Monday, November 5, 2012

HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu

Assalamualaikum semua. Adapun gambar-gambar yang ada ini sudah diletakkan di sini seawal jam 8 pagi Isnin. Kini, hampir 2 pagi hari Selasa baru saya terasa boleh bercerita... setelah lama melayan penat badan akibat banyak bekerja untuk memastikan acara sulung HIKMAH berjaya selain diserang demam akibat kombinasi penat dan cuaca sejuk hujan lebat beberapa hari lamanya. Juga, tadi saya asyik terleka menatap perkembangan terbaru di Facebook selain mahu mengatur acara HIKMAH akan datang yang dijadualkan berlangsung 25 Nov.



OK. Saya rasa tidak perlu diperkenalkan lagi apa itu HIKMAH - pembaca boleh merujuk pada sejumlah artikel sebelum ini. Ahad pagi 4 Nov sampailah masa untuk acara sulung HIKMAH diadakan. Kami anak beranak pun bergegas ke Kompleks Taman Seni Islam Selangor @ Yayasan Restu di Shah Alam.


Adapun kami sudah bersedia untuk keluar sekitar 7.45 pagi  tetapi dugaan muncul apabila tayar hadapan kiri pancit... setelah saya berpenat-lelah mengangkut sejumlah barang yang mahu dibawa ke dalam kereta. Keadaan ini menyebabkan kami cuma dapat bergerak selepas jam 8. Nasib baik dapat juga sampai sekitar 8.40 gitu.


Oh. Gambar-gambar di atas diambil sekitar 9.30. Acara pula dijadualkan mahu bermula setengah jam sebelum itu, 8.30-9.00 adalah untuk peserta mendaftar. Kami dimaklumkan sudah ada yang datang seawal 8.15. Namun disebabkan beberapa hal acara cuma dapat dimulakan hampir satu setengah jam lewat!


Apa yang berlaku adalah selepas sampai dan menyelesaikan beberapa hal tentang persiapan acara saya telah keluar menaiki kereta untuk mencari seorang kawan yang hilang arah. Beliau ada membawa sejumlah buku tulisan saya untuk dijual selain membawa empat orang komando yang bakal mengawal keselamatan acara.


Kalau ikutkan saya seharusnya tidak perlu bersusah-payah begitu untuk memastikan kawan dapat sampai kerana harus menguruskan acara. Tentu tugas itu boleh digalas orang lain terutama daripada kalangan sukarelawan. Tapi itulah saya, cuba juga menjemput sendiri sehingga ramai pula yang harus menunggu. Ini acara pertama anjuran saya dan kawan-kawan. Lain kali insyaallah saya ingat jangan lagi berbuat begini...


Selepas berjaya menemui mereka lalu menunjukkan jalan hingga ke yayasan saya sudah terlalu lapar kerana belum makan pagi.


Saya pun mengumumkan kepada semua agar turun sarapan dahulu.


Sekitar10.15 baru peserta diminta naik untuk memulakan acara.






Sekitar jam 10.20 baru acara betul-betul bermula dengan bacaan selawat oleh sahabat baik saya, Sheikh Raja Aman ibni Raja Mokhtar yang memimpin satu cabang Tariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah.


Selepas itu saya memberikan ucapan alu-aluan untuk memperkenalkan HIKMAH. Ini diikuti ucapan perasmian oleh cendekiawan tersohor Profesor Dato' Dr. Othman Yatim yang terkenal dengan kajiannya tentang batu nesan Aceh, kini berkhidmat dengan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.


Sayang sekali saya tidak sempat mengambil gambar beliau merasmikan acara dengan mengetuk beduk dan taboh yang terdapat di luar bilik. Acara diteruskan dengan sesi pembentangan. Kelihatan sahabat lama saya, Taufiq Tan Sri Khalid Sahan yang berperanan sebagai moderator sesi pagi memberikan sedikit pengenalan. Beliau adalah seorang peguam yang mendapat ijazah undang-undang daripada University of Nottingham kalau tak salah, kemudian mendapat kelulusan professional BAR (untuk mengamalkan undang-undang) daripada institusi terkenal bernama Lincoln's Inn di London.




Taufiq adalah kawan sebilik semasa kami sama-sama menuntut di peringkat kolej iaitu di A Level PPP/ITM Damansara Utama. Di London saya pernah menumpang rumah beliau selama beberapa bulan. Hmm. Tiba-tiba teringat bagaimana kereta Mercedes sports Taufiq boleh hilang di sebuah jalan di tengah kota London. Rupa-rupanya kena tarik sebab tersilap letak kereta di ruangan khas orang cacat! :]


Oh. Biar diberitahu. Untuk acara 4 Nov yang dipanggil "Suai Kenal HIKMAH" ini saya harus bertindak sebagai MC selain menjalankan beberapa tugas. Ini kerana orang yang sepatutnya menjadi MC, Dr Hapiza Muhammad daripada UiTM (Universiti Teknologi MARA) diserang penyakit mendadak lalu terpaksa dimasukkan ke dalam wad.




Pembentang pertama adalah seorang lagi sahabat lama, saudara Amirul Mohamad... juga pernah duduk sebilik zaman kolej. Amirul pun lulusan undang-undang daripada United Kingdom, pernah menjadi peguam sebelum membuat keputusan untuk mendirikan syarikat perundingan sendiri (consultancy) terutama dalam bidang kewangan Islam.


Selain itu Amirul adalah penerbit dan hos rancangan televisyen tentang kewangan Islam di Capital TV, Unifi. Dalam pembentangan yang bertajuk "MataWang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan?" beliau menceritakan bagaimana peringkat demi peringkat orang Melayu dibawa jauh daripada sistem kewangan Islam yang berdasarkan wang dinar emas dan dirham perak beralih kepada hutang yang tertulis atas kertas hingga ia menjadi wang kertas.


Pembentang kedua adalah seorang lagi sahabat yang pernah duduk sebilik zaman kolej, saudara Faizal Ahmad. Seperti Taufiq beliau juga lulusan Lincoln's Inn, London malah dikatakan salah seorang peguam ternama di Johor Bahru sekarang. Faizal datang untuk memenuhi permintaan kami agar seorang kawan yang berkelayakan sudi secara sukarela mengupas sedikit tentang perlembagaan negara Malaysia. Tajuk pembentangan, "Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja" dipilih dan dicadangkan oleh saya.


Faizal memulakan dengan menceritakan bagaimana perlembagaan Malaysia boleh terbentuk dan bagaimana hak orang-orang Melayu dan raja-raja Melayu termaktub. Sayangnya saya tidak dapat mendengar kesemuanya kerana beberapa kali harus keluar masuk bilik untuk memastikan kelancaran acara.


Pembentang ketiga adalah juga sahabat sebilik di kolej iaitu saudara Shamsul Yunos. Memilik ijazah undang-undang daripada University of Nottingham juga kalau tak salah, beliau pernah menjadi wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The Malay Mail sambil menulis dalam bidang automotif lalu dianggap pakar dalam bidang tersebut.  Saya meminta beliau bercakap tentang "Tujuh wasiat raja-raja Melayu" yang pernah dipopularkan oleh YTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah suatu masa dahulu...


Pembentang seterusnya, Sheikh Muhammad Zaid Dor bukan lagi sekolej dengan kami. Melihat pada rupa paras tentunya beliau lebih senior. Namun seperti kami beliau juga pernah menetap lama di luar negara menimba ilmu sekular kemudian kembali membawa kecenderungan ke arah agama. Malah pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang ini adalah seorang pemimpin tinggi tariqat Naqshabandiyah yang memiliki pengaruhnya yang tersendiri. Pun begitu, pihak beliau tanpa dipinta telah menghubungi saya untuk memberikan ceramah sukarela bertajuk "Faktor Sultan kepada bangsa Melayu - Mesej untuk umat Melayu di akhir zaman". Sungguh, HIKMAH telah berjaya menarik begitu banyak perhatian sehingga saya yang asalnya mahu bermula dengan pembentangan beberapa orang kawan akhirnya jadi tak menang tangan. 


Sesi pembentangan diikuti soal-jawab. Selepas itu saya memberi peluang kepada wakil daripada Singapura, Tengku Syawal ibni Tengku Aziz yang merupakan warisan keturunan Sultan Ali ibni Sultan Hussein dari Istana Kampung Gelam untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu di negara republik pulau yang dikuasai bangsa bukan Melayu itu.


Acara diteruskan dengan sesi pembentangan tengah hari. Sepatutnya seorang sahabat saya (bukan dari zaman kolej), Tun Muhammad Farul, seorang pesilat dan aktivis busana tradisional membentangkan kertas kerja bertajuk "Busana tradisional Melayu sebagai lambang jiwa merdeka". Tetapi beliau tidak muncul. Saudara Megat Ainuddin, pengasas dan guru tua aliran silat Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu pula sudah memaklumkan tidak sempat hadir membuat pembentangan kertas bertajuk "KEMEGA - Ketuanan Melayu Sejagat" kerana harus memenuhi undangan majlis kahwin. Kalau acara diadakan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya seperti diwar-warkan seminggu lalu beliau tiada masalah kerana boleh berkejar dari UM ke majlis di Kajang. Apabila HIKMAH ditukar tempat ke Shah Alam perancangan pun berubah. Maka pembentang ketiga, Puan Harleny Abd Arif diminta terus ke hadapan...


Harleny yang tinggal satu peringkat lagi untuk bergelar Doktof Falsafah dalam bidang seni daripada UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) membuat pembentangan bertajuk "Ragam hias gunungan mihrab dan mimbar di Alam Melayu". Menggunakan pengalaman turun padang melihat masjid-masjid lama hampir di seluruh Malaysia dan Indonesia (beliau telah pergi ke Aceh 7 kali kalau tak salah, saya baru 5) Harleny mengupas makna berbagai ragam hias yang boleh kelihatan dalam rumah ibadat.


Kemudian baru saya membuat pembentangan bertajuk "Berpetualang ke Aceh : Satu pengalaman mencari jati diri Melayu" merujuk pada trilogi novel tulisan dan terbitan saya 2006-2007. Namun saya memendekkan pembentangan untuk memberi ruang kepada sahabat dari Bentan yang saya anggap seperti abang, saudara Raja Syukri untuk menceritakan tentang wasiat moyangnya, Raja Haji Fi Sabilillah yang mangkat ketika diserang Belanda di Teluk Ketapang, Melaka 1784. Untuk maklumat ketika pembentangan saya lagi  sudah masuk Zuhur. Maka ketika beliau berkata-kata ramai yang sudah lapar atau/dan mahu keluar bersolat. Tetapi ramai juga yang mahu mendengar Raja Syukri membaca wasiat panjang lebar hingga tamat.



3 comments:

  1. Wah Wah!..tgk gambar pun dah naik semangat....apa lagi jika dah ada jalan ceritanya.... sabar menunggu cerita selanjutnya...

    ReplyDelete
  2. kerugian yg amat besar krn tidak dapat hadir,....bersedia utk tarikh 25 nov

    ReplyDelete
  3. Segala yg berlaku ada HIKMAHnya....InsyaAllah bersedia utk 25hb di Melaka...

    ReplyDelete