Tuesday, August 29, 2023

Majlis ulamak dan pendekar di Hang Tuah Centre 26-27 Ogos

Bersambung daripada artikel Majlis Kota Sufi di Masjid Sri Sendayan.


Selain majlis Kota Sufi poster tentang satu majlis lain di atas turut berkumandang di media sosial buat beberapa lama. Maka apabila telah merancang untuk balik kampung di Muar selepas mengambil isteri habis kursus di Port Dickson tengah hari Sabtu 26 Ogos 2023 saya pun berazam untuk ke sana. Ini kerana lokasinya adalah dalam perjalanan ke Muar. Dan yang menganjurkan pula seorang sahabat seperjuangan dalam dunia persilatan dan busana tradisional Melayu.




Apapun asalnya ia dipromosikan sebagai satu majlis yang mahu menggabungkan kehadiran para ulamak dengan pendekar. Setelah beberapa lama didapati nama majlis diubah nama menjadi "Karnival Mega Wasilah Cinta Ambang Merdeka Melaka 2023". Penekanan nampaknya lebih diberikan kepada ulamak walaupun komponen-komponen melibatkan pendekar, guru silat dan pesilat masih banyak mengisi. Cuma kelihatan seperti pada banyak majlis melibatkan ulamak dan pesilat yang pernah dihadiri dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, pesilat kelihatan seperti dijadikan lebih pada penghias acara, para pengiring ulamak dan sebagainya. Bukan ketua-ketua yang ada kedudukan dalam masyarakat.



Sebetulnya saya ada melihat dan mengekori perkembangan pengaturan acara seperti diwar-warkan di media sosial sejak sebulan kebelakangan. Saya melihat baru dalam 2 minggu kebelakangan kehadiran ulamak diangkat sehingga seperti jauh mengatasi komponen-komponen melibatkan orang silat yang sudah diwar-warkan sebulan lebih awal.




Kelihatan tarikan utama adalah seorang ulamak muda yang disebut namanya sebagai Saiyid Muhammad Amin.




Beliau adalah Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW daripada belah Saidina Hassan yang merajai negara Maghribi atau Morocco.




Kebetulan ketika saya dan keluarga sampai sekitar jam 6.45 petang, setelah membuat beberapa persinggahan dari arah Port Dickson, beliau yang lebih dikenali sebagai Maula Muhammad Amin sedang menunggang kuda menuju ke pintu keluar tempat acara iaitu Hang Tuah Centre di Kampung Duyong.








Selepas beliau beredar menaiki sebuah kereta mewah baru kami melihat ke dalam...












Sebetulnya banyak pengisian telah dibuat untuk majlis. Saya dan keluarga cuma sempat mengikuti sedikit sahaja termasuk sesi Maulidur Rasul waktu malam.












Pada pengamatan saya penganjuran telah bertukar tangan.




Walaupun jarang berjumpa saya cukup kenal dengan sahabat yang disebut sebagai penganjur awal. Saya tahu kegigihan beliau dalam menjayakan suatu acara serta rangkaian kenalan termasuk orang-orang besar di Melaka



Kelihatan seperti beliau bertanggungjawab bagi mendapatkan penyertaan ramai golongan pesilat dan sejumlah  golongan atasan. Tetapi akhirnya orang lain mengambil alih bagi menentukan pengisian dan arah tuju muktamad majlis. Beliau sekadar menjadi orang yang bertanggungjawab menyediakan tempat serta latar belakang atau set up yang diperlukan agar ia kelihatan grand.


Monday, August 28, 2023

Majlis Kota Sufi di Masjid Sri Sendayan

Salam. Ada cerita baru untuk dikongsikan di blogspot HIKMAH.



Sejak sebulan dua kebelakangan muncul poster atas di media sosial bagi mempromosikan acara berkenaan. Difahamkan ia mengandungi banyak pengisian melibatkan ilmu kesufian. Cuma saya pada awalnya tidak bercadang untuk pergi kerana ada kesibukan.



Dengan takdir Allah muncul satu keadaan yang melorongkan saya untuk membawa anak hadir pada hari pertama acara iaitu pada hari Jumaat malam Sabtu 25 Ogos 2023.




Keadaan ini terbit kerana satu, isteri harus menghadiri kursus di Port Dickson pada 25-26 Ogos.




Bermula 26 Ogos pula cuti sekolah sehingga 3 September. Lalu kami ada memberitahu ibu saya akan balik kampung di Muar apabila beliau bertanya bila mahu balik.




Lokasi majlis di Masjid Sri Sendayan pula terletak cantik dalam perjalanan dari rumah kami di Bandar Sungai Buaya untuk ke PD.




Dengan itu saya boleh membawa anak ke majlis. Esoknya boleh ambil isteri setelah habis kursus lalu balik Muar.




Apapun saya datang bersama anak tanpa tahu apakah program pada malam itu.




Yang faham harus ada perasmian. Lalu didapati ia dilakukan oleh tokoh agamawan dan akademik terkemuka Datuk Dr Afifi al-Akiti, lepasan sekolah pondok yang menjadi pensyarah di University of Oxford di England.








