Tuesday, December 18, 2012

HIKMAH acara ketiga diadakan di Lumut 27 Januari

Aduhaaaiiii. Rancangan di hati nak buat artikel-artikel menunjukkan klip-klip video semasa acara kedua HIKMAH di Melaka 25 Nov (rujuk Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari dan Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka). Tapi sampai sekarang masih tak terbuat... banyak kerja woo nak proses video yang ditangkap menggunakan perakam berdefinisi tinggi. Maka biar dibuat artikel lain dahulu...


Sejak acara pertama HIKMAH berjaya dilangsungkan di Shah Alam, Selangor 4 Nov (rujuk HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu dan HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik!) ramai pihak menyatakan keinginan untuk melihat acara serupa diadakan di negeri masing-masing. Paling awal menyatakan minat malah sudah cuba menghubungi saya sebelum 4 Nov lagi apabila mendapat tahu kami menghadapi masalah pembatalan premis (rujuk Dari Akademi Pengajian Melayu ke Yayasan Restu, dari Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH jadi Suai Kenal...) adalah orang Melaka. Maka jadilah acara kedua HIKMAH di sana 25 Nov.


Acara HIKMAH semakin mendapat perhatian apabila resolusi hasil segmen berkumpulan kami dapat diwar-warkan di Melaka juga seminggu kemudiannya. Lihat Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?. Ketika kami bersiap-siap untuk menjayakan acara 25 Nov pihak dari Perak sudah bertanya jika acara seterusnya dapat diadakan di sana. Mereka terus meminta cadangan tarikh atau tempoh masa yang sesuai. Saya menjawab, elok dapat diadakan semasa musim Maulidur Rasul tahun 2013.


Namun apabila meneliti kembali kalendar saya dapati hari Maulidur Rasul iaitu 12 Rabiulawal seterusnya akan jatuh pada 24 Januari 2013. Maka musimnya terasa begitu awal sedangkan saya sendiri sudah amat kepenatan bekerja untuk menjayakan acara pertama HIKMAH 4 Nov (biar dipanggil HIKMAH I) dan acara kedua 25 Nov, HIKMAH II. Namun saya berserah kepada Allah bagaimanakah perkara mahu diatur. Tengok-tengok Jumaat lepas saya dihubungi pihak Perak yang sudah membuat persiapan yang patut lalu menetapkan tarikh 27 Januari bersamaan 15 Rabiulawal 1434 Hijrah untuk HIKMAH III.


Mereka sudah menempah dewan besar di atas pulau buatan yang dipanggil Marina Island berdekatan Teluk Muroh, Lumut, pulau yang boleh dicapai dengan cara menuju ke pintu masuk belakang pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia atau TLDM. Saya pernah berjalan-jalan di pulau ini ketika ia baru siap tahun 2010. Ternyata lokasinya memang menarik, tempat paling dekat untuk mencapai pulau peranginan terkenal iaitu Pulau Pangkor. Lihat artikel The new jetty for Pulau Pangkor  blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
.



Dewan Marina Island Hall ini katanya turut dipanggil sebagai Dewan Tan Sri Diraja Ramli Ngah Talib.


Ia boleh memuatkan lebih 1,000 orang peserta. Kawan-kawan kami di Perak sudah mengatur agar acara kali ini jauh lebih gemilang apalagi jemputan sudah dibuat kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. Biar dikongsikan sedikit kata-kata saya berserta atur cara tentatif yang disediakan pihak Perakseperti yang telah dikongsikan pada event page HIKMAH III (boleh klik sini)...




Untuk program kali ini semua peserta DIWAJIBKAN berbusana tradisional Melayu namun boleh juga berjubah berserban mengikut sunnah. Yang perempuan harus menutup aurat, kalau tidak bertudung harus sekurang2nya memakai selendang apalagi DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dijangka mencemar duli untuk majlis ini.

