Tuesday, February 26, 2013

Antara HIKMAH di kaca televisyen, buku untuk Melaka dan persiapan di Kelantan


Gambar ini diambil semasa saya dan dua orang kawan HIKMAH ditemu duga Khamis lalu untuk program Islamic Finance Today. Program itu ditayangkan pada rangkaian televisyen Unifi, channel atau saluran 127 setiap Ahad jam 10 malam. Kami ditemu duga untuk melihat pandangan tentang ekonomi dunia dan bagaimana nilai-nilai Islam harus diterapkam. Temu duga dibuat dua segmen, untuk tayangan pada 3 Mac 2013 kemudian 17 Mac. Lihat artikel A television interview on Islamic economics and finance blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Tadi sekitar jam 8 pagi pula saya baru selesai memuatnaik sejumlah artikel dalam format Microsoft Word untuk dihantar kepada wakil kerajaan negeri Melaka. Artikel-artikel itu merupakan pembentangan kertas kerja juga cetusan rasa daripada HIKMAH I, II dan III yang mahu digandingkan menjadi sebuah buku terbitan kerajaan yang ditawarkan mereka atas nama IKSEP, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Melaka. Usaha mengumpulkan isi telah dimulakan sejak penghujung tahun lepas. Namun biasalah. Saya harus berkali-kali mengingatkan kawan-kawan agar cepat menyiapkan dan menghantar tulisan masing-masing. Sambil itu saya juga diganggu kemalasan sambil kepenatan hendak menyertakan sumbangan sendiri. Namun saya telah berjanji akan menghantar segala yang perlu Isnin malam Selasa iaitu tadi.

Agar buku cukup lengkap saya sendiri harus menyediakan empat kertas kerja bersama tiga artikel sokongan kemudian menyemak setiap artikel yang dihantar orang lain. Malah bagi sesetengah kes saya sebenarnya mengatur isi untuk mereka, isi yang disedut dari Internet sambil menyediakan profil setiap penulis. Hasilnya memuaskan tapi saya sangat penat kerana sehari suntuk dari semalam sehinggalah hampir waktu Subuh bersengkang mata untuk menyiapkannya. Kemudian saya harus menunggu proses memuatnaik yang memakan masa, itupun ditakuti ada fail besar boleh dihinggapi masalah apabila dimuatturun oleh wakil kerajaan Melaka nanti.

Adapun siang ini saya sebenarnya bercadang mahu berlepas ke Kelantan jam 10 pagi untuk membuat persiapan acara HIKMAH IV (rujuk HIKMAH IV di Akademi Nik Rashiddin 16 Mac). Tetapi akibat menyiapkan buku kemudian diikuti gerak hati harus memasukkan dahulu sejumlah artikel di blogspots saya terpaksa menundakannya untuk mendapatkan sedikit rehat. Selepas keluar makan pagi bersama keluarga saya memasukkan sedikit artikel. Tidur sebentar, bangun jam 11 kemudian membuat artikel ini. Sekarang bolehlah bersiap untuk ke Kelantan dengan aman. 

Begitulah satu perjuangan. Janji mesti ditepati, bukan slogan parti politik ya tetapi realiti manusia yang ada maruah dan percaya pada Allah dan Rasul. Saya bukan sahaja penat dan tak cukup rehat akibat kerja termasuk menyiapkan buku. Saya sebenarnya turut dilanda demam dan rasa mual-mual hendak muntah sejak beberapa hari lalu dicampur sakit bisa-bisa badan yang asyik menyerang sejak sebulan lepas. Janji pada diri sendiri, malam ini in syaa Allah akan beriktikaf di Masjid Tok Kenali, Kubang Kerian, Kota Bahru. Janji pada orang, jam 9.30 esok saya akan hadir bermesyuarat dengan pemilik Akademi Nik Rashiddin untuk melicinkan persiapan bagi HIKMAH IV.

Sambil itu saya telah berjanji dalam perjalanan selepas ini akan singgah di Kota Damansara untuk menghantar sejumlah buku yang telah dibayar harganya Ahad malam Isnin. Dan kemudian saya harus mendapatkan sebuah buku dari penerbit di Batu Caves dan mengeposnya secepat mungkin. Harap-harap masih sempat menikmati hidangan kegemaran ikan keli gulai asam rong di Raub. Untuk makluman ini adalah artikel ke 44 di blogspot ini.. :]


.

Saturday, February 23, 2013

HIKMAH IV di Akademi Nik Rashiddin 16 Mac


Gambar diambil dari website sini


Salam semua. Dalam artikel HIKMAH IV di Kelantan satu setengah bulan lagi? yang dibuat lebih 3 minggu lalu saya ada menyebut mahu mengadakan acara terbaru HIKMAH di sekitar Kuala Besar, Kota Bahru mungkin di Masjid Kampung Che Latif. Ini dibuat agar dapat menumpang kemeriahan satu acara berkuda di Pantai Che Mah yang terletak berdekatan 13-17 Mac. Katanya ia akan melibatkan lebih 1,000 kuda, ada permainan tradisional Melayu seperti wau, gasing, dan wayang kulit. Pada 16 Mac, Sultan Kelantan dijadualkan akan menyempurnakannya. Fikir saya mungkin boleh didapatkan ruang untuk kami menyerahkan Pernyataan HIKMAH Melaka kepada sultan. 