Esoknya Ahad 26 Ogos, selepas bermalam lalu menunaikan Subuh di sebuah masjid lain berdekatan kami ke majlis lagi.








Dapatlah melihat lebih jelas sejumlah paparan yang dibuat bagi mempromosikan acara...




Antaranya adalah maklumat tentang tokoh-tokoh ulamak yang diketahui mengamalkan ilmu Tasawuf/Sufi dan bertariqat di Tanah Melayu.




Cuma ketika gambar-gambar pagi diambil sekitar jam 7 belum berapa ramai orang di masjid.












Tetapi telah bermula satu ceramah merangkap pembentangan ilmu melibatkan Tasawuf sejak selepas Subuh...




Sambil itu semakin ramai hadirin muncul memenuhi ruang.




Saya mengikut sehingga jam 10.30 pagi sebelum harus bergerak ke PD...




Sedikit maklumat yang diperolehi di Internet tentang acara...
















Selebihnya boleh lihat di sini.


Tuesday, August 1, 2023

Acara ke-23 di Sarang Art Hub kurang 3 bulan lagi insyaallah

Salam semua. Adapun kali terakhir blogspot HIKMAH ini dikemaskinikan adalah apabila artikel Majlis Silat dan Selawat 1444 di Selayang dipersembahkan pada 27 November 2022 iaitu hampir 9 bulan lalu. Kali terakhir acara HIKMAH diadakan pula adalah pada 3 tahun setengah lalu. Lihat Acara kedua puluh dua HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020. Sekarang baru ada berita yang 'mewajibkan' agar blogspot ini dikemaskinikan. Dan ia adalah tentang acara terbaru HIKMAH yang insyaallah akan diadakan dalam tempoh kurang 3 bulan dari sekarang...


Gambar ini diambil ketika majlis pelancaran dirham HIKMAH di pusat seni dan makan minum Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak pada 29 Julai 2017. Lihat artikel Pelancaran dirham HIKMAH - Bermulanya fasa baru mendaulatkan Melayu dan Islam. Ia berlaku sebagai satu komponen 'tumpang' bagi program "Sireh Pulang ke Gagang" yang dianjurkan oleh Sarang. Program itu sendiri sebenarnya berlangsung sebagai ganti bagi permintaan oleh pemilik iaitu sutradara filem terkenal arwah Mamat Khalid agar satu acara HIKMAH diadakan di tempat beliau. Permintaan disuarakan oleh arwah pada penghujung tahun 2016. Lalu artikel bertajuk Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan? pun disiarkan 5 Januari 2017 bagi menyatakan komitmen. 

Mamat pernah menghadiri beberapa acara HIKMAH, pertama kali di Melaka hampir 10 tahun lalu di mana hadirin diminta untuk membuat cadangan isi terbaru filem beliau (lihat Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013). Rupa-rupanya sambil itu beliau juga merancang untuk mengadakan acara sendiri yang memakai sebahagian konsep HIKMAH. Jadilah apa yang dipanggil sebagai "Anjung Tradisi" pada 25-26  Februari tahun 2017. Ia lebih menumpukan pada konsep budaya yang mana pemakaian busana tradisional Melayu, berkeris, bersampin dan bertanjak dan persilatan lebih diutamakan berbanding HIKMAH yang ada semua itu tetapi lebih menonjolkan perkongsian ilmu bersifat intelektual bagi mengangkat tinggi sejarah dan ketamadunan Melayu.

Dengan itu saya melihatnya sebagai alat menuju ke aspirasi tinggi HIKMAH. Lihat Malam Anjung Tradisi di Sarang Art Hub - Satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana. Kemudian berlaku hal-hal tertentu  ketika berada di Aceh bagi penganjuran acara ke-20 HIKMAH (lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017). Ini membuatkan saya memutuskan tidak mahu mengadakan apa-apa lagi acara HIKMAH. Lalu tertulislah artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? pada 21 April. 

Namun saya tetap merasa bertanggungjawab untuk menunaikan permintaan Mamat tetapi dengan cara lain. Dengan itu berlangsunglah acara "Sireh Pulang ke Gagang" pada 29 Julai. Butiran bagaimana ia boleh terjadi ada dinukilkan dalam artikel Program "Sireh Pulang ke Gagang" di Sarang Art Hub sebagai ganti acara HIKMAH. Walaupun melepaskan tanggungjawab bagi menjayakan acara keseluruhan kepada pihak lain saya tetap berusaha untuk menjayakan komponen utama acara iaitu satu forum pada malamnya. Lihat Forum "Busana di dalam Filem Klasik Melayu" - Menetapkan piawaian baru untuk filem-filem akan datang.