Pihak Perak yang menganjur memberitahu kalau dapat lebih 500 orang berbusana penuh ini akan dimasukkan ke dalam Malaysian Book of Records. Kalau dapat jaminan awal sekurang2nya 1,000 peserta akan muncul, insyaallah Yang di-Pertuan Agong dapat dipujuk untuk turut serta mencemar duli.

Marilah bersama2 mencipta sejarah dan terlibat dalam program kebangkitan alter Melayu yang merupakan program kebangkitan ummah ini. Dunia sedang menunggu tapak daulah Islamiyah dibina melalui kemunculan gerakan panji2 hitam dari Timur. Marilah sama2 meraikan program pada hari yang boleh dijadikan hari kebesaran Melayu, 27 Januari 2013 yang kebetulan jatuh pada 15 Rabiulawal 1434, musim Maulidur Rasul.



Program tentatif

8-8.45 pagi : Pendaftaran peserta

9 pagi : Perarakan dan selawat Maulidur Rasul
Ketibaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak,Sultan Azlan
Muhibbuddin Shah diiringi laksamana Melayu dan hulubalang.

9.45pagi : Selawat dan Doa untuk penyatuan ummat dan kemakmuran Negara
oleh Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid,
pengasas Darul Murtadza

10.00 : Ucapan YDP PESADA ,Dr. Mohd Fazzli b Dato’ Ali Bagas
Islam, Kesultanan dan Melayu – Jangan Dipisahkan!
(Rahsia Alam Melayu)

10.20 : Ucapan Menteri Besar Perak,YAB Dato’ Seri Di Raja Dr. Zambry Abd
Kadir,Menteri Besar Perak.
Menyampaikan sumbangan kepada
Persatuan Pencak Silat Olahraga Daerah Manjung

10.45 : Pembentang 1 :Persilatan – Rahsia Pendekar Purba
(Gerakkan siPendekar membenteng Negara)
Prof Dato’ Seri Amar DiRaja Dr. Muhammad Fairus Khairuddin

11.05 : Slide Khas dari Alter Terahsia Bangsa Melayu:Kebangkitan Nusantara

11.15 : Titah Amanat DYMM Paduka Seri Sultan Perak
kepada seluruh perajurit Melayu akhir zaman

11.45 : Gimik Pembukaan

11.55 : Berpetualang :Mencari Erti Diri
Tuan Radzi Sapiee,Pengasas HIKMAH

12.30 : Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu ,pesanan kebangkitan akhir
zaman
Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor,Pengetua Pondok Rasool-ur Rahmah

1.00 : Selawat beramai-ramai beserta Doa untuk ummat Akhir Zaman
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid,
pengasas Darul Murtadza

Acara khas: Penyerahan Usul HIKMAH3 kepada DYMM Sultan oleh
Sdr Radzi Sapiee (pengasas HIKMAH) diiringi YDP PESADA
Keberangkatan pulang DYMM Sultan Perak diiringi Menteri Besar
YDP PESADA,Pengasas HIKMAH,Pengasas Yayasan Bela Diri M’sia

1.10 : REHAT SOLAT ZUHUR DAN MAKAN TENGAH HARI
SOLAT JAMAK dan Qasar Berjemaah dengan para musafir DIIMAMKAN OLEH Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid,pengasas Darul Murtadza di Dewan beserta selawat qubra.