Rujuk Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman? Pengumuman pun dibuat di Facebook dengan event page atau muka surat acara bagi HIKMAH IV dibuka Ahad 3 Februari iaitu tepat seminggu setelah HIKMAH III tamat. Tentang acara telah lalu itu boleh rujuk artikel-artikel berikut :- 




Video sekitar HIKMAH III di Lumut 27Januari 2013



Tidak lama setelah rancangan untuk mengadakan HIKMAH IV diumumkan, ada orang menawarkan penggunaan masjid persendirian di PCB atau Pantai Cahaya Bulan. Tetapi saya tetap mahu mendapatkan Masjid Kampung Che Latif yang terletak lebih dekat iaitu sekitar 1.7 km dari tempat acara berkuda. Fikir saya kalau masjid itu dah memang tak boleh dapat baru saya akan mengambil tawaran masjid di PCB yang saya kira terletak sekitar 7 km lebih jauh. Beberapa hari selepas itu muncul pula tawaran untuk mengunakan Masjid Almarhum Tuan Guru Haji Musa di Bukit Marak...

Saya baru terfikir hendak menolak kerana Bukit Marak terletak lebih jauh lagi, sekitar 25 km ke selatan gitu. Tiba-tiba terdetik di hati lihat dahulu apakah perkembangan terbaru acara berkuda. Setelah menyemak FB mereka baru saya tahu acara telah ditunda 5 minggu ke hadapan dan lokasi dialih ke Kota Bahru. Kalau begitu tiada gunanya saya mahu mengejar tarikh yang sudah ditolak terlalu jauh, tidak perlu menumpangnya lagi dan dengan itu tak payahlah mencari tempat sekitar itu. Saya pun menghubungi pihak yang memberi tawaran masjid di Bukit Marak, masjid milik keluarga lalu bersetuju.

Sambil itu ada orang mencadangkan agar saya membuat HIKMAH IV samada di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok atau tempat aktiviti seni bernama Akademi Nik Rashiddin (ANR) di Pantai Kandis. Cadangan yang diberi nampak cukup serius apabila orang tersebut memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi untuk mendapatkan tempat. Pihak yang memberi tawaran Bukit Marak pula rupanya harus menunggu kata putus ahli keluarga yang lebih kanan. Setelah beberapa hari menunggu saya pun meminta isteri untuk menghubungi ANR lalu terus mendapat persetujuan muktamad untuk menggunakan premis.

Persetujuan ini diterima Jumaat minggu lepas iaitu 8 hari lalu, Ia ada diumumkan di FB. Pada malamnya saya sendiri menghubungi ANR lalu mendapat kepastian lagi tentang persetujuan tersebut.  Kira-kira 5 hari kemudian, baru kepastian untuk menggunakan masjid keluarga di Bukit Marak diterima. Tetapi ketika itu saya sudah mengatur persiapan untuk mengadakan acara di ANR.

Oh. Keadaan ANR sebagai satu tempat aktiviti seni dan mengadungi pameran berkaitan terutama  ukiran tradisional kayu lama dan baru seperti mengulangi keadaan acara pertama HIKMAH atau HIKMAH I yang diadakan di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012. ANR menonjolkan seni lama Melayu terutama yang dikatakan bermotif Langkasuka. Yayasan pula memang tempat seni Islam termasuk khat malah tempat pembuatan mushaf Al-Quran. Rujuk artikel-artikel lama berikut :- 

HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu

HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik!

Video klip sekitar HIKMAH 4 Nov



Hari ini, Sabtu awal pagi 23 Februari, baru saya tergerak untuk mengumumkan penggunaan ANR di blogspot ini. Biar dimaklumkan juga, in sya Allah hari Selasa nanti saya akan bergerak ke Kelantan untuk menguruskan perkara. Cadangnya saya akan bermalam/beriktikaf di Masjid Tok Kenali di Kubang Kerian, KB sebelum bergerak ke ANR hari Rabu. Saya akan cuba mengambil sebanyak mungkin gambar sesuai yang boleh dikongsikan juga meninjau hal-hal berkaitan seperti jalan yang boleh diambil untuk sampai ke sana dan kemudahan yang ada seperti tempat penginapan dan makan minum berdekatan.

Sekarang biar diletakkan atur cara tentatif untuk HIKMAH IV setakat ini. Ia akan diperbaiki dari semasa dan semasa dan boleh berubah. Namun apa yang ditunjukkan ini boleh dikatakan hampir pasti. Cuma harus diingatkan tidak seperti HIKMAH I di Shah Alam 4 Nov, HIKMAH II di Melaka 25 Nov dan HIKMAH III di Lumut kali ini kami tidak menyediakan makanan. Saya akan mendapatkan kepastian bagaimana hendak menangani masalah ini dari pihak ANR, samada terdapat kedai berdekatan atau haruskah kita membuka ruang untuk orang berniaga makan di dalam kawasan ANR. Apapun siapa tahu akan muncul insan mulia mahu menaja makanan nanti?




8 – 9am : Pendaftaran (peserta boleh terus memilih kumpulan untuk aktiviti petang seperti Perkerisan, Persilatan dan Kebudayaan)

9 – 9. 30 : Sesi terbuka sesiapa nak bersilat atau buat pertunjukan seni/kebudayaan (setakat ini Persatuan Gayung Kelantan sudah menyatakan minat mahu membuat persembahan)

9.30 : Selawat pembukaan oleh Sheikh Raja Aman Al-Kubra

9.45 : Kata-kata aluan oleh pemilik Akademi Nik Rashiddin, Puan Rosnawati

10 : Ucapan pengenalan oleh Pengasas dan Presiden HIKMAH, Radzi Sapiee

10. 15 : Sesi pembentangan pagi – Kertas I

10.45 : Kertas II

11.15 : Kertas III

11.45 : Rehat 15 minit

12pm : Sesi pembentangan tengah hari – Kertas IV

12.30 : Kertas V

1 : Kertas VI

1.30 : Rehat Zuhur

2. 30 : Sesi pembentangan petang – Kertas VII

3 : Kertas VIII

3. 30 : Hal-hal lain seperti cetusan rasa dan sajak

4 : Sesi berkumpulan seperti Perkerisan, Persilatan dan sebagainya. Kali ini kami tidak mengharapkan apa-apa maklum balas seperti pada HIKMAH I, II dan III. Sebaliknya sesi dibuat semata-mata untuk peserta berkenalan dan berkongsi minat dalam bidang kegemaran masing-masing.

4.30 : Rehat Asar

5 : Panji-panji hitam dan Perjanjian Bangkok 1909 – Radzi Sapiee

5.15 : Doa/Hizb Bahr? Untuk Pembatalan sihir/pasak Perjanjian Bangkok 1909 (harus dikaitkan dengan Perjanjian Burney 1826)

5.30 : Acara bebas



Cadangan kertas kerja

1. Sejarah dan tempat-tempat signifikan di Kelantan – Kelab Pencinta Sejarah Kelantan

2. Siapakah Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis dan wakil dari Perpustakaan Kelantan

3. Motif Langkasuka dalam kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR

4. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Md Arif, calon PhD seni UPSI

5. Kepentingan salasilah dalam mencari jati diri dan peranan di akhir zaman – Megat Iskandar, setiausaha persatuan keluarga Megat Terawis

6. Ekonomi Islam berdasarkan Dinar dan Dirham – Keperluan minimum untuk menjayakan sebuah negara yang betul-betul Islam – Amirul HM, perunding kewangan Islam dan dinar dirham

7. Sejarah Kelantan membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


Cetusan rasa, lain-lain

1. Sajak Melayu – Tun Farul aktivis silat dan busana, ahli Istiadat Penjurit Kepetangan

2. Panji-panji hitam dan Perjanjian Bangkok 1909 – Radzi Sapiee




Friday, February 15, 2013

Video sekitar HIKMAH III di Lumut

Alhamdulillah, setelah masuk hampir 3 minggu acara HIKMAH III berlalu baru saya berkesempatan membuat penyuntingan rakaman video yang diambil bagi pihak saya dan memuatnaikkan sebanyak yang mungkin ke Youtube. Tanpa berlengah lagi saksikanlah video-video tersebut...



Bahagian pertama - lebih pada berselawat memandangkan tarikh acara iaitu 27 Januari 2013 adalah bersamaan 15 Rabiulawal 1434 Hijrah, 3 hari selepas tarikh Maulidur Rasul.



Bahagian kedua - Sesi pagi hingga tengah hari  di mana bermulanya wacana ilmu. Ada juga acara penyerahan 'panji-panji hitam' yang tak disangka dan tiada dalam program asal.



Bahagian ketiga - Sesi selepas Zuhur. Wacana ilmu dan perkongsian rasa tentang hal-hal Melayu diikuti ceramah bertajuk "Kebangkitan panji-panji hitam dari Timur melalui pembatalan sihir Perjanjian Pangkor" dan acara berkumpulan.



Bahagian keempat - Sesi selepas Asar dan kemuncak. Perarakan Maulidur Rasul ke pantai menghadap perairan Pulau Pangkor di mana upacara pembatalan sihir Perjanjian Pangkor melalui bacaan Hizb Bahr dibuat, ada juga gerak spontan menikam keris ke pantai yang menimbulkan kontroversi buat mereka yang tidak atau kurang faham. Cukup.