Saturday, June 25, 2022

Pemenang dirham Webinar logam berharga HIKMAH

Salam hari Sabtu malam Ahad 26 Zulkaedah 1443 Hijriah. Merujuk pada artikel Webinar logam berharga pada pagi Ahad 12 Jun 2022 yang disiarkan pada 6 Jun lalu diikuti artikel Webinar pertama HIKMAH melibatkan dinar dirham berjaya! seminggu selepas itu. Ini kesinambungannya.



Adapun Webinar yang telah selamat berlangsung pada pagi hingga tengah hari Ahad 12 Jun telah menyaksikan beberapa soalan dikemukakan kepada mereka yang mengikutinya melalui Youtube. Mereka yang menjawab dengan betul layak mendapat dirham yang disumbangkan oleh orang-orang tertentu, misalnya sumbangan1/2 dirham sebanyak 2 keping daripada saudara Andak...




Hadiah juga diberikan kepada mereka yang mengambil masa untuk mengemukakan soalan baik melalui ruangan komen di Youtube mahupun panggilan terus ke studio (lihat sini). Di atas adalah dirham yang disumbangkan oleh saudara Zuhdi sebagai hadiah.




Sebetulnya orang paling bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran kejayaan Webinar adalah saudara Hazrin Marjan. Beliau yang mencadangkan agar HIKMAH mengadakan acara tetapi mengatur segala keperluan logistik di balik tabir tanpa menonjolkan diri...




Beliau juga yang mencadangkan agar diberikan hadiah kepada peserta lalu mencari penyumbang.




Kemudian beliau pula yang mencari alamat rumah setiap pemenang agar hadiah dapat disampaikan melalui pos.




Alhamdulillah. Tidak lama kemudian sampailah hadiah kepada para pemenang.




 Ini adalah saudara Muhd Suffian bersama hadiahnya...




Puan Fathiyah bergambar bersama hadiah dan suami...




Saudara Faizal Zulkifli...




Puan Nor Izzah..




Pemenang paling bertuah adalah Cikgu Farouk. Beliau mendapat 6 dirham jenama Al Asr (sekeping syiling 5 dirham dan sekeping 1 dirham).



Puan Suraya bersama hadiah beliau. Dua orang pemenang lagi iaitu saudara Ahmad Wafie dan saudari Anis memilih untuk mengambil sendiri hadiah di rumah kawan yang terlibat dalam Webinar. Jadi tiada gambar.


Monday, June 13, 2022

Webinar pertama HIKMAH melibatkan dinar dirham berjaya!

OK. Bersambung daripada artikel Rumah terbuka dan karnival pembangunan komuniti budaya dan warisan bersama Walid Ibrahim Al Malik.



Pagi Ahad 12 Jun 2022 saya bergerak seorang diri ke lokasi acara pertama diterajui saya bagi hari itu iaitu di Kelana Jaya, dari hotel yang terletak cuma 1.6 km dari situ.



Sementara itu isteri dan anak berehat sahaja di hotel. Saya sampai ke tempat ini yang merupakan rumah anak seorang kawan tetapi dijadikan studio sementara untuk acara sekitar jam 9.




Dengan itu artikel Webinar logam berharga pada pagi Ahad 12 Jun 2022 yang disiarkan pada 6 Jun lalu pun dirujuk. Acara berkenaan dijadualkan bermula jam 10 pagi itu.




Dipendekkan cerita acara yang merupakan Webinar pertama HIKMAH melibat dinar dan dirham berjaya diadakan dengan jayanya. Ikuti rakamannya dalam video atas. Adapun beberapa minit terawal sebenarnya adalah 'filler' sebelum acara bermula. Untuk terus ke acara pergi ke minit 9:31.

Cuma rupanya ada sedikit masalah suara yang ditangkap lalu dipancarkan kepada umum di Youtube tidak begitu jelas. Hal ini baru disedari setelah acara berjalan buat beberapa lama lalu masa yang sesuai pun dipilih untuk membuat paparan iklan tidak dirancang (pada minit 26:50 dalam rakaman) untuk mengubah kedudukan microphone bagi mengatasi masalah.