2.40 : Ahlul Bayt dan Kesultanan Melayu
Al-Fadhil Ustaz Kazim Elias

3.15 : Kebangkitan Nusantara
Prof. Dr.Ridhuan Tee Abdullah,Profesor UPNM.
Cetusan Rasa oleh Tuan Radzi Sapiee (Kebangkitan Panji Hitam)
wakil Singapura, Bentan dan Acheh
YM Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan
Hussein, wakil Singapura.
YM Raja Syukri, waris Raja Haji Fi Sabilillah,wakil Acheh
Tuan Haji Huzrin Hood,
Pemangku Adat Bentan,Indonesia
Moderator : Taufiq Tan sri Khalid Sahan,peguam bela dan peguam cara

3.50 : Penyampaian cenderahati dan sijil

4.30 : REHAT DAN SOLAT ASAR(tempatan)

5.00 : Aktiviti Berkumpulan
Penyediaan Resolusi untuk diserahkan kepada YAB Perdana Menteri

6.00 : DOA dan PERARAKAN SELAWAT sempena Maulidur Rasul
(Walkabout sekitar Marina Island Pangkor)

Majlis ditangguhkan




Pada saya pemilihan lokasi kali ini sangat tepat dengan gerak kerja HIKMAH yang mahu mendaulatkan kembali Melayu dan Islam sebagai persediaan untuk kebangkitan ummah seluruh dunia akhir zaman. Kesultanan Perak adalah satu-satunya warisan pemerintahan yang masih wujud daripada kesultanan Melaka, maka kenalah HIKMAH III diadakan di Perak selepas HIKMAH II di Melaka. Lokasi di Lumut pula boleh dikaitkan dengan Perjanjian Pangkor yang berlaku 20 Januari 1874, perjanjian yang boleh dikatakan titik-tolak Semenanjung Tanah Melayu yang dahulu berada di dalam lingkungan pemerintahan Empayar Melaka ini dibentuk mengikut telunjuk Barat. Selain itu di Lumut juga jenazah moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin pernah dibawa kembali dari Singapura dengan kapal perang TLDM, KD Laksamana Muhammad Amin sebelum disemadikan di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar 9 September 2006. Lihat artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan.... Kawasan sekitar ini juga segar dalam ingatan sebagai tempat berlaku berbagai peristiwa yang mengandungi unsur-unsur petunjuk mistik. Sila lihat artikel-artikel berikut...



Mencari asal-usul Beruas Gangganegara yang sebenar...


Beruas, kaitan dengan Aceh dan melihat bulan... Antara mimpi dan realiti kehidupan


Jalan-jalan Perak sebelah barat : Merenung keadaan dari Lumut ke Beruas...


Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara


Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara?




Sekarang biarlah dikongsikan sedikit sedutan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)... dari Bab 8, muka surat 155 hingga ke 156. Sekadar memberitahu, bertahun-tahun kemudian dan setelah melalui beberapa lagi mimpi hampir serupa baru saya sedar muka bumi   dalam mimpi sebenarnya merujuk pada persekitaran di Lumut dan tepian Sungai Dinding.




Tiba-tiba pemuda ini teringat dua buah mimpi berkaitan yang pernah dialami dahulu . Dalam mimpi pertama, kalau tak salah ingatan berlaku semasa  dia masih menuntut di England ketika berumur sekitar 23 tahun, Rasyid mendapati dirinya berada di sebuah teluk yang airnya sangat dalam dan amat jernih... Daripada tebing teluk, menjulur keluar pohon condong yang rendang, sama rupanya seperti pohon tepi pantai di Pulau Kampai yang dilihat di alam nyata. Bezanya, di dalam mimpi, pohon itu lebih besar dan bahagian bawahnya iaitu pangkal dan akar terbenam ke dalam air. Apapun, dia dapat melihat, jika tebing tinggi di pulau ini dinaiki air sampai ke gigi,  keadaannya mungkin saling tidak tumpah seperti di dalam mimpi.

Dalam mimpi  itu juga, Rasyid sempat berenang-renang di sekeliling pangkal pohon itu dengan amat riang sekali. Airnya terasa lain dari yang lain, tidak seperti mana-mana air yang pernah ditemui di dunia nyata... Ringan, tidak basah... Sangat jernih dan ada semacam kelembutan melebihi sutera yang membolehkannya bernafas di dalam. Paling dia tak dapat lupakan, tempat itu berserta pohon dan teluknya terasa seperti rumah,  seperti home sweet home yang dicari-carinya seumur hidup tetapi belum lagi terjumpa!

