Monday, November 5, 2012

HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik!



Hampir jam 3 baru sesi pembentangan petang bermula. Disebabkan lambat waktu makan kemudian lambat menunaikan solat kerana perlu melayan pelbagai pertanyaan termasuk sain autograf buku, saya sebagai penganjur, pembentang, presiden dan pengasas HIKMAH juga MC hari itu terlewat satu jam menyambung acara berbanding yang dijadualkan iaitu 2 petang!


Namun ada HIKMAHnya juga saya terlewat. Ini kerana pembentang pertama sesi petang, saudara Khairul Azhar Abdul Karim yang datang berbusana penuh siap berkeris di pinggang hampir-hampir tidak dapat memenuhi jadual kerana baru sahaja selesai menguruskan kemasukan seorang anaknya ke Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Beliau  merupakan saudara seketurunan belah bapa saya iaitu daripada titisan darah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan ke 26 Perak, Sultan Abdullah yang merupakan saudara beliau akibat dikatakan terlibat dengan pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch 1875), dari keturunan Raja Bugis yang amat ditakuti Belanda, Laksamana Raja Mahkota pertama Nakhoda Hitam @ Tok Kuala Bidor (dituduh sebagai lanun yang berleluasa di perairan Pulau Sembilan tahun 1740an). Atas permintaan saya, lulusan universiti Amerika yang kini memegang jawatan tinggi dalam sebuah organisasi korporat multinasional ini membentangkan kertas kerja bertajuk "Keris dan penyatuan Melayu Nusantara". 


Khairul juga memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur (PUSAKA KL). Turut datang berbusana penuh dengan keris tersisp di pinggang adalah sejumlah ahli persatuan.


Sesungguhnya HIKMAH berjaya menarik ramai untuk datang berpakaian lengkap tradisional daripada pelbagai aliran perkerisan dan persilatan.


Daripada keris kita beralih pula pada cerita pedang.


Saya telah meminta pembentang kedua, saudara Zahamri Nizar untuk berkongsi sebuah kertas kerja yang pernah mendapat perhatian antarabangsa apabila ia dibentangkan dalam satu pertemuan cendekiawan di Aceh awal tahun ini. Kertas kerja yang diberi nama "Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara" itu bermula sebagai satu course work atau tugasan di universiti yang mendapat perhatian seorang rakan berbangsa Indonesia lalu dimasukkan ke dalam satu jurnal ataupun majalah.


Dari situ ia mendapat perhatian seorang cendekiawan tersohor dunia, Dr Annabel Teh Gallop dari British Library, London. Hasilnya Zahamri yang merupakan bekas petugas Yayasan Restu sebelum  menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di Akademi Pengajian Melayu ditaja untuk membentangkan kertas kerja tentang tajuk itu di sebuah seminar antarabangsa di Aceh awal tahun ini. Sekarang saya mahu ia dikongsikan kepada khalayak orang kita.


Pembentang ketiga, saudara Mohamad Syukri Embong  yang merupakan Yang Di-Pertua sebuah badan NGO Terengganu yang dipanggil Persatuan Belia Waja Watan pula diminta membentangkan kertas kerja bertajuk "Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu - Perjalanan Melayu merentas zaman menggamit peranan". Saya membuat permintaan apabila melihat perbincangan beliau dan kawan-kawan sealiran dalam sebuah page atau muka surat berkaitan di Facebook. Saya meminta agar perbincangan dapat diangkat ke alam nyata, di hadapan khalayak yang lebih bermakna...




Antara sebab saya meminta tajuk tersebut dan mengatur Syukri sebagai pembentang ketiga adalah agar penceritaan dan mood pendengar dapat dibawa untuk menggamit kehadiran Batu Bersurat Terengganu yang dikatakan ditulis di Kuala Berang tahun 1303. Saya mahu mengaitkannya dengan pembentangan terakhir yang dibuat oleh saya, pembentangan bertajuk "Panji-panji Hitam dari Timur : Peranan Bangsa Melayu Akhir Zaman".


Sekali lagi pembentangan saya masuk waktu solat, apabila kedengaran azan untuk Asar dari Masjid Negeri, Shah Alam yang terletak di sebelah Yayasan Restu. Tapi saya tak mahu bercerita panjang lebar tentang tajuk sebaliknya lebih banyak berkias melalui satu pertunjukan slaid simbolik. Memandangkan masa untuk menamatkan penggunaan bilik semakin hampir, saya pun meminta peserta agar memulakan sesi seterusnya iaitu acara berkumpulan.




Untuk acara ini peserta diminta membahagi-bahagikan diri kepada 10 kumpulan... di bawah tajuk-tajuk seperti Persilatan, Perubatan, Perkerisan, Budaya, Salasilah dan macam-macam.


Setiap kumpulan diperhatikan oleh seorang moderator yang sesuai.


Oh. Sejurus sebelum sesi bermula muncul saudara Megat Ainuddin dan orang-orangnya daripada aliran Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu, silat warisan keluarga pahlawan lama terkenal Megat Terawis yang pernah menjadi bendahara pertama kesultanan Perak.


Kumpulan dibuat agar mereka yang sama minat boleh berkongsi pandangan dan ilmu terutama dalam bidang kegemaran masing-masing. Selain itu HIKMAH bertujuan mahu menemukan muka-muka yang selama ini cuma dapat berhubung secara maya melalui Internet dan FB semata.





Sambil itu setiap kumpulan diminta memberikan maklum balas. Dengan panduan moderator mereka diminta memberi 3 point tentang kekurangan/cadangan pembaikan acara, 3 tajuk yang mahu dilihat menjadi kertas kerja pembentang dan 3 perkara yang mahu diangkat kepada pemerintah tertinggi negara sebagai cadangan cara untuk mendaulatkan Melayu dan Islam.


Selepas itu cadangnya saya akan membaca kesemua maklum balas yang diberi satu persatu atau merumuskan kepada beberapa perkara. Tetapi disebabkan saya dah mula sakit tekak, saya minta setiap moderator tampil ke hadapan membaca maklum balas setiap kumpulan mereka.




Tapi biasa le. Ramai orang bila diberi peluang bercakap maka jadi panjang cerita.





Akibatnya sesi yang asalnya dicadangkan mahu selesai sekitar jam 5.35 sudah berlanjut lebih sejam...


Bila dah melepasi jam 6.30 ada yang nampaknya tak tahan. Maklumlah ada yang belum sempat bersolat Asar sedangkan ketika itu masih ada 2 lagi kumpulan menunggu untuk diperdengarkan maklum balas. Nak tak nak saya terpaksa menamatkan acara. Cukuplah ya. Bilik ini sebenarnya disewa untuk HIKMAH 10 pagi hingga ke 3 petang sahaja tetapi atas budi bicara pihak pengurusan kami dibenarkan menggunakannya dari 8.15 hingga lewat petang. Kalau tak ditahan orang-orang yang galak bercakap ni mahu lepas Maghrib pun tak habis lagi!

Apapun saya, isteri  dan kawan-kawan yang bertungkus-lumus untuk menjayakan acara cukup bersyukur kerana walaupun yang disewa cuma bilik mesyuarat yang saiznya mungkin tak sampai separuh dewan, dengan waktu sewa yang sebenarnya agak terhad, HIKMAH dibenarkan menggunakan banyak ruang di luar bilik untuk pameran dan perniagaan tanpa berkira masa lalu saya dapat memenuhi janji untuk membenarkan pembuat pameran dan peniaga masuk secara percuma. Alhamdulillah, walaupun banyak lari timing kerana pelbagai perkara, secara rata semua hadirin setuju ia adalah acara yang berjaya. Daripada 544 orang yang menyatakan akan datang melalui FB (itupun ada yang membatalkan kedatangan apabila diberitahu ada acara HIKMAH susulan 25 Nov nanti), sekitar 350 muka muncul kali ini. Ia menolak jangkaan skeptik bahawa acara yang dibuat dan diwar-warkan di FB cuma boleh mendapat 10-20 peratus kehadiran sebenar. 

Kalau begitu yang datang harus 54 orang sahaja atau paling banyak 108. Tapi kita dapat 350 daripda 544, iaitu sudah lebih 60 peratus! Belum diceritakan lagi bab pengisian yang cuma boleh dinafikan oleh mereka yang terlepas pandang atau tidak faham cara penyampaian ilmu secara tersirat. Selain sejumlah tokoh pendekar juga pakar dalam bidang agama, turut hadir adalah beberapa watak misteri yang amat dicari-cari oleh mereka yang sibuk bercerita tinggi di Internet tetapi tidak kenal tanda apabila ternampak di hadapan mata. Insyaallah nanti akan dikongsikan maklum balas acara berkumpulan seperti yang dipinta dibuat dalam komputer lalu disampaikan kepada saya melalui Internet agar tidak terlepas pandang apa-apa perkara penting. Cukup... :]





6 comments:

  1. Assalamualaikum Tuan.

    Ada tak rakaman video tentang sesi perkongsian ilmu? Kalau ada share la kat youtube ker... bolehlah sesiapa yang tak dapat datang macam saya ni dapatkan juga sedikit manfaat.

    ReplyDelete
  2. Tahniah atas kejayaan menguruskan perjumpaan besar sebegini.... Bukan sesuatu yang mudah

    ReplyDelete
  3. Tahniah kpd semua yg terlibat dgn suaikenal HIKMAH....

    ReplyDelete
  4. Wassalam. Terima kasih atas sokongan semua. Ada seorang merakamkan acara, rasanya sampai separuh hari menggunakan perakam profesional besar. Saya pun tak tahu dari mana. Saya biarkan sahaja.

    Rasanya orang lain ada juga yang merakam video tetapi secara amatur. Saya sendiri ada membuat rakaman. Nanti saya proses dan upload...

    ReplyDelete
  5. Salam,saya tertarik dengan ayat "Selain sejumlah tokoh pendekar juga pakar dalam bidang agama, turut hadir adalah beberapa watak misteri yang amat dicari-cari oleh mereka yang sibuk bercerita tinggi di Internet tetapi tidak kenal tanda apabila ternampak di hadapan mata." Sememangnya sangat sedikit yg mampu melihat yg tersirat d sebalik hijab.Untuk maklumat tuan dan sebagai pembakar semangat,majlis HIKMAH sebenarnya dipantau dan disokong penuh oleh 'Rijal2 dari sebelah sana' malah ada wakil 'mereka' dari golongan kita disebelah sini yang ditugaskan untuk menghadiri Majlis Hikmah. InsyaAllah Hikmah akan terus disokong 'Jemaah mereka' selama-mana KEIKHLASAN menjadi tunjang HIKMAH.Allahu Ma'ana..InsyAllah.

    ReplyDelete