Setahun setengah kemudian baru tergerak untuk kembali mengadakan acara penuh. Berlakulah Acara kedua puluh satu HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Muzium MAPESA/Pedir, Aceh 1-3 September 2019 diikuti Acara kedua puluh dua HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020. Sementara itu Mamat yang turut mengadakan pelbagai acara dengan bermacam tema seni moden dan lama terus bergerak dengan Anjung Tradisi. Jadilah acara kedua atas nama sama  pada 27 Januari 2018 diikuti ketiga pada 18 Disember 2021. Lihat Anjung Tradisi 2018 di Sarang Art Hub - Mengomel sikit tentang keMelayuanlah pulak... diikuti Pantai Timur penghujung 2021 - Membuka secara tradisi di Sarang Art Hub di blogspot CATATAN SI MERAH SILU

Acara ketiga berlangsung dalam keadaan Mamat baru sekitar 2 bulan mengembuskan nafas terakhir kerana masalah kesihatan. Ia telah dirancang sebelum itu lagi lalu diteruskan oleh waris-waris. Tidak pasti jika Sarang Art Hub ada menganjurkan lagi apa-apa acara sebegitu selepas itu. Yang pasti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang penularan wabak virus Covid-19 yang bermula 18 Mac 2020 telah menyebabkan apa-apa acara melibatkan orang ramai dilarang sehinggalah dilonggarkan dalam 2 tahun kemudian.

Pada 12 Mac 2023, sekembalinya saya, isteri, anak dari satu perjalanan ke selatan Thailand menggunakan kereta api (lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022), kami yang meninggalkan kereta di Tanjung Malim lalu mengambil kembali di sana telah singgah ke Sarang lalu balu arwah Mamat Khalid yang kami panggil sebagai Kak Intan bertanya jika kami ada merancang untuk mengadakan apa-apa acara? Beliau menawarkan Sarang sebagai tempat. Tetapi ketika itu saya cuma tersenyum sahaja, tidak menyatakan apa-apa.

Ketika itu saya masih menunggu peperiksaan lisan bagi tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) diadakan. Saya juga sedang sibuk dengan penulisan akhir buku ke 13+1 (buku pertama setelah siap penulisan tesis, buku sebelum itu iaitu yang ke-13 dimulakan sebelum masuk ISTAC September 2018) iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai. Bila peperiksaan diadakan 24 Mac lalu lulus diikuti buku siap untuk dihantar ke kilang percetakan 13 April baru timbul rasa boleh dibuat acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub. Terus terfikir tarikh yang sesuai adalah hari Sabtu 23 September (23.9.23). 

Pun begitu saya harus menjayakan dahulu penerbitan buku. Alhamdulillah ia dapat dilancarkan pada 13 Mei. Lihat artikel-artikel berikut :-

1. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Persediaan dalam kegelisahan



Seterusnya harus menyelesaikan pembetulan tesis. Ini hanya dapat disiapkan pada 27 Jun. 


Selepas itu baru terasa cukup lapang untuk menganjurkan acara terbaru HIKMAH. Pada 27 Julai Khamis malam Jumaat, selepas satu urusan di Ipoh kemudian beriktikaf sebentar di masjid warisan keluarga di Batak Rabit (lihat Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023) saya, isteri dan anak singgah di Sarang dalam perjalanan kembali ke rumah. Kami mahu membincangkan penganjuran acara. Tengok-tengok Kak Intan sedang berada di Ipoh bersama seorang anak, Amen Khalid yang sekarang ini mewarisi kerja-kerja arwah dalam dunia perfileman.

Siang tadi saya keluar untuk urusan buku di beberapa tempat membawa hingga ke Behrang di utara Tanjung Malim. Singgahlah di Sarang lalu dapat berbincang dengan Kak Intan. Beliau sedia maklum untuk bersama menjayakan acara. Cuma beliau pinta agar dilewatkan ke 23 Oktober. Kerana itu adalah hari ulang tahun ke-2 kematian arwah.

Sayangnya 23 Oktober adalah hari Isnin. Tidak sesuai untuk mengadakan majlis yang turut mengandungi tahlil arwah pada waktu malam. Dengan itu diputuskan agar ia diadakan pada hari Sabtu 21 Oktober 2023. Atur cara penuh boleh dimulakan jam 2.30 petang namun tempat dibuka seawal jam 10 pagi untuk orang bersantai dengan aktiviti bebas sambil peniaga boleh mula berniaga seawal itu.

Seperti biasa pada setiap acara HIKMAH kami menyediakan tapak perniagaan percuma. Kami juga menyediakan makan minum percuma bagi para peserta. Kalau hendak yang lebih bagus boleh bayar sendiri kerana Sarang Art Hub memang pusat makan minum selain pusat seni. Seperti biasa pengisian bersifat kebudayaan seperti bersilat tetap ada. Pengisian ilmu akan dimaklumkan kemudian menurut tema yang saya baru dapat ilham sekitar masuk waktu Maghrib tadi iaitu "Antara Tradisi dan Kemodenan : Mencari Kebaikan Dalam Setiap Keadaan". Nanti akan diterangkan kenapa.

Untuk makluman ini adalah artikel ke-414 di blogspot HIKMAH. Sukacita juga dimaklumkan ia dapat disiarkan pada malam 15 Muharram 1445 Hijriah. Sila berikan maklum balas terutama tentang pengisian majlis. Sila berikan cadangan topik dan/atau tajuk yang sesuai dengan tema.