Bergambar selepas acara selesai jam 12.40. Adapun acara dijadualkan tamat jam 12 tetapi terlajak 40 minit lalu isteri saya sampai dengan anak dari hotel dengan menaiki Grab... sedangkan rancangan asal adalah untuk mengambil mereka di hotel sebelum membawa ke acara kedua diterajui saya bagi hari itu. Tentang acara kedua itu akan dipanjangkan dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Untuk makluman artikel tentang Webinar ini merupakah artikel ke-404 di blogspot HIKMAH.


Rumah terbuka dan karnival pembangunan komuniti budaya dan warisan bersama Walid Ibrahim Al Malik

Salam malam 14 Zulkaedah 1443 Hijriah. Ada perkongsian daripada hujung minggu lalu.



Sejak 2 minggu kebelakangan timbul poster atas di media sosial terutama di Facebook dan WhatsApp.




Atur caranya sepanjang siang Sabtu 11 Jun 2022 kelihatan begitu menarik. Sedangkan ramai yang terlibat termasuk peneraju majlis, seorang ulamak Sufi yang dikenali sebagai Walid Ibrahim Al Malik adalah kawan-kawan dan kenalan saya dalam dunia NGO dan aktivisma busana, persilatan serta usaha-usaha kedaulatan orang Melayu.




Pun begitu asalnya saya tidak mahu pergi. Lokasi majlis di Putrajaya 70 km terasa agak jauh sedangkan saya mahu memberikan tumpuan pada dua majlis yang mana saya menjadi penerajunya pada keesokannya Ahad 12 Jun.




Namun ada orang lain seperti memujuk datang melalui isteri. Tiga orang kawan kami dalam dunia aktivis masing-masing menghantar WhatsApp kepada isteri meminta kami datang. Memandangkan acara pertama diterajui saya iaitu pada pagi Ahad akan berlangsung di Kelana Jaya, 44km ke selatan rumah isteri pun mencadangkan apa kata pergi ke Putrajaya kemudian bermalam di hotel sekitar Kelana Jaya. Dari situ boleh ke acara pertama kemudian selepas itu ke acara kedua, di tengah bandar raya Kuala Lumpur.



Kami pun mencari dalam talian. Tengok-tengok ada hotel murah yang cukup selesa cuma 1.6 km sahaja dari lokasi acara di Kelana Jaya. Ngam-ngam tinggal satu bilik. Kami pun tempah. Dengan itu dapatlah bergerak dengan senang hati ke lokasi majlis hari Sabtu di Putrajaya Mall, dalam satu bahagian Putrajaya yang kami belum pernah sampai sebelum ini.




Kami sampai sedikit lewat iaitu pada jam 11.50. Kelihatan ia begitu meriah...




Dapat dilihat ramai yang datang berbusana tradisional Melayu atau berbaju Melayu. Suasana adalah seperti pada rumah terbuka hari raya.




Pelbagai jenis makanan dan minuman disediakan secara percuma, hadirin boleh ambil pada bila-bila masa. Sambil itu berjalan pelbagai jenis acara di atas pentas.




Gambar ini diambil pada jam 12.43 dari atas pentas.




Ketika itu saya diminta untuk bersama dif-dif kehormat untuk sambutan Maulidur Rasul...










Selesai itu kami turun makan bersama Walid.




Setelah beberapa lama saya meminta diri untuk berjalan-jalan melihat suasana...







Jam 2.30 saya ke arah pentas untuk kembali menyertai acara-acara rasmi lalu diminta duduk di sebelah Walid...




Adapun majlis ini memiliki beberapa sesi cabutan bertuah di mana hadirin yang nombornya dipanggil akan menerima hadiah. Saya diminta untuk membuat cabutan bagi 10 nombor terakhir.




