Thursday, November 29, 2012

Berkonvoi 10 Muharam membawa misi HIKMAH ke Melaka

Assalamualaikum. Setelah beberapa lama saya rasa eloklah diluahkan cerita tentang acara HIKMAH di Melaka 25 Nov bermula dengan ini.


Sabtu 24 Nov. Sejumlah mereka yang terlibat dengan HIKMAH berkumpul di RnR atau tempat rehat Seremban, Lebuh Raya Utara-Selatan.


Mereka adalah sebahagian daripada ahli konvoi 7 kereta yang akan membuat persiapan awal untuk acara. Ini termasuk seorang pembentang selain saya, dua orang moderator, beberapa orang sukarelawan dan tiga orang wakil daripada badan NGO luar negara bernama MAPESA, Masyarakat Peduli Sejarah Aceh.


Oh. Saya tidak mengambil gambar konvoi. Entah kenapa saya terlupa. Konvoi ini bermula dengan kereta saya diikuti sebuah kereta lain daripada rumah saya di Bandar Tasik Puteri. Kemudian ikut lagi sebuah kereta di kawasan rehat selepas tol Sungai Besi dan tiga buah lagi di RnR Seremban.


Alhamdulillah kami sampai ke lokasi acara iaitu Kolej Yayasan Melaka di Bukit Sebukor pada waktu yang dijanjikan, selepas Zuhur.


Di luar kawasan kolej kelihatan kapal terbang ini.




Setelah mendapat kepastian dewan mana yang hendak digunakan untuk acara kami pun berpusu ke sana.




Pada ketika ini kami lebih banyak memerhatikan keadaan lokasi kerana pintu dewan rupa-rupanya terkunci.




Setelah beberapa lama muncul wakil Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) untuk meletakkan banner. Untuk makluman acara diberi nama rasmi Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu dan MAGMA Melaka adalah salah satu penganjur.


Selepas itu saya mengatur penginapan untuk pembentang dan moderator di Hang Tuah City Hotel, dahulunya Straits Meridian. Letaknya di Bukit Baru, boleh dikatakan di sebelah masjid negeri.


Seterusnya saya harus mengatur penginapan lain di pusat bandar raya Melaka. Tanpa dirancang saya terambil jalan yang melalui Bukit Cina. Terus mengajak kawan-kawan terutama wakil Aceh naik ke atasnya.




Ini kerana di satu puncak bukit (Bukit Cina memiliki tidak kurang dua puncak) terdapat makam lama seorang panglima dari Aceh.


Beliau dipercayai terkorban ketika Aceh menyerang Portugis di Melaka tahun 1629. Lihat artikel Makam panjang Melayu Aceh yang dikelilingi kubur-kubur Cina : Sahabat seperjuangan Sheikh Shamsuddin Al-Sumatrani di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Saya mahu mengatur penginapan tiga wakil Aceh ditemani seorang pembentang dan keluarganya di rumah tumpangan tradisional bernama Apa Kaba Guest. Tetapi disebabkan masalah mencari lokasi ditambah kesesakan lalu lintas yang amat teruk ketika itu saya membawa mereka terlebih dahulu berehat di pangsapuri yang disediakan untuk urusetia HIKMAH di Casa Lago. Selepas itu saya mendapat panggilan dari seorang sukarelawan yang membawa sejumlah buku saya. Beliau yang datang dari Puchong memberitahu sudah sampai ke Melaka lalu saya memintanya berjumpa di masjid negeri.


Ditemani pembentang yang ditugaskan untuk menjaga wakil Aceh kami pun ke masjid.


Selepas bersolat kami dan sukarelawan yang membawa buku pergi ke lokasi acara. Ketika itu saya dapati banner atau kain rentang telah selesai diletakkan di luar dewan.


Kali ini pintu dewan terbuka dan kami pun meletakkan buku ke dalamnya. Sayangnya sukarelawan tersebut tidak jadi mengikuti acara hari Ahad akibat sibuk menguruskan penyertaan syarikatnya pada satu acara lain. Namun beliau begitu komited untuk menolong sehingga sanggup menghantar kakitangannya mengambil buku di rumah saya di Bandar Tasik Puteri yang terletak 60 km dari tempat mereka di Puchong. Dan petang Sabtu pula, selepas selesai menguruskan beberapa hal syarikat beliau sanggup memandu sendiri kereta membawa buku saya ke Melaka.


Oh. Baru teringat. Sabtu itu adalah 10 Muharram iaitu hari asyura. Saya, isteri dan tiga wakil Aceh yang sebelum itu menginap di rumah kami semuanya berpuasa sunat. Selepas berbuka kami bersolat di Masjid Kampung Hulu di mana kami menziarahi makam ulamak bertaraf wali yang bernama Sayyid Abdullah Al-Haddad (ada yang kata Al-Haidar) kemudian berjalan kaki di sekitar Bandar Hilir. 

Di atas adalah gambar di Masjid Kampung Keling. Sebelum itu kami menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani yang juga datang dari Aceh semasa perang dengan Portugis 1629. Dalam perjalanan kembali ke Masjid Kampung Hulu, tanpa dirancang saya terbawa mereka mengambil laluan hampir ke makam Hang Jebat. Seronok betul wakil-wakil Aceh apabila mendapati batu nesannya adalah dari jenis rekabentuk tempat mereka...


Hampir tengah malam, selepas menghantar mereka ke Apa Kaba House (saya dan pembentang yang ditugaskan menjaga mereka berpusing beberapa kali lewat petang untuk mencari lokasi) dan berehat sebentar di sana, saya, isteri dan dua orang sukarelawan wanita yang ditugaskan menjaga jualan buku juga memerhatikan anak-anak kami pergi ke Ayer Keroh mencari kedai yang tertera ini.


Sayangnya ketika kami sampai ia sudah ditutup. Kami mencari kedai untuk memastikan pemiliknya tidak terlupa menghantar 500 set nasi lemak dan minuman untuk sarapan dan 500 set nasi beriyani dan minuman untuk makan tengah hari semasa acara HIKMAH berlangsung 25 Nov itu. Alhamdulillah walaupun kami menghadapi masalah menghubunginya ternyata pemilik tersebut memegang janji. Tapi itu cerita keesokan harinya. Cukuplah gambar diletakkan sebagai bukti kami sampai setelah mengatur pelbagai perkara.


Kalau ikutkan artikel ini harus diletakkan di blogspot malam itu juga. Tapi saya betul-betul tak larat akibat pelbagai kerja yang dibuat untuk menjayakan acara. Saya cuma dapat membuat status update di Facebook untuk memberitahu bahawa sijil penyertaan yang ditandatangani Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam akan diberikan kepada peserta. Selesai cerita ini barulah saya boleh beralih ke hal semasa acara...



No comments:

Post a Comment