurkan oleh satu persatuan baru bernama Pertubuhan Keris Semenanjung dengan kerjasama beberapa pihak terutama Jabatan Muzium Negara (JMN) ini menonjolkan beberapa aktiviti seperti tertera dalam poster. Paling utama adalah melibatkan keris...


Acara dilangsungkan pagi hingga petang Sabtu dan Ahad lalu 2-3 November 2019. Saya dan keluarga sampai ke lokasi majlis iaitu Muzium Diraja, Kuala Lumpur pada jam 2.45 petang Ahad lalu masuk melalui pintu belakang.


Kami ikut pintu belakang kerana mendapat tahu ruang tempat letak kereta hadapan sudah penuh. Malah begitulah keadaannya sehingga ke persekitaran Medan Ikan Bakar Jalan Bellamy yang terletak di belakang halaman muzium. Nasib baik ada pejabat Telekom di mana kami boleh menumpang kereta kerana isteri adalah kakitangan.


Kami sampai lewat kerana balik kampung di Muar untuk bertemu ibu bapa. Kali terakhir bertandang adalah semasa cuti Hari Raya Haji 3 bulan lalu. Kami sampai kampung jam 4 awal pagi Sabtu. Ahad jam 10 dah bergerak meninggalkan mereka untuk ke majlis. Muncul pula hal-hal lain dalam perjalanan sejauh 180 km yang separuh daripadanya dibuat melalui jalan lama.


Untuk pengetahuan Muzium Diraja adalah istana Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebelum dibuka istana baru di Jalan Duta beberapa tahun lalu. Sejak itu ia dijadikan muzium dibawa selenggaraan JMN.


Kami melihat dahulu pameran kekal yang berada di bangunan utama muzium @ istana lama. Ruang yang kelihatan ini pernah menjadi balairong seri bagi majlis-majlis diraja.


Keluar ke halaman hadapan istana lama...





Kemudian baru ke lokasi majlis di satu bahagian sisi.





Kalau tidak kerana beberapa orang utama pihak penganjur adalah kawan-kawan belum tentu lagi kami sampai. Seharusnya kami menghabiskan lebih banyak masa bersama orang tua di Muar. Namun sebetulnya kami memilih untuk kembali ke Muar hujung minggu lalu itu pun adalah sebahagian daripada perancangan mahu ke majlis "Seloka 1000 Keris" ini. Kalau tidak mungkin kena tunggu kelapangan lain baru balik kampung.


Saya menghabiskan sedikit masa melihat persembahan silat di satu khemah khas. Isteri dan anak-anak bergerak ke bahagian lain...








Terdapat ahli persilatan dan guru-guru dari wilayah Patani di selatan Thailand, juga tempat-tempat seperti Padang di Pulau Sumatera dan Jakarta di Pulau Jawa, Indonesia memeriahkan majlis.


Tentunya ada wakil-wakil daripada perguruan-perguruan di Malaysia. 


Ini memang perkara biasa di majlis-majlis persilatan yang kami hadiri.








Seperti biasa saya dan isteri dapat berjumpa ramai kawan.











Jam 3.46 saya bergerak ke khemah pameran dan jualan.





Jauh sedikit di halaman hadapan kelihatan padang utama istana digunakan untuk aktiviti memanah...





Jam 4.12 saya bergerak ke bahagian utama majlis. Ia adalah bahagian yang dikhaskan untuk keris.


Sambil berjalan-jalan itu fikiran saya mengimbau kembali bagaimana kawan-kawan aktivis dalam dunia persilatan dan busana tradisional Melayu mula terlibat dengan JMN melalui acara yang dianjurkan oleh pihak saya sendiri 3 tahun lalu. Lihat artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Saya tahu siapa kepala utama yang menjayakan majlis "Seloka 1000 Keris". Saya tahu beliau mula kenal dengan pegawai-pegawai utama JMN terutama ketua pengarah apabila bersama saya menjayakan acara ke-16 HIKMAH di Muzium Negara.


Oleh itu saya sangat gembira dapat datang untuk menunjukkan sokongan. Saya tahu beliau memang orang yang gigih dan boleh dipercayai untuk menjayakan suatu acara apabila telah menyatakan komitmen.





Masuk ke dewan badminton istana di mana lebih 1,000 keris daripada 10 negeri dipamerkan pertandingan keris baru sahaja selesai.


Tak mengapa. Pameran masih berjalan dan ramai kawan-kawan lama ada dalam dewan.


Bukan tidak pernah saya hadir dalam majlis-majlis perkerisan di Malaysia tetapi tidak ada yang sebesar ini sebelumnya.


Dengan adanya majlis "Seloka 1000 Keris" negara kita sudah ada suatu majlis yang dapat menandingi majlis Kerissana di Patani, Selatan Thailand yang boleh tahan hebat lagi gilang gemilang. Rujuk artikel Jejak Wasilah Patani - Kerissana 2018, Wan Hussein Senawi dan Narathiwat.


Kita sudah ada satu majlis perkerisan bertaraf antarabangsa yang layak dijadikan acara tahunan negara. Tahniah kepada semua yang terlibat. Anda tahu siapa diri anda semua... :]