Penghujung majlis, sejumlah kami diminta menjadi orang terawal bergambar dengan Walid sebelum yang lain dapat bersama kumpulan demi kumpulan. Adapun beliau memiliki ramai anak murid di seluruh Malaysia. Majlis ini menjadi teristimewa kerana ia adalah hari terakhir Walid menunjukkan muka kepada umum. Sebelum ini belum pernah menyepikan diri selama belasan tahun sebelum keluar dari uzlah  penghujung tahun 2021 lalu terlibat memberikan ceramah atau hadir pada majlis-majlis keramaian. Setelah 6 bulan beliau mahu kembali menyepikan diri. Pun begitu orang-orangnya ramai mewakili untuk membuat kerja-kerja akhir zaman demi umat Melayu dan Islam insyaallah.

Nota tambahan (ditulis lewat malam Jumaat 16 Jun 2022) : Saya diberitahu bahawa Walid telah membaca tulisan ini. Oleh itu beliau ingin menambah, walaupun sudah masuk beruzlah beliau sedia hadir ke majlis-majlis penting yang boleh memberikan kesan tinggi kepada usaha bagi memartabatkan Melayu dan Islam.


Monday, June 6, 2022

Webinar logam berharga pada pagi Ahad 12 Jun 2022

Assalamualaikum semua. Sudah lebih dua bulan blogspot ini tidak dikemaskinikan. Tiada berita daripada bulan puasa Ramadhan yang sudah berakhir lebih sebulan lalu juga daripada bulan raya Syawal yang baru sahaja berakhir kurang seminggu lalu. Sekarang biar dikongsikan tentang satu acara yang telah dirancang sejak penghujung Mac lalu. Sebulan selepas itu iaitu pada 23 April baru ditetapkan isi butiran acara dan tarikh ia mahu diadakan iaitu pada pagi Ahad 12 Jun.



Ini adalah poster promosi bagi acara. Ia mula dibuat pada 24 April lalu diubah beberapa perkara sebelum mendapat rupa yang kelihatan pada 18 Mei. Sebelum ini poster memaparkan tiga orang ahli panel. Tetapi seorang daripada mereka kemudian memberitahu tidak dapat bersama pada tarikh 12 Jun kerana muncul hal tertentu.

Selepas itu poster memaparkan dua orang ahli panel sahaja berserta tarikh Hijriah 13 Zulkaedah 1443. Ini kerana itulah yang disangkakan bersamaan dengan 12 Jun 2022 ketika itu. Apabila mendapat kepastian bahawa Syawal tahun ini berlanjutan sehingga hari ke-30 iaitu pada 31 Mei baru mendapat barulah ditukarkan 12 Jun 2022 adalah bersamaan 12 Zulkaedah 1443.

Bermula 20 Mei, poster yang ada telah diwar-warkan dengan teks berikut melalui Facebook dan WhatsApp :-


WEBINAR DINAR DIRHAM ANJURAN HIKMAH 12 JUN 2022

Salam semua. Dimaklumkan bahawa HIKMAH dengan kerjasama beberapa pihak akan mengadakan  satu Webinar tentang dinar dirham pada pagi Ahad 12 Jun 2022 jam 10 hingga 12 tengah hari. Penyertaan adalah terbuka dan percuma kepada semua. Peserta yang mendaftar akan diberikan sijil. Sila daftar melalui pautan ini. https://forms.gle/T6fwnPGtk9svMwYz6

Webinar boleh diikuti melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=e50vD9yrKR8. Jangan melepaskan peluang untuk menggali satu ilmu yang sangat penting untuk umat Islam dalam menghadapi cabaran akhir zaman.


Di atas adalah contoh bagi sijil yang akan diterima mereka yang mendaftar. Diingatkan bahawa walau sudah mendaftar sebelum tarikh acara peserta perlu mendaftar lagi sekitar waktu acara bermula jam 10 pagi Ahad 12 Jun sebagai bukti kehadiran. Untuk pembaca blogspot ini boleh klik sini untuk pendaftaran. Untuk mengikuti acara di Youtube pula sila klik sini.