Tuesday, February 22, 2022

HIKMAH nombor 22

Artikel berikut merupakan yang ke-2,222 di blogspot CATATAN MERAH SILU. Lebih istimewa ia dipaparkan tepat pada jam 22.22 tarikh 22/02/2022 tadi. Ia melibatkan HIKMAH. Maka biar disalin ke sini untuk membentuk artikel pertama blogspot HIKMAH bagi tahun 2022 merangkap artikel ke-399 secara keseluruhan. Setelah hampir setahun blogspot tidak dikemaskinikan.


-----------


Salam semua. Pada ketika ini saya dan keluarga sedang berada di suatu tempat di negeri Perak. Asalnya mahu bermalam di kampung asal bapa iaitu Batak Rabit di Teluk Intan. Di rumah ibu saudara, dekat masjid lama Batak Rabit yang didirikan dalam tanah wakaf keluarga, di sebelah kawasan pemakaman khas untuk darah daging sahaja. Tetapi keluarga ibu saudara pula kena Covid lalu harus membuat kuarantin.

Sekadar memberitahu. Di Batak Rabit itulah terdapat tapak kota lama Melayu yang gambarnya sangat terkenal dalam sejarah Malaysia dan Tanah Melayu. Gambar menunjukkan Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah (yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877) diapit sejumlah pembesar Melayu (termasuk moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin) dan pengikut mereka juga beberapa pegawai British. Kami ke Perak setelah membuat perjalanan ke Kedah petang Ahad 20 Feb. Ada artikel khas mahu dihidangkan pada 22 Februari. Isinya telah disediakan lebih awal tetapi mahu dipaparkan pada jam 22:22


Merujuk pada artikel ke-2,220 iaitu  Dari majlis perkahwinan ke masuk tahfiz ke perbincangan tentang keadaan negara yang ditulis 13 hari lalu. Pada penghujung cerita ada dinyatakan bahawa saya bercadang untuk mengeluarkan artikel ke-2,222 pada tarikh 22 Februari 2022 (22/2/22, juga boleh ditulis 22/02/2022) dengan sesuatu yang melibatkan nombor 2 juga 22. 

Tepat 2 tahun lalu iaitu pada tarikh 22 Februari 2020 (22/02/2020) saya telah melaksanakan acara ke-22 ilmu atas nama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman) di tempat menyambung pengajian peringkat pasca-siswazah iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Lihat artikel Acara kedua puluh dua HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Esoknya kerajaan Pakatan Harapan yang kelihatan agak pro bukan Melayu dan bukan Islam jatuh selepas hampir 22 bulan mentadbir negara. Lihat laporan akhbar Berita Harian -  PH hilang majoriti jadi Kerajaan Pusat

Kurang sebulan selepas itu iaitu pada 18 Mac pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung wabak virus Covid-19. Maka itu jangankan hendak mengadakan acara... nak keluar lebih 10 km dari rumah pun tak boleh buat beberapa lama. Apapun lihat berapa kali nombor 2 juga 22 muncul dalam perenggan tadi. Lebih penting adalah apa yang mahu diluahkan seterusnya.

Pernah satu ketika selepas beberapa lama menganjurkan acara-acara HIKMAH seorang kawan aktivis yang baru mendapat tempat di sebuah muzium negeri bagi menjalankan perniagaan barangan warisannya menawarkan kepada saya tempatnya sebagai pusat HIKMAH. Kelihatannya beliau berfikir disebabkan tidak ada tempat sendiri maka saya mengadakan acara HIKMAH di bermacam-macam tempat dan negeri. Saya menolak dengan baik. Jawab saya kami tidak memerlukan tempat. Kalau perlu di rumah saya sendiri dah boleh buat. Sebaliknya kami sengaja membuat acara di bermacam lokasi untuk menarik minat masyarakat terhadap usaha mahu mendaulatkan agama, bangsa dan negara selain menolong menaikkan nama tempat-tempat.

Ini mengingatkan bagaimana ada persatuan suatu sukan tradisional bergerak atas nama kebangsaan. Tetapi yang dianjurkan asyik-asyik acara di tempat sendiri, bukan menolong mengangkat tempat-tempat lain yang menganjurkan sukan sama walaupun diterajui oleh ahli. Kelihatannya persatuan digunakan untuk mengangkat nama dan tempat sendiri sahaja. Ahli-ahli yang dikumpul ramai itu cuma alat untuk menghalalkan kewujudan persatuan sambil mendapatkan peruntukan bagi menampung keperluan tempat dan individu.

Kami di HIKMAH tidak pernah mengumpulkan dana mahupun mendapatkan peruntukan. Yang kami dapat adalah bantuan secara sukarelawan bagi menjayakan acara. Namun saya lihat ramai rupanya tak percaya tentang gerak kerja kami. Ini kerana realitinya ramai yang menggunakan persatuan juga acara bagi mendapatkan duit juga menaikkan nama. Tidak masuk akal ada orang seperti saya mahu bersusah payah berbuat semua ini tanpa apa-apa kepentingan duniawi.

Memikirkan ini ada baiknya tidak lagi dibuat apa-apa acara HIKMAH selepas yang ke-22 itu. Sebetulnya sudah banyak kali pun saya hendak berhenti daripada mengadakan acara atas sebab sama. Tapi tengok-tengok timbul desakan dalaman selain permintaan orang agar meneruskan usaha.

Pada ketika ini saya masih lagi dibelenggu masalah belum dapat menyiapkan penulisan tesis di ISTAC lalu tidak akan memberatkan kepala tentang HIKMAH dan acara. Permintaan untuk mengadakan? Tetap ada. Kerana ramai masih menyayangi HIKMAH dan meminta. Pada masa yang sama sudah terdapat banyak kumpulan boleh mengadakan acara serupa atau sedemikian dengan lebih hebat dan teratur. Buat apalah hendak memenatkan diri buat acara? Lagipun kan cantik sudah ada 22 kali acara HIKMAH? Buat apa hendak ditambah jumlah? Bukan dapat apa-apa kelebihan duniawi pun...

Hmm. Tak mengapalah. Lihat nanti bagaimana. Yang penting selesaikan dahulu apa yang belum beres di hadapan mata. Dengan ini cukuplah luahan. Sebagai mengakhiri artikel biar diletakkan pautan bagi artikel-artikel ke-2, ke-22 dan ke-222 di blogspots saya :-



Blogspot CATATAN SI MERAH SILU

Artikel ke-2 - Mukadimah: Kenapa Berpetualang? (ditulis pada 12/11/2006)

Artikel ke-22 - Pengalaman di Tanjung Pura (ditulis pada 5/12/2006)

Artikel ke-222 - Salam daripada Tangkak/Ledang (ditulis pada 7/1/2008 merangkap artikel pertama blogspot bagi tahun itu)



Blogspot BERPETUALANG KE ACEH

Artikel ke-2 - Lamenting a lost  (ditulis 10/11/2006)

Artikel ke-22 - The Zionist Conspiracy (ditulis 8/12/2006)

Artikel ke-222 - My favourite place of hang-out in Pulau Besar, Melaka (ditulis 21/7/2008)

Yang ini pula ada sedikit kena mengena dengan aturan nombor - My latest trip to Janda Baik and the number 22222! (ditulis 24/7/2008)



Blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)

Artikel ke-2 - Masjid Batak Rabit (Batak Rabit Mosque) (ditulis 19/11/2006)

Artikel ke-22 - Bertandang ke makam diraja Langgar, Kedah (A visit to the royal mausoleum at Langgar, Kedah) (ditulis 14/4/2007)

Artikel ke-222 -  Nombor 222 dan seni ukir Melayu (The number 222 and Malay art of carving) (ditulis 24/4/2--0)



Blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Artikel ke-2 -  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) (ditulis 31/10/2012)

Artikel ke-22 - Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka (ditulis 29/11/2012)

Artikel ke-222 - Tanjak baru untuk HIKMAH Janda Baik (ditulis 18/1/2016)