Beberapa tahun kemudian, barulah Rasyid mendapat sebuah lagi mimpi yang dapat memberikan rasa selesa yang amat menenangkan ini. Dalam mimpi itu, dia berserta tiga orang saudara telah menaiki kereta mendaki sebuah bukit yang letaknya entah di mana... Pemandangan di bawahnya kelihatan seperti di Muar, bandar kelahirannya... Tetapi kenyataannya tidak pernah wujud bukit sebegini malah apa-apa jenis bukit di sekitar bandar itu!  Apabila sampai di atas, terjumpa pula sebuah papan tanda bertulis perkataan “Aji Yaki Dastagi”, tidak tahulah apa maknanya… Pelik bukan?

Anak muda inipun melangkah keluar kereta, sampai ke suatu dataran lalu disambut dua barisan manusia, kiri dan kanan yang kelihatan seperti orang-orang Asli. Pada muka mereka terlukis bintik-bintik hitam, mulut pula sentiasa bergerak seperti ikan di darat tercungap-cungap mencari nafas. Lebih pelik lagi, keluar lafaz yang bunyinya seperti “ketak, ketak, ketak...” daripada setiap mulut tetapi Rasyid merasakannya seperti zikir mengingati Allah yang amat menenangkan! Latar-belakang mimpi bertukar apabila pemuda itu tiba-tiba mendapati dirinya berada di dalam sebuah bangunan berdekatan dengan rekabentuk seakan kuil lama tanpa berhala. Yang ada, cuma lampu minyak seperti lampu Aladdin tergantung di beberapa tempat serta sebuah kolam berbentuk empat segi dengan air yang amat jernih.

Selama di dalam mimpi, pemuda itu dapat merasakan ketenangan jiwa yang amat sangat. Setelah beberapa ketika tibalah masanya untuk beredar... Tahu-tahu sahaja, dia sudah berada di dalam sebuah lif menuruni bukit. Ait??? Tak logik bunyinya bukan tetapi itulah yang berlaku. Lif itu pula terbuka, tidak berdinding... Maka terhamparlah pemandangan seperti di bandar Muar dengan sebuah pelabuhan di kuala sungai penuh dengan yatch atau kapal layar, sedangkan pelabuhan sebegitu tidak wujud di bandar itu... Atau mungkin ia akan wujud suatu hari nanti? Di hujung kuala sungai yang luas itu pula Rasyid ternampak sebuah teluk kecil dengan pohon rendang... Sama seperti yang pernah dilihatnya di dalam mimpi terdahulu, lebih kurang seperti apa yang terdapat di Pulau Kampai secara nyata. Lebih pelik lagi, hujung kawasan teluk ini bersambung sampai ke Sumatera!

Sebaik sahaja terjaga daripada mimpi, Rasyid terasa sebak yang amat sangat. Pemuda itu terus menangis teresak-esak... Sedih kerana rasa terputus  hubungan dengan home sweet home yang dicari-cari seumur hidup. Ini berlaku ketika dia masih bekerja sebagai wartawan akhbar harian terkemuka berbahasa Inggeris di ibu kota, ketika tidur malam di atas pelantar di kawasan letak kereta pejabat di  tingkat enam. Kebetulan, ketua pengawal keselamatan yang dikenalinya terjumpa Rasyid sedang menangis lalu bertanya apakah yang telah terjadi. Anak muda inipun menceritakan isi kandungan mimpi itu lalu bekas polis yang berasal dari Perak itu memberitahu, ada sesuatu yang istimewa tentang dirinya.




2 comments:

  1. Tahniah Abang Radzi, semoga mendapat Rahmat-Nya dan dipermudahkan Allah Ta'ala segala urusan HIKMAH III, amin Ya Rabbal'alamin.

    ReplyDelete