Thursday, November 29, 2012

Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari



Esoknya pagi Ahad 25 November acara yang diberi nama "Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu" pun bermula.


Acara ini dilaksanakan HIKMAH dengan kerajaan negeri Melaka, DMDI (Dunia Melayu Dunia Islam) dan MAGMA Melaka (Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka).


Selepas pendaftaran yang bermula 8.30 pagi, acara dijadualkan bermula dengan pembukaan jam 9.


Namun disebabkan beberapa hal pembukaan dalam bentuk sesi salawat, zikir dan doa yang dipimpin Sheikh Raja Aman ibni Raja Mokhtar cuma dapat dimulakan jam 9.45 pagi.


Ini diikuti kata-kata aluan daripada pengasas MAGMA Melaka, saudara Huzaifah terutama sebagai jemputan kepada peserta dari luar Melaka.


Saya sendiri bertindak sebagai MC selain harus juga memberi sedikit ucapan pengenalan sebagai presiden dan pengasas HIKMAH. Melihat pada keadaan saya pun menjemput para peserta sarapan pagi di kantin. MC asal, Dr Hapiza masih kurang sihat akibat serangan angin ahmar yang berlaku dua hari sebelum acara pertama kami iaitu "Suai Kenal HIKMAH" 4 Nov.


Sepatutnya sarapan dibuat dalam tempoh waktu pendaftaran 8.30-9 pagi. Namun ramai menghadapi masalah mencari lokasi acara iaitu di Kolej Yayasan Melaka. Malah saya dan kawan-kawan yang sudah meninjau lokasi pada hari sebelumnya juga beberapa kali tersilap jalan ketika datang dari arah pusat bandar raya Melaka.


Apapun terima kasih diucapkan kepada Dato' Razak dan Razak Beriyani House, Taman Tasek Utama, Ayer Keroh, Melaka kerana memegang janji untuk menaja set nasi lemak dan minuman untuk 500 orang bersarapan. Pada mulanya saya risau juga makanan tak sampai kerana tidak dapat menghubungi beliau. Lega hati saya apabila mendapat sms jam 7 pagi memberitahu sarapan akan sampai jam 9.


Jam 10.45 baru kami kembali ke dewan untuk memulakan sesi pembentangan.


Ikut rancangan asal sesi harus dibuka oleh saudara Amirul Haji Mohamad jam 9.40 pagi.


Kertas kerja beliau sama seperti semasa "Suai Kenal HIKMAH" di Shah Alam. Lihat artikel HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu dan Mata wang syariah dan Melayu : Penipuan dalam kewangan dan perlembagaan?. Namun kali ini saya memberi beliau lebih banyak masa untuk menerangkan lebih mendalam beberapa perkara.


Masa yang lebih banyak dapat diberikan kerana kali ini setiap sesi diisi oleh tiga orang pembentang berbanding empat di Shah Alam. Jika dahulu kertas kerja tentang mata wang syariah diikuti pembentangan tentang perlembagaan kali ini kita terus ke saudara Shamsul Yunos yang membentangkan kertas kerja bertajuk "Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu : Hikmah dan Tanggungjawab"


Ini berlaku kerana sahabat kami yang bercakap tentang perlembagaan, seorang peguam terkenal di Johor Bahru iaitu saudara Faizal Ahmad tidak dapat datang ke Melaka kerana harus bersiap untuk satu perbicaraan di mahkamah JB keesokan harinya.


Dengan itu muncullah Sheikh Muhammad Zaid sebagai pembentang ketiga.


Selepas berkongsi pengetahuan beliau tentang betapa pentingnya peranan Raja-raja Melayu dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara, beliau membacakan satu doa yang agak panjang lebar demi kesejahteraan ummah.


Walaupun sesi pembentangan pagi bermula lebih sejam lewat berbanding yang dirancang, walaupun ini menyebabkan pembentang terakhir sesi habis bercakap hampir jam 12 saya dapati pembahagian masa masih terkawal hingga dapat memperuntukkan hampir 15 minit untuk sesi soal jawab. Walhal ikut rancangan asal, sesi pembentangan tengah hari harus sudah dibuka jam 11.25.


Sambil itu saya sempat melihat keadaan di luar lalu mengambil gambar poster yang diletakkan oleh wakil dari Aceh.


Selepas itu saya sendiri harus duduk di hadapan sebagai pembentang. Sesi tengah hari dimulakan sekitar jam 12.20.


Ia dibuka oleh puan Harleny Abd Arif dengan kertas kerjanya "Ragam Hias Gunung Mihrab di Acheh dan di Tanah Melayu (1600-1900)".


Sepatutnya Puan Harleny adalah pembentang kedua. Tetapi moderator bidan terjun yang dipanggil untuk sesi ini tersilap membaca maklumat di kertas lalu saya membenarkan sahaja.


Lagipun pada saya tiada masalah jika pembentang pertama, Tun Muhammad Farul dialihkan menjadi pembentang kedua. Dahulu beliau terlepas "Suai Kenal HIKMAH" kerana tersilap membaca maklumat... apabila menyangkakan acara tersebut yang diperkecilkan dari rancangan asal tidak menyediakan sesi pembentangan tetapi sekadar untuk berkenal-kenalan. Rujuk artikel Dari Akademi Pengajian Melayu ke Yayasan Restu, dari Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH jadi Suai Kenal... . Kini beliau dapat muncul dengan kertas kerjanya "Busana tradisional Melayu sebagai lambang jiwa merdeka". Walaupun turut hadir pada majlis adalah penggiat terkenal busana, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail yang dikira lebih layak bercerita tentang perkara, saya mahu Farus terus menanganinya untuk mewakili suara generasi yang lebih muda.



Selepas itu adalah giliran saya dengan pembentangan bertajuk  '“Berpetualang ke Aceh” : Satu pengalaman mencari jati diri Melayu'. Berbanding di Shah Alam, kali ini saya lebih banyak menyentuh tentang kerajaan lama Melaka. Oh. Untuk melihat atur cara, rujuk bahagian akhir artikel Bersiap untuk acara HIKMAH di Melaka 25 Nov.


Seingat saya, saya tidaklah bercakap lama sebelum menjemput saudara Raja Syukri daripada Pulau Bentan untuk membaca wasiat moyangnya, Raja Haji Fisabilillah yang gugur ketika menyerang Belanda di Melaka tahun 1784. Pada saya kertas kerja saya boleh 'dikorbankan' bila-bila sahaja untuk memberi laluan kepada pihak lain mengejar masa. Untuk pengetahuan, cara Raja Syukri menyampaikan wasiat pada "Suai Kenal HIKMAH" 4 Nov di Shah Alam telah menarik perhatian penerbit dan pengarah terkenal Datin Paduka Shuhaimi Baba. Lihat video di Video klip sekitar HIKMAH 4 Nov. Beliau yang terjumpa video tersebut ketika membuat kajian tentang Raja Haji di Internet begitu tertarik sehingga mengarahkan anak buah di syarikatnya, Pesona Pictures agar memberi perhatian khusus kepada Raja Syukri. Atas sebab itu mereka menghantar krew lima orang berserta peralatan kamera untuk ke Melaka merakam temu ramah dengan Raja Syukri pada malam sebelum acara juga merakam wacana dari pagi sehingga selesai keturunan Raja Haji itu bercakap!


Seingat saya juga, melalui pembahagian masa yang dibuat saya secara ad-hoc berpandukan keadaan semasa dan reaksi para peserta, sesi tengah hari dapat ditamatkan sekitar jam 1.30 tengah hari. Maka tidaklah lari begitu jauh daripada rancangan asal untuk menamatkannya jam 1.15 walaupun sesi pembentangan pagi bermula lebih sejam lewat. Dan syukur sekali lagi apabila kami mendapati 500 set nasi beriyani dan minuman sudah siap berada di kantin pada waktu makan. Terima kasih lagi kepada Dato' Razak dan Razak Beriyani House kerana memegang janji dengan hidangan yang enak. Sekadar menyampaikan pesan, anda boleh mendapatkan satu set nasi beriyani dan minuman daripada mereka dengan harga termurah RM6. :]



No comments:

Post